Saturday, May 11, 2013

Emak, Abah, Tunggu Adik ya!


"Ada apa-apa nak tambah lagi ke pada ais krim encik ini?" pelayan kedai menyoal.

"oh erm, tiada apa lagi saya rasa, ini sudah cukup.." saya membalas ringkas.

"Encik tak mahu beli lagi aiskrim sempena Hari Ibu?" soalan yang tak dijangka oleh saya.

"oh, tak apalah dik" saya melemparkan senyuman manis kepada pelayan lelaki itu. Aiskrim saya warna hijau, abang saya pula warna coklat. Sambil menikmati aiskrim tersebut, akal melayang akan ucapan pelayan tadi mengenai "Hari Ibu". Saya terkedu...menghela nafas panjang...

Tahun 2012 yang lepas adalah suatu cabaran kepada saya dan keluarga sanak saudara terdekat. Namun, paling menguji sudah tentu saya dan abang. Dengan bilangan adik-beradik hanya 2 orang, ternyata ujian bertubi-tubi yang kami hadapi ini pasti tersemat di hati kami dalam mencari makna hikmah disebalik lontaran sayang Allah kepada hambaNYA seperti kami 2 beradik.

Mampu atau tidak, saya perlu menempuhnya demi memaknakan hidup sebagai hamba Illahi.

Tahun 2012, saya kerja sebagai juruwang di sebuah pusat membeli belah di Melaka. Mahu atau tidak, saya terpaksa bekerja demi mencari wang belanja untuk dikumpul sebagai wang yuran pengajian di universiti. Mula bekerja pada bulan Mac dan berakhir pada bulan september.

Tempoh Mac - September itu ada kisah yang perit untuk ditelan. Abah yang saya sayang telah menghembuskan nafas terakhir pada bulan Mei akibat abah telah diserang strok kali ke-3. Abah yang lumpuh sebelum itu dengan mata kirinya sudah rosak, mahu bercakap pun hanya saya, emak dan abang saja yang faham akan percakapannya. Saya masih ingat saat saya menyuapkan abah makan pagi, tengah hari dan malam. Abah sangat suka saya yang menyuapkan berbanding emak dan abang ketika itu. Saya gembira walau hati masih tertanya-tanya kenapa saya? Kadang-kadang, emak sudah siap hidangkan nasi dan lauk depan abah untuk emak suapkan tetapi abah menyuruh emak memanggil saya untuk menyuap abah atas permintaan abah.

Saya teramat manja dengan abah. Selalu juga main-main,usap-usap tangan kanannya yang lemah itu, saya letak tangannya di muka saya, di kepala, kadang-kadang saya bandingkan saiz tapak tangan saya dan abah. Abah hanya tersenyum.

Namun,
Allah lebih menyayangi abah. Bulan 5 2012, Abah pergi meninggalkan saya, emak dan abang. Depan mata saya kejadian ini berlaku. Saya Redho akan ketentuanNYA.

Saya bekerja, hinggalah pada bulan 9, saya berhenti kerja kerana memang saya nekad untuk berhenti waktu itu.

Namun,
Emak mula mengadu pada saya sakit perut. Hari Raya kami pada tahun 2012 pertama kali tanpa abah, sangat sedih. Raya kami sederhana, dengan cantik berbaju melayu berwarna pink, saya ketawa! ini pilihan emak, emak pun senyum sahaja apabila keluarga kami ingin merah jambu pula tahun itu.

Tetapi, raya kami tak lama. Saya mula resah apabila emak mula sakit yang luar biasa di bahagian perutnya, lalu emak dihantarkan ke wad Hospital Melaka. Emak pernah masuk wad di bulan ramadhan dan dikeluarkan sebelum hari raya agar emak dapat meraikan hari raya di rumah.

Saya telah masuk pengajian di universiti, namun sering kali 'ponteng' kelas kerana mahu menjaga emak di wad yang keseorangan. Kadang-kadang, emak suruh beli mee sup, saya beli, emak mahu kacang, saya beli, emak mahu air oren twister, saya beli, asalkan emak mampu mengukir senyuman.

Pada satu hari,
emak sudah sihat, namun takdir Allah, emak diserang strok kali pertama. Waktu itu saya ada di sisi emak, saya melihat, suara emak sudah bukan orang normal. Saya tak keruan. Saya buat-buat biasa di depan emak, emak menangis meminta tolong kerana emak pun merasai akan badannya yang terasa lain dari sebelum ini.

Semakin hari, penyakit emak tidak mampu untuk dikawal. Kanser nya sangat bahaya. Menyerang tanpa diduga akal manusia. Sepanjang hari, saya menjaga emak, akal tak menentu memikir nasib emak waktu itu. Kerana saya, waktu itu, tak mampu untuk menerima seandainya emak dipanggil oleh Allah SWT akibat keadaan emak yang sudah kritikal.

Takdir Allah yang Maha Penyayang,
Emak telah menghembuskan nafas terakhir pada bulan november 2012.

Saya jatuh melutut, terduduk ke lantai. Tak mampu jiwa jantan ini berdiri utuh apabila melihat emak terbujur kaku di atas katil wad...saya tak mampu

Saat saya sedih di hospital, saya membawa diri ke suatu tempat di waktu subuh. Kedengaran bacaan Al Quran di masjid berdekatan seolah-olah Allah sedang memujuk hati ku yang sedih..apabila Allah mengungkapkan bahawa :

Firman Allah s.w.t: “Wahai orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat kerana sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar” [Surah Al-Baqarah, ayat 153]

Sungguh! saat ayat Al Quran itu terdengar, saya tersentap...seolah-olah Allah sedang memujuk hatiku tika itu.

Namun,
Kini sudah tahun 2013. Mahu atau tidak, hidup ini perlu diteruskan. Walau tanpa emak dan abah di sisi, namun Allah masih wujud di sisi. Allah yang tak mati, tak tidur, tak lupa akan setiap hambaNYA.

Tahun yang sama, 2012
Jarak hanya 6 bulan,
Mereka dipanggil Tuhan,

Sayangilah ibu dan ayah kalian,

Maknakan hidup mereka dengan anak-anak yang berjiwa soleh dan solehah.

