Sunday, March 25, 2012

“Catatan dari Manusia kepada Manusia” - Episod 1



MULA BEKERJA DI ANSELL

Akhirnya, temuduga saya sebelum ini terjawab oleh syarikat kilang Ansell NP Sdn. Bhd, mereka menghubungi saya untuk hadir ke kilang untuk hari pertama bekerja. Hari pertama bekerja, kerja saya senang sahaja, hanya duduk di dalam sebuah bilik ‘Room of Training’ yang berhawa dingin kemudian mendengar taklimat oleh En. Abu Samah, biasa orang di sana panggil beliau dengan gelaran ‘Pak Abu’, Pak Abu yang merupakan orang penting dalam jabatan sumber manusia syarikat Ansell tersebut.

Suasana di kilang tersebut agak kemas dan bersih persekitarannya. Maklumlah, sebuah syarikat Australia yang membuka kilangnya di malaysia, syarikat yang bertaraf antarabangsa terkemuka di seluruh dunia dalam penghasilan sarung tangan pembedahan hospital, ‘Glove Surgical’.

Tepat jam 8 pagi, saya sudah terpacak di kilang. Terus sahaja saya menuju ke pejabat sumber manusia untuk memulakan hari pertama saya di situ. Hari pertama setiap pekerja kilang itu adalah dipanggil hari Orintasi, lebih kurang macam kita sewaktu di sekolah dahulu, ada minggu suai kenal. Pada hari orintasi inilah pihak sumber manusia kilang akan memberikan taklimat serta ‘training’ kepada para pekerja baru.

Saya terus menuju ke bilik ‘Room of Training’, kelihatan sudah ada orang duduk di tempat masing-masing. Dalam hati saya berkata, kenapa mereka sudah mempunyai baju kilang beserta seluar lengkap? Adakah aku salah masuk bilik?

Duduk saya di sebelah orang yang berbaju lengkap kilang.

“err kamu orang mana?” saya menegur orang di sebelah saya.

“saya indonesia.” Balas orang itu.

Terjawab sudah persoalan saya, mereka adalah pekerja baru warga indonesia yang sama seperti saya iaitu sebagai pekerja baru yang akan melalui hari orintasi. Mereka sudah diberi baju uniform terlebih awal mungkin kerana semasa persetujuan kontrak mereka pihak syarikat kilang sudah memberinya awal.

BERSAMA PAK ABU

En Abu Samah atau Pak Abu mempunyai pengalaman bekerja di Ansell selama 32 tahun lamanya. Cukup terkesima saya dibuatnya, belum lahir saya pada waktu itu. Pak Abu sudah menganggap kami ini seperti anaknya kerana usia kami yang majoritinya 20-an. Orang yang kemas pakaiannya, sedikit gempal badannya dan berdisiplin di tempat kerja.

“Siapa di sini yang merokok?” soal Pak Abu dengan sedikit tegas kepada kami. Ada yang ragu-ragu untuk mengaku kerana takut apa-apa yang berlaku atau mungkin tidak diambil bekerja, masing-masing ‘play safe’ sahaja walaupun ada sahaja yang merokok.

“Saya adalah merupakan perokok tegar, satu kilang ini tahu yang Pak Abu ini merokok. Sebelum masuk kerja jam 8 pagi, saya isap 8 batang, semua orang tahu..” Pak Abu berbicara dengan nada yang jelas.

“Tapi! Kalau di tempat kerja, kita kena ikut undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan oleh syarikat. Kilang tidak membenarkan pekerjanya menghisap rokok di kawasan kilang dan kita kena patuh,tahan ketagih kamu..”

“Saya kalau ‘office hour’ saya tidak akan merokok walaupun ada keinginan dalam diri ini untuk merokok juga tetapi saya sabar, tahan, saya disiplinkan diri untuk tidak melanggar peraturan kilang. Saya pun menyesal merokok ni, rugi! Buang duit! Satu kotak dah rm10, kalau dua kotak dah rm20,...saya pun dah kurangkan merokok, ianya susah untuk berhenti serta-merta namun kita kena janji dalam diri kita bahawa kita kena kurangkan merokok dan akhirnya kita berhenti untuk merokok” jelas Pak Abu yang agak semangat nadanya memberikan nasihat kepada kami.

Selama 8 jam kami berada di dalam bilik training. 8 jam adalah tempoh pekerja tempatan manakala 12 jam adalah tempoh pekerja asing bekerja. Cuma apa yang tertarik perhatian saya pada Pak Abu semasa dalam taklimat beliau adalah...

“Wang kita boleh cari, ada kalanya wang TIADA ERTI..”

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR
19 MAC 2012

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...