Sunday, July 31, 2011

Rintihan Hati Suci

Bismillah,

Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT yang telah banyak memberi kita merasai pelbagai nikmat semenjak kita dilahirkan sehinggalah di saat ini dan sehingga ajal datang menjelma. Lupa kita kadang-kadang untuk bersyukur kepada Tuhan kita sendiri yakni Allah SWT, kerana apa perkara ini sering berlaku? Wahai teman, aku sering terlupa dan lalai dalam mengingati sang Pencipta Alam ini, akibat leka dibuai kesenangan tipu daya dunia ini. Aku tahu dunia ini tempat singgahku yang sementara sahaja bahkan selepas ini, kau dan aku akan menuju ke destinasi kehidupan yang kekal abadi iaitu alam akhirat. Kita semua sedia maklum akan perkara ini. Tetapi kenapa aku masih leka? Kenapa aku masih mengejar dunia sedangkan amalan soleh aku jarang sekali ingin tunaikan? Allah bantulah hambamu ini.

Aku dahulunya pernah melalui satu zaman yang cukup dipenuhi dengan gelak tawa, berfoya-foya apatah lagi bergaul secara berlebihan dengan kaum wanita. Saat ini, pabila aku mengimbau kembali sejarah silam itu, sungguh malu aku pada diri sendiri, dan kadang-kala tersenyum perli pada diri sendiri kerana atas kebodohan aku sendiri, seperti macam tidak percaya aku boleh melakukan perkara seperti itu. Malu pada diri sendiri, dan apabila aku merenung perbuatan aku itu lantas aku mengadu kepada Allah SWT, saat itu aku rasa seolah-olah sia-sia sahaja kehidupan aku sebelum ini dek kerana terlalu banyak dosa aku lakukan, saat aku beruzlah, memohon bantuan kepada Allah SWT, betapa sukarnya untuk aku menghentikan derasnya air mata suci ini jatuh ke bumi, Allah...saat itu aku sangat hiba, sebak, melihat nasib diri ini yang penuh dengan titik-titik hitam di hati suci ini. Aku terasa ingin mencabut hati hitam ini dan buang sejauh-jauhnya.

Aku kini lebih banyak mendiamkan diri, kerana ingin meminimumkan dosa dengan berkata-kata. Akal aku sentiasa berfikir. Mengenang nasib sahabat-sahabat aku di kampus sana, di kampung halaman mereka, di mana jua, dan soalan-soalan yang sering aku soal pada diri sendiri- apakah yang mereka sedang lakukan? Mereka gembira atau tidak? Mereka ada masalah atau tidak? Harap-harap mereka sihat sejahtera menikmati kehidupan ini dengan baik serta soleh dan solehah hendaknya. Kadang-kala berjurai juga air mata merindui sahabat-sahabat muslimin dan muslimat aku di sana, mereka banyak membantu aku baik secara langsung mahu tidak langsung. Mereka sangat berharga dalam hidup aku boleh dikatakan selepas kedua ibu bapa aku. Merekalah sahabatku yang aku akan kenang-kenangkan, kerana aku dahulu tidak mempunyai golongan-golongan kawan seperti ini. Tetapi kenapa saat ini aku dikelilingi oleh sahabat-sahabat yang soleh dan solehah, mereka cintakan Islam, rela membantu apa jua masalah antara satu sama lain. Aku sangat sebak pabila merenung sendirian memikirkan sahabat-sahabat aku di sana.

Oh Allah,

Aku teramat bersyukur kepadaMU ya Allah, hati ini kadang-kala alpa dan lalai mengingatiMU namun Kau telah anugerahkan aku sahabat-sahabat yang boleh mendekatkan diriku ini kepadaMU ya Allah, pabila aku leka mereka menyedarkanku, saat aku menyepi mereka hadir meriangkan, masalah yang berat terjadi ringan..Ya Allah, sesungguhnya aku teramat lemah. Sehinggakan memerlukan pertolonganMU untuk membantuku, semoga Ya Allah, Kau ampunilah dosa-dosa sahabat-sahabatku di sana, berkatilah kehidupan mereka, setiap bait-bait lafaz kata mereka Kau sulamkanlah dengan mutiara kasih sayang Islam ya Allah. Dan saat tibanya ajalku ya Allah, aku berdoa kepadaMU jasadku dikelilingi oleh para sahabatku ya Allah....................aminnn..


MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR

Seorang Hamba yang Lemah

Monday, July 18, 2011

Budak Kaca-Mata di DQ dan Genting Highlands.



Bismillah,

Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT kerana dalam keterbatasan ruang masa yang ada dapat juga Allah SWT memberi kesempatan untuk saya menaip sebuah entri catatan kembara seorang muslim.

Seorang Budak, budak yang berkaca-mata. Budak yang 'nerd' baru segar jejak kakinya di alam kampus kadang kala teruja dengan kehidupan bebas bertamadun. Apa lagi yang perlu ditunggu, pelawaan seorang sahabat mengajak ke Madrasah terkemuka Malaysia. Siapa tak kenal dengan sebuah institusi pendidikan islamis yang diberi nama Darul Quran. Ah, lebih mudah orang kebiasaan memanggil 'DQ' sahaja. Dengan tanpa difikirkan lagi, saya terus menerima pelawaannya. Barangkali siapakah gerangan Budak Kaca-Mata itu ye?

Maka tanggal 8 Januari 2011 adalah tarikhnya. Tarikh dimana satu kembara budak kaca mata itu pergi ke DQ. Kenapa ianya menjadi satu 'kembara'? Siapa tak teruja bila mana pertama kali baru dapat merasai jejak kaki di bumi DQ. Perjalanan dari UKM ke DQ bak kata sahabat saya, tak lama mana. Kami bertiga sebagai pelakonnya dalam kembara ini.

Darul Quran Destinasi 'Pertama'

Selamat tiba kami di DQ. Kami disambut baik oleh adik-adik sahabat saya yakni sahabat saya selaku bekas pelajar disitu. Maklumlah, mereka ada satu slot iaitu slot untuk para-para bakal nuqaba' di DQ itu dan sudah tentu sahabat saya tadilah sebagai penceramahnya. Sebaiknya, ceramah pun bermula…

"Sejuk mata memandanglah suasana kat sini…" saya berkata sendirian namun didengari oleh dua sahabat saya dan barangkali mereka setuju dengan saya. Mata terliar-liar melihat sekeliling, otak terus berfikir sesuatu.