Akhirat sana kekal

Dunia hanya sementara.
Pilihlah, sama ada mahu jadi penghumban mereka ke neraka atau penyelamat agar mereka mampu kecapi nikmat syurga bersama-sama.

Selamat Hari Ibu dan Ayah

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR
12 Mei 2013
Ayer Keroh      

Thursday, May 9, 2013

PRU 14 : Penantian Tsunami 90' Anak Muda Pewaris Negara


Pilihanraya kali ke-13 sudah selesai. 5 tahun mendatang ini akan diterajui oleh kepimpinan dari parti Barisan Nasional, dimana Perdana Menteri Malaysia yang sah masih lagi disandang oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tidak hairan lah apabila parti BN ini menerajui tampuk kepimpinan negara kerana negara mengamalkan sistem demokrasi dan menjadikan pilihanraya sebagai wadah suara rakyat jelata bagi memilih pemimpin dengan undian majoriti pilihan mereka sendiri.

Itu hanyalah apabila sistem demokrasi itu 100% tulen!

Hakikatnya, demokrasi sudah mati. Kenapa saya berkata begitu? Ini mudah sahaja, kita mampu melihat bagaimana media arus perdana sama ada surat khabar, radio kerajaan, atau siaran TV, kesemuanya tak mengamalkan konsep kebebasan media. Sebaliknya, mereka hanyalah mengikut telunjuk kerajaan iaitu dari parti BN untuk menyebarkan berita dari satu pihak sahaja. Langsung tidak memberi peluang dan ruang untuk parti haluan pembangkang untuk mengemukakan hujah dan pandangan atas setiap tohmahan dari kerajaan.

Sistem semak imbang jauh sekali untuk diperkatakan apabila media dikuasai oleh pemerintah Barisan Nasional!

PRU 13, 505, 'BlackOUT', - Saya ingin nyatakan pendirian tegas disini, saya teramat kecewa dengan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dalam menguruskan perjalanan PRU 13 baru-baru ini. Badan swasta ini seharusnya memainkan peranan neutral dalam mengendalikan hal besar negara tapi sebaliknya kelihatan seakan-akan bias pada Barisan Nasional. PRU13 adalah dimana ketumbukan gelombang rakyat masih konsisten dari sejak PRU12 lagi, dimana keputusan pada masa itu sangat mengejutkan pelbagai pihak, apabila para penganalisis politik menggelarkan pada waktu itu sebagai - "TSUNAMI POLITIK NEGARA"

Tsunami pada PRU12 ini adalah apabila rakyat mula menyedari akan ketidakadilan dari segenap aspek, tak perlu untuk saya utarakan setiap aspek itu di sini kerana ia perlu juga untuk saya sediakan bukti dan fakta tepat agar pembaca tidak kekosongan dengan percaya secara membuta tuli.

Berbalik pada hal PRU13, kecewanya saya adalah atas beberapa faktor yang saya kira, rakyat bersolidariti perkara yang sama. Ianya ialah :

1. Pengundi dari orang Bangladesh yang mendapatkan IC percuma dari kerajaan sebelum ini.

2. Jabatan Pendaftar Negara perlu respon terhadap IC percuma kepada warga bangladesh dengan telus.

3. Peti undi dilarikan dan disembunyikan, seperti yang berlaku di Parlimen Putrajaya, kehilangan 3 peti undi.

4. Kertas undi boleh bocor luar kawasan mengundi.

5. Dakwat kekal yang tidak kekal

6. Bagaimana elektrik di tempat pengiraan undi boleh 'blackout' secara tiba-tiba apabila pengiraan sudah dimenangi oleh pihak Pakatan Rakyat ?

Perkara di atas ini terbukti bahawa SPR tidak berperanan dengan baik dalam mengurus PRU13. Saya tidak percaya apabila sesetengah orang kata, hal di atas adalah kesilapan 'tak sengaja' SPR, itu memang tak masuk akal!

Apa pun, saya boleh katakan, apabila saya mendapatkan analisis ringkas dan data kasar daripada rakan-rakan petugas parti, majoriti saluran 4 & 5 menjadi peratusan besar undian dari saluran ini berpihak pada Pakatan Rakyat. Saluran 4 & 5 adalah saluran bagi pengundi muda yang sekitar umur 24-21 tahun, yang barangkali kita boleh gelarkan sebagai ' The First-Time Voter'.

Saya tak terlalu mengejut apabila berita ini diberitahu, kerana, anak muda sudah lama dibanjiri dengan fakta telus 90% melalui media internet. Maka di situ mereka mampu menilai kedua-dua media, media pro kerajaan dan media pro pakatan rakyat.


Fakta dikeluarkan dari 'Under21malaysian.com'

Menerusi fakta diatas, 90.44% anak muda mengundi Pakatan Rakyat sebagai pilihan utama pada PRU13. SPR mengeluarkan bahawa, PRU13 peratus keluar mengundi adalah paling tertinggi dalam sejarah negara yakni 80% meningkat 6-7% berbanding PRU12.

Saya tak mahu pula bersifat 'anak muda' berlebihan dengan mengenepikan  undian daripada golongan warga emas, tetapi ini fakta yang menarik kerana sudah pasti, negara akan diterajui oleh golongan muda selepas ini.

Tambahan pula, jikalau kita analisis pengundi baru yang turun mengundi sangat mendadak naik apabila kita bandingkan antara PRU12 dan PRU13. Hampir semua negeri pertambahan purata peratusan pengundi baru ialah 16%, anda boleh renungkan jadual di bawah ini.


Fakta data peratusan pengundi baru. Sumber : Bridget Welsh

Sifir mudah, kalau PRU13 ini mempamerkan anak muda julat umur antara 24-21 yang lahir pada tahun 1988-1991 berjaya menghasilkan gelombang luar biasa kepada undian pada Pakatan Rakyat, kita boleh bayangkan anak muda yang lahir pada tahun 1992-1995 memainkan watak mereka semasa pertempuran di PRU14.

Namun, saya masih yakin, jikalau konsisten nya Pakatan Rakyat telus dalam pelbagai perkara, fakta dan manifesto, tidak mustahil Tsunami Politik baru pada PRU14 akan menggemparkan Malaysia dengan perubahan kerajaan baharu.

Itulah apa yang kita gelarkan dengan,

TSUNAMI GENERASI 90' ANAK MUDA

Selawat dan salam atas Nabi Muhammad SAW!

