Tuesday, April 30, 2013

Populariti Ayat 'Ini Kalilah' Bukan Sekadar Sentimen Politik

"bang, ini kalilah atau lain kali la?" abang penjual berger menyoal saya.

"ini kalilah!" saya menjawab dengan tenang tanpa ragu-ragu.

Tak semena-mena soalan itu juga yang disoal kepada saya selepas memesan berger kepada abang gerai itu. Rupanya, abang gerai itu sedang bebual santai dengan seorang pemuda perihal politik semasa Malaysia, lalu abang gerai itu cepat membuat survey konon-kononnya dengan spontan.

Saya responden beliau spontan!

"bang, kita ini Al-Quran sebagai perhiasan atau panduan?" abang gerai itu menyoal saya lagi.

"panduan" saya jawab ringkas, dengan nada bersahaja.

"Islam ini bukan takat bagi wang-wang hantaran masa nak kahwin sahaja..." abang gerai itu menambah sambil tangannya rancak memasak daging-daging berger.

Sambil mengangguk, saya membalas " parah tu kalau setakat macam itu sahaja bang.."

Abang gerai itu senyum. Saya tidak tahu akan apa yang dibualkan oleh abang gerai itu dengan pemuda pelanggannya itu. Apabila mendengari sedikit-sedikit, kelihatan pemuda itu tampak neutral tapi masih ada keraguan dengan Islam yang dipergunakan untuk kepentingan politik. Lalu, abang gerai itu pun cuba untuk menerangkan dengan keadaan yang santai.


Lagipun, pemuda itu pun hanya berbual santai, rakyat biasa, jangan pula dilabelkan 'macai' atas kurang fahamannya terhadap politik. Itu parah!

'Ini Kalilah!' slogan yang dilaungkan oleh rakyat Malaysia tika ini, dimana-mana kita boleh dengar, atau membaca slogan ini yang tertulis secara tak langsung atau langsung di ruangan maya atau realiti.

Laungan ini 100% jikalau kebiasaan sekarang pasti mengizzahkan seseorang yang menyokong 'the opposition' atau pembangkang iaitu Pakatan Rakyat. Itu biasa.

Asal usul laungan ini, atau dialek sebutannya yang asli adalah berasal dari Sabah. Orang sabah lebih bangga apabila menyebutnya kerana memang asal dialek sebutan ini di sana.

Saya berpendapat, selain ianya laungan pengizzahan seseorang untuk mengubah kerajaan sedia ada ke arah yang lebih baik, ia juga laungan yang mengeratkan kita dengan rakyat di Borneo khasnya.

Kita dahulu, nak kenal etnik di borneo pun susah, alasannya juga beribu. Hari ini, akses sahaja internet, suku-sakat mereka kita semakin kenali, walau tak semua tapi ada daripada tiada.

Maka saya fikir, laungan perubahan 'Ini Kalilah' ini secara tak langsung membawa kita serumpun rakyat Malaysia yang merdeka. Apabila orang semenanjung tidak berasa janggal untuk menyebutnya bahkan mereka masih tak lupa bahawa ada rakyat senasib mereka di Sabah dan Sarawak yang sudah pasti teramat jarang bersua.

Tapi,
ada juga insan yang begitu taboo dengan laungan ini dan berasa tidak senang duduk dibuatnya.

Ia laungan, lafaz yang diungkapkan oleh rakyat yang ditindas.

Laungan itu tak jijik, tetapi mulia.

Satu lagi,
'Ini Kali Lah!' bukan bom nuklear

MUHAMMAD AFIQ MD NASIR
1 MEI 2013
Ayer Keroh

Semangat Stallion ; Si Kuda yang Tangkas Hanya Pada Manusia yang Penyayang


Kali ini, tajuk entri saya lain dari kebiasaan. Biasanya, saya hanya letak tajuk dengan ayat yang ringkas. Namun, kali ini, tajuk saya perlu jelas untuk menunjukkan isi yang akan saya tulis kali ini tampak cerah dan terarah.

