Monday, July 18, 2011

Budak Kaca-Mata di DQ dan Genting Highlands.



Bismillah,

Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT kerana dalam keterbatasan ruang masa yang ada dapat juga Allah SWT memberi kesempatan untuk saya menaip sebuah entri catatan kembara seorang muslim.

Seorang Budak, budak yang berkaca-mata. Budak yang 'nerd' baru segar jejak kakinya di alam kampus kadang kala teruja dengan kehidupan bebas bertamadun. Apa lagi yang perlu ditunggu, pelawaan seorang sahabat mengajak ke Madrasah terkemuka Malaysia. Siapa tak kenal dengan sebuah institusi pendidikan islamis yang diberi nama Darul Quran. Ah, lebih mudah orang kebiasaan memanggil 'DQ' sahaja. Dengan tanpa difikirkan lagi, saya terus menerima pelawaannya. Barangkali siapakah gerangan Budak Kaca-Mata itu ye?

Maka tanggal 8 Januari 2011 adalah tarikhnya. Tarikh dimana satu kembara budak kaca mata itu pergi ke DQ. Kenapa ianya menjadi satu 'kembara'? Siapa tak teruja bila mana pertama kali baru dapat merasai jejak kaki di bumi DQ. Perjalanan dari UKM ke DQ bak kata sahabat saya, tak lama mana. Kami bertiga sebagai pelakonnya dalam kembara ini.

Darul Quran Destinasi 'Pertama'

Selamat tiba kami di DQ. Kami disambut baik oleh adik-adik sahabat saya yakni sahabat saya selaku bekas pelajar disitu. Maklumlah, mereka ada satu slot iaitu slot untuk para-para bakal nuqaba' di DQ itu dan sudah tentu sahabat saya tadilah sebagai penceramahnya. Sebaiknya, ceramah pun bermula…

"Sejuk mata memandanglah suasana kat sini…" saya berkata sendirian namun didengari oleh dua sahabat saya dan barangkali mereka setuju dengan saya. Mata terliar-liar melihat sekeliling, otak terus berfikir sesuatu.

"Agak lapang dan rata bentuk geografi DQ ni yek..tak macam UKM kita tu, bukit je.."

"Itulah unik nya DQ nih..anta ni.." Semacam bangga pula nadanya. Namun saya tidak melawan kerana hakikatnya bentuk bumi DQ agak rata dan unik. Tambahan pula, angin yang agak seronok untuk dilayan perasaan. Mahu lagi menariknya, ada sungai semacam tasik buatan di DQ. Rasa agak nyaman berada di situ.

Kami tak berada lama di DQ, selesai sudah puas menikmati suasana DQ tiba-tiba sahabat saya mengajak untuk ke Genting Highlands. Terus terpana saya dibuatnya, hati melonjak riang mata berkilauan. Gembiranya saya bukan ingin bersuka ria di GH tetapi gembira kerana ingin menikmati cuaca 'Orang Barat' yang dinginnya mencekam tulang putih.

Genting HighLands destinasi 'Kedua' dan terakhir

Kereta yang dipandu oleh sahabat saya seolah-olah baru teruji kekentalan untuk menaiki bukit nan tinggi itu. Risau juga kadang-kadang apabila melihat ragam-ragam yang ditonjolkan oleh sang 4 roda apatah lagi meter minyak di tahap kritikal. Mujurlah sahabat saya berkata ada satu stesen minyak di puncak sana yang berada di GH. Menghela nafas tak terkira, syukur kepada Allah SWT namun hati tetap dalam kerisauan. Usai meletakkan kereta di tempat parker, kami berjalan memasuki 'Kota Hiburan si Mata Sepet'. Tak terkata suhu yang dingin mencengkam tulang seolah-olah tiada guna memakai jaket hitam kerana nipisnya tak terlawan. Saya berjalan dan kadang-kala memeluk tubuh sendiri kesejukkan. Tergelak juga apabila tiada kepulan asap yang keluar di mulut, ah ini bukan oversea nih, kalau kat sana diorang berasap-asap mulut kerana sejuknya. Gurauan hati. Pada waktu itu jam sudah menunjukkan 8 malam lebih kurang. Kami meronta-ronta mencari tempat solat, mujur jumpa satu di tengah kota. Ruang surau yang agak sempit dan ahli surau yang berbilang Negara. Usai solat, kami terus kembali ke kereta untuk pulang. Hakikatnya, kami ingin menikmati cuaca nyaman kesejukkan itu. Cuaca sejuk itu kurniaan Allah SWT, kerdilnya kita apabila saya melihat dari atas GH, tiada ternampak bangunan pencakar langit apatah lagi manusiawi. Kecilnya kita.

Slot muhasabah kembara ini kadang-kala tercetus secara tersendiri. Kerana kembara kita itu bukanlah hanya untuk memperoleh pengalaman tetapi seiringkan dengan muhasabah dan koreksi diri akan penciptaan Allah SWT yang mencipta alam ini. Sesungguhnya, mereka-mereka yang sudah 2 3 kali sampai ke GH ini mungkin rezeki mereka. Namun, jangan dibazirkan pengalaman pertama kali seumur hidup dengan pengisian muhasabah yang lebih bermakna daripada 2 3 kali kita datang tanpa pulangan kebaikkan dalam diri semula. Apatah lagi lebih teruk jika kita datang 2 3 kali semata-mata mengecap nikmat berfoya-foya, melebihkan dunia dan mengeluh sakan tidak memikirkan akhirat yang kekal abadi. Siri kembara saya ini sudah belalu, biarlah ia berlalu namun ibrah menerusi kembara ini dapat saya ambil dan dijadikan pedoman hidup. Itulah nikmat seorang pengembara muslim. Kembaranya yang disaluti dengan pengisian tarbawi, rohani, hatta melatih fizikal supaya kuat dan kental ianya cukup suatu kelebihan.

Kesimpulan

Darul Quran dan Genting Highlands, siri kembara peribadi yang sememangnya telah memantulkan balik perkara positif. Antara 'Kembara Melancong' dan 'Kembara Mendidik' kedua-duanya cukup berbeza. Bezanya adalah niat. Jika kita niatkan kembara itu suatu siri melancong semata-mata maka kita akan dapat kepuasan melancong dengan cenderahati yang pelbagai untuk dibawa pulang menjadikan kenang-kenangan. Tetapi jika niat kita kembara untuk mendidik, maka kita akan dapat kepuasan kembara DAN meningkatkan lagi mutu peribadi muslim kita dalam kita mendekatkan lagi diri kepada Allah SWT dan proses muhasabah berlaku. Wallahua'llam.

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR

Kembara Seorang Muslim

1200PM 19/7/2011

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...