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR
10 Mei 2013
Ayer Keroh

Tuesday, April 30, 2013

Populariti Ayat 'Ini Kalilah' Bukan Sekadar Sentimen Politik

"bang, ini kalilah atau lain kali la?" abang penjual berger menyoal saya.

"ini kalilah!" saya menjawab dengan tenang tanpa ragu-ragu.

Tak semena-mena soalan itu juga yang disoal kepada saya selepas memesan berger kepada abang gerai itu. Rupanya, abang gerai itu sedang bebual santai dengan seorang pemuda perihal politik semasa Malaysia, lalu abang gerai itu cepat membuat survey konon-kononnya dengan spontan.

Saya responden beliau spontan!

"bang, kita ini Al-Quran sebagai perhiasan atau panduan?" abang gerai itu menyoal saya lagi.

"panduan" saya jawab ringkas, dengan nada bersahaja.

"Islam ini bukan takat bagi wang-wang hantaran masa nak kahwin sahaja..." abang gerai itu menambah sambil tangannya rancak memasak daging-daging berger.

Sambil mengangguk, saya membalas " parah tu kalau setakat macam itu sahaja bang.."

Abang gerai itu senyum. Saya tidak tahu akan apa yang dibualkan oleh abang gerai itu dengan pemuda pelanggannya itu. Apabila mendengari sedikit-sedikit, kelihatan pemuda itu tampak neutral tapi masih ada keraguan dengan Islam yang dipergunakan untuk kepentingan politik. Lalu, abang gerai itu pun cuba untuk menerangkan dengan keadaan yang santai.


Lagipun, pemuda itu pun hanya berbual santai, rakyat biasa, jangan pula dilabelkan 'macai' atas kurang fahamannya terhadap politik. Itu parah!

'Ini Kalilah!' slogan yang dilaungkan oleh rakyat Malaysia tika ini, dimana-mana kita boleh dengar, atau membaca slogan ini yang tertulis secara tak langsung atau langsung di ruangan maya atau realiti.

Laungan ini 100% jikalau kebiasaan sekarang pasti mengizzahkan seseorang yang menyokong 'the opposition' atau pembangkang iaitu Pakatan Rakyat. Itu biasa.

Asal usul laungan ini, atau dialek sebutannya yang asli adalah berasal dari Sabah. Orang sabah lebih bangga apabila menyebutnya kerana memang asal dialek sebutan ini di sana.

Saya berpendapat, selain ianya laungan pengizzahan seseorang untuk mengubah kerajaan sedia ada ke arah yang lebih baik, ia juga laungan yang mengeratkan kita dengan rakyat di Borneo khasnya.

Kita dahulu, nak kenal etnik di borneo pun susah, alasannya juga beribu. Hari ini, akses sahaja internet, suku-sakat mereka kita semakin kenali, walau tak semua tapi ada daripada tiada.

Maka saya fikir, laungan perubahan 'Ini Kalilah' ini secara tak langsung membawa kita serumpun rakyat Malaysia yang merdeka. Apabila orang semenanjung tidak berasa janggal untuk menyebutnya bahkan mereka masih tak lupa bahawa ada rakyat senasib mereka di Sabah dan Sarawak yang sudah pasti teramat jarang bersua.

Tapi,
ada juga insan yang begitu taboo dengan laungan ini dan berasa tidak senang duduk dibuatnya.

Ia laungan, lafaz yang diungkapkan oleh rakyat yang ditindas.

Laungan itu tak jijik, tetapi mulia.

Satu lagi,
'Ini Kali Lah!' bukan bom nuklear

MUHAMMAD AFIQ MD NASIR
1 MEI 2013
Ayer Keroh

Semangat Stallion ; Si Kuda yang Tangkas Hanya Pada Manusia yang Penyayang


Kali ini, tajuk entri saya lain dari kebiasaan. Biasanya, saya hanya letak tajuk dengan ayat yang ringkas. Namun, kali ini, tajuk saya perlu jelas untuk menunjukkan isi yang akan saya tulis kali ini tampak cerah dan terarah.

Sebabnya, kali ini saya mahu ketengahkan satu ibrah atau pengajaran atau juga kelembutan nilai yang wujud dalam sebuah filem animasi barat-amerika yang bejudul,

"The Spirit Stallion of The Cimarron"

Sebuah filem animasi barat dari Amerika yang ditayangkan pada tahun 2002 ini mendapat sambutan oleh seluruh negara. Tidak hairanlah dengan jalan cerita dan olahan dengan teknik yang segar, ia mendapat sambutan diluar jangkaan. Pengarah filem ini ialah Kelly Asbury dan Lorna Cook, nah sudah tentu kita tak mengenali mereka tetapi penangan idea mereka memotivasikan orang yang menonton.

Hampir 4 kali saya menonton filem ini. Tiap kali selepas saya selesai menontonnya, saya merenung jauh. Kali pertama saya menontonnya semasa saya di tingkatan 5 atau 4 saya lupa, tonton di TV.

Stallion, itu nama bagi si kuda (mustang). Kuda yang tegap, bewarna coklat-emas, Stallion bagi saya ada beberapa poin yang boleh saya ketengahkan sebagai nilai baik. Antaranya :

1. Tangkas
2. Berani
3. Pemimpin Bertanggungjawab
4. Lembut Hatinya
5. Tidak Menyalahkan Anak Buah

Dalam penceritaan filem ini, kita dapat lihat gambaran suasana yang sebetulnya bagi sebuah kedamaian. Simboliknya ada di situ, semasa di awal filem dan juga semasa Stallion melompat jauh merentasi pemisah dua gunung. Stallion dibesarkan dalam komuniti yang kecil, barangkali komuniti kuda yang terselamat dari ancaman manusia yang durjana!

Konflik keseluruhan cerita bagi saya satu sahaja. Bagaimana Stallion melihat manusia itu dari kacamata sebagai seekor Kuda yang bergelar 'Haiwan' oleh kebiasaan manusia. Stallion sebenarnya tidak kenal siapa itu 'manusia' sehinggalah Stallion menghendap masuk tempat perkhemahan manusia yang sedang nyenyak tidur pada waktu lewat malam. Bukanlah saja-saja Stallion mencari musuh terhadap manusia di situ dengan menghendap masuk kawasan perkhemahan mereka, tetapi apabila Stallion berasa pelik kenapa rakan-rakannya perlu tinggal bersama manusia sedangkan ini bukan tempat mereka selayaknya. Tiba-tiba, manusia di situ terjaga, lalu terus ingin menangkap Stallion.

