Wednesday, December 28, 2011

Coretan si Anak Muda...


Salam ikhlas penuh ukhuwah.

Tiba-tiba ingin pula jari-jari ini ligat menaip sesuatu untuk entri kali ini. Tiada yang istimewa melainkan hanya coretan ayat yang biasa-biasa. Ayat biasa-biasa ini tak mampu untuk menggoncang dunia. Apalah sangat dengan sebaris ayat ringkas yang bertuliskan bahasa, yang diluahkan hasil rintihan seorang hamba yang hina disisiNYA? oh Tuhan, terkelu lidah jika coretan ini bagaikan Ben Ali, pencetus semangat kebangkitan anak muda revolusi di tunisia. Sungguh, penulisan juga tarbiyyah.

Ligat seorang anak muda yang cintanya adalah Allah dan Rasul menaip satu penulisan yang tidak gah di mata. Ia hasil dari tulus hati yang ikhlas, walaupun masih bertompok-tompok kehitaman mewarnai hati itu dek kerana dosa yang terpalit. Oh Tuhan, ampunilah hambaMU ini, agar coretan penulisan ini adalah luahan dari hati yang suci. Sungguh, jari ini menjadi saksi.

Sosok anak muda itu adalah pemangkin jiwa muda yang ketagihkan kebebasan hakiki. Lantas, usaha padunya kesemua disandarkan atas landasan iman dan akidah yang kukuh bak batu kerasnya. Dihempas badai masih gah tegap ditempatnya. Mencari kekuatan bukanlah pada fizikal tetapi pada keteguhan dalam tarbiyyah olehNYA. Bijaknya anak muda itu bukan terletak pada banyaknya membaca, tetapi bijaknya anak muda itu dari muhasabah dirinya yang alpa terhadap kehidupan dia apabila mati. Mati itu pasti wahai teman. Jangan dibiarkan Al-Mulk dihanyut sejauh-jauhnya dalam diri. Biarkan Al-Mulk sebagai peneman di kala waktu kita tidur. Takut-takut kita tidur selamanya..

Tiada malam yang kelam kecuali kemuncaknya adalah fajar nan menyinsing. Tiada panas yang memuncakkan teriknya kecuali bumi berpusing pantas ke sebelah timur meninggalkan matahari menggelongsor ke hujung barat. Begitulah Allah memudahkan kita memahami sifir-NYA itu. Anak muda sedia ada, masih kuat jika ditarbiyyah betul-betul. Hidup ini tak lama..

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR
29 Disember 2011

Friday, December 16, 2011

Remaja dan Sains



Remaja dan Sains Islam
Dunia pada zaman ini telah mencapai satu era yang sangat moden dalam aplikasi sains dan teknologi. Jika dahulunya kita sedia maklum, sejarah telah menjelaskan pada kita semasa era pemerintahan Islam yang kuat , ketika itu sains dan teknologi sangat menjadi perkara utama. Tamadun yang memfokuskan dalam meneroka ilmu sains dan teknologi mampu mengangkat tamadun itu keterhadapan. Lihat sahajalah negara Jepun masa kini.

Itu lah realiti pada era ini.

Di Malaysia, pembelajaran ilmu sains ini telah lama diperkenalkan. Di peringkat sekolah, menengah atas mahupun bawah, kesemuanya telah didedahkan ilmu sains ini. Maka, tertubuhlah sekolah-sekolah elit bestari seperti sekolah menengah sains, Asrama Penuh, Intergrasi, MRSM dan sebagainya. Ilmu sains ini mampu memberi minat kepada pelajar untuk belajar. Cuma, sistem pendidikan yang berasaskan ‘exam-oriented’ telah membunuh potensi pelajar berkembang dalam memikirkan hal-hal kritikal dalam penemuan sains.

Kebiasaannya, sains asas adalah meliputi Fizik, Kimia dan Biologi. Benar, prestasi pelajar masa kini dalam mempelajari sains cukup merisaukan apabila dianalisis pemarkahan sewaktu ujian-ujian berlangsung. Bukanlah kita salahkan sains itu susah. Tetapi, bagaimana pendidik itu mampu memikirkan pendekatan yang lebih menarik dan efektif untuk mengubah persepsi pelajar yang sains itu susah kepada sains itu mudah bahkan menarik.

