Wednesday, January 18, 2012

Kisah Budak Saintis : Permulaan Sebuah Kehidupan di Bumi Matrikulasi


Foto 2010 : Rakan-rakan praktikum F3P5 di Matrikulasi

Adakah perkara itu akan berulang kembali? Saat itu, tiada ungkapan yang dapat diterjemahkan melainkan air mata deras jatuh ke bumi kesyukuran kepada Allah.

Saat yang tidak akan saya lupakan.

Jejak kaki saya ke matrikulasi menjanjikan satu cabaran besar buat diri saya yang tidaklah bijak sebijak abang saya. Namun, atas usaha saya di teknik alhamdulillah Allah memberikan natijah yang setimpal dengan usaha, lalu meneruskan pengajian di matrikulasi. Mulalah doktrinisasi menerjah oleh setiap orang kepada saya.

Matrik susah!

Matrik kena 'rushing'!

Akhirnya saya nekad. Tetap dengan pendirian untuk teruskan pengajian di matrikulasi meskipun hati masih berbelah bagi. Berbelah bagi disebabkan melihat diri ini yang lambat tangkap semasa belajar apatah lagi apabila diberitahu bahawa matrik perlu 'rushing' dalam belajar kerana tempoh pengajian yang pendek iaitu selama satu tahun sahaja! Oh Allah..

Saya tetap ingin meneruskan pengajian. Mendapat tawaran ke Matrikulasi Melaka dalam jurusan Sains Fizikal selama satu tahun pengajian.

Percaya pada diri ketika itu. Penuh pengharapan saya kepada Allah, mak abah tiada menghalang bahkan memberi sokongan kepada saya.

SEMASA HARI PENDAFTARAN

"masih buruk lagi matrikulasi nih" abang saya mula mengkritik bekas matrikulasinya.
"entah, aduuh teknik dulu buruk takkan lah matrik pun buruk juga?" saya menambah perisa.

Hakikat memang itulah gambarannya. Bangunan matrikulasi yang berdindingkan batu-bata besar tanpa disimenkan apatah lagi dicat. Tapi realitinya, matrik ini telah mengeluarkan pelajar-pelajar yang berwawasan dan intelektual walaupun bangunan yang hidup segan mati tak mahu.

Proses pendaftaran sedang giat berlangsung. Kehadiran pelajar-pelajar baharu bersama-sama keluarga mereka menceriakan lagi suasana hari pendaftaran. Bahkan ada juga sampai 2 3 buah kereta yang hadir semata-mata ingin melihat anaknya belajar di matrikulasi. Di ruang-ruang wakaf telah dipenuhi oleh keluarga untuk bersama anaknya menjamu selera selepas selesai urusan penginapan asrama dan sebagainya. Pelbagai ragam waktu itu. Sungguh menceriakan suasana walaupun hati setiap pelajar baharu itu sedang berat untuk meninggalkan keluarga dan menyambung pengajian dalam suasana yang baharu dari sebelumnya.

Saya juga begitu.

MINGGU ORINTASI PELAJAR

Percaya atau tidak, inilah kali pertama saya berjauhan dengan mak abah. Hidup di suasana asrama, cuma di matrikulasi bilangan penghuninya sedikit iaitu satu bilik hanya 4 orang sahaja. Selesa.

Kalau kita sukar nak praktikkan kepentingan menepati masa, saya rasa minggu orintasilah medan latihan yang menguji diri terhadap menepati masa yang sesuai. Allah SWT juga telah berfirman dalam surah Al-'Asr yang bermaksud :

"Demi Masa!,(1) Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian (2) Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.(3)"

Banyak perkara yang didedahkan kepada pelajar baharu oleh pensyarah-pensyarah dan fasilitator. Biasiswa, cara hidup, kursus, kokurikulum dan sebagainya diterangkan satu per satu. Fokus para pelajar ini mendengar dan ada juga yang mencatat dalam buku nota masing-masing. Maklumlah, pengajian mereka kali ini berbeza di alam persekolahan. Kalau boleh, hendak sahaja mereka rakam dengan perakam suara lalu didengar berulang-ulang. Takut-takut terlepas.