Sejak dari peristiwa itu, barulah Stallion itu kenal spesis yang bernama 'manusia'.

Saya pada awalnya membiarkan sahaja konflik ini kerana ia konflik biasa yang dilalui oleh semua haiwan. Tetapi apabila pemuda Orang Asli memainkan watak, saya mula tertarik.

Pemuda dari kaum asli ini jugalah seorang manusia. Namun, dari kacamata Stallion, manusia ini lain berbanding manusia yang ia kenal sebelum ini.

Bahagian ini, saya memberikan fokus dalam menghayati cerita ini dengan mata hati. Sebabnya, Stallion yang degil, tangkas dan tidak mudah menyerah kalah itu akhirnya dijinakkan oleh seorang pemuda Orang Asli, caranya bagaimana itu saya serahkan kepada pembaca untuk menontonya kerana bahagian inilah yang menyentuh hati.

Keseluruhannya,
filem ini hidup apabila bagaimana pengarah pandai bermain dengan tempo emosi seiring dengan alunan lagu latar dari penyanyi terkenal suatu ketika dahulu iaitu, Bryan Adams.

Saya terimbas kembali apabila dalam Al-Quran ada surah Al 'Adiyat, dimana Allah SWT bersumpah dengan Kuda perang yang berlari kencang. Dalam surah itu juga, melihatkan bahawa ketangkasan kuda itu berlari kencang menuju ke medan perang. Allah SWT juga menemplak kepada manusia bahawa ramai yang ingkar suruhan-NYA dan tidak bersyukur bahkan sayangkan harta melebihi segala-galanya padahal harta itu datang dari Allah SWT.

Akhirnya,
dalam filem ini, manusia yang memburu harta semata-mata dan sanggup mempergunakan haiwan demi melunaskan nafsu jahat itu, lihatlah, haiwan pun membencikannya.

Tetapi,
jikalau manusia itu penyayang, pemurah, dan redho akan ketentuan takdir, maka percayalah, makhluk Tuhan yang lain akan sayang kepada kita, seluruh isi bumi mendoa'kan yang terbaik buat insan seperti ini.

Kebebasan.

Bebas memilih menjadi manusia Kufur Nikmat atau Syukur Nikmat.

MUHAMMAD AFIQ MD NASIR
30 April 2013
Ayer Keroh

Saya sertakan link untuk melihat filem penuh cerita ini :
http://viooz.co/movies/6275-spirit-stallion-of-the-cimarron-2002.html 

Monday, April 29, 2013

Ilmu Berlari Jikalau Kita Berjalan


Saya sebelum ini, pernah membaca sebuah buku genre novel islam tetapi ia bukan novel cintan yang kebiasaan orang baca. Buku itu sangat baik, saya memilikinya kerana tajuknya yang mampu mengajak saya 'merentas' dunia pelbagai negara. Tajuknya ialah,

"Negeri 5 Menara"

Karya seorang warga indonesia ini, A.Fuadi telah menjadi ganjil di antara rak-rak buku sebuah kedai.

Bukanlah entri kali ini untuk saya kupas lebih lanjut perihal buku ini, mungkin lain hari, tetapi saya mahu berkongsi bahawa, prinsip watak dalam buku ini cukup unik dan segar. Hampir tindakan mereka masih berpegang akan prinsip ini dan saya kira, prinsip inilah para sarjana islam terdahulu atau sesiapapun yang bergelar muslim hari ini mempraktikkanya.

"Man Jadda wa Jadda" - yang memberi maksud, 'kesungguhan akan membuahkan hasil'. Inilah prinsip yang saya maksudkan. Kalau dalam bahasa kita, boleh disama erti dengan 'hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih'. Namun, pepatah arab itu sangat segar.

Ilmu ialah perkara yang tidak nampak, ghaib, tak dapat dipegang oleh tangan. Tetapi kita mampu rasa, amal, dan memperolehinya. Ilmu pun tak memerlukan kita tetapi kita yang perlukan ilmu. Tak hairanlah apabila kita jahil dalam pelbagai perkara kerana kita merasakan dan mengandaikan bahawa ilmu itu akan datang dengan sendirinya kepada kita.

Itu andaian yang silap.


Maka, kita akan 'berjalan' atau mungkin 'duduk diam' dalam mengenal dan mempelajari ilmu walhal sewaktu kita sedemikian, ilmu itu 'berlari' jauh sejauh jauhnya meninggalkan kita atau mungkin ilmu itu akan dimiliki oleh insan yang menagihkannya.

Ilmu kalau nak disyarahkan dari sudut inteleknya atau dibahaskan segala makalah yang terbit hari ini dari pelbagai sarjana kontemporari, memang saya bukanlah orang yang selayaknya. Antara tokoh yang faqih dalam bab ini ialah Prof.Syed Naquib Al-Attas, mungkin para pembaca blog saya boleh mengakses makalah dari beliau selepas ini untuk faham lebih lagi perihal ilmu berkaitan 'ilmu'.

Maka,
andai kita melihat bahawa ilmu itu satu bebanan, maka tunggu sahajalah kemunduran dalam segenap aspek tanpa disedari akal.

Kita pula mendabik, bahawa akulah yang pandai itu dan ini.

Padahal, dia jahil seribu perkara!

UBAH!

MUHAMMAD AFIQ MD NASIR
27 April 2013
Ayer Keroh

Saturday, March 23, 2013

'Ijtihad' Besar dari DS Najib Tun Razak


Kalau baru-baru ini, kita mendapat ceramah agama percuma dari PM Najib tentang 7 dosa besar yang PAS lakukan dalam memerintah Kelantan. Tidak perlulah untuk saya nyatakan 7 dosa besar itu di sini kerana hal ini sudah tersebar luas melalui media cetak mahupun media sosial maya kontemporari.

