Sunday, July 31, 2011

Rintihan Hati Suci

Bismillah,

Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT yang telah banyak memberi kita merasai pelbagai nikmat semenjak kita dilahirkan sehinggalah di saat ini dan sehingga ajal datang menjelma. Lupa kita kadang-kadang untuk bersyukur kepada Tuhan kita sendiri yakni Allah SWT, kerana apa perkara ini sering berlaku? Wahai teman, aku sering terlupa dan lalai dalam mengingati sang Pencipta Alam ini, akibat leka dibuai kesenangan tipu daya dunia ini. Aku tahu dunia ini tempat singgahku yang sementara sahaja bahkan selepas ini, kau dan aku akan menuju ke destinasi kehidupan yang kekal abadi iaitu alam akhirat. Kita semua sedia maklum akan perkara ini. Tetapi kenapa aku masih leka? Kenapa aku masih mengejar dunia sedangkan amalan soleh aku jarang sekali ingin tunaikan? Allah bantulah hambamu ini.

Aku dahulunya pernah melalui satu zaman yang cukup dipenuhi dengan gelak tawa, berfoya-foya apatah lagi bergaul secara berlebihan dengan kaum wanita. Saat ini, pabila aku mengimbau kembali sejarah silam itu, sungguh malu aku pada diri sendiri, dan kadang-kala tersenyum perli pada diri sendiri kerana atas kebodohan aku sendiri, seperti macam tidak percaya aku boleh melakukan perkara seperti itu. Malu pada diri sendiri, dan apabila aku merenung perbuatan aku itu lantas aku mengadu kepada Allah SWT, saat itu aku rasa seolah-olah sia-sia sahaja kehidupan aku sebelum ini dek kerana terlalu banyak dosa aku lakukan, saat aku beruzlah, memohon bantuan kepada Allah SWT, betapa sukarnya untuk aku menghentikan derasnya air mata suci ini jatuh ke bumi, Allah...saat itu aku sangat hiba, sebak, melihat nasib diri ini yang penuh dengan titik-titik hitam di hati suci ini. Aku terasa ingin mencabut hati hitam ini dan buang sejauh-jauhnya.

Aku kini lebih banyak mendiamkan diri, kerana ingin meminimumkan dosa dengan berkata-kata. Akal aku sentiasa berfikir. Mengenang nasib sahabat-sahabat aku di kampus sana, di kampung halaman mereka, di mana jua, dan soalan-soalan yang sering aku soal pada diri sendiri- apakah yang mereka sedang lakukan? Mereka gembira atau tidak? Mereka ada masalah atau tidak? Harap-harap mereka sihat sejahtera menikmati kehidupan ini dengan baik serta soleh dan solehah hendaknya. Kadang-kala berjurai juga air mata merindui sahabat-sahabat muslimin dan muslimat aku di sana, mereka banyak membantu aku baik secara langsung mahu tidak langsung. Mereka sangat berharga dalam hidup aku boleh dikatakan selepas kedua ibu bapa aku. Merekalah sahabatku yang aku akan kenang-kenangkan, kerana aku dahulu tidak mempunyai golongan-golongan kawan seperti ini. Tetapi kenapa saat ini aku dikelilingi oleh sahabat-sahabat yang soleh dan solehah, mereka cintakan Islam, rela membantu apa jua masalah antara satu sama lain. Aku sangat sebak pabila merenung sendirian memikirkan sahabat-sahabat aku di sana.

Oh Allah,

Aku teramat bersyukur kepadaMU ya Allah, hati ini kadang-kala alpa dan lalai mengingatiMU namun Kau telah anugerahkan aku sahabat-sahabat yang boleh mendekatkan diriku ini kepadaMU ya Allah, pabila aku leka mereka menyedarkanku, saat aku menyepi mereka hadir meriangkan, masalah yang berat terjadi ringan..Ya Allah, sesungguhnya aku teramat lemah. Sehinggakan memerlukan pertolonganMU untuk membantuku, semoga Ya Allah, Kau ampunilah dosa-dosa sahabat-sahabatku di sana, berkatilah kehidupan mereka, setiap bait-bait lafaz kata mereka Kau sulamkanlah dengan mutiara kasih sayang Islam ya Allah. Dan saat tibanya ajalku ya Allah, aku berdoa kepadaMU jasadku dikelilingi oleh para sahabatku ya Allah....................aminnn..


MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR

Seorang Hamba yang Lemah

Monday, July 18, 2011

Budak Kaca-Mata di DQ dan Genting Highlands.



Bismillah,

Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT kerana dalam keterbatasan ruang masa yang ada dapat juga Allah SWT memberi kesempatan untuk saya menaip sebuah entri catatan kembara seorang muslim.

Seorang Budak, budak yang berkaca-mata. Budak yang 'nerd' baru segar jejak kakinya di alam kampus kadang kala teruja dengan kehidupan bebas bertamadun. Apa lagi yang perlu ditunggu, pelawaan seorang sahabat mengajak ke Madrasah terkemuka Malaysia. Siapa tak kenal dengan sebuah institusi pendidikan islamis yang diberi nama Darul Quran. Ah, lebih mudah orang kebiasaan memanggil 'DQ' sahaja. Dengan tanpa difikirkan lagi, saya terus menerima pelawaannya. Barangkali siapakah gerangan Budak Kaca-Mata itu ye?

Maka tanggal 8 Januari 2011 adalah tarikhnya. Tarikh dimana satu kembara budak kaca mata itu pergi ke DQ. Kenapa ianya menjadi satu 'kembara'? Siapa tak teruja bila mana pertama kali baru dapat merasai jejak kaki di bumi DQ. Perjalanan dari UKM ke DQ bak kata sahabat saya, tak lama mana. Kami bertiga sebagai pelakonnya dalam kembara ini.

Darul Quran Destinasi 'Pertama'

Selamat tiba kami di DQ. Kami disambut baik oleh adik-adik sahabat saya yakni sahabat saya selaku bekas pelajar disitu. Maklumlah, mereka ada satu slot iaitu slot untuk para-para bakal nuqaba' di DQ itu dan sudah tentu sahabat saya tadilah sebagai penceramahnya. Sebaiknya, ceramah pun bermula…

"Sejuk mata memandanglah suasana kat sini…" saya berkata sendirian namun didengari oleh dua sahabat saya dan barangkali mereka setuju dengan saya. Mata terliar-liar melihat sekeliling, otak terus berfikir sesuatu.

"Agak lapang dan rata bentuk geografi DQ ni yek..tak macam UKM kita tu, bukit je.."

"Itulah unik nya DQ nih..anta ni.." Semacam bangga pula nadanya. Namun saya tidak melawan kerana hakikatnya bentuk bumi DQ agak rata dan unik. Tambahan pula, angin yang agak seronok untuk dilayan perasaan. Mahu lagi menariknya, ada sungai semacam tasik buatan di DQ. Rasa agak nyaman berada di situ.

Kami tak berada lama di DQ, selesai sudah puas menikmati suasana DQ tiba-tiba sahabat saya mengajak untuk ke Genting Highlands. Terus terpana saya dibuatnya, hati melonjak riang mata berkilauan. Gembiranya saya bukan ingin bersuka ria di GH tetapi gembira kerana ingin menikmati cuaca 'Orang Barat' yang dinginnya mencekam tulang putih.

Genting HighLands destinasi 'Kedua' dan terakhir

Kereta yang dipandu oleh sahabat saya seolah-olah baru teruji kekentalan untuk menaiki bukit nan tinggi itu. Risau juga kadang-kadang apabila melihat ragam-ragam yang ditonjolkan oleh sang 4 roda apatah lagi meter minyak di tahap kritikal. Mujurlah sahabat saya berkata ada satu stesen minyak di puncak sana yang berada di GH. Menghela nafas tak terkira, syukur kepada Allah SWT namun hati tetap dalam kerisauan. Usai meletakkan kereta di tempat parker, kami berjalan memasuki 'Kota Hiburan si Mata Sepet'. Tak terkata suhu yang dingin mencengkam tulang seolah-olah tiada guna memakai jaket hitam kerana nipisnya tak terlawan. Saya berjalan dan kadang-kala memeluk tubuh sendiri kesejukkan. Tergelak juga apabila tiada kepulan asap yang keluar di mulut, ah ini bukan oversea nih, kalau kat sana diorang berasap-asap mulut kerana sejuknya. Gurauan hati. Pada waktu itu jam sudah menunjukkan 8 malam lebih kurang. Kami meronta-ronta mencari tempat solat, mujur jumpa satu di tengah kota. Ruang surau yang agak sempit dan ahli surau yang berbilang Negara. Usai solat, kami terus kembali ke kereta untuk pulang. Hakikatnya, kami ingin menikmati cuaca nyaman kesejukkan itu. Cuaca sejuk itu kurniaan Allah SWT, kerdilnya kita apabila saya melihat dari atas GH, tiada ternampak bangunan pencakar langit apatah lagi manusiawi. Kecilnya kita.

