Saturday, November 10, 2012

Usrah Penggugat Pemerintah Diktator


Kita tak lari dengan istilah 'Usrah' di mana-mana sahaja kita berada. Sebelum saya mengulas lebih perkaitan antara usrah dan pemerintah diktator, lebih sesuai saya memberitahu apa itu usrah dan juga apa makna pemerintah diktator.

Kefahaman Ringkas Mengenai Usrah

Usrah, jikalau kita lihat dalam makna bahasa menurut kamus dewan edisi ke-4 ia bermaksud : Perkumpulan yang melibatkan kegiatan agama seperti perbincangan sesuatu tajuk. Itu adalah makna yang sangat jitu dan sudah pasti gagal dilihat dengan kerangka yang lebih meluas.

Antara cabang-cabang tarbiyyah (Didikan) dalamnya ada merangkumi aspek Usrah. Usrah adalah satu sistem yang ditakdir Allah demi membentuk peribadi muslim yang unggul lantas proses permulaan ini adalah merupakan titik mula menuju Ustaziyatul 'Alam.

Secara praktikalnya, usrah terdiri dari ahli dengan bilangan yang kecil dan mempunyai seorang naqib/naqibah (Pemantau). Dalam kelompok yang kecil inilah mereka bersama-sama setiap masa. Ia mudah disamakan dengan 'Study Group', sistem yang sama cuma pendekatan dan penekanan yang fleksibel malah nikmat bersama turut berbeza. Dalam Islam sudah wujud sistem lebih efisyen yakni USRAH.

Apa Makna Pula Dengan Pemerintah Diktator

Diktator ini adalah, pemerintah mutlak, terutamanya yang merampas kuasa tanpa mengikut per­lem­bagaan dan menggunakannya secara zalim. Jelas pembobrokan diktator ini di negara-negara timur tengah, seperti di Syria, Tunisia, dan lain-lain. Kezaliman yang dilakukan oleh pemerintah seperti ini sudah pasti wajib digulingkan kerana mencabul norma rakyat yang menginginkan kehidupan yang harmoni dan berkebajikan.

Penyelewengan pemerintah seperti ini tidak patut wujud dalam dunia. Hakikat, penzalim ini perlu diusir sekeras-kerasnya dan hanya orang-orang yang ditarbiyyah sahaja mampu memiliki hati jiwa yang kental bahkan berani mengusir pemerintah ini dari terus menerus membuat onar di bumi Allah yang mulia ini.

Masalahnya, siapa dan bagaimana?

Pemahaman Sempit Tentang Cara Pandang Usrah dan Tarbiyyah

Baik,
Adapun usrah yang dimaksudkan di awal tadi merupakan antara cabang-cabang tarbiyyah yang wajib dilalui oleh setiap insan muslim. Cuma, kita perlu melihat Usrah dengan kerangka yang lebih luas dengan pemahaman tarbiyah yang syumul (menyeluruh).

Usrah yang dilaksanakan masa kini kebanyakkannya dilaksanakan dengan fleksibel cara kendalian usrah oleh para nuqaba'. Tak jadi masalah. Cuma masalahnya adalah apabila kebanyakkan kita melihat usrah itu di masjid, usrah itu tazkirah agama, usrah itu mengongkong, usrah itu perlu 'sweet-sweet' dan bermacam lagi.

Dan lebih parah lagi apabila ada dalam kalangan kita melihat usrah itu hanya didikan rohani jiwa atau dikenali sebagai tarbiyyah ruhiyyah. Ini adalah kefahaman tarbiyyah yang begitu sempit lagi menyempitkan. Bagaimana kita ingin melihat produk usrah ini mampu menggoncang dunia jika pemahaman usrah hanya dilihat sebagai tarbiyyah ruhiyyah semata-mata?

Saya jelas mengatakan bahawa, Usrah yang baik adalah mampu mengeluarkan produk ahli usrah yang unggul merangkumi pelbagai aspek.

Usrah, dalam usrah itu adanya tarbiyyah. Hakikat ini perlu disedari dan diamati oleh setiap ahli usrah dan para nuqaba'. Jangan lupa, usrah BUKAN lagi merujuk kepada TARBIYYAH RUHIYYAH semata-mata!

Para 'alim ulama' Islam telah menggariskan panduan yang jelas mengenai TARBIYYAH. Antaranya ialah :
  1. Tarbiyyah 'Aqliyyah
  2. Tarbiyyah Jasadiyyah
  3. Tarbiyyah Ijtima'ie
  4. Tarbiyyah Jihad
  5. Tarbiyyah Siasiyyah
  6. Tarbiyyah Ruhiyyah
Dan bagi sesiapa yang menyempitkan fikiran dengan melihat tarbiyah adalah ruhiyyah semata-mata maka bagaimana lagi 5 yang lain tercampak?