Sampaikan pemimpin tertinggi pun sudah berani menyatakan akan perihal dosa seseorang terhadap sesuatu, ia bukan satu atau dua, tetapi 7 yang menjadi tanda tanya. Saya kurang pasti bahawa 7 dosa yang dilemparkan oleh PM Najib terhadap PAS adalah berdasarkan kajian yang bersyariat atau ia sekadar cakap-cakap kosong yang tiada nilai bahkan hanya mainan politik kotor dari pihak mereka.

Ada pun, jika memudahkan rakyat untuk memahami konteks dosa yang sebetulnya, ia memerlukan bukti yang tepat untuk kita persembahkan oh ini memang dosa!

Rakyat akan menilai dari kenyataan PM Najib itu berdasarkan pengamatan rakyat terhadap kepimpinan PAS itu sendiri di Kelantan. Sudah pasti saya katakan, di situ akan wujud perbezaan yang ketara dan seterusnya menidakkan kenyataan '7 dosa' PM Najib terhadap PAS di Kelantan.

Nah, cukuplah sekadar kita menunjukkan suasana islam di sana, seperti, papan tanda di tepian jalan mahupun kedai-kedai baik muslim mahupun bukan muslim, diwajibkan ada tulisan jawi. Kemudian, paparan iklan yang melibatkan model wanita haruslah menutup aurat. Selain itu, kepimpinan PAS di Kelantan juga telah berusaha untuk memansuhkan amalan riba' di perbankkan di negara itu.

Banyak lagi yang boleh kita ambil contoh. Namun, '7 dosa' itu datang dari mana?

Itu hak PM Najib untuk mengeluarkan 'ijtihad' beliau, jika ianya salah sekalipun beliau dapat satu pahala, kerana itu memang prinsip Ijtihad. Namun, adakah benar beliau ber'ijtihad' ?

Tersebar juga video yang kononnya PM Najib mendapat bala akibat selepas memberi kenyataan 7 dosa itu. Itu kerja Allah Taa'la, kita hanya mampu menilai dari segi akal yang benar. Kerana hikmah bencana pada waktu itu, kita pun tidak ketahui kerana hikmah ini benda ghaib yang tidak dapat tidak untuk kita menafsirkannya dengan 100% tepat. Hanya Allah yang Maha Mengetahui akan perihal itu. Jikalau benar ia berkait dengan kenyataan PM Najib tentang 7 Dosa itu, maka sebaiknya kita bermuhasabah akan setiap kata-kata kita di dunia.

Wallahua'llam.

Dari hamba yang hina disisiNYA.

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR
24 Mac 2013
Ayer Keroh, Melaka.

Saturday, March 2, 2013

Musafir Orang Asia : Anehnya Muslim di Sana

Sambungan...

Malam jumaat, kebiasaan bagi dua anak dewasa ini selepas menunaikan solat Isya' berjemaah di masjid berdekatan, mereka akan sama-sama membaca Surah Al-Kahfi di rumah. Tak habis satu surah pun, biasanya hanya separuh surah manakala separuh lagi akan mereka baca sebelum menunaikan solat subuh pada esok harinya.

"fiq, apa yang kau masak malam ni? " tersenyum-senyum Aidil sambil menjengah-jengah ke dapur dek kerana bau masakan yang enak.

"alahai, telur goreng masak kicap plus sayur kangkung goreng je aku pandai, dil " afiq membalas, dari dapur menuju ke ruang tamu sambil mengangkat talam yang berisi nasi beserta lauk.

"biar aku pergi bancuh air anggur sejuk kejap kat dapur.." kata Aidil.

Isyarat masuk pada telefon bimbit Aidil. Aidil mengambil telefon untuk membaca mesej yang baru masuk.

"fiq, faiz ajak kita keluar esok."
"pergi mana?"
"erm..erm, faiz ajak kita pergi satu wacana di Masjid Putrajaya.."
"wacana apa?" afiq dari tadi mengunyah makanan tak henti-henti, barangkali lapar.
"Wacana Memperingati Tokoh Islam, As Syahid Imam Hassan Al Banna" kata Aidil.
Afiq menunjukkan reaksi wajah yang pelik selepas diberitahu oleh Aidil.

"Tokoh? Aku tak kenal siapa manusia bernama itu." Afiq menambah namun reaksinya biasa-biasa sahaja, tiada kemahuan untuk tahu lebih lanjut siapa tokoh yang dimaksudkan Aidil itu. Sekurang-kurangnya, Aidil hanya tahu sedikit sahaja profil mengenai tokoh yang mereka maksudkan itu. Mereka berdua mengambil keputusan untuk menghadirkan diri dalam wacana tersebut, bukan atas sebab berminat untuk ingin tahu tetapi hadir ke wacana atas sebab untuk meraikan sahabatnya yang baru pulang dari Amerika Syarikat.

Dunia hari ini tidak pelik bagi masyarakat yang tinggal di luar Malaysia sungguh cakna akan perihal sekeliling mereka. Sosio-politik, ekonomi, sejarah ketamadunan dan lain-lain, seperti rakan mereka - Faiz yang menetap di Amerika Syarikat kerana bekerja sebagai wartawan bebas di sebuah syarikat swasta US, antara salah seorang masyarakat muslim Malaysia yang boleh kita banggakan.

Tambahan pula, peratusan masyarakat di negara yang bukan pemerintahan Islam seperti Amerika Syarikat yang menganuti agama Islam kini kian bertambah saban hari. Kadang kala, ahli akademik mahupun yang mahir bidang falsafah atau agamawan memandang hal ini suatu proses yang unik bahkan aneh. Manakan tidak, negara yang berbangsakan Arab yang mempunyai komuniti muslim lebih ramai berbanding negara seperti Amerika Syarikat pun masih tak melambangkan mereka itu muslim tegar yang mengamalkan cara hidup Islam secara menyeluruh.

Tika ini,
mengakui bahawa, bukan sahaja masyarakat berbangsa kulit putih kini semakin ghairah dengan Islam bahkan orang yang masih belum memeluk Islam pun seperti orang Islam, dek kerana lifestyle atau cara hidup mereka dan sifat budi pekerti yang Islam ajar wujud dalam jiwa mereka. Contoh mudah kita boleh lihat, negara Jepun dimana rakyatnya yang begitu sensitif dengan sampah. Sampah tidak kelihatan langsung di tepi-tepi jalan bahkan di kawasan tong sampah disekeliling tong itu pun tak kelihatan sampah. Tambahan pula, Jepun mengiktiraf pekerja yang memungut sampah dari rumah ke rumah itu sebagai gelaran "Kejuruteraan Kesihatan" - Health Engineering.