"Agak lapang dan rata bentuk geografi DQ ni yek..tak macam UKM kita tu, bukit je.."

"Itulah unik nya DQ nih..anta ni.." Semacam bangga pula nadanya. Namun saya tidak melawan kerana hakikatnya bentuk bumi DQ agak rata dan unik. Tambahan pula, angin yang agak seronok untuk dilayan perasaan. Mahu lagi menariknya, ada sungai semacam tasik buatan di DQ. Rasa agak nyaman berada di situ.

Kami tak berada lama di DQ, selesai sudah puas menikmati suasana DQ tiba-tiba sahabat saya mengajak untuk ke Genting Highlands. Terus terpana saya dibuatnya, hati melonjak riang mata berkilauan. Gembiranya saya bukan ingin bersuka ria di GH tetapi gembira kerana ingin menikmati cuaca 'Orang Barat' yang dinginnya mencekam tulang putih.

Genting HighLands destinasi 'Kedua' dan terakhir

Kereta yang dipandu oleh sahabat saya seolah-olah baru teruji kekentalan untuk menaiki bukit nan tinggi itu. Risau juga kadang-kadang apabila melihat ragam-ragam yang ditonjolkan oleh sang 4 roda apatah lagi meter minyak di tahap kritikal. Mujurlah sahabat saya berkata ada satu stesen minyak di puncak sana yang berada di GH. Menghela nafas tak terkira, syukur kepada Allah SWT namun hati tetap dalam kerisauan. Usai meletakkan kereta di tempat parker, kami berjalan memasuki 'Kota Hiburan si Mata Sepet'. Tak terkata suhu yang dingin mencengkam tulang seolah-olah tiada guna memakai jaket hitam kerana nipisnya tak terlawan. Saya berjalan dan kadang-kala memeluk tubuh sendiri kesejukkan. Tergelak juga apabila tiada kepulan asap yang keluar di mulut, ah ini bukan oversea nih, kalau kat sana diorang berasap-asap mulut kerana sejuknya. Gurauan hati. Pada waktu itu jam sudah menunjukkan 8 malam lebih kurang. Kami meronta-ronta mencari tempat solat, mujur jumpa satu di tengah kota. Ruang surau yang agak sempit dan ahli surau yang berbilang Negara. Usai solat, kami terus kembali ke kereta untuk pulang. Hakikatnya, kami ingin menikmati cuaca nyaman kesejukkan itu. Cuaca sejuk itu kurniaan Allah SWT, kerdilnya kita apabila saya melihat dari atas GH, tiada ternampak bangunan pencakar langit apatah lagi manusiawi. Kecilnya kita.

Slot muhasabah kembara ini kadang-kala tercetus secara tersendiri. Kerana kembara kita itu bukanlah hanya untuk memperoleh pengalaman tetapi seiringkan dengan muhasabah dan koreksi diri akan penciptaan Allah SWT yang mencipta alam ini. Sesungguhnya, mereka-mereka yang sudah 2 3 kali sampai ke GH ini mungkin rezeki mereka. Namun, jangan dibazirkan pengalaman pertama kali seumur hidup dengan pengisian muhasabah yang lebih bermakna daripada 2 3 kali kita datang tanpa pulangan kebaikkan dalam diri semula. Apatah lagi lebih teruk jika kita datang 2 3 kali semata-mata mengecap nikmat berfoya-foya, melebihkan dunia dan mengeluh sakan tidak memikirkan akhirat yang kekal abadi. Siri kembara saya ini sudah belalu, biarlah ia berlalu namun ibrah menerusi kembara ini dapat saya ambil dan dijadikan pedoman hidup. Itulah nikmat seorang pengembara muslim. Kembaranya yang disaluti dengan pengisian tarbawi, rohani, hatta melatih fizikal supaya kuat dan kental ianya cukup suatu kelebihan.

Kesimpulan

Darul Quran dan Genting Highlands, siri kembara peribadi yang sememangnya telah memantulkan balik perkara positif. Antara 'Kembara Melancong' dan 'Kembara Mendidik' kedua-duanya cukup berbeza. Bezanya adalah niat. Jika kita niatkan kembara itu suatu siri melancong semata-mata maka kita akan dapat kepuasan melancong dengan cenderahati yang pelbagai untuk dibawa pulang menjadikan kenang-kenangan. Tetapi jika niat kita kembara untuk mendidik, maka kita akan dapat kepuasan kembara DAN meningkatkan lagi mutu peribadi muslim kita dalam kita mendekatkan lagi diri kepada Allah SWT dan proses muhasabah berlaku. Wallahua'llam.

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR

Kembara Seorang Muslim

1200PM 19/7/2011

Monday, July 11, 2011

WillPower – Kuasa TEKAD diMaksimumkan..



WillPower – Kuasa TEKAD diMaksimumkan

Bismillah,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam yang menciptakan apa yang ada di langit dan di bumi. Selawat dan salam ke atas Nabi junjungan kita Nabi Muhammad SAW serta para sahabat baginda, para a’lim ulama’ serta para Mujahid yang berjuang di jalan Allah SWT. Kali ini saya teringin untuk menulis satu entri yang berkait rapat antara ‘Kuasa’ dan manusia. Kali ini mungkin ingin menyambung entri saya yang lepas mengenai WillPower dalam Ilmu Sains, tetapi dalam entri ini mungkin lebih memfokuskan kepada pandangan lebih mencapah bukan hanya dipraktikkan dalam Ilmu Sains malah ianya boleh diambil ibrah untuk diresap menjadi peribadi muslim yang unggul dan berkualiti.

Jelas kelihatan produk yang dihasilkan yakni pembentukan manusia untuk ke arah mencapai modal insan kelas pertama hingga ke hari ini amat sedikit bilangannya. Namun Alhamdulillah, lebih baik ada sedikit daripada tiada langsung. Perkara yang ingin saya kaitkan adalah, pandangan peribadi saya mengenai hal ini mungkin bukan berpunca beberapa factor yang sudah ramai ahli intelektual membincangkannya tak kiralah dari sudut masalah kekeluargaan, masalah kewangan, pengurusan diri dan sebagainya. Dari sudut pandang sisi saya adalah, kegagalan sifat ingin tahu itu dalam diri manusia.