Remaja kini majoriti di peringkat sekolah, mereka akan cenderung ke arah jurusan sains tulen. Minat mereka itu perlu dibimbing dengan baik agar mereka tidak menyalahkan jurusan sains ini yang menggagalkan mereka sewaktu peperiksaan kelak. Sains mampu mengajak pelajar atau remaja memotivasi diri untuk lebih matang dalam berfikir. Cara-fikir Islam perlu diterapkan dalam sistem pembelajaran sains tulen masa kini.

Perlulah para guru menjadi seorang yang mampu mendidik pelajar ke arah pembetukan saintis muslim yang mengamalkan batas-batas pemikiran dalam sains. Gaya lontaran kata-kata guru perlu dikemaskini. Mereka inginkan kelainan. Mereka inginkan pendedahan demi pendedahan. Bukan menyalin nota-teori kemudian latihan. Dedahkan mereka dengan kreatif. Sejarah Islam dalam mempelopori dunia sains Islam, perbandingan antara cara-fikir saintis barat dan saintis islam, ini semua perlu didedahkan di peringkat awal. Remajalah perlu tahu dengan awal.

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR
17 Disember 2011
22 Muharram 1433 Hijrah

Thursday, December 15, 2011

Refleksi-sains memotivasi Diri



Aplikasi dalam dunia fizik, dalam fizik ada mengajar kita tentang satu tarikan, dimana tarikan ini berlaku dalam atom-atom setiap benda.

Setiap benda terbentuk dengan himpunan atom-atom.

Kalau kita kenakan daya atau bunyi atau panaskan, atom-atom itu akan bergetar sesama sendiri. Pepejal meliputi atom-atom yang sukar bergerak bebas. Maka nak tak nak mereka akan bergetar di tempat yg sama.

Dalam menggerakkan atom, kita perlu DO SOMETHING.
Dalam bidang motivasi, nak tak nak ‘WE MUST DO SOMETHING’ barulah kita akan tertarik untuk lakukan sesuatu dengan penuh kasih sayang.

Belajarlah daripada sang cermin. Dalam hukum pantulan, cermin jika dipancarkan cahaya pasti akan memantulkan semula cahaya itu dengan sempurna tanpa cacat cela kerana permukaan cermin yang licin bukan permukaan yang kasar. Pantulan akan berlaku berkesan.

Begitulah dengan diri manusia. Ibaratlah manusia ini sebagai cahaya itu. Kita berdirilah di hadapan cermin, kemudian diri kita akan dinampakkan pada cermin itu. Mata melihat. Cermin itu akan memantulkan diri kita yang sebenar. Tanpa cacat-cela. Sempurna. Maka, disitulah kita semak balik, adakah diri ini begitu sempurna seperti yang terpapar di cermin itu? Adakah di sebalik kesempurnaan itu masih ada cacat dalaman? Manusia Nampak luaran, hanya yang terpapar di cermin. Tetapi mereka tidak tahu diri kita disebalik paparan cermin itu.

Allah Maha Mengetahui.

Lihatlah diri anda dengan hanya refleksi-sains untuk memotivasikan diri dan sekaligus menjana potensi diri kea rah mencapai keredhaan Allah SWT. For Sure!

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR
16 Disember 2011
21 Muharram 1433 Hijrah

Monday, December 12, 2011

Aku Penulis


Aku penulis,
bukan pelakon,
Penulis mencipta emosi,
pelakon menghayati emosi,

Aku penulis,
bukan pencipta,
Aku ciptaan Allah,
tak tahu 'bersandiwara',

Aku sekadar penulis
yang hatinya dihiris,
Terhiris watak ciptaan Allah
bukan ciptaan sendiri,

Aku penulis
tercorok menyendiri,
Dan penulis akan terus menangis,
menahan hati yang semakin berkudis.