Slot muhasabah kembara ini kadang-kala tercetus secara tersendiri. Kerana kembara kita itu bukanlah hanya untuk memperoleh pengalaman tetapi seiringkan dengan muhasabah dan koreksi diri akan penciptaan Allah SWT yang mencipta alam ini. Sesungguhnya, mereka-mereka yang sudah 2 3 kali sampai ke GH ini mungkin rezeki mereka. Namun, jangan dibazirkan pengalaman pertama kali seumur hidup dengan pengisian muhasabah yang lebih bermakna daripada 2 3 kali kita datang tanpa pulangan kebaikkan dalam diri semula. Apatah lagi lebih teruk jika kita datang 2 3 kali semata-mata mengecap nikmat berfoya-foya, melebihkan dunia dan mengeluh sakan tidak memikirkan akhirat yang kekal abadi. Siri kembara saya ini sudah belalu, biarlah ia berlalu namun ibrah menerusi kembara ini dapat saya ambil dan dijadikan pedoman hidup. Itulah nikmat seorang pengembara muslim. Kembaranya yang disaluti dengan pengisian tarbawi, rohani, hatta melatih fizikal supaya kuat dan kental ianya cukup suatu kelebihan.

Kesimpulan

Darul Quran dan Genting Highlands, siri kembara peribadi yang sememangnya telah memantulkan balik perkara positif. Antara 'Kembara Melancong' dan 'Kembara Mendidik' kedua-duanya cukup berbeza. Bezanya adalah niat. Jika kita niatkan kembara itu suatu siri melancong semata-mata maka kita akan dapat kepuasan melancong dengan cenderahati yang pelbagai untuk dibawa pulang menjadikan kenang-kenangan. Tetapi jika niat kita kembara untuk mendidik, maka kita akan dapat kepuasan kembara DAN meningkatkan lagi mutu peribadi muslim kita dalam kita mendekatkan lagi diri kepada Allah SWT dan proses muhasabah berlaku. Wallahua'llam.

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR

Kembara Seorang Muslim

1200PM 19/7/2011

Monday, July 11, 2011

WillPower – Kuasa TEKAD diMaksimumkan..



WillPower – Kuasa TEKAD diMaksimumkan

Bismillah,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam yang menciptakan apa yang ada di langit dan di bumi. Selawat dan salam ke atas Nabi junjungan kita Nabi Muhammad SAW serta para sahabat baginda, para a’lim ulama’ serta para Mujahid yang berjuang di jalan Allah SWT. Kali ini saya teringin untuk menulis satu entri yang berkait rapat antara ‘Kuasa’ dan manusia. Kali ini mungkin ingin menyambung entri saya yang lepas mengenai WillPower dalam Ilmu Sains, tetapi dalam entri ini mungkin lebih memfokuskan kepada pandangan lebih mencapah bukan hanya dipraktikkan dalam Ilmu Sains malah ianya boleh diambil ibrah untuk diresap menjadi peribadi muslim yang unggul dan berkualiti.

Jelas kelihatan produk yang dihasilkan yakni pembentukan manusia untuk ke arah mencapai modal insan kelas pertama hingga ke hari ini amat sedikit bilangannya. Namun Alhamdulillah, lebih baik ada sedikit daripada tiada langsung. Perkara yang ingin saya kaitkan adalah, pandangan peribadi saya mengenai hal ini mungkin bukan berpunca beberapa factor yang sudah ramai ahli intelektual membincangkannya tak kiralah dari sudut masalah kekeluargaan, masalah kewangan, pengurusan diri dan sebagainya. Dari sudut pandang sisi saya adalah, kegagalan sifat ingin tahu itu dalam diri manusia.