Sifat Ingin Tahu

Manusia tak kira di peringkat umur mana sekalipun, sifat ini kurang ditonjolkan. Seseorang yang menonjol sifat ini ada mendapat kelebihannya. Kelebihan dari mendapat info yang lebih, ransangan otak untuk menyoal, gerak badan ke arah pandangan positif, dan sebagainya. Mari kita rujuk makna disebalik WillPower itu.

WillPower – Kuasa Tekad

‘Will’ atau dalam Bahasa Melayu nya adalah ‘Tekad’. Jikalau kita rujuk dalam Kamus Dewan edisi ke-4 ada menyatakan maksud ‘Tekad’ adalah : kemahuan yg sungguh-sungguh (utk mencapai sesuatu), kepercayaan yg sungguh-sungguh, kebulatan hati. Kita fokuskan terhadap perkataan ‘kemahuan yang sungguh-sungguh’. Dengan ini jelas kita tahu, mesej yang ingin saya sampaikan mengenai Kuasa Tekad adalah kuasa yang datang dalam diri manusia yakni kemahuan mereka terhadap sesuatu dengan bersungguh-sungguh. Adapun Kuasa Tekad ini boleh juga kita kaitkan dengan Kuasa Jihad. Kenapa? Jihad adalah kita melaksanakan sesuatu dengan berSUNGGUH-SUNGGUH dalam mencapai matlamat, sudah pasti jika kita mati sewaktu sedang berjihad kita dianugerahkan mati syahid. Jelaslah perkara Kuasa Tekad ini tiada buruknya kerana kuatnya azam kita untuk mencapai sesuatu perkara.

Kuasa Tekad dan Matlamat Tidak Menghalalkan Cara

Apabila kita sudah ketahui, pengertian Tekad adalah dalam melaksanakan sesuatu dengan bersungguh-sungguh dalam mencapai matlamat yang telah digagaskan. Namun, sebagai seorang muslim yang beriman kepada Allah SWT dan mengakui Nabi Muhammad SAW itu pesuruh Allah SWT, maka jangan melampaui batas mengaplikasikan Kuasa ini dengan menghalalkan apa jua cara demi ingin mencapai matlamat. Jangan kita bersungguh sehinggakan sanggup menggadai maruah Islam demi ingin mencapai matlamat peribadi. Contoh mudah boleh kita lihat adalah : si A ingin dapat cemerlang dalam peperiksaan. Matlamatnya : cemerlang dalam peperiksaan. Cara : bersungguh benar si A meniru jawapan si B padahal si A tak pula bersungguh untuk mengulangkaji pelajaran terlebih dahulu.

Mungkin contoh yang saya ketengahkan seakan terlalu mudah, tetapi kepentingan yang ingin saya sampaikan adalah matlamat tidak menghalalkan cara untuk digunapakai. Perlunya kita dapat membezakan antara matlamat baik dan matlamat buruk. Perhatikan : “Saya ingin menjadi pencuri yang berwawasan 2020” – Matlamat baik dan buruk telah dicampuradukkan yakni pencuri (buruk) dan berwawasan 2020 (baik). Kesimpulannya matlamat ini dikategorikan buruk. Kerana matlamat itu sendiri adalah fitrahnya sangat baik kepada manusia sejagat. Ianya tidak boleh dimanipulasikan dengan kenyataan kononnya baik tetapi buruk. Dengan itu, apabila kita sudah ‘set’ kan matlamat kita yang cukup cemerlang pada awalnya maka sudah pasti kesungguhan kita (Kuasa Tekad) akan membuak-buak dan menggunakan cara yang betul untuk mencapai matlamat itu tadi dan menolak – Matlamat menghalalkan cara.

WillPower (Kuasa Tekad) dalam siri para Sarjana Islam

Mari kita singkapi antara beberapa contoh ibrah boleh diambil hal-hal berkait rapat dengan Kuasa Tekad ini dalam diri Sarjana Islam terdahulu. Siapa tak kenal dengan Sarjana islam terkemuka yakni Al-Khawarizmi. Al-Khawarizmi yang mempelajari ilmu nombor dan berjaya mewujudkan teori matematik paling berpengaruh iaitu “AlGebra” atau al jabar dimana diakui oleh seluruh para sarjana timur selatan barat utara bumi akan ilmu beliau ini. Bagaimana beliau boleh mencetus teori sedahsyat ini sehinggakan kita rata-rata sungguh sukar untuk memahami 100% ilmu algebra ini? Mulanya adalah apabila tercetus minat beliau untuk mendalami ilmu nombor. Maka beliau musafir ke negara India untuk menemui seorang sarjana India yang mahir dalam ilmu nombor, maka Al-Khawarizmi telah berjumpa dengan Sarjana India bernama Kankah. Pada asalnya, Kankah tidak mahu untuk mengajarnya tetapi sifat Tekad Al-Khawarizmi maka dipujuknya kali kedua barulah Kankah ingin mengajar beliau dalam ilmu nombor.

Selesai sudah ilmu nombor diajar kepada Al-Khawarizmi, lalu Kankah berkata :

“Sekarang kamu telah tahu tentang aritmetik India. Saya tidak berasa kesal kerana mengajar salah satu rahsia India kepadamu. Jika benar jangkaan saya, kamu akan menjadi bapa matematik dan mengajar matematik kepada seluruh dunia,” kata Kankah kepada al-Khawarizmi.

Kankah memberikan kepada al-Khawarizmi sebuah kitab tentang aritmetik India.

Begitulah contoh sifat Kuasa Tekad yang ditonjolkan oleh Al-Khawarizmi dalam beliau menelaah ilmu hisab yakni matematik di India dan keinginan beliau untuk mengetahui angka sifar yang tidak dikembangkan oleh sarjana India. Apa yang menarik perhatian adalah kata-kata dari Imam As-Syafie’ :
“Barangsiapa yang belajar ilmu hisab, dia mempunyai pandangan yang jauh serta pemikiran yang tajam.” (Imam Syafie)


Antara Ghairah,Tekad dan Usaha

Sebenarnya ghairah dan tekad seolah-olah rakan karib yang sukar dipisahkan. Kunci utama tekad adalah sudut pandang positif yang diberikan kepada diri kita untuk mencapai matlamat yang kita idamkan. Secara automatiknya, usaha akan wujud. Ianya tidak akan tercapai istilah WillPower itu jika tiada usaha dari diri kita, bahkan tekad tidak wujud tanpa usaha. Apatah lagi ingin melihat matlamat itu tercapai. Disini kita dapat lihat, percambahan Kuasa Tekad ini telah berjaya menghasilkan doman lain yakni USAHA. Lihat definisi awal mengenai Tekad, usaha akan wujud itu pasti.