Usrah ; Tarbiyyah 'Aqliyyah

Seorang nuqaba' yang bijak adalah mampu mewujudkan ahli usrahnya suasana berfikir dengan kritis dan cekap. Perbahasan atau pendebatan antara ahli usrah dan nuqaba' pasti mendidik akal untuk lebih keterhadapan dalam apa jua isu yang didebatkan atau dibahas. Contoh mudah, masa kini, Irsyad Manji dengan pengeluaran bukunya yang menimbulkan kontroversi tentang Islam dengan memperjuangkan Islam Liberal, adakah ahli usrah mampu mendepani isu ini dengan pemahaman yang jelas tentang makna Islam Liberal itu sendiri?

Makna kata, usrah yang baik adalah mendidik akal untuk sentiasa membaca pelbagai isu dan ilmu. Agar memboleh setiap ahli usrah bertukar-tukar pandangan dan hujah menerusi hasil pembacaan masing-masing dan dengan ini sudah pasti mewujudkan ahli usrah yang berilmu.

Usrah ; Tarbiyyah Jasadiyyah

Ingin melihat ahli usrah menjadi pemimpin berjiwa rakyat suatu hari nanti. Maka, pemimpin yang berjiwa rakyat perlu menjaga kesihatan diri demi keberlangsungan kerjanya dapat dijayakan dengan optimum. Begitu juga dengan setiap ahli usrah. Usrah juga mendidik supaya kita sentiasa sihat tubuh badan, kuat dan bertenaga.

Usrah ; Tarbiyyah Ijtima'ie

Mendedahkan ahli usrah dengan didikan terjun ke medan realiti. Kita tak mahu lagi usrah bersifat dalaman dengan hanya kita-kita sahaja, tetapi usrah mampu membawa terjun ke medan sebenar yang penuh cabaran. Di sini, baru kita kenal sepak terajang susah payah berdakwah dan perjuangan kebenaran dimana lambakan manusia yang pelbagai kerenah.

Usrah ; Tarbiyyah Jihadiyyah

Bagaimana usrah mampu mendidik kita agar senantiasa bersungguh dalam apa jua pekerjaan yang dilakukan. Dalam mendepani dakwah dan perjuangan, kerja perlu bersungguh, dan pasti nikmat dan didikan ini mampu memberi kebaikan dalam aspek-aspek lain seperti akademik, alam pekerjaan dan lain-lain.

Bahkan, didikan jihad ini menuntut ahli usrah agar mendidik diri agar bersiap sedia dengan kesanggupan menyerahkan apa jua yang dipinjamkan oleh Allah ini demi keberlangsungan Islam bertapak di Bumi.

Usrah ; Tarbiyyah Siasiyyah

Siasah adalah politik. Islam tak memisahkan politik dalam Islam. Ianya jelas termaktub dalam sirah Nabi SAW bahkan politik pun juga wujud selepas kewafatan Baginda dalam kerajaan-kerajaan Islam selepas itu.

Bagaimana usrah mampu mendidik ahlinya agar menjadi seorang ahli politik Islam yang mengikut syariat. Dalam konteks Malaysia pada hari ini, ianya masih ada ruang untuk pertukaran kerajaan jika kerajaan sedia ada tidak memuaskan hati rakyat, ianya adalah ruang demokrasi dan Malaysia menggunakan wasilah Pilihanraya Umum sebagai hasil demokrasi suara rakyat untuk memilih kerajaan yang layak.

Maka, bagaimana usrah mahu mendidik agar ahlinya faham ilmu-ilmu asas dalam urus tadbir sesebuah negara. Pemahaman tentang sistem berparlimen, Perlembagaan Negara, Akta-akta yang wujud dan sebagainya.

Menjadi ahli politik yang baik ada 3 :
  1. Bijak
  2. Pantas dan Cekap
  3. Berani
Usrah ; Tarbiyyah Ruhiyyah

Dan tarbiyyah ruhiyyah juga tidak dilupakan. Ia bukan didikan yang utama tetapi ANTARA didikan yang utama dalam usrah. Maka, sememangnya, usrah juga tempat mendidik ahlinya agar hati jiwa senantiasa dekat dengan Allah. Sesungguhnya, apa yang ada pada kita semuanya hanya pinjaman semata-mata yang perlu dipulangkan kembali pada Allah 'Azza Wa Jalla.

Maka,
saya sudah menjelaskan apa yang perlu dijelaskan. Sudah pasti produk yang terhasil apabila kita faham akan makna tarbiyyah dari kerangkan yang lebih syumul dan meluas akan menggugat posisi pemerintah yang diktator.

Produk ahli usrah selepas melalui siri-siri tarbawi ini telah cukup pakejnya untuk menjadi seorang ahli yang unggul lantas golongan ini pasti akan ditentang sehabis baik oleh mana-mana diktator yang tergugat dengan USRAH seperti ini.

Ingat, Usrah adalah penggugat, jika hasil usrah tidak mampu menggugat pemerintah yang zalim dan dakwah islam yang tak berkesan, maka usrah itu gagal.

Moga Allah melimpahkan rahmat seluruh umat Islam khususnya di Malaysia tempat saya menabur bakti demi Islam.

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR
11 November 2012
Melaka




























 


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...