Saturday, February 4, 2012

Kisah Budak Saintis : Tiada Kuduga Boleh Terjadi


Foto di Matrikulasi : Bilik imam, yang berbaju krim itulah Syamsul

Akhirnya genap sudah saya berada di matrikulasi selama satu semester. Mempersiapkan diri untuk menghadapi semester yang terakhir pengajian. Lantas, persiapan dari segi mental itu sangat diutamakan. Masakan tidak, ia adalah semester penentu ‘hidup dan mati’ untuk menempah tempat pengajian di menara gading kelak. Saya resah bercampur tuah. Ya bertuah! Bertuah kerana saya mampu berjaya untuk berada di semester terakhir. Semester pertama yang lalu cukup mengajar seribu erti buat saya. Mengajar suasana kehidupan yang senantiasa tiada kenal erti putus asa. Masing-masing berlumba untuk menjadi yang terbaik dalam kalangan yang terbaik.

Sahabat Tadarrus yang kusayangi!

Sudah dua minggu Ujian Pertengahan Semester 1 (UPS1) berlalu, perasaan saya masih berkecamuk dan sedih bilamana keputusan ujian yang hanya 1 pointer sahaja saya dapat. Malu dibuatnya. Malu oleh keluarga, rakan sebilik dan pensyarah. Masa itu, saya hanya mampu menangis dan berdoa’ agar mampu untuk saya tebus semula kesalahan ini sewaktu di peperiksaan akhir semester satu nanti. Mujur UPS1 ini walaupun kita dapat pointer yang rendah, ia tidak akan menendang pelajar itu. Namun, ada juga pelajar yang senasib saya bagaikan tiada upaya meneruskan lagi pengajian di matrik lantas mengambil keputusan untuk memohon diploma di mana-mana ipta yang menawarkannya pada masa itu. Saya hampir-hampir ingin mengikut jejak seperti mereka.

Saya kebingungan. Segera saya percepatkan kaki untuk ke surau menunaikan solat asar berjemaah. Alhamdulillah di matrik saya mampu istiqomah dalam menunai solat berjemaah di surau berbanding sewaktu di alam persekolahan. Iqomat sudah kedengaran...

Usai sahaja solat asar pasti ada sekumpulan pelajar berkumpul di hadapan surau untuk sama-sama membaca Al-Mathurat.

Saya mengambil Al-Quran di rak berdekatan dan duduk di saf hujung di belakang. Menanti seorang teman..

“Assalamua’laikum, bagaimana sekarang? Ok?” Syamsul menyapa saya sambil Al-Quran didakap ke dadanya. Syamsul rakan tadarrus saya semenjak berada di matrik ini. Kami istiqomah melakukannya usai solat asar dan isyak.

“Alhamdulillah, aku baik-baik sahaja. Cuma bingung bila dapat keputusan UPS1 yang agak mencemaskan aku.” Saya membalas sambil menyelak Al-Quran mencari tempat kami berhenti semalam.

“Fiq, engkau dapat berapa UPS1 baru-baru ini?” syamsul membetulkan duduknya merenung mata saya ingin tahu.

“Aku dapat 1.3...” lemah saya menjawab.

“Allah, betul ke? Bertenanglah afiq ini hanya UPS. InsyaAllah peperiksaan akhir semester nanti kau mampu dapat 3 pointer punya.” Tenang syamsul memberikan semangat kepada saya sambil terukir senyuman.

Saya tiada bertanya keputusan syamsul kerana saya tahu dia pasti peroleh keputusan yang cemerlang kerana orangnya yang bijak. Lebih-lebih lagi subjek kimia yang sememangnya subjek musuh ketat saya sejak di bangku sekolah lagi. Namun, kata-kata semangat dari syamsul sedikit sebanyak mampu memberikan ketenangan buat seketika.
Saya duduk di pintu surau menghadap ke padang seorang diri. Merenung nasib diri yang semakin lemah...

Suasana yang membunuh diri

Bila dikenang kembali asbab saya peroleh keputusan sedemikian rupa, rupa-rupanya Allah ingin menunjukkan sesuatu kepada saya. Sebelum UPS1, saya lebih banyak leka, lalai, malas dalam menyiapkan tutorial dan banyak tidur di bilik sahaja. Waktu itu, maklum sahajalah baru masuk ke dunia baru yang tinggal jauh dari ibu bapa. Bebas melakukan apa sahaja. Nota kuliah disediakan. Makanan di kafe pula pelbagai jenis, mengiur juga dibuatnya lantas nafsu menguasai diri akhirnya tiba di bilik menerjah katil yang empuk menidurkan diri yang kekenyangan. Itulah rutin setiap hari sebelum UPS1 saya. Solat dilambat-lambatkan malah solat sendirian di bilik bukan di surau berjemaah. Nota malas hendak dibuka apatah lagi dibaca. Apabila nota tidak dibuka jangan harap tutorial mahu disiapkan.

Itulah saya sebelum UPS1 maka tidak hairanlah Allah memberi keputusan yang setimpal dengan usaha yang sekecil kuman.

Kelihatan mentari petang kian terbenam memberi peluang kepada hadirnya malam. Saya merenung jauh, melihat telatah pelajar yang sedang bersukan tetapi akal melayang entah ke mana. Bila kenang kembali usaha dan rutin saya sebelum UPS1, air mata saya mengalir deras. Ya Allah...kuatkanlah hati hambaMU ini agar kental untuk berusaha menggapai 3 pointer di akhir semester 1 ini!

Hati kecil ini berbicara, adakah aku mampu meneruskan pengajian ke semester ke-2 dengan berbekalkan 3 pointer ke atas atau pointer cukup-cukup makan?

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR
4 Februari 2012
sambungan dari entri – KISAH BUDAK SAINTIS : KEHIDUPAN DI BUMI MATRIKULASI

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...