Tuesday, June 23, 2015

Manusia Itu Pelbagai Kisah

Pastinya kita yang berkesempatan olehNya untuk berada dalam bulan ramadan kali ini adalah nikmat yang patut kita syukuri.
Sudah lama saya tidak menulis apa-apa entri dalam blog ini. Namun, kali ini saya tergerak hati untuk menulis sesuatu yang berkaitan dengan tazkirah hati insan. Saya kerap juga mendengar setiap tazkirah hati yang disampaikan oleh Ustaz Yo Kemaman. Gelaran kebiasaan orang awam panggil beliau dengan nama Ustaz ‘Yo’ kemaman, mungkin ustaz banyak memberi kuliah di kemaman.

Bukan apa, siri-siri rakaman tazkirah oleh beliau sangat menampar diri saya dan secara tak langsung muhasabahkan diri keseorangan. Penceritaan ustaz lebih menyentuh dengan kehidupan kebiasaan manusia, dengan pelbagai rencam, tak kira ianya bab ibu bapa, suami isteri, anak-anak dan macam lagi. Ia penceritaan yang realiti. Mudah untuk kita fahami dan muhasabah diri sendiri apabila mendengar tazkirah ustaz.

Jikalau anda tidak mengalir air mata semasa mendengarnya, maka semak kembali hati anda.

Saya berani kata sebegitu kerana, manusia ini pelbagai cerita yang telah Allah takdirkan agar kita sama-sama ambil peringatan, mengetuk hati biar lembut. Cerita yang paling menyentuh hati saya ialah apabila ustaz menceritakan kisah-kisah yang berkaitan dengan ibu ayah. Ibu Ayah bagi saya, kalau kita sentuh bab ini kepada remaja-remaja yang hatinya keras, saya yakin, hati mereka akan lembut jua. Sebab, itu fitrah.

Kedua,

Saya turut mendengar cerita-cerita tazkirah hati dari ustaz berkisarkan tentang rumahtangga, anak-anak dan juga suami isteri. Penceritaan ustaz dalam bab suami isteri itu bukanlah kisah yang romantik ataupun yang indah-indah, tapi ustaz menceritakan saat-saat kematian suami atau isteri, kisah kehidupan suami isteri berpuluh tahun yang perlu dijaga rapi, suami isteri yang bergaduh sehingga sanggup bercerai dan banyak lagi.

Satu sahaja jikalau ustaz menceritakan kisah kematian suami isteri yang membuatkan saya terbayang kepada seseorang insan. Sudah pasti saya teringatkan mak saya. Kerana, saya melihat sendiri dengan mata saya bagaimana kesedihan mak di tepi abah yang terbujur kaku di atas katil di wad kecemasan tempoh lalu, saya juga sempat terdengar rintihan kasih sayang syahdu mak sebagai isteri kepada abah.

Saya tak sempat dengar dengan teliti dek kerana saya tak tahan sebak lalu pergi ke satu sudut lain tenangkan diri.

Takdir Allah, Allah lebih sayangkan mak jua.

Pembaca yang sudah bergelar suami isteri, boleh juga anda mendengar tazkirah-tazkirah ustaz dalam bab suami isteri agar kita mampu ambil peringatan dan pengajaran untuk jadi suami isteri yang terbaik dan mendapat keredhaan Allah.

Tazkirah hati oleh ustaz yo betul-betul menusuk. Saya sarankan pembaca untuk mendengar siri-siri tazkirah ustaz di laman youtube. Cari sahaja, tulis ‘Ustaz Yo Kmn’, keluarlah pelbagai tazkirah hati ustaz. Dengarlah, moga ada percikan muhasabah tak banyak pun sedikit pun jadilah.

Moga bermanfaat entri kali ini untuk semua.

Ramadan Kareem.

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR
2 Ramadan 1436 H
19 Jun 2015
Ayer Keroh, Melaka

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...