Sebabnya, kali ini saya mahu ketengahkan satu ibrah atau pengajaran atau juga kelembutan nilai yang wujud dalam sebuah filem animasi barat-amerika yang bejudul,

"The Spirit Stallion of The Cimarron"

Sebuah filem animasi barat dari Amerika yang ditayangkan pada tahun 2002 ini mendapat sambutan oleh seluruh negara. Tidak hairanlah dengan jalan cerita dan olahan dengan teknik yang segar, ia mendapat sambutan diluar jangkaan. Pengarah filem ini ialah Kelly Asbury dan Lorna Cook, nah sudah tentu kita tak mengenali mereka tetapi penangan idea mereka memotivasikan orang yang menonton.

Hampir 4 kali saya menonton filem ini. Tiap kali selepas saya selesai menontonnya, saya merenung jauh. Kali pertama saya menontonnya semasa saya di tingkatan 5 atau 4 saya lupa, tonton di TV.

Stallion, itu nama bagi si kuda (mustang). Kuda yang tegap, bewarna coklat-emas, Stallion bagi saya ada beberapa poin yang boleh saya ketengahkan sebagai nilai baik. Antaranya :

1. Tangkas
2. Berani
3. Pemimpin Bertanggungjawab
4. Lembut Hatinya
5. Tidak Menyalahkan Anak Buah

Dalam penceritaan filem ini, kita dapat lihat gambaran suasana yang sebetulnya bagi sebuah kedamaian. Simboliknya ada di situ, semasa di awal filem dan juga semasa Stallion melompat jauh merentasi pemisah dua gunung. Stallion dibesarkan dalam komuniti yang kecil, barangkali komuniti kuda yang terselamat dari ancaman manusia yang durjana!

Konflik keseluruhan cerita bagi saya satu sahaja. Bagaimana Stallion melihat manusia itu dari kacamata sebagai seekor Kuda yang bergelar 'Haiwan' oleh kebiasaan manusia. Stallion sebenarnya tidak kenal siapa itu 'manusia' sehinggalah Stallion menghendap masuk tempat perkhemahan manusia yang sedang nyenyak tidur pada waktu lewat malam. Bukanlah saja-saja Stallion mencari musuh terhadap manusia di situ dengan menghendap masuk kawasan perkhemahan mereka, tetapi apabila Stallion berasa pelik kenapa rakan-rakannya perlu tinggal bersama manusia sedangkan ini bukan tempat mereka selayaknya. Tiba-tiba, manusia di situ terjaga, lalu terus ingin menangkap Stallion.

Sejak dari peristiwa itu, barulah Stallion itu kenal spesis yang bernama 'manusia'.

Saya pada awalnya membiarkan sahaja konflik ini kerana ia konflik biasa yang dilalui oleh semua haiwan. Tetapi apabila pemuda Orang Asli memainkan watak, saya mula tertarik.

Pemuda dari kaum asli ini jugalah seorang manusia. Namun, dari kacamata Stallion, manusia ini lain berbanding manusia yang ia kenal sebelum ini.

Bahagian ini, saya memberikan fokus dalam menghayati cerita ini dengan mata hati. Sebabnya, Stallion yang degil, tangkas dan tidak mudah menyerah kalah itu akhirnya dijinakkan oleh seorang pemuda Orang Asli, caranya bagaimana itu saya serahkan kepada pembaca untuk menontonya kerana bahagian inilah yang menyentuh hati.

Keseluruhannya,
filem ini hidup apabila bagaimana pengarah pandai bermain dengan tempo emosi seiring dengan alunan lagu latar dari penyanyi terkenal suatu ketika dahulu iaitu, Bryan Adams.

Saya terimbas kembali apabila dalam Al-Quran ada surah Al 'Adiyat, dimana Allah SWT bersumpah dengan Kuda perang yang berlari kencang. Dalam surah itu juga, melihatkan bahawa ketangkasan kuda itu berlari kencang menuju ke medan perang. Allah SWT juga menemplak kepada manusia bahawa ramai yang ingkar suruhan-NYA dan tidak bersyukur bahkan sayangkan harta melebihi segala-galanya padahal harta itu datang dari Allah SWT.