Kesimpulan

Berbalik kepada hal berkaitan dengan Modal Insan Kelas Pertama, saya ingatkan kembali, mungkin pandang sudut saya adalah merujuk kepada pengkelasan yakni pengkelasan dari sudut sifat dan dengan itu saya merasakan sifat atau Kuasa Tekad (WillPower) menjadi salah satu perkara perlu dilihat untuk membentuk Modal Insan kelas pertama selari dengan apa yang dituntut dalam Islam. Seseorang akan berjaya di dunia dan akhirat dengan memaknakan apa yang kita katakan TEKAD. Mungkin anda boleh meneladani Kartun Jepun iaitu animasi terkenal “NARUTO” dalam mengambil sisi motivasi TEKAD dalam penceritaan kartun itu. Jika saya ingin mengulas secara terperinci ibrah penonjolan dalam kartun ini mungkin sudah tersasar entri saya kali ini. Mungkin di lain hari saya akan cuba mengetengahkan bagaimana pemikiran Jepun dalam mendidik rakyatnya hatta melalui Kartun popular mereka NARUTO. Point disini adalah TEKAD boleh memainkan peranan besar dalam diri manusia. Semoga saya dan anda sama-sama berTEKAD untuk berjaya di dunia dan akhirat. InsyaAllah.

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR
Kembara Seorang Muslim
11/7/2011 – 12.50 PM

Monday, June 27, 2011

Wahai Pemilik Jiwa-Jiwa Tenang : Anak Muda


Bismillah,
Kehidupan ini adalah sementara. Jangan dibiarkan kehidupan yang dianugerahkan oleh Allah SWT ini berlalu tanpa amal kebaikan. Bumi, adalah satu destinasi. Destinasi kepada hamba Allah yang bergelar MANUSIA. Manusia yang pelbagai rencam apabila tibanya mereka ke destinasi ini. Bersyukurlah bagi kita yang sebaik lahirnya kita berada dalam kalangan keluarga yang beragama Islam. Dunia, sungguh indah. Keindahan yang tercipta ini bukanlah untuk kita bermegah-megah untuk kebaikan ekonomi Negara bahkan perlu kita muhasabah bahawa Allah SWT yang Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana mencipta keindahan ini.

Alhamdulillah Syukur…

Mari, kita tingkatkan amalan kebaikan kita seharian. Aku masih meronta-ronta mencari apa yang dicari. Pencarianku akan memakan masa yang agak panjang. Namun pencarianku ini adalah tidak lain dan tidak bukan, semata-mata untuk mencari keredhaan Allah SWT dan berbakti kepada ummah. Biarlah sejurus aku meninggalkan dunia yang penuh tipu daya ini, aku dapat meninggalkan benih penjanaan pahalaku.

Cukup.

Wahai pemilik jiwa-jiwa tenang, bicaraku ini bukanlah hadir atas kerana diri ini sudah hebat, tidak. Tapi bicaraku ini adalah bicara soal ummah. Kita tergolong dalam kelompok itu. Jikalau kalian masih diselimuti kesenangan materialistic terlampau, mari kita sama-sama berdoa’ agar terdetik jiwa kita untuk kembali kepada Allah SWT. Jangan dikatakan kalian, tetapi aku, aku turut terjerumus terjatuh tersungkur dek kerana lalai dan alpa mengikut bisikan syaitan dan hawa nafsu. Namun begitu wahai pemilik jiwa-jiwa yang tenang, itulah cabaran muslim pada sepanjang zaman dan waktu. Kita kena kuat! Hatta pemerintah yang sedia ada mengajak kita untuk bermaksiat, jangan mudah melulu akur tunduk akan perintahnya malah ingatlah Allah SWT dan ajaran Rasulullah SAW.

Wahai pemilik jiwa-jiwa tenang,

Saat kita bersorak tempik gelak tawa riang, kita kadang kala lupa penderitaan saudara seakidah kita yang sedang mengerah tulang 4 kerat mereka dalam mempertahankan daulat Islam. Lihatlah di Palestin, di Mesir, di Afghanistan dan lain-lain lagi, mereka tidak semoden kita yang memiliki pelbagai alatan komunikasi yang canggih. Kerana mereka sedang fokus untuk mempertahankan Islam, mereka tidak ada masa untuk memikirkan untuk memiliki kereta mewah, rumah banglo, TIDAK. Hatta ada yang mereka memiliki harta, mereka sanggup menggadaikan harta itu demi Islam tercinta. Adakah kita lupa akan sirah perjuangan para Anbiya’ ? Adakah kita lupa akan pengorbanan para sahabat Nabi Muhammad SAW yang lalu?

“Aku merasa hairan dengan mereka yang mahukan manusia yang ditindas dan dizalimi berlutut memohon kepada penzalim dan penindas itu.Demi Allah, kalaupun dengan perkataan itu dapat menyelamatkan aku daripada tali gantung sekalipun, sesekali aku tidak akan mengucapkannnya. Aku lebih rela kembali menemui Allah dalam keadaan Dia meredhai aku dan aku meredhai-Nya”
- As Syahid Syed Qutb-


Wahai pemilik jiwa-jiwa tenang,

Bangkitlah wahai jiwa pemuda sekalian. Aku adalah pemuda. Marilah bangkit. Hatta aku tersungkur di padang pasir pun aku akan menyeru pada kalian untuk bangkit pertahankan Islam. Pemuda harapan bangsa dan AGAMA bukan terhenti pada bangsa. Cukuplah musuh-musuh islam memperbodohkan kita dalam melaga-lagakan kita dengan isu Bangsa sewaktu bagaimana kejatuhan Turki Uthamaniyyah. Agama Islam lah yang menyelamatkan kita dari segenap perkara wahai Jiwa Pemuda sekalian! Aku bicarakan ini bukan aku seorang yang alim untuk berbicara soal ini, tetapi adakah mahu kita lihat islam dirobek-robek dengan halus sehingga ranap hancur luluh tidak terkata? Janganlah melatah wahai pemuda. Semangat kita ini semangat yang segar yang perlu disalutkan dengan ilmu. Janganlah kita menunding jari menuduh dan menganggap orang ini salah itu salah. Sama-samalah kita mempertegakkan yang haq dan jatuhkan yang batil! yang batil kini tampak BETUL dan haq kini tampak SALAH. Apa ini semua! Wahai pemuda, kalian boleh menilai. Aku tidak mahu perkataan ‘PAKSA’ terkeluar dari mulut kalian. Sebaik-baiknya keIKHLASan itu yang Allah nilai disisiNYA.