Nukilan : RomiBaiduri

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR

Sunday, December 11, 2011

Teori Ekpirotik : Pengenalan dan Kewajaran Dalam Islam




LATARBELAKANG TEORI EKPIROTIK
Alam semesta ekpyrotic, atau senario ekpyrotic, adalah model kosmologi asal-usul dan bentuk alam semesta. Nama berasal dari “ekpyrosis” (Bahasa Yunani Kuno ἐκπύρωσις ekpurōsis) makna ayat “ekpyrosis” adalah kebakaran atau penggunaan "penukaran ke dalam api". Model ekpyrotic alam semesta adalah satu alternatif kepada model inflasi kosmik standard bagi alam semesta yang sangat awal. Kedua-dua model menampung Deguman Besar standard Lambda-CDM model alam semesta kita. Model ekpyrotic adalah pelopor kepada atau sebahagian daripada beberapa model kitar (Cyclic Model).

Teori Ekpirotik ini dihasilkan oleh Neil Turok dan Paul Steinhardt dan mereka mengekalkan bahawa alam semesta ini tidak bermula dengan kesingularan, tetapi datang daripada pertembungan dua bran. Pertembungan ini telah mengelakkan kesingularan pengembangan superluminal pada masa yang sama memelihara turun naik ketumpatan hampir skala bebas dan ciri-ciri lain alam semesta yang
diperhatikan. Model ekpyrotic adalah berkitar, walaupun perlanggaran antara bran jarang berlaku pada skala masa pengembangan alam semesta yang luas, rata-ratanya hampir sifat. Pemerhatian yang boleh membezakan antara model ekpyrotic dan inflasi termasuk polarisasi sinaran gelombang mikro kosmik latar belakang dan taburan kekerapan spektrum gelombang graviti. Dalam teori ini, maka satu model berjaya dihasilkan yang diberi nama Cyclic Model (Model Kitaran).

PENGENALAN CYCLIC MODEL (MODEL KITARAN)

Model Kitaran adalah beberapa model kosmologi di mana alam semesta yang tidak terhingga luasnya, memiliki kitaran yang tersendiri. Sebagai contoh, teori alam semesta yang berayun secara ringkas dipertimbangkan oleh Albert Einstein pada tahu 1930 dimana teori alam semesta yang telah mengikuti siri ayunan kekal, pada permulaan ianya dengan berlaku letupan besar-besaran (Big Bang) dan berakhir dengan tragedi yang besar (Big Crunch) ; Sementara itu, alam semesta akan berkembang untuk tempoh masa yakni sebelum tarikan graviti jirim yang menyebabkan ia runtuh dan dilantunkan semula.

Model Kitaran atau dikenali sebagai Alam-Semesta-yang-tiada-penghujung (Steinhardt dan Turok,2011) berdasarkan teori String dan Teori-M(Witten,1994) atau Teori Bagi Segalanya(Michio,2009) terutama sekali mengenai pelanar orbifold(brane),dimensi –dimensi dan manifestasi mereka dalam Harova-Witten dan heterotik Teori-M (perkaitan klasik simetri teori-M dengan Heterotik-Jenis 1 string dualiti dalam 10 dimensi sama seperti klasik simetri teori-M berkaitan dengan Jenis 2 simetri dualiti)(Horava dan Witten,1994).

PANDANGAN TERHADAP TEORI EKPIROTIK DALAM CARA FIKIR ISLAM
Secara ringkasnya teori ini membawa kita untuk mengetahui peristiwa atau mengkaji apa yang berlaku sebelum Deguman Besar. Pengkaji beranggapan bahawa deguman besar itu tidak wujud dengan sendirinya lalu mempercayai adanya sesuatu yang membuatkan aktiviti deguman besar itu berlaku dan akhirnya terbentuklah alam semesta yang luas. Seolah-olah, pengkaji yang menemui teori ini adalah golongan yang menidakkan kewujudan Tuhan yang satu. Mereka adalah golongan yang tidak mempercayai Tuhan dan tidak beragama. Lalu, teori ini wujud tanpa menekan aspek ketuhanan dan dibuktikan hanya semata-mata melalui logik akal dan fizik teori.