Akhirnya,
dalam filem ini, manusia yang memburu harta semata-mata dan sanggup mempergunakan haiwan demi melunaskan nafsu jahat itu, lihatlah, haiwan pun membencikannya.

Tetapi,
jikalau manusia itu penyayang, pemurah, dan redho akan ketentuan takdir, maka percayalah, makhluk Tuhan yang lain akan sayang kepada kita, seluruh isi bumi mendoa'kan yang terbaik buat insan seperti ini.

Kebebasan.

Bebas memilih menjadi manusia Kufur Nikmat atau Syukur Nikmat.

MUHAMMAD AFIQ MD NASIR
30 April 2013
Ayer Keroh

Saya sertakan link untuk melihat filem penuh cerita ini :
http://viooz.co/movies/6275-spirit-stallion-of-the-cimarron-2002.html 

Monday, April 29, 2013

Ilmu Berlari Jikalau Kita Berjalan


Saya sebelum ini, pernah membaca sebuah buku genre novel islam tetapi ia bukan novel cintan yang kebiasaan orang baca. Buku itu sangat baik, saya memilikinya kerana tajuknya yang mampu mengajak saya 'merentas' dunia pelbagai negara. Tajuknya ialah,

"Negeri 5 Menara"

Karya seorang warga indonesia ini, A.Fuadi telah menjadi ganjil di antara rak-rak buku sebuah kedai.

Bukanlah entri kali ini untuk saya kupas lebih lanjut perihal buku ini, mungkin lain hari, tetapi saya mahu berkongsi bahawa, prinsip watak dalam buku ini cukup unik dan segar. Hampir tindakan mereka masih berpegang akan prinsip ini dan saya kira, prinsip inilah para sarjana islam terdahulu atau sesiapapun yang bergelar muslim hari ini mempraktikkanya.

"Man Jadda wa Jadda" - yang memberi maksud, 'kesungguhan akan membuahkan hasil'. Inilah prinsip yang saya maksudkan. Kalau dalam bahasa kita, boleh disama erti dengan 'hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih'. Namun, pepatah arab itu sangat segar.

Ilmu ialah perkara yang tidak nampak, ghaib, tak dapat dipegang oleh tangan. Tetapi kita mampu rasa, amal, dan memperolehinya. Ilmu pun tak memerlukan kita tetapi kita yang perlukan ilmu. Tak hairanlah apabila kita jahil dalam pelbagai perkara kerana kita merasakan dan mengandaikan bahawa ilmu itu akan datang dengan sendirinya kepada kita.

Itu andaian yang silap.


Maka, kita akan 'berjalan' atau mungkin 'duduk diam' dalam mengenal dan mempelajari ilmu walhal sewaktu kita sedemikian, ilmu itu 'berlari' jauh sejauh jauhnya meninggalkan kita atau mungkin ilmu itu akan dimiliki oleh insan yang menagihkannya.

Ilmu kalau nak disyarahkan dari sudut inteleknya atau dibahaskan segala makalah yang terbit hari ini dari pelbagai sarjana kontemporari, memang saya bukanlah orang yang selayaknya. Antara tokoh yang faqih dalam bab ini ialah Prof.Syed Naquib Al-Attas, mungkin para pembaca blog saya boleh mengakses makalah dari beliau selepas ini untuk faham lebih lagi perihal ilmu berkaitan 'ilmu'.

Maka,
andai kita melihat bahawa ilmu itu satu bebanan, maka tunggu sahajalah kemunduran dalam segenap aspek tanpa disedari akal.

Kita pula mendabik, bahawa akulah yang pandai itu dan ini.

Padahal, dia jahil seribu perkara!

UBAH!

MUHAMMAD AFIQ MD NASIR
27 April 2013
Ayer Keroh

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...