Afiq dan Aidil kelihatan berselera menikmati makan malam mereka dengan kadar yang sederhana.

Ibu kota di cyberjaya masih 'hidup' dengan manusia yang pelbagai rencam di sebalik bangunan tak bernyawa itu.

***
Bersambung..

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR
3 MAC 2013
kembara.seorang.muslim
Cerpen Musafir Orang Asia






Thursday, February 21, 2013

Cerpen - "Musafir Orang Asia"



Hari ini,
kita mampu berdiri. Saat 'rebah tersembam ke tanah' belum kita rasai. Cukuplah demonstrasi sujud kita dalam solat 5 kali sehari nan wajib itu menatijahkan rasa kehambaan kita pada Allah SWT. Sungguh, apa pun jua kita di muka bumi Allah ini, baik perdana menteri mahupun Agong atau para 'alim ulama' sekalipun, kita diperingatkan perkara yang sama semasa awalan khatib memberi khutbah di mimbar setiap hari Jumaat - Ittaqullah!

Hari ini,
awan mendung menandakan satu khabar yang kurang selesa bagi manusia yang memikirkan bahawa, jikalau hujan segala perkara tidak boleh dibuat. 

"Duduk rumah sahajalah kita hari ini.." keluh Aidil sambil membaringkan diri di atas lantai berlapikkan tikar mengkuang lusuh. Rakan serumahnya, Afiq tidak membalas keluhan Aidil bahkan sedang sibuk melipat kain bajunya yang baru kering di ampaian.

Afiq dan Aidil adalah rakan karib sejak di bangku sekolah lagi. Kini, mereka masih bersama walau usia sudah menjangkau dewasa - 24 tahun. Masing-masing sudah bekerja di tempat yang berlainan. Aidil seorang jurutera 'networking' di sebuah syarikat swasta Jerman yang berpangkalan di Cyberjaya. Manakala, Afiq seorang ahli bisnes menjual baju T islamik pertama mempunyai cawangan di luar negara dan negara yang paling ramai bilangan pembeli adalah di Amerika Syarikat. Sekarang, mereka hidup membujang di rumah sewa berdekatan dengan Cyberjaya, tempat Aidil bekerja.

"Idil, aku rindu nak berjumpa kembali dengan Zulfaqar. Sudah lama kita tak bertemu dengan dia, aku rasa hampir 10 tahun selepas 'peristiwa' antara kita bertiga, dia hilang dari kita, even dalam mimpi pun tiada kelibat bayangnya.." Afiq tiba-tiba membuka bicara selepas lama membisu. Aidil yang dari tadi terbaring hampir-hampir tertidur tersentak dengan kata-kata dari rakannya.

"oh, Alhamdulillah, kau masih ingat lagi pada dia fiq. Aku pun sama perasaan seperti kau.." Aidil bangkit lantas mencapai telefon bimbitnya melihat SMS yang baru masuk.

"Aku ingat, aku nak jumpa dia la.." Afiq merenung wajah Aidil.
"Tapi, kau tahu dia ada dimana sekarang?" Aidil menyoal.

Suasana pada hari Ahad itu sepi damai sesekali dingin kerana tiupan angin sejuk cuaca nan mendung itu menyelinap ke ruang tamu rumah.

Hujan mula menitik
Laungan azan Zohor berkumandang syahdu dibawa angin sejuk mendingin.

***

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR
22 Februari 2013
Ayer Keroh, Melaka
-Cerpen "Musafir Orang Asia"-

Monday, January 21, 2013

Me-Layu di Wawasan 2020



Maafkan saya kerana membiarkan blog ini sepi tanpa dicoret bahasa jiwa dari saya. Kerana, ada perkara yang sedang saya lalui, iya, bukan perkara biasa sebab setiap perkara yang kita alami itu datang dari Allah yang mahu mencorakkan kita menjadi manusia yang mengenal fitrah.

Lalu, kenapa kali ini saya terpanggil untuk mencoret dua-tiga bahasa? Adalah sebab faktor suasana ragam manusia saya sekeliling. Saya tak boleh simpan monolog bersendirian saya melihat manusia di jiwa kerana ia perlu ditulis untuk tatapan para pembaca blog saya. Lantas, saya puas kerana dapat mengekspresi jiwa ini dalam bentuk penulisan.

Ke mana Malaysia di waktu 2020?

Kalau kita masih ingat, apa yang dicanang-canangkan oleh mantan perdana menteri kita sebelum ini, Tun Dr.Mahathir dalam menggagaskan wawasan 2020, kita cukup teruja dengan idea baharu Tun pada waktu itu kerana dibayangi dengan keadaan negara yang maju, 'Kereta terbang' dan sebagainya.

Saya anak orang Melayu yang beragama Islam. Bangsa saya Melayu. Melayu, Me-layu. Saya takut ianya menjadi doa' kerana hakikat Melayu kini tak sama dengan Melayu dahulu. Sekurang-kurangnya Melayu dahulu mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa yang dibanggakan dalam pelbagai penulisan dan cara tulis jawi itu bertambahkan lagi seri kemakmuran Islam di jiwa bangsa Melayu ketika itu.

Saya juga tidak dilahirkan dalam suasana Melayu memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu bersama-sama bangsa yang lain. Lalu, itu tidak mampu untuk melabelkan saya anak Melayu yang manja tanpa perjuangan nenek moyang.

Kerana, saya sedang berjuang mengembalikan suasana Melayu zaman dahulu di zaman era 2020 yang akan menjelma.

Melayu kini sudah berkarat dengan budaya barat

Apa yang kita lihat di mata dengan suasana hidup bangsa Melayu tika ini, itu bukan budaya melayu yang tulen. Saya berani kata, nilai murni bangsa Melayu tika ini telah lama terhakis sikit demi sedikit. Jikalau saya nak bicara soal sejarah Islam bertapak di tanah Melayu ini mungkin boleh di entri yang lain. Apa yang saya boleh katakan ialah, Melayu jadi seperti ini adalah disebabkan pemimpin yang memerintah.