Sifat Ingin Tahu

Manusia tak kira di peringkat umur mana sekalipun, sifat ini kurang ditonjolkan. Seseorang yang menonjol sifat ini ada mendapat kelebihannya. Kelebihan dari mendapat info yang lebih, ransangan otak untuk menyoal, gerak badan ke arah pandangan positif, dan sebagainya. Mari kita rujuk makna disebalik WillPower itu.

WillPower – Kuasa Tekad

‘Will’ atau dalam Bahasa Melayu nya adalah ‘Tekad’. Jikalau kita rujuk dalam Kamus Dewan edisi ke-4 ada menyatakan maksud ‘Tekad’ adalah : kemahuan yg sungguh-sungguh (utk mencapai sesuatu), kepercayaan yg sungguh-sungguh, kebulatan hati. Kita fokuskan terhadap perkataan ‘kemahuan yang sungguh-sungguh’. Dengan ini jelas kita tahu, mesej yang ingin saya sampaikan mengenai Kuasa Tekad adalah kuasa yang datang dalam diri manusia yakni kemahuan mereka terhadap sesuatu dengan bersungguh-sungguh. Adapun Kuasa Tekad ini boleh juga kita kaitkan dengan Kuasa Jihad. Kenapa? Jihad adalah kita melaksanakan sesuatu dengan berSUNGGUH-SUNGGUH dalam mencapai matlamat, sudah pasti jika kita mati sewaktu sedang berjihad kita dianugerahkan mati syahid. Jelaslah perkara Kuasa Tekad ini tiada buruknya kerana kuatnya azam kita untuk mencapai sesuatu perkara.

Kuasa Tekad dan Matlamat Tidak Menghalalkan Cara

Apabila kita sudah ketahui, pengertian Tekad adalah dalam melaksanakan sesuatu dengan bersungguh-sungguh dalam mencapai matlamat yang telah digagaskan. Namun, sebagai seorang muslim yang beriman kepada Allah SWT dan mengakui Nabi Muhammad SAW itu pesuruh Allah SWT, maka jangan melampaui batas mengaplikasikan Kuasa ini dengan menghalalkan apa jua cara demi ingin mencapai matlamat. Jangan kita bersungguh sehinggakan sanggup menggadai maruah Islam demi ingin mencapai matlamat peribadi. Contoh mudah boleh kita lihat adalah : si A ingin dapat cemerlang dalam peperiksaan. Matlamatnya : cemerlang dalam peperiksaan. Cara : bersungguh benar si A meniru jawapan si B padahal si A tak pula bersungguh untuk mengulangkaji pelajaran terlebih dahulu.

Mungkin contoh yang saya ketengahkan seakan terlalu mudah, tetapi kepentingan yang ingin saya sampaikan adalah matlamat tidak menghalalkan cara untuk digunapakai. Perlunya kita dapat membezakan antara matlamat baik dan matlamat buruk. Perhatikan : “Saya ingin menjadi pencuri yang berwawasan 2020” – Matlamat baik dan buruk telah dicampuradukkan yakni pencuri (buruk) dan berwawasan 2020 (baik). Kesimpulannya matlamat ini dikategorikan buruk. Kerana matlamat itu sendiri adalah fitrahnya sangat baik kepada manusia sejagat. Ianya tidak boleh dimanipulasikan dengan kenyataan kononnya baik tetapi buruk. Dengan itu, apabila kita sudah ‘set’ kan matlamat kita yang cukup cemerlang pada awalnya maka sudah pasti kesungguhan kita (Kuasa Tekad) akan membuak-buak dan menggunakan cara yang betul untuk mencapai matlamat itu tadi dan menolak – Matlamat menghalalkan cara.

