Saturday, May 11, 2013

Emak, Abah, Tunggu Adik ya!


"Ada apa-apa nak tambah lagi ke pada ais krim encik ini?" pelayan kedai menyoal.

"oh erm, tiada apa lagi saya rasa, ini sudah cukup.." saya membalas ringkas.

"Encik tak mahu beli lagi aiskrim sempena Hari Ibu?" soalan yang tak dijangka oleh saya.

"oh, tak apalah dik" saya melemparkan senyuman manis kepada pelayan lelaki itu. Aiskrim saya warna hijau, abang saya pula warna coklat. Sambil menikmati aiskrim tersebut, akal melayang akan ucapan pelayan tadi mengenai "Hari Ibu". Saya terkedu...menghela nafas panjang...

Tahun 2012 yang lepas adalah suatu cabaran kepada saya dan keluarga sanak saudara terdekat. Namun, paling menguji sudah tentu saya dan abang. Dengan bilangan adik-beradik hanya 2 orang, ternyata ujian bertubi-tubi yang kami hadapi ini pasti tersemat di hati kami dalam mencari makna hikmah disebalik lontaran sayang Allah kepada hambaNYA seperti kami 2 beradik.

Mampu atau tidak, saya perlu menempuhnya demi memaknakan hidup sebagai hamba Illahi.

Tahun 2012, saya kerja sebagai juruwang di sebuah pusat membeli belah di Melaka. Mahu atau tidak, saya terpaksa bekerja demi mencari wang belanja untuk dikumpul sebagai wang yuran pengajian di universiti. Mula bekerja pada bulan Mac dan berakhir pada bulan september.

Tempoh Mac - September itu ada kisah yang perit untuk ditelan. Abah yang saya sayang telah menghembuskan nafas terakhir pada bulan Mei akibat abah telah diserang strok kali ke-3. Abah yang lumpuh sebelum itu dengan mata kirinya sudah rosak, mahu bercakap pun hanya saya, emak dan abang saja yang faham akan percakapannya. Saya masih ingat saat saya menyuapkan abah makan pagi, tengah hari dan malam. Abah sangat suka saya yang menyuapkan berbanding emak dan abang ketika itu. Saya gembira walau hati masih tertanya-tanya kenapa saya? Kadang-kadang, emak sudah siap hidangkan nasi dan lauk depan abah untuk emak suapkan tetapi abah menyuruh emak memanggil saya untuk menyuap abah atas permintaan abah.

Saya teramat manja dengan abah. Selalu juga main-main,usap-usap tangan kanannya yang lemah itu, saya letak tangannya di muka saya, di kepala, kadang-kadang saya bandingkan saiz tapak tangan saya dan abah. Abah hanya tersenyum.

Namun,
Allah lebih menyayangi abah. Bulan 5 2012, Abah pergi meninggalkan saya, emak dan abang. Depan mata saya kejadian ini berlaku. Saya Redho akan ketentuanNYA.

Saya bekerja, hinggalah pada bulan 9, saya berhenti kerja kerana memang saya nekad untuk berhenti waktu itu.

Namun,
Emak mula mengadu pada saya sakit perut. Hari Raya kami pada tahun 2012 pertama kali tanpa abah, sangat sedih. Raya kami sederhana, dengan cantik berbaju melayu berwarna pink, saya ketawa! ini pilihan emak, emak pun senyum sahaja apabila keluarga kami ingin merah jambu pula tahun itu.

Tetapi, raya kami tak lama. Saya mula resah apabila emak mula sakit yang luar biasa di bahagian perutnya, lalu emak dihantarkan ke wad Hospital Melaka. Emak pernah masuk wad di bulan ramadhan dan dikeluarkan sebelum hari raya agar emak dapat meraikan hari raya di rumah.

Saya telah masuk pengajian di universiti, namun sering kali 'ponteng' kelas kerana mahu menjaga emak di wad yang keseorangan. Kadang-kadang, emak suruh beli mee sup, saya beli, emak mahu kacang, saya beli, emak mahu air oren twister, saya beli, asalkan emak mampu mengukir senyuman.

Pada satu hari,
emak sudah sihat, namun takdir Allah, emak diserang strok kali pertama. Waktu itu saya ada di sisi emak, saya melihat, suara emak sudah bukan orang normal. Saya tak keruan. Saya buat-buat biasa di depan emak, emak menangis meminta tolong kerana emak pun merasai akan badannya yang terasa lain dari sebelum ini.

Semakin hari, penyakit emak tidak mampu untuk dikawal. Kanser nya sangat bahaya. Menyerang tanpa diduga akal manusia. Sepanjang hari, saya menjaga emak, akal tak menentu memikir nasib emak waktu itu. Kerana saya, waktu itu, tak mampu untuk menerima seandainya emak dipanggil oleh Allah SWT akibat keadaan emak yang sudah kritikal.

Takdir Allah yang Maha Penyayang,
Emak telah menghembuskan nafas terakhir pada bulan november 2012.

Saya jatuh melutut, terduduk ke lantai. Tak mampu jiwa jantan ini berdiri utuh apabila melihat emak terbujur kaku di atas katil wad...saya tak mampu

Saat saya sedih di hospital, saya membawa diri ke suatu tempat di waktu subuh. Kedengaran bacaan Al Quran di masjid berdekatan seolah-olah Allah sedang memujuk hati ku yang sedih..apabila Allah mengungkapkan bahawa :

Firman Allah s.w.t: “Wahai orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat kerana sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar” [Surah Al-Baqarah, ayat 153]

Sungguh! saat ayat Al Quran itu terdengar, saya tersentap...seolah-olah Allah sedang memujuk hatiku tika itu.

Namun,
Kini sudah tahun 2013. Mahu atau tidak, hidup ini perlu diteruskan. Walau tanpa emak dan abah di sisi, namun Allah masih wujud di sisi. Allah yang tak mati, tak tidur, tak lupa akan setiap hambaNYA.

Tahun yang sama, 2012
Jarak hanya 6 bulan,
Mereka dipanggil Tuhan,

Sayangilah ibu dan ayah kalian,

Maknakan hidup mereka dengan anak-anak yang berjiwa soleh dan solehah.

Akhirat sana kekal

Dunia hanya sementara.
Pilihlah, sama ada mahu jadi penghumban mereka ke neraka atau penyelamat agar mereka mampu kecapi nikmat syurga bersama-sama.

Selamat Hari Ibu dan Ayah

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR
12 Mei 2013
Ayer Keroh      

Comments
1 Comments

1 comment:

  1. ArmaniQQ

    Ayo Main Di Situs Poker Online Terpercaya Yaitu Situs ARMANIQQ

    Dengan 9 Permainan 1 User ID (NO BOT) (NO ADMIN) FAIRPLAY Player vs Player 100%
    Daftar Dan Mainkan Sekarang
    Memiliki Bonus Bonus WOW

    • Bonus Turnover mingguan 0.5%(Dibagikan Setiap Minggu)
    • Bonus Refferal 20% (Seumur Hidup)

    Ayo Segera....Mainkan Sekarang Juga

    Hanya Minimal Deposit Rp 10.000 Dan Minimal Withdraw Rp 20.000
    (Bisa deposit Dengan E-Money OVO,GOPAY,GOJEK)

    Siap Melayani 24Jam Non Stop Setiap Hari nya

    Link alternatif : armaniqqs.info | winterarmani.club

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...