“Sesungguhnya Islam datang dalam keadaan asing dan akan kembali pula dalam keadaan asing, maka berbahagialah orang-orang dikatakan asing.”
(HR. Muslim dari hadits Abu Hurairah dan Ibnu Umar radhiallahu ‘anhuma)




MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR
-kembara seorang muslim-
0319 AM – 28/6/2011

Sunday, June 19, 2011

Nasyid Generasi Ghuraba' (Asing) - Hayatilah




Laisal gharibu huwalladzi faraqad diyara wadda’al aan
Walakinnal ghariba huwalladzi yajiddu wan naasu min haulihi yal’abun
Wa yash-hu wan naasu min haulihi yanaamun
Wa yasluku darbal khairi wan naasu fii dhalalihim yatakhaththathun
Wa shadaqasy syaa’iru idz yaquul:
Qaala lii shahiibun araaka ghariiba
Baina haadzal anaami duuna khaliili
Qultu, kalla! Balil anaamu ghariibun, ana fii ‘aalami wa haadzihi sabiilii
Haadza huwal ghariib: Ghariibun ‘indal ‘aabitsiina minal basyar
Walakinnahu ‘inda rabbih, fii maqaamin kariim

Bukanlah orang asing itu mereka yang berpisah dari negeri
mereka dan mengucapkan selamat tinggal sekarang
Tapi orang asing itu ialah mereka yang tetap serius dikala manusia di
sekelilingnya asyik bermain-main
Dan tetap terbangun ketika manusia disekelilingnya asyik tidur dengan lenanya
Dan tetap mengikuti jalan lurus dikala manusia dalam kesesatannya tenggelam
tanpa arah
Dan betapa benarnya sebuah syair ketika dia berkata
Berkata kepadaku para sahabat, ‘aku melihatmu sebagai orang
asing’
Di antara orang banyak ini engkau tanpa teman dekat
Maka aku berkata, sekali-kali tidak! Bahkan orang banyak
itulah yang asing, sedang aku berada di kehidupan dan inilah jalanku
inilah orang asing itu
Asing di sisi mereka yang hidup sia-sia di antara manusia
Tetapi disisi Rabb-nya, mereka berada di tempat yang mulia



Ghurabaa`, ghurabaa`,
ghurabaaa` ghurabaa`
Ghurabaa`, ghurabaa`,
ghurabaaa` ghurabaa`
Ghurabaa` wa li ghairillaahi laa nahnil jibaa
Ghurabaa` war tadhainaa haa syi’aaran lil hayaah
Ghurabaa` wa li ghairillaahi laa nahnil jibaa
Ghurabaa` war tadhainaa haa syi’aaran lil hayaah


Ghurabaa`, dan kepada selain Allah mereka takkan menunduk
Ghurabaa`, dan mereka telah rela Ghurabaa` sebagai syi’ar dalam kehidupan
Ghurabaa`, dan kepada selain Allah mereka takkan menunduk
Ghurabaa`, dan mereka telah rela Ghurabaa` sebagai syi’ar dalam kehidupan



In tasal ‘anna fa inna laa nubaali bith-thughaat
Nahnu jundullaahi dauman darbunaa darbul-ubaa
In tasal ‘anna fa inna laa nubaali bith-thughaat
Nahnu jundullaahi dauman darbunaa darbul-ubaa

Jika engkau bertanya tentang kami, maka kami tak peduli terhadap para taghut
Kami adalah tentara Allah selamanya, jalan kami adalah jalan yang sudah tersedia
Jika engkau bertanya tentang kami, maka kami tak peduli terhadap para taghut
Kami adalah tentara Allah selamanya, jalan kami adalah jalan yang sudah tersedia



Lan nubaali bil quyuud, bal sanamdhii lil khuluud
Lan nubaali bil quyuud, bal sanamdhii lil khuluud
Fal nujaahid wa nunaadhil wa nuqaatil min jadiid
Ghurabaa` hakadzal ahraaru fii dunyal ‘abiid
Fal nujaahid wa nunaadhil wa nuqaatil min jadiid
Ghurabaa` hakadzal ahraaru fii dunya-al ‘abiid


Kami tak peduli terhadap rantai para taghut, sebaliknya kami akan terus berjuang
Kami tak peduli terhadap rantai para taghut, sebaliknya kami akan terus berjuang
Maka marilah kita berjihad, dan berperang, dan berjuang dari sekarang
Ghurabaa`, dengan itulah mereka merdeka dari dunia yang hina
Maka marilah kita berjihad, dan berperang, dan berjuang dari sekarang
Ghurabaa`, dengan itulah mereka merdeka dari dunia yang hina



Kam tadzaakarnaa zamaanan yauma kunna su’adaa`
Bi kitaabillaahi natluu-hu shabaahan wa masaa`
Kam tadzaakarnaa zamaanan yauma kunna su’adaaBi kitaabillaahi natluu-hu shabaahan wa masaa`

Betapa sering saat kita mengenang hari-hari bahagia kita
Dengan Kitabullah kita membaca, di pagi hari dan di sore hari
Betapa sering saat kita mengenang hari-hari bahagia kita
Dengan Kitabullah kita membaca, di pagi hari dan di sore hari




Qaala Rasulullahi Shallallaahu ‘alaihi was Sallam
Bada-al Islamu ghariiban wa saya’uudu ghariiban kamaa bada-a
Fathuuba lil ghurabaa`


Bersabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi was Sallam
Islam itu bermula dari asing, dan akan kembali asing seperti mulanya
Maka beruntunglah orang-orang yang asing



Sumber : http://priyodjatmiko.multiply.com/journal/item/45
Edit oleh : MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR
Blog : kembaraseorangmuslim
Sumber Lagu : http://www.youtube.com/watch?v=8c3eFcAtypo

Thursday, June 9, 2011

Sains selaku Guru Disiplin Mikro peribadi Muslim.