WillPower (Kuasa Tekad) dalam siri para Sarjana Islam

Mari kita singkapi antara beberapa contoh ibrah boleh diambil hal-hal berkait rapat dengan Kuasa Tekad ini dalam diri Sarjana Islam terdahulu. Siapa tak kenal dengan Sarjana islam terkemuka yakni Al-Khawarizmi. Al-Khawarizmi yang mempelajari ilmu nombor dan berjaya mewujudkan teori matematik paling berpengaruh iaitu “AlGebra” atau al jabar dimana diakui oleh seluruh para sarjana timur selatan barat utara bumi akan ilmu beliau ini. Bagaimana beliau boleh mencetus teori sedahsyat ini sehinggakan kita rata-rata sungguh sukar untuk memahami 100% ilmu algebra ini? Mulanya adalah apabila tercetus minat beliau untuk mendalami ilmu nombor. Maka beliau musafir ke negara India untuk menemui seorang sarjana India yang mahir dalam ilmu nombor, maka Al-Khawarizmi telah berjumpa dengan Sarjana India bernama Kankah. Pada asalnya, Kankah tidak mahu untuk mengajarnya tetapi sifat Tekad Al-Khawarizmi maka dipujuknya kali kedua barulah Kankah ingin mengajar beliau dalam ilmu nombor.

Selesai sudah ilmu nombor diajar kepada Al-Khawarizmi, lalu Kankah berkata :

“Sekarang kamu telah tahu tentang aritmetik India. Saya tidak berasa kesal kerana mengajar salah satu rahsia India kepadamu. Jika benar jangkaan saya, kamu akan menjadi bapa matematik dan mengajar matematik kepada seluruh dunia,” kata Kankah kepada al-Khawarizmi.

Kankah memberikan kepada al-Khawarizmi sebuah kitab tentang aritmetik India.

Begitulah contoh sifat Kuasa Tekad yang ditonjolkan oleh Al-Khawarizmi dalam beliau menelaah ilmu hisab yakni matematik di India dan keinginan beliau untuk mengetahui angka sifar yang tidak dikembangkan oleh sarjana India. Apa yang menarik perhatian adalah kata-kata dari Imam As-Syafie’ :
“Barangsiapa yang belajar ilmu hisab, dia mempunyai pandangan yang jauh serta pemikiran yang tajam.” (Imam Syafie)


Antara Ghairah,Tekad dan Usaha

Sebenarnya ghairah dan tekad seolah-olah rakan karib yang sukar dipisahkan. Kunci utama tekad adalah sudut pandang positif yang diberikan kepada diri kita untuk mencapai matlamat yang kita idamkan. Secara automatiknya, usaha akan wujud. Ianya tidak akan tercapai istilah WillPower itu jika tiada usaha dari diri kita, bahkan tekad tidak wujud tanpa usaha. Apatah lagi ingin melihat matlamat itu tercapai. Disini kita dapat lihat, percambahan Kuasa Tekad ini telah berjaya menghasilkan doman lain yakni USAHA. Lihat definisi awal mengenai Tekad, usaha akan wujud itu pasti.

Kesimpulan

Berbalik kepada hal berkaitan dengan Modal Insan Kelas Pertama, saya ingatkan kembali, mungkin pandang sudut saya adalah merujuk kepada pengkelasan yakni pengkelasan dari sudut sifat dan dengan itu saya merasakan sifat atau Kuasa Tekad (WillPower) menjadi salah satu perkara perlu dilihat untuk membentuk Modal Insan kelas pertama selari dengan apa yang dituntut dalam Islam. Seseorang akan berjaya di dunia dan akhirat dengan memaknakan apa yang kita katakan TEKAD. Mungkin anda boleh meneladani Kartun Jepun iaitu animasi terkenal “NARUTO” dalam mengambil sisi motivasi TEKAD dalam penceritaan kartun itu. Jika saya ingin mengulas secara terperinci ibrah penonjolan dalam kartun ini mungkin sudah tersasar entri saya kali ini. Mungkin di lain hari saya akan cuba mengetengahkan bagaimana pemikiran Jepun dalam mendidik rakyatnya hatta melalui Kartun popular mereka NARUTO. Point disini adalah TEKAD boleh memainkan peranan besar dalam diri manusia. Semoga saya dan anda sama-sama berTEKAD untuk berjaya di dunia dan akhirat. InsyaAllah.

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR
Kembara Seorang Muslim
11/7/2011 – 12.50 PM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...