Setiap pelajar semasa minggu ini mereka perlu berpakaian kemas. Formal. Cukup teruja saya apabila melihat diri saya tatkala memakai pakaian kemeja berkolar,bertali leher dan berkasut kulit bewarna hitam. Gembira. Ada juga perasaan bangga diri.

"Matang juga aku berpakaian begini.." hati saya mula berbicara kecil. Baju kemeja yang saya pakai waktu itu adalah kepunyaan abang saya sendiri. Baju itulah yang abang saya pakai sewaktu dia berada di matrikulasi. Kasut, tali leher, semuanya kepunyaan abang saya. Hanya ada sehelai baju kemeja baharu kepunyaan diri saya sendiri yang dibeli oleh emak. Barangkali itu baju hadiah dari emak saya kerana gembira melihat anaknya dapat ke tawaran matrikulasi. Saya pun tidak menduga dapat baju tersebut.

Terima Kasih Emak!

Walaupun hari demi hari berlalu, minggu orintasi kian melabuhkan tirainya. Sungguh, mencari kawan-kawan baharu di tempat yang baharu ini cukup sukar. Sifat saya yang kurang peramah dengan orang menyusahkan lagi keadaan.

"afiq! jom kita pergi ke dewan kuliah 1. Jadual belajar ada ditampal kat situ dan pengagihan praktikum. Esok dah mula belajar, kalut nanti kalau tak tengok." rakan sebilik saya Mustaqim mengajak saya ke sana.

"oh yeke? jom!" Saya menerima pelawaan itu. Jujurnya, saya tidak tahu pula ada kenyataan jadual belajar dan pengagihan praktikum telah ditampal di sana. Mujur mustaqim mengajak saya. Tidaklah saya terpinga-pinga pada hari esok.

"err F3P5?" Saya mula kebingungan sebaik sahaja melihat nama saya tercatat dan mendapat praktikum F3. Saya menerima sahaja tanpa banyak soalan, jadual belajar mengikut praktikum saya catat sungguh-sungguh. Praktikum yang saya dapat ini adalah sama dengan apa yang abang saya dapat. Abang saya juga dahulu F3. Allah yang Maha Mengetahui.

Kembali ke asrama dengan perasaan semangat dan takut. Takut dengan situasi.

Esok bermulalah episod kehidupan dalam pengajian di bumi matrikulasi yang penuh cabaran dan ujian. Masih juga terngiang-ngiang di fikiran, adakah aku mampu untuk menamatkan pengajian matrikulasi ini? Jikalau abang aku, ianya memang mustahil kerana prestasi akademiknya yang cemerlang sejak UPSR lagi hingga ke SPM nya serta pelajar di MRSM Serting. Tetapi aku?

Budak teknik bukit piatu. Menaiki motosikal wave 100 ke sekolah tiap-tiap hari. Tidak bersungguh dalam kelas. Pernah ditampar oleh guru fizik.

Adakah aku mampu?

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR
18 Januari 2012

Friday, January 13, 2012

Kisah Budak Saintis : Mencari Kekuatan Dalam Kelaparan


Foto 2010 : Bersama sahabat-sahabat di Matrikulasi


Hari ini sudah terlaksana 3 kertas peperiksaan akhir semester. Ada 2 lagi baki untuk aku capai erti merdeka oleh kebiasaan orang melafazkannya.

Selesai sudah menunaikan solat jumaat di masjid UKM, aku terus memecut pulang ke kolej kediaman. Niat di hati ingin menelaah subjek fizik moden yang berbaki agar pengharapan masuk apa yang dibaca di saat genting sebelum aku melangkah masuk ke dewan peperiksaan pada jam 3.30 petang.

Huh, keluh aku apabila masih tiada juga 'roomate' di dalam bilik aku semenjak kebelakangan ini. Entah ke mana dia menghilang, mungkin berada di samping rakan-rakan untuk belajar barangkali seperti yang aku buat. Nota yang tersimpan aku capai. Meneliti setiap definisi fizik di nota-nota terus memberikan ku momentum minat kembali berputik. Tapi sayang,ianya hanya di meja peperiksaan sahaja dan apabila keluar dari dewan semangat itu kembali pudar. Pudar seketika..