Bismillah,
Citra manusia di atas muka bumi masing-masing mempunyai perwatakan yang berbeza-beza. Kadang kala, terbit rasa lucu,marah,tegas dan pelbagai lagi apabila kita melihat telatah orang di sekeliling. Allah SWT Maha Bijaksana dalam hasil penciptaanNYA setiap sesuatu. Cuma penceritaan ini adalah sedikit perkongsian pengalaman saya melihat dunia luar sewaktu di lapangan masyarakat setempat tak kira dimana jua.

Keluarga Bahagia

Sebuah keluarga yang harmoni malah beriman adalah satu perkara kejayaan yang dikecapi apabila berkeluarga. Sesebuah keluarga itu ada pemimpinnya yang memandu ahli keluarga ke arah yang diredhai Allah SWT, orang itu adalah “Ayah”. Seorang ayah yang penyayang sangat menyayangi ahli keluarganya, manakan tidak sewaktu saya berada di hospital besar Melaka, ingin ke surau menunaikan solat zohor, sewaktu sahaja saya membuka pintu surau ternampak seorang ayah sedang mengaji dan dikelilingi anak-anak kecilnya yang riang tapi tak mengganggu orang lain. Si ayah telah membuat satu situasi “icon” kepada anak-anaknya dengan mengaji.

Situasi antara suami dan isteri, tika mana saya sedang menjaga ayah di wad perubatan lelaki, jiran pesakit ayah saya adalah seorang polis diraja yang dilanda sakit. Moral nya adalah, sang isteri yang dalam umur sekitar 50-an tabah menghadapi ujian yang dialami olehnya dan si suami. Beliau menjaga hampir 12jam di wad menemani si suami tercinta dan amat peramah orangya. Gaya bahasanya sungguh diselimutkan dengan nasihat kepada dirinya dan orang yang diajak berbual.

Keluarga yang harmonis dan beriman lahir dari pasangan suami isteri yang bertakwa kepada Allah SWT. Indahnya dunia jika bait muslim terpelihara dengan baik. Produk yang dihasilkan adalah yang terbaik apabila telah diasuh dan dididik oleh ibu bapa yang bertakwa. Anak-anak akan lebih keterhadapan dan baik budi pekerti serta yang lebih penting adalah jejak ibu bapa nya sebagai seorang yang bertakwa kepada Allah SWT.

Sains dan Disiplin diri

Di sini juga ingin saya coretkan beberapa perkara tentang disiplin. Mungkin sesebuah keluarga itu kadang kala terlepas pandang dari aspek penerapan kepada disiplin ahli keluarganya terutama kepada anak-anak. Pelbagai jenis buku motivasi masa kini telah banyak memperkatakan tentang disiplin terhadap masyarakat,diri,organisasi dan sebagainya. Sememangnya disiplin adalah suatu perkara yang dikatakan sikap. Maka sikap ini nak tak nak perlu dihayati bahkan perlu ada pada jiwa manusia tak kira peringkat umur usia, agama dan bangsa. Dari penghayatan sudut sains, sains telah mengajar kita untuk berdisiplin.

Apa yang sains ajar kita tentang disiplin?

Dalam dunia sains, sewaktu kita di sekolah atau matrikulasi atau di kampus atau di mana jua semasa kita sedang membuat satu ujikaji sains, kita akan bermain dengan bacaan-bacaan radas dan segala macam pembacaan. Sains dalam eksperimen adalah satu cara pengesahan apa yang kita tahu antara teori sains, maka eksperimen ini adalah pembuktian depan mata kita sama ada gagal atau Berjaya. Setiap pembacaan radas dan prosedur perlu dilaksana dengan disiplin tanpa ‘langkah bendul’ atau melaksanakan ‘bagaikan melepaskan batuk di tangga’, sudah pasti eksperimen anda gagal sentiasa! Walaupun pada asalnya kita mahu lihat teori itu Berjaya atau tidak. Mustahil setiap eksperimen gagal! Dengan itu, sains telah mengajar kita satu perkara mikro yakni sikap disiplin semasa melaksanakan eksperimen.

Sains dan Penghayatan diri Terhadap Allah SWT

Gabung jalin antara sains dan alam sekitaran boleh mengajak kita untuk lebih dekat kepada penciptaNYA Allah SWT. Proses pengaliran darah, fotosintesis tumbuhan, burung berterbangan, kapal-kapal di lautan, hempas pulas badai ombak laut dan sebagainya. Kesemua tadi sesungguhnya dari sudut sains ada penjelasannya mengenai graviti bumi, gelombang, daya apungan, maka disini perlu kita akui Allah SWT sahajalah yang Maha Bijaksana lagi Maha Perkasa. Di sini situasi muhasabah diri akan berlaku apabila kita merenung kesemua kejadian alam tadi, sungguh hebat tuhan kita Allah SWT menciptakan dengan penuh teliti dan proses-prosesnya amat berdisiplin.

Sikap disiplin ini sebenarnya manis. Apabila si ayah mendisiplinkan anak-anaknya maka mereka akan membesar dengan baik. Apabila si isteri berdisiplin dalam menjaga si suami tercinta walaupun keadaan si suami yang sedang sakit, isteri perlu menjaganya dengan kasih sayang kerana Allah dan inilah yang Allah suka. Apabila eksperimen sains dilaksanakan dengan berdisiplin, sudah tentu keputusan akhirnya akan sangat berpuas hati, tidak kisah sama ada gagal atau tidak.

Akhir kalam, sesungguhnya kejadian alam ini kesemuanya ciptaan Allah SWT, kita hanya meminjam dariNYA seketika kerana kita sedang berada di “Bus Stop” alam dunia dan selepas ini kita kena berlepas ke stesen seterusnya yakni alam kubur dan seterusnya di alam akhirat kelak. Renungilah setiap ciptaan Allah agar kita senantiasa muhasabah diri yang terlalu banyak terlanjur dosa.