55 Tahun,
Pemerintah UMNO mengepalai bahtera negara Malaysia ini. Dalam tempoh 55 tahun itu, pemerintahlah yang mencorak minda masyarakat. Mendidik rakyat, serta kebijakkan ekonomi. 55 tahun itu, apa yang boleh kita banggakan?

Baik,
boleh saya katakan, 55 tahun pemerintah telah gagal mendidik budaya bangsa yang murni dengan mengangkat agama Islam di jiwa Melayu setinggi-tingginya. Lalu, celah mana perlu kita perbaiki dalam hal ini. Kerana sudah 55 tahun dibentuk cara hidup orang Melayu di Malaysia 50% budaya barat 50% budaya Islam,amalam sekularisma di segenap hal, pasti liat, pasti susah untuk dirawat kembali dengan ajaran Islam yang sebenar.

Lalu, apa yang kita impikan pada ambang 2020?

Saya yakin, kalau ditanya majoriti rakyat tika ini akan menjawab apa yang diimpikan pada tahun 2020 pasti jawapan yang sama - "negara yang maju". Jikalau pemerintah mampu melihat 'nucleus' ke arah negara maju ialah membentuk rakyat dengan didikan Islam dan berkebajikan, nescaya impian negara maju 2020 itu dapat direalisasikan.

RM50 hari ini tak sama dengan RM50 zaman 90-an.

Saya merindui Melayu dahulu :
- Tulisan jawi di setiap penulisan
- Puisi bahasa hiburan si anak desa
- Ulama' sirna mendidik bangsa
- Jiwa sensitif dengan kezaliman penjajah

Nah, saya hidangkan puisi yang indah-indah karya Pak Samad :

Di dataran sejarah suara kita sesubur rumput,
bisik kalbu bergaung garang tanpa resah tanpa takut.
Lagu kita rindu demokrasi darjat awan tertinggi
mengindah ufuk senja merai kemerdekaan diri.

Rumput di kaki, awan di kepala, gah iringi murba,
seramainya, sederapnya, setulusnya, kita bersama
menjulang panji negara, bangga dicium angin jati
di tengah gelora kita sebangsa dan sejiwa murni.

Di atas padang sejarah pantang kita mungkiri janji
setiap tapak dan langkah mengisi rindu demokrasi.
Diri kita padu maruah senandung setulus hati
melunturkan wewarna zalim, menyubur kuning berseri.

Kita—tenaga jati—gah berjuang demi keadilan;
kita terbang sederas sinar julang panji kebenaran.
MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR
21 Januari 2013
Ayer Keroh, Melaka 

Saturday, November 10, 2012

Usrah Penggugat Pemerintah Diktator


Kita tak lari dengan istilah 'Usrah' di mana-mana sahaja kita berada. Sebelum saya mengulas lebih perkaitan antara usrah dan pemerintah diktator, lebih sesuai saya memberitahu apa itu usrah dan juga apa makna pemerintah diktator.

Kefahaman Ringkas Mengenai Usrah

Usrah, jikalau kita lihat dalam makna bahasa menurut kamus dewan edisi ke-4 ia bermaksud : Perkumpulan yang melibatkan kegiatan agama seperti perbincangan sesuatu tajuk. Itu adalah makna yang sangat jitu dan sudah pasti gagal dilihat dengan kerangka yang lebih meluas.

Antara cabang-cabang tarbiyyah (Didikan) dalamnya ada merangkumi aspek Usrah. Usrah adalah satu sistem yang ditakdir Allah demi membentuk peribadi muslim yang unggul lantas proses permulaan ini adalah merupakan titik mula menuju Ustaziyatul 'Alam.

Secara praktikalnya, usrah terdiri dari ahli dengan bilangan yang kecil dan mempunyai seorang naqib/naqibah (Pemantau). Dalam kelompok yang kecil inilah mereka bersama-sama setiap masa. Ia mudah disamakan dengan 'Study Group', sistem yang sama cuma pendekatan dan penekanan yang fleksibel malah nikmat bersama turut berbeza. Dalam Islam sudah wujud sistem lebih efisyen yakni USRAH.

Apa Makna Pula Dengan Pemerintah Diktator

Diktator ini adalah, pemerintah mutlak, terutamanya yang merampas kuasa tanpa mengikut per­lem­bagaan dan menggunakannya secara zalim. Jelas pembobrokan diktator ini di negara-negara timur tengah, seperti di Syria, Tunisia, dan lain-lain. Kezaliman yang dilakukan oleh pemerintah seperti ini sudah pasti wajib digulingkan kerana mencabul norma rakyat yang menginginkan kehidupan yang harmoni dan berkebajikan.

Penyelewengan pemerintah seperti ini tidak patut wujud dalam dunia. Hakikat, penzalim ini perlu diusir sekeras-kerasnya dan hanya orang-orang yang ditarbiyyah sahaja mampu memiliki hati jiwa yang kental bahkan berani mengusir pemerintah ini dari terus menerus membuat onar di bumi Allah yang mulia ini.

Masalahnya, siapa dan bagaimana?

Pemahaman Sempit Tentang Cara Pandang Usrah dan Tarbiyyah

Baik,
Adapun usrah yang dimaksudkan di awal tadi merupakan antara cabang-cabang tarbiyyah yang wajib dilalui oleh setiap insan muslim. Cuma, kita perlu melihat Usrah dengan kerangka yang lebih luas dengan pemahaman tarbiyah yang syumul (menyeluruh).

Usrah yang dilaksanakan masa kini kebanyakkannya dilaksanakan dengan fleksibel cara kendalian usrah oleh para nuqaba'. Tak jadi masalah. Cuma masalahnya adalah apabila kebanyakkan kita melihat usrah itu di masjid, usrah itu tazkirah agama, usrah itu mengongkong, usrah itu perlu 'sweet-sweet' dan bermacam lagi.

Dan lebih parah lagi apabila ada dalam kalangan kita melihat usrah itu hanya didikan rohani jiwa atau dikenali sebagai tarbiyyah ruhiyyah. Ini adalah kefahaman tarbiyyah yang begitu sempit lagi menyempitkan. Bagaimana kita ingin melihat produk usrah ini mampu menggoncang dunia jika pemahaman usrah hanya dilihat sebagai tarbiyyah ruhiyyah semata-mata?