Leka aku menelaah, jam sudah tepat pukul 3 petang. Aku bergegas kerana bukan aku takut aku lewat masuk tetapi bimbang apabila melihat langit yang gelap. Takut-takut hujan di perjalananku ke sana. Mujur sahabatku izinkan ku meminjam motosikalnya bolehlah untuk aku memecut laju ke dewan peperiksaan.

Moto aku 'press' selaju mungkin. Aku mula bimbang apabila terasa titisan hujan mula jatuh ke bumi. Di pertengahan jalan, hujan renyai turun. Aku menggagahkan untuk terus membawa moto walaupun seluar aku sudah basah-basah. Saat beberapa ketika, hujan tiba-tiba turun dengan lebat. Niat di hati ingin sahaja untuk aku teruskan membawa moto sehingga sampai ke dewan, tetapi malangnya seluar dan baju aku basah kuyup dengan cepat sekali. Aku 'parking' motosikal dengan pantas bergegas berlari masuk ke bangunan Pusanika. Oh Allah, bajuku basah kuyup, jaket yang ku pakai tidak membantu apa-apa. Mula sejuk menyelubungi diri. Aku berjalan perlahan.

Badan aku mula terasa lemah. Disebabkan tidak memakan nasi dengan secukupnya akhir-akhir ini dek kerana wang saku yang sudah habis. Dalam keadaan lapar, aku berjalan perlahan-lahan menuju ke pejabat PMUKM untuk menumpang letak helmet aku disana. Aku mencari kekuatan dalam keadaan lapar ini dengan mengimbas kembali sejarah Nabi Muhammad SAW yang sanggup berlapar semasa menggali parit khandak bersama-sama para sahabat. Tidak cukup dengan itu, aku memotivasikan diri dengan mengimbas bagaimana pelajar perempuan Nik Nur Madihah yang cemerlang SPM nya melatih diri dengan berpuasa sunat isnin-khamis apabila keluarganya yang tak mampu untuk perbelanjaan makanan yang cukup. Hanya roti sebagai makanan kebiasaan Madihah.

Ya Allah, sesungguhnya kelaparan yang sedang aku alami ini tidaklah sedahsyat hambaMU yang lain itu. Mereka cukup tabah dan kuat menghadapinya. Namun aku masih mudah mengeluh, seperti inginkan 'nasi ayam' jatuh dari langit apatah lagi untuk bersyukur.

Aku melihat jam di telefon bimbit. Sempat lagi untuk aku berjalan kaki ke dewan peperiksaan. Aku mengikut laluan fakulti sains sosial sebagai jalan alternatif mengelak dari hujan. Alhamdulillah, aku sampai di Dewan peperiksaan pada pukul 3.20 petang. Kelihatan masih ada lagi pelajar-pelajar yang berada di luar dewan. Ada yang sedang membaca, ada yang berdoa', pelbagai ragam.

Namun aku hanya dalam kesejukan yang melampau.

Sehingga tamat peperiksaan,kesejukan semakin menjadi-jadi tambahan perut yang tidak berisi dengan makanan.

Badan aku lemah walaupun kelihatan gagah. Hipokrit!

Terus aku pergi ke motosikal sahabatku semula. Jauh. Gagahkan sahaja melangkah. Aku singgah sebentar menunaikan solat asar di surau PTSL. Tenang di situ..

Aku mula ingin mengisikan perut ini dengan makanan. Dek kerana badanku yang lemah tak bertenaga. Usai solat, aku terus ke kafe pusanika dan syukur masih ada lagi makanan. Niat dihati untuk beli makanan yang murah-murah sahaja, kalau ada yang paling murah maka itulah dijadikan pilihan utama. Mee Kari menjadi pilihanku kerana ia murah dan sedap.

"makcik, erm mee kari satu ye.." aku mula berbicara.
"ok" ringkas makcik itu menjawab.
Aku menanti dengan hati yang riang.

"aduuh, mee nya sudah habis.." balas makcik itu kepada aku. Aku terdiam.

Sungguh, duit yang ada padaku hanya RM50 sahaja yang dikirimkan oleh emak. Duit ini yang baru dikirim semalam kerana atas permintaan aku untuk emak mengirimnya. Sungguh aku malu untuk meminta pada ibu bapa aku kerana mereka lebih memerlukan duit untuk menyara perbelanjaan seharian. Walaupun di rumah hanya emak dan abah aku sahaja yang tinggal. Emak yang kuat dan tabah menjaga abah yang sakit lumpuh separuh-suku badan. Aku mudah menitis air mata apabila melihat keadaan abah. Ya Allah..

Aku terus ke motosikal sahabatku. Memecut laju pulang semula ke kolej kediaman. Singgah sebentar ke kafe kolej untuk membeli makanan. Kali ini, jika ingin mee kari di situ pasti mahal harganya. Entah kenapa terdetik untuk aku membeli nasi berlauk.

"erm semuanya RM3.50.." kakak yang menjaga kaunter itu memberi respon sebaik sahaja aku menghulurkan makanan yang aku ambil tadi.

Sejujurnya, harga itu cukup mahal bagiku kerana aku membuat bajet untuk makan paling maksimum Rm3 sahaja, dan mee kari di kafe pusanika tadi hanya RM2.50. Kerana Rm50 yang ada pada aku ini adalah amanah. Amanah untuk aku cukup makan minum di UKM ini, amanah dari emak abah. Wajib untuk aku berjimat-cermat sehingga aku pulang ke rumah apabila selesai peperiksaan nanti.

Cepat-cepat aku menukar pakaian lain kerana kesejukan baju yang basah. Menggigil. Aku duduk di meja belajar, membuka bungkusan makanan dengan cermat. Menadah tangan memohon doa' keberkatan, tiba-tiba aku sebak melihat nasi. Terasa bersyukur sangat saat nasi itu berada di kerongkongku. Allah...aku lemah. Lemah dalam ujian sikitMU ini. Sudah seminggu aku tidak berwang, aku hanya dibelanja oleh sahabat-sahabatku untuk makan dan minum. Sungguh aku malu walaupun dibelanjakan. Kerana aku takut, aku tidak berjaya sampai ke tahap Al-Itsar dalam persahabatan. Mendahulukan sahabat lebih berbanding diri sendiri - Al Itsar. Sungguh mereka cukup menyentuh hatiku.

Ya Allah, didiklah diri hambaMU ini untuk sentiasa bersyukur, kerana aku mudah leka dan lalai apabila diberi nikmat kesenangan. Ya Allah, Engkau ampunkanlah dosa emak dan abahku kerana mereka amat bermakna dalam hidupku, Ya Allah, Engkau berkati dan lindungilah sahabat-sahabat ku, kerana mereka telah banyak membantu aku sewaktu dalam kesusahan sama ada secara langsung atau tidak. Ya Allah, sungguh hatiku ini hitam pekat dipenuhi titik-titik hitam maka Engkau sucikanlah hatiku ini Ya Allah! Sungguh aku tak terdaya lagi ya Allah berlumang dalam dosa ini. Ya Allah.....

Apa pun yang aku hadapi, hidup mesti diteruskan dalam misi mencari mardhatillah. Semoga langkah ini semakin hari semakin laju menuju syurga yang kekal abadi.

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR
13 Januari 2012

Wednesday, January 4, 2012

Saya Belajar Dari Insan Itu


Sedang saya berjalan-jalan menyusuri kafe di fakulti kelihatan makcik yang agak berumur sedang mengemop lantai yang kotor.Agak bersalah untuk saya berjalan di kawasan lantai berkenaan lalu saya hanya berjalan di tepi-tepian agar tidak mencomotkan lantai itu agar tidak menyusahkan makcik tersebut. Hakikat saya sebak.

Sebak dengan melihat kesungguhan makcik itu. Sungguh!

Apalah sangat diri saya yang bergelar mahasiswa ini ingin bermalas-malasan dalam segala hal sedangkan makcik yang berusia itu mampu gigih berusaha bekerja untuk mencari sesuap nasi keperluan hidup, bahkan untuk menyara keluarga anak-anak dan sebagainya. Aku belajar sesuatu dari insan itu.

Pekerjaan mereka halal.Tidak pada segelintir masyarakat sekarang ini. Hanya lebihkan goyang kaki untuk kesenangan, duit ingin sentiasa masuk ke akaun. Setiap hari, bahkan berminit-minit. Oh Dunia..tak usah bicara orang Melayu Islam yang makan duit haram dari duit rasuah yang bermaharajalela kerana hal ini sudah menjadi perkara biasa khusus di Malaysia.

Kenapa mereka tidak belajar dari insan-insan yang saya temui itu? Seorang insan, hamba Allah yang mencari wang dengan pekerjaan yang halal walaupun pekerjaan itu hina di mata sesetengah masyarakat. Hakikat, pekerjaan itulah yang mengajar kita erti kehidupan yang menuntut kita dalam bermujahadah. Mujahadah mencari wang untuk sara diri dan keluarga tercinta. Ujian dariNYA yang hanya insan-insan terpilih sahaja yang mampu laluinya dengan hati yang cekal dan tabah.

Sedang saya menikmati makan tengah hari di satu kedai makan di syeksen 16, datang seorang wanita yang umurnya kelihatan agak muda. Anak dara barangkali.Dia datang ke meja kami, di tangannya terdapat beberapa barangan jualan. Barangan berbentuk CD ayat-ayat surah lazim Al-Quran untuk dijual. Pasti original.Kami tidak membelinya akibat ketiadaan wang, wang cukup untuk makan.Cuma saya sangat tertarik dengan cara pendekatan beliau dalam cara untuk meyakinkan pelanggan dengan tutur bicaranya yang kemas dan menarik.

Wanita itu di akhir kata apabila respon kami yang tidak mahu membeli, beliau berkata "ok tak mengapa lah bang,saya pun belajar cara komunikasi dengan lebih baik selepas ini,mungkin bila-bila nanti abang-abang semua ingin membelinya tapi bukan sekarang, apa pun saya terima" ukiran senyuman wanita itu tidak menampakkan kekecewaan.

Itulah insan-insan yang mengajar saya. Mengajar erti kehidupan yang realiti bukan fantasi. Sungguh, insan-insan itu adalah insan yang sedang ditarbiyyah olehNYA.

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR
5 Januari 2012

Tuesday, January 3, 2012

Kembara Seorang Muslim Semakin Menemui Rentak Biasa-Biasa


Akhir-akhir ini entah kenapa tiada pula idea yang terlintas untuk dicoretkan dalam blog saya.Barangkali tidak banyak bahan bacaan yang saya baca lantas telah membantutkan cara olahan ayat yang kemas.Hakikat, penulisan juga satu proses latihan diri. Menilai cara penyampaian yang tulus ikhlas dari seorang yang ingin memaknakan erti hidup pada memberi.

Cuma hanya dengan pembacaan yang banyak ianya mampu untuk membaiki struktur ayat yang kemas dan jelas mesej yang hendak disampaikan. Hanya pembacaan. Cuma, ianya akan lebih menarik serta tertarik para pembaca dengan mendapatkan satu inspirasi dari satu kisah motivasi hidup yang telah terjadi.

Pengalaman hidup mengajar kita seribu perkara.

Jika disinergikan antara pengalaman dan pembacaan, saya yakin entri yang akan dicoretkan dalam blog akan tampak lebih menarik dan akan sentiasa kita untuk mengemaskini blog dek kerana minat yang hadir datang berpusu-pusu apabila kena pada caranya dalam olahan entri yang berkesan.

Blog boleh saya anggap sebagai bahan pembacaan di perpustakaan maya.Kerana terlalu banyak para penulis blog di dunia ini yang berkongsikan ilmu dan apa jua dalam blog mereka. Kita hanya mencari apa yang ingin kita baca untuk sebagai rujukan atau inspirasi hidup.

Blog saya ini diterbitkan hasil dari keputusan peribadi saya. Semasa di matrikulasi, keazaman saya untuk adakan satu blog khas saya terdetik. Lalu saya nekad, apabila berjaya ke alam kampus, langkah pertama adalah saya perlu memiliki sebuah laptop peribadi maka dengan adanya laptop tersebut, blog yang diimpikan untuk terbit akan saya laksanakan.

Akhirnya blog Kembara Seorang Muslim telah lahir di alam maya.

Apabila blog telah dihasilkan, saya tepu. Tepu dengan tiadanya idea penulisan yang hadir untuk dicoretkan buat kali pertama. Entah bagaimana, saya mampu untuk menulis entri pertama dengan spontan. Saya rasa, entri pertama itu dahulu hanyalah memfokuskan bagaimana saya nak buat ayat-ayat yang dramatis untuk tatapan umum sebab itulah saya tepu. Tepu.

Setelah lama berada dalam dunia penulisan blog, akhirnya saya akui, tidak perlu untuk berpuitis olahan ayat. Cukup olahan itu mampu menyampaikan mesej yang sebenar-benarnya. Tiada hipokrit dalam penulisan, tiada niat yang menyempang.

Maka, sebab itu saya katakan - penulisan juga adalah satu tarbiyah diri (latihan diri).

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR
4 Januari 2012

Sunday, January 1, 2012

Aku dan Dia



Bas berhenti. Berpusu-pusu pelajar turun dari bas untuk mereka pulang ke kolej kediaman. Aku ada di situ. Nah, sungguh hari ini penat dengan kuliah yang padat namun menyeronokkan jiwa. Tersenyum ku sendirian. Mulalah aku melihat sekeliling. Kolej kediamanku yang agak 'bandar' bangunannya boleh diistilahkan pencakar langit. Mini bandar barangkali. Jam di tanganku hampir menunjukkan jam 6 petang. Alhamdulillah, asar telah dilaksanakan di surau fakultiku. ahh.."apa aku nak buat ye petang-petang sebegini..??"

"hmm..manalah si taufiq ni, kata tepat jam 6 dia sampai..takda pon.." merungutku sendirian. Aku duduk di bangku perhentian bas sambil mata ligat melihat sekeliling. mula terdetik untuk mengambil satu majalah dalam bag galasku untuk dibaca. Oh sungguh mengantuk tatkala membacanya. Apa boleh buat..

"assalamua'laikum.." aku seperti terdengar orang memberi salam.
"laaa, awat kau tidur kat perhentian bas nih?..sorila buat kau tertidur menunggu aku kan..hehe" oh rupa-rupanya taufiq yang memberi salam,nukilan senyuman manisnya terukir, sungguhku terkejut, aku lena di situ rupanya.

"taufiq,mari duduk kat sebelah aku ni.." aku mempelawa.
"jap..erm ok." taufiq masih tersenyum duduk di sebelahku.
"aku mimpi tadi.." aku mula berbicara..
"mimpi apa?"
"mimpi pasal kau.."
"ha!?"
"hahaha! rileks la..takda apa-apa la..dah jom, kita pergi kat pusanika main badminton.." aku cepat-cepat menukar topik.
"lerr, baru duduk kejap..ok ok jom!" taufiq masih kekal dengan senyuman..

***

Aku terlantar baring di katil. Sambil melihat langit yang gelap diterangi cahaya bulan di balik tingkap bilikku. Melihat bulan, oh Tuhan, sungguh Kau yang Maha Pencipta. teeeeeetttt teeeeett bergegar telefon bimbitku menerima mesej.
"Salam, kita adakan satu meeting pmfst tepat jam 9 malam ini. Kehadiran adalah wajib."
Oh, mesej untuk hadir ke mesyuarat persatuan rupanya. Tersenyum aku dibuatnya, seloroh hatiku, inilah aku, kehidupan seorang mahasiswa yang tiada rehat berjam-jam hanya minit-minit sahaja aku peroleh. Sungguh ini adalah cabaran dan ujian olehNYA. Aku kena kuat! Bersiap kemas lengkap dengan keperluan untuk berada dalam mesyuarat. Aku memulakan langkah untuk pergi ke fakulti. Motor 135LC mula dihidupkan..

"Assalamua'laikum semua" aku menapak masuk ke bilik mesyuarat. Oh, kelihatan kesemua pimpinan pmfst ceria-ceria belaka. Kadang-kala terhibur juga dengan gelagat mereka yang melucukan, di meja mesyuarat sarat dengan kertas-kertas kerja persatuan dan bagi kami itu adalah 'perhiasan' meja kami. Sungguh lucu.

Besambung...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...