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR
-Kembara Seorang Muslim-

Friday, May 27, 2011

Topic : Career in Physics



Bismillah,
Kerjaya anda telah bermula,sememangnya tidak kelihatan pada mata kasar tetapi kerjaya anda perlu dirancang untuk ke arah mana selepas anda bergraduasi kelak. Ceritanya, selaku manusia yang masih menuntut ilmu fizik di Universiti Kebangsaan Malaysia,saya adalah antara berjuta orang yang tercari-cari peluang kerjaya untuk direbut. Hakikat, mahasiswa kini lesu,berasaskan mood exam masih tidak dibuang, hal ini menjejaskan peluang untuk seseorang itu berjaya dalam mendapatkan kerjaya yang tetap selari dengan apa yang dipelajari di kampus.

Rancanglah 'flow' atau perjalanan hidup anda dengan baik dan akhirnya kita serahkan pada Allah SWT untuk berikan yang terbaik untuk kita setelah kita berusaha.

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR
-kembara seorang muslim-

Thursday, May 26, 2011

Artikel : Al-Khanzini Ahli Fizik Yang Mendahului Masa.

AL-KHANZINI adalah salah seorang ulama yang terkenal sekitar tahun 1115-1130 di Merv. Tidak banyak yang diketahui mengenai latar be-lakang keluarganya, tetapi al-Khanzini adalah seorang hamba yang diberi peluang belajar matematik dan falsafah oleh tuannya. Beliau pernah menjadi pe-ngamal matematik di bawah naungan Istana Seljuk. Sungguhpun mempunyai kedudukan yang baik, al-Khanzini adalah seorang warak yang pernah menolak hadiah bernilai 1,000 dinar yang diberikan oleh seorang isteri amir. Malah menurut cerita, beliau hanya hidup dengan perbelanjaan tiga dinar setahun.

Pencapaian al-Khanzini dalam bidang astronomi adalah penciptaan sebuah jam air yang direka bentuk bagi tujuan astronomi, dan karyanya berjudul al-Zij al-Mutabar al-Sinjiri yang menerangkan kedudukan bin-tang-bintang bagi tahun 1115/16 pada latitud Merv.

Sungguhpun begitu, al-Khanzini lebih dikenali dengan bukunya, Kitab Mizan al-Hikma. Buku ini siap pada 1121, dan menjadi salah sebuah naskhah pen-ting dalam ilmu fizik Muslim. Kitab Mizan al-Hikma mengkaji keseimbangan hidrostatik, pembentukan dan kegunaannya, dan teori-teori statik dan hidrostatik di sebaliknya, dan pelbagai topik lain. Sebahagian daripada kitab ini telah diterjemah dan disunting oleh wakil Rusia, Khanikoff pada pertengahan abad ke-19.

Lapan bab terawal kitab ini membincangkan teori-teori pusat graviti yang pernah diketengahkan oleh al-Biruni, al-Razi dan Omar al-Kahyam. Al-Khanzini pula menumpukan perhatian kepada kegagalan orang Greek membezakan secara jelas antara kuasa-/tenaga, jisim dan berat. Beliau juga menunjukkan kepekaannya mengenai berat udara dan menyatakan udara menipis mengikut ketinggian. Dengan merujuk kajian-kajian sains terdahulu, al-Khanzini menyediakan rekod-rekod penting berkaitan sumbangan mereka yang mungkin tidak diketahui lagi atau hilang.

Kebanyakan karyanya yang lain adalah berkaitan hidrostatik, terutamanya penentuan graviti-graviti tertentu. Al-Khanzini juga menjelaskan dengan ter-perinci peralatan yang diperlukan untuk mendapat hasil kajian yang tepat. Ini menjadikan bukunya contoh terbaik dalam memberi perhatian kepada kete-patan saintifik.

Al-Khanzini menaruh minat dalam menentukan graviti spesifik bagi logam, batu-batu berharga dan aloi, untuk menentukan ketulenan bahan-bahan yang berbeza itu. Untuk menentukan berat satu spe-simen, beratnya di dalam udara dan air perlu diketahui, dan perubahan pada volum udara dan air dise-babkan spesimen tersebut. Kebanyakan pengkaji Muslim menggunakan penimbang air dalam ujian-ujian mereka.

Dengan menggunakan peralatan yang pernah digunakan al-Biruni, al-Khanzini melakukan ujian ber-kali-kali ke atas beberapa jenis logam dan batu per-mata. Beliau juga mengukur graviti spesifik bahan-bahan lain seperti garam dan tanah liat, serta men-catatkan sama ada bahan tersebut tenggelam atau timbul di dalam air. Beliau berjaya mencatatkan graviti spesifik bagi 50 bahan, termasuk batu permata, logam dan cecair. Ketepatan kajiannya amat meng-agumkan dan menjadi antara yang terhebat pernah dicapai oleh ahli fizik eksperimental Muslim.

Malah al-Khanzini merupakan orang pertama yang mengutarakan hipotesis bahawa graviti sesuatu benda adalah berbeza dan bergantung kepada jarak benda itu dari pusat bumi; fenomena ini hanya ter-bukti pada abad ke-18 setelah teori graviti dikembangkan.

Sumber: Al-Islam Mei 2006

Friday, May 13, 2011

Wahai pengembara pahala...


Bismillah,

Hembusan nafas setiap detik, nikmat dariNYA Allah SWT…

Kaki yang berjalan, meniti liku-liku kehidupan seorang pengembara…

Wahai pengembara pahala..

Dunia ini destinasimu..

Malu bertanya sesat jalanmu dalam kegelapan…

Wahai pengembara pahala…

Engkau tidak keseorangan dalam meniti kehidupan ini..

Nikmat bersahabat, nikmat beramah mesra..

Saat engkau tersipu-sipu dalam berbicara…

Ada sahaja yang melemparkan keberanian untuk engkau berbicara soal kebenaran…

Kini,

Wahai pengembara pahala..

Perjalananmu yang penuh ranjau onak dan duri…

Dikala engkau berhenti seketika merenung ke langit…

Terdapat sesuatu yang perlu engkau genggam nun sana…

Engkau berpijak di bumi Hang Tuah, bahkan saudaramu berpijak di bumi Al-Aqsa..

Wahai pengembara pahala..

Yakin pada diri,

Yakin pada Allah SWT,

Sesungguhnya Allah sentiasa bersama kita..



MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR
Kembara Seorang Muslim

Thursday, May 5, 2011

Pembentangan Kertas Kerja 1 : Al-Quran dan Sains mengenai Kulit Manusia


Bismillah,
Sesungguhnya sains tidak lari dalam proses mengenal sunnatullah, peredaran Bumi pada paksinya, planet-planet yang mengelilingi matahari pada orbitnya yang tersendiri dan sebagainya. Sains Islam adalah yang terbaik berbanding dengan sains pemikir oleh Barat kerana sains Islam berkait rapat antara Agama bukan konsep sekularisme yang diamalkan oleh Barat dimana konsep sekularisma ini memisahkan agama dengan ilmu sains. Itulah uniknya dan indahnya Islam.

Pada awal tadi saya ada mengatakan bahawa, peredaran Bumi pada paksinya dan sebagainya. Kita lihat proses atau fasa perubahan bentuk Bulan yang dapat dilihat pabila malam menjelma dan ini jelas terbukti bahawa bulan beredar pada orbitnya di bumi dan setiap planet ada bilangan bulan yang tertentu. Perhatikan ayat Al-Quran Surah Yassin ayat ke-39

Maksudnya :
“Dan telah Kami tetapkan peredaran bagi bulan, sehingga (setelah ia sampai ke tempat peredaran yang terakhir) kembalilah ia seperti bentuk tandan yang tua.”

Bulan itu pada awalnya kecil berbentuk sabit, kemudian setelah menempati tempat peredaran, ia menjadi purnama, kemudian pada tempat peredaran terakhir kelihatan seperti tandan kering yang melengkung. –Nota Kecil pada Al-Quran tentang ayat di atas-

Lihatlah, Allah SWT Maha Bijaksana, kita manusia teramat cetek ilmunya sedangkan Allah boleh mencipta satu sistem atau fasa perubahan bulan utk kemaslahatan ummah dalam menentukan waktu-waktu solat, Puasa di bulan Ramadhan dan sebagainya.

Ini adalah muqaddimah saya dalam berbicara tentang keindahan sains itu sendiri dalam corakkan Islam yakni dalil-dalilnya cukup jelas dan nyata menerusi Al-Quran dan Hadis Nabi Muhammad SAW. Justeru itu, rungkaian dalil-dalil ini jelas mengukuhkan lagi pembuktian penemuan-penemuan sains tika ini.

Saya amat tertarik akan falsafah Universiti Kebangsaan Malaysia dimana tempat saya menadah ilmu Allah SWT ini dimana “The Philosophy” ini yang mencorakkan pemikiran seorang pencinta ilmu yang ikhlas dan berwawasan. Falsafah yang dimaksudkan ialah :

“Paduan antara Iman kepada Allah dengan Ilmu yang bermanfaat serta gabungan antara teori dengan amal adalah dasar utama bagi perkembangan ilmu, proses pembinaan masyarakat terpelajar dan pembangunan Universiti.”

Jelas falsafahnya, namun hakikat, di medan realiti ternyata berbeza dari segi penghayatannya. Menerusi falsafah ini ternyata, kajian penyelidikan yang dilaksanakan oleh para penyelidik haruslah selari dengan falsafah Universiti itu sendiri dalam kebaikan ummah sejagat. Dengan itu, perhatikan bagaimana penyelidik dari Chiang Mai Universiti di Thailand yang bernama Prof.Tegatet Tejasen sebagai Ketua Jabatan Anatomi di Universiti tersebut, telah membuat penyelidikan tentang kulit manusia. Perhatikan juga kenyataan yang dibuat oleh beliau iaitu :

“When a Doctor examines a patient suffering from burn injuries, he verifies the degree of burns by a pinprick. If the patients feel pain, the doctor is happy, because it indicates that the burns are superficial and the pain receptor are intact. On the other hand, if the patient does not feel any pain, it indicates that it is a deep burn and the pain receptors have been destroyed”

Melihat pada kenyataan beliau terhadap “Pain receptors have been destroyed” jelas reseptor kesakitan itu wujud dan ianya akan musnah apabila berlakunya “deep burn”. Dalam kerangka kita sebagai manusia yang tercari-cari kebenarannya, sudah pasti pada awalnya mengetahui bahawa sakit yang dirasai adalah terus dihantar ke otak untuk diproses mengeluarkan keputusan dan menafsirkan bahawa kita rasa sakit sedangkan kita perlu tahu adanya satu reseptor yang mengesan kesakitan itu terlebih dahulu.
Islam itu indah, perhatikan potongan ayat Al-Quran surah An-Nisa’ ayat ke-56 :



Maksudnya :
“Sesungguhnya orang-orang yang kafir kepada ayat-ayat Kami, kelak Kami masukkan mereka ke dalam neraka. Setiap kali kulit mereka hangus, Kami ganti kulit mereka dengan kulit yang lain, supaya mereka merasakan azab. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”

Menerusi dalil inilah yang melengkapkan hasil keberjayaan kajian yang dibuat oleh Prof.Tegatet Tejasen dalam mencari jawapan adanya “Pain Receptor” itu dan akhirnya beliau mengucap dua kalimah syahadah memeluk agama Islam.
Kulit merupakan organ homeostasis yang penting. Ia merupakan organ manusia yang paling besar yang memiliki berat sekitar 6 paun. Kulit bertindak sebagai rintangan di antara persekitaran luar dan dalam badan iaitu sebagai pemisah. Kulit berperanan melindungi otot dan organ manusia.

Akhir kalam bicara, setiap tingkah laku akan lebih bermakna jika kita kembali merujuk kepada ajaran agama yang kita anuti ini yakni Islam. Islam sahajalah yang menyelesaikan pelbagai masalah ummah tika ini sewaktu ummah meronta-ronta mencari ruang cahaya kebenaran maka Islam lah jawapannya dan solusi terbaik.
Rujukan :
1.Al-Quran, Surah An-Nisa’, Surah Yassin
2.Laman Sesawang Universiti Kebangsaan Malaysia, Falsafah Universiti
3.Sazelin Arif,Ahmad Ridzwan Mohd Nor, Nooraini Sulaiman, Mahadi Abu Hassan, Ali Hafizar Mohamad Rawi, 2007, Tamadun Islam dan Tamadun Asia, Shah Alam,Selangor Malaysia, Mac Graw Hill Education.


MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR
Kembara Seorang Muslim

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...