Saya jelas mengatakan bahawa, Usrah yang baik adalah mampu mengeluarkan produk ahli usrah yang unggul merangkumi pelbagai aspek.

Usrah, dalam usrah itu adanya tarbiyyah. Hakikat ini perlu disedari dan diamati oleh setiap ahli usrah dan para nuqaba'. Jangan lupa, usrah BUKAN lagi merujuk kepada TARBIYYAH RUHIYYAH semata-mata!

Para 'alim ulama' Islam telah menggariskan panduan yang jelas mengenai TARBIYYAH. Antaranya ialah :
  1. Tarbiyyah 'Aqliyyah
  2. Tarbiyyah Jasadiyyah
  3. Tarbiyyah Ijtima'ie
  4. Tarbiyyah Jihad
  5. Tarbiyyah Siasiyyah
  6. Tarbiyyah Ruhiyyah
Dan bagi sesiapa yang menyempitkan fikiran dengan melihat tarbiyah adalah ruhiyyah semata-mata maka bagaimana lagi 5 yang lain tercampak?

Usrah ; Tarbiyyah 'Aqliyyah

Seorang nuqaba' yang bijak adalah mampu mewujudkan ahli usrahnya suasana berfikir dengan kritis dan cekap. Perbahasan atau pendebatan antara ahli usrah dan nuqaba' pasti mendidik akal untuk lebih keterhadapan dalam apa jua isu yang didebatkan atau dibahas. Contoh mudah, masa kini, Irsyad Manji dengan pengeluaran bukunya yang menimbulkan kontroversi tentang Islam dengan memperjuangkan Islam Liberal, adakah ahli usrah mampu mendepani isu ini dengan pemahaman yang jelas tentang makna Islam Liberal itu sendiri?

Makna kata, usrah yang baik adalah mendidik akal untuk sentiasa membaca pelbagai isu dan ilmu. Agar memboleh setiap ahli usrah bertukar-tukar pandangan dan hujah menerusi hasil pembacaan masing-masing dan dengan ini sudah pasti mewujudkan ahli usrah yang berilmu.

Usrah ; Tarbiyyah Jasadiyyah

Ingin melihat ahli usrah menjadi pemimpin berjiwa rakyat suatu hari nanti. Maka, pemimpin yang berjiwa rakyat perlu menjaga kesihatan diri demi keberlangsungan kerjanya dapat dijayakan dengan optimum. Begitu juga dengan setiap ahli usrah. Usrah juga mendidik supaya kita sentiasa sihat tubuh badan, kuat dan bertenaga.

Usrah ; Tarbiyyah Ijtima'ie

Mendedahkan ahli usrah dengan didikan terjun ke medan realiti. Kita tak mahu lagi usrah bersifat dalaman dengan hanya kita-kita sahaja, tetapi usrah mampu membawa terjun ke medan sebenar yang penuh cabaran. Di sini, baru kita kenal sepak terajang susah payah berdakwah dan perjuangan kebenaran dimana lambakan manusia yang pelbagai kerenah.

Usrah ; Tarbiyyah Jihadiyyah

Bagaimana usrah mampu mendidik kita agar senantiasa bersungguh dalam apa jua pekerjaan yang dilakukan. Dalam mendepani dakwah dan perjuangan, kerja perlu bersungguh, dan pasti nikmat dan didikan ini mampu memberi kebaikan dalam aspek-aspek lain seperti akademik, alam pekerjaan dan lain-lain.

Bahkan, didikan jihad ini menuntut ahli usrah agar mendidik diri agar bersiap sedia dengan kesanggupan menyerahkan apa jua yang dipinjamkan oleh Allah ini demi keberlangsungan Islam bertapak di Bumi.

Usrah ; Tarbiyyah Siasiyyah

Siasah adalah politik. Islam tak memisahkan politik dalam Islam. Ianya jelas termaktub dalam sirah Nabi SAW bahkan politik pun juga wujud selepas kewafatan Baginda dalam kerajaan-kerajaan Islam selepas itu.

Bagaimana usrah mampu mendidik ahlinya agar menjadi seorang ahli politik Islam yang mengikut syariat. Dalam konteks Malaysia pada hari ini, ianya masih ada ruang untuk pertukaran kerajaan jika kerajaan sedia ada tidak memuaskan hati rakyat, ianya adalah ruang demokrasi dan Malaysia menggunakan wasilah Pilihanraya Umum sebagai hasil demokrasi suara rakyat untuk memilih kerajaan yang layak.

Maka, bagaimana usrah mahu mendidik agar ahlinya faham ilmu-ilmu asas dalam urus tadbir sesebuah negara. Pemahaman tentang sistem berparlimen, Perlembagaan Negara, Akta-akta yang wujud dan sebagainya.

Menjadi ahli politik yang baik ada 3 :
  1. Bijak
  2. Pantas dan Cekap
  3. Berani
Usrah ; Tarbiyyah Ruhiyyah

Dan tarbiyyah ruhiyyah juga tidak dilupakan. Ia bukan didikan yang utama tetapi ANTARA didikan yang utama dalam usrah. Maka, sememangnya, usrah juga tempat mendidik ahlinya agar hati jiwa senantiasa dekat dengan Allah. Sesungguhnya, apa yang ada pada kita semuanya hanya pinjaman semata-mata yang perlu dipulangkan kembali pada Allah 'Azza Wa Jalla.

Maka,
saya sudah menjelaskan apa yang perlu dijelaskan. Sudah pasti produk yang terhasil apabila kita faham akan makna tarbiyyah dari kerangkan yang lebih syumul dan meluas akan menggugat posisi pemerintah yang diktator.

Produk ahli usrah selepas melalui siri-siri tarbawi ini telah cukup pakejnya untuk menjadi seorang ahli yang unggul lantas golongan ini pasti akan ditentang sehabis baik oleh mana-mana diktator yang tergugat dengan USRAH seperti ini.

Ingat, Usrah adalah penggugat, jika hasil usrah tidak mampu menggugat pemerintah yang zalim dan dakwah islam yang tak berkesan, maka usrah itu gagal.

Moga Allah melimpahkan rahmat seluruh umat Islam khususnya di Malaysia tempat saya menabur bakti demi Islam.

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR
11 November 2012
Melaka




























 


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...