“there is no beginning of time. Instead, our visible universe exists on one of two four-dimensional “branes” floating in a five-dimensional space. These two branes are locked in an endless oscillatory motion in which they creep together, “bounce” through each other, withdraw and then creep together again”

Paul Steinhardt, Justin Khoury, Neil Turok and Burt Ovrut (2001)


Jika diamati kenyataan di atas, pengkaji Barat membayangkan bahawa alam semesta ini terjadi dari 2 4-D bran yang terapung dalam pandangan 5-D. Ianya tidak terjangkau oleh kita manusia secara fitrah untuk memikirkan kewujudan sesuatu dari dalam dimensi yang banyak. Sedangkan 3 Dimensi sudah memadai untuk menafsirkan bentuk objek dengan jelas tapi jika kita melihat objek itu pada pandangan 4 Dimensi nyata objek itu tidak dapat dilihat. Jika kita rujuk kepada satu dalil Al-Quran yang menjelaskan tentang kewujudan alam semesta ini, perhatikan :

“Dia adalah maha Pencipta langit dan bumi.”
Surah al-An'aam:101.


Maklumat yang dinyatakan dalam Al-Qur'an ini adalah satu fakta yang sangat tepat dan selari dengan penemuan sains kontemporari. Kesimpulan yang dicapai dalam bidang astrofizik hari ini ialah bahawa alam semesta, bersama-sama dengan dimensi benda dan masa, telah terhasil melalui satu letupan yang besar yang terjadi
ketika masa-sifar. Fenomena ini yang dikenali sebagai Big Bang membuktikan bahawa alam semesta telah diciptakan dari ketiadaan sebagai satu produk, dari satu letupan titik tunggal. Golongan saintifik moden percaya bahawa Big Bang adalah satu-satunya penerangan paling rasional dan fakta yang dapat dibuktikan mengenai permulaan dan asal kewujudan alam semesta.(Harun Yahya).
Benar apa yang dikatakan oleh Harun Yahya. Hakikat, jika kita sebagai orang Islam harus berfikir secara Islam akan sesuatu perkara. Jika menekuni ilmu kosmologi tanpa kekuatan akidah yang mantap, tidak mustahil kita akan masih ragu-ragu akan kewujudan Tuhan itu sama ada betul-betul wujud atau tidak. Menerusi teori Ekpirotik oleh Turok (2001), mereka bermain dengan analisis matematiknya yang akhirnya mereka mencampurkan logik akal lalu wujudlah teori tanpa menyelarikan dengan aspek ketuhanan. Kita yang bukan ahli fizik teori, perlu memahami hakikat manusia yang berTuhan. Tuhan kamu, Tuhan mayapada ini, yang mengendalikannya, yang menguasainya dan yang menguruskannya tidak syak lagi wujud. Firman Allah SWT maksudnya :

“Apakah ada keraguan terhadap Allah, Pencipta langit dan bumi?”
Surah Ibrahim: 10


Salah seorang Arab Badawi pernah berkata pada suatu masa dahulu : “Sekiranya adanya unta betina menunjukkan adanya unta jantan dan kesan jejak itu menunjukkan adanya orang berjalan, maka tidakkah adanya bumi yang mempunyai jalan dan langit yang bertingkat-tingkat itu menunjukkan adanya Tuhan yang lemah lembut dan amat Bijaksana?” (Abdul Majid Aziz Al-Zandani,1989)

KESIMPULAN MODEL KITARAN DAN TEORI EKPIROTIK
Dengan berpandukan al-Quran manusia boleh memahami akan asal usul kejadian alam termasuklah penciptaan alam semesta, langit dan bumi dan penciptaan manusia sendiri. Unsur-unsur ini perlu dihayati oleh umat Islam demi meneguhkan tahap keimanan kepada pencipta iaitu Allah SWT

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR
17 Muharram 1433
12 Disember 2011

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...