Wednesday, August 20, 2014

Mengapa Lambat itu Satu Positif?


 Tak hairan jika kebiasaan kita selalu mengeluh atau terperanjat (mungkin) akan kehidupan yang cepat berlalu, masa kian laju...

"kau tak rasa kah masa kini cepat berlalu?" kata ali dengan dahi berkerut.

"rasa tu adalah, tapi aku lagi hairan, 24 jam kan detiknya sama tapi kenapa kita rasa cepat berlalu?" aman menambah persoalan.

"ah! imaginasi kita mungkin..." ali memutuskan persoalan dengan tanda tanya.

Saya pun tak ada satu jawapan konkrit akan hal ini, ia juga dipengaruhi oleh beberapa faktor yang menyebabkan seseorang merasakan hal ini.

Persekitaran?

Rutin seharian?

Suasana?

Baru-baru ini, saya ada terbaca laman page TED di facebook. Seorang journalis ; Carl Honore berkata,

"We're hurrying through our lives, instead of actually living them. We're living the fast life, instead of the good life."
 Semasa Carl Honore membentangkan idea beliau tentang "In Praise of Slowness", beliau merasakan ada sesuatu yang tidak kena apabila beliau melaksanakan sesuatu aktiviti dalam keadaan yang tergesa-gesa ; laju. Saat beliau membacakan bedtime story kepada anaknya setiap malam, selaju mungkin ingin beliau habiskan satu buku cerita kepada anaknya; kadang-kadang ada perenggan yang beliau sengaja tinggal dan pergi ke perenggan seterusnya, asalkan beliau mampu cepat tamatkan pembacaan bedtime story kepada anaknya.

Kadang-kadang, di dunia moden kini, lebih lagi di era kurun ke-21 ini, kesemua benda ingin cepat ; pergi kerja, memasak, membeli-belah, lebih teruk lagi kita yang muslim ini, solat pun nak laju-laju.

Bukanlah nak kita katakan bahawa cepat itu suatu yang buruk, tetapi apa salahnya kita perlahankan sedikit setiap perkara yang kita lajukan itu. Kereta pun ada brek, hatta solat pun ada toma'ninah.

Slowdown!--sewaktu makan pun, dari sudut kesihatan perlulah kita mengunyah dengan perlahan, jangan gelojoh tak ingat dunia semasa makan. 

Adalah lebih baik kita mula meneliti tindakan kita saban hari. Duduk seketika--rehatkan minda dan didik jangan tergesa-gesa, sentiasa tenang dan ingat Tuhan. InsyaAllah, saya yakin, dengan perlahankan sedikit diri kita bekerja mampu menghasilkan keluaran yang sihat.

"asal kau lembap sangat nih!" marah si ali sambil mencekak pinggang.

"maaf la ali, aku malam tadi syok sangat main game sampai tidur lewat, tu yang aku lambat datang ni.." muka aman tunduk

"semalam kan aku dah syarah kat kau pasal 'perlahankan aktiviti' demi produktiviti yang baik, bukan perlahan sampai lambat datang kerja!"

Yeah, konklusinya begitulah.

Moga pembaca faham entri kali ini, mudah-mudahan.

MUHAMMAD AFIQ MD NASIR
21 Ogos 2014
Ayer Keroh, Melaka

Rujukan :
Carl Honore : In Praise of Slowness 
 

Monday, March 24, 2014

MH370 : Cabaran dan Ujian

Gambar hiasan (Bukan MH370 sebenar)

Bismillah,


Pertama sekali, saya tidak mahu mengulas itu dan ini apatah mahu menunding jari membuta tuli kepada sesiapa akan tragedi yang menimpa pada pesawat MH370 milik MAS Airlines, sama sekali tidak! Saya sebagai rakyat Malaysia turut simpati akan apa yang terjadi akan peristiwa ini.

Inilah masa negara diuji dengan begitu besar, kalau ujian ini mampu mematangkan negara akan segenap aspek pada masa akan datang, maka, ini harus dijadikan pengajaran buat semua pihak supaya perkara ini tidak berulang dengan kadar yang telah minimum.

Rakyat seluruhnya dengan serta-merta bersatu hati bertalu-talu memohon doa' agar tiada yang buruk berlaku. Sedih dan pilu itu telah mampu tautkan hati-hati insan seluruh Malaysia akan bencana yang menimpa ini. Saya tertarik dengan apa yang disampaikan oleh Ustaz Dr. MAZA, beliau berkata, bagaimana Allah itu datangkan dukacita kepada hambanya adalah agar hambanya kembali tunduk dan menangis memohon kepadaNYA. Barangkali insan pabila gembira, saat itu dia tak ingat akan tuhan, dengan itu, Allah Maha Penyayang, datangkan dukacita itu kepada insan adalah semata-mata ingin hambaNYA kembali kepadaNYA.

Saya kira, waktu ini semua insan di malaysia tak kira agama dan bangsa merasai kepiluan akan tragedi ini, moga-moga, negara kita serta rakyatnya sentiasa teguh dan kuat menghadapi apa jua cabaran dan kembali kepada Allah sepenuhnya.

Moga ada keajaiban yang menyinar buat MH370.

Doa'kan yang terbaik kepada keluarga yang berkenaan.

MUHAMMAD AFIQ MD NASIR
25 mac 14
-ayer keroh melaka

Friday, February 14, 2014

Sifat Simpati Dicabul Manusia




Boleh jadi, eksploitasi era baru agaknya. Mana tidaknya, kalau dahulu jenayah terang-terangan si penjenayah itu memang kita nampak seperti penjenayah, tetapi tidak pula masa kini.

Saya agak, penjenayah pun sudah buat kajian atau pun kebiasaan orang-orang perniagaan membuat analisis dengan kaedah SWOT dan sebagainya, saya rasa, penjenayah pun sudah mempraktikkannya.

Tadi saya menonton rancangan di TV9, slot "Nasi Lemak Kopi O", saya bersetuju apabila pegawai polis jemputan itu menyebut, manusia yang 'kerja'nya penjenayah zaman sekarang sangat licik, mereka mengambil kesempatan melalui sifat keprihatinan rakyat kita (Malaysia). Sebagai contoh, ada kes jenayah ragut lari, penjenayah menaiki motosikal menyebelahi kereta mangsa lalu menunjukkan tangan yang berdarah sambil lagak mohon simpati oleh si mangsa yang sedang memandu dalam kereta. Maka, mangsa dengan sifat simpatinya kerana kasihan melihat penjenayah yang ingin meminta tolong itu, mangsa memberhentikan kereta. Saat pemandu keluar dari kereta, penjenayah yang tadi dengan pantas meragut barang apa yang patut untuk dibawa lari.

Ini antara kes-kes jenayah, boleh jadi saya gelarkan "jenayah simpati" dan ini cukup merisaukan. Kita sinonim dengan sifat prihatin apatah lagi rakyat Malaysia ini sememangnya ciri-ciri budaya seumpama itu masih lagi utuh. Namun, akhirnya zaman ini sifat tersebut telah dicabul oleh manusia yang tidak berhati perut.

Apa pun yang berlaku, kita harus berwaspada. Dalam penulisan kali ini, saya hanya ingin ketengahkan hal pencabulan sifat simpati manusia.

Moga-moga kita terhindar dari segala ancaman bahaya.

MUHAMMAD AFIQ MD NASIR
kembara.seorang.muslim
Ayer Keroh, Melaka
150214
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...