Saturday, July 4, 2015

Hanya di Kaunter Juruwang

“Ini sahaja ya kak?” saya menyoal kakak itu untuk inginkan kepastian setiap kali barang pelanggan berada di atas kaunter juruwang.

“Ya dik, ini sahaja” kakak itu menjawab ringkas sambil tangannya tercari-cari dompet dalam bag tangan nya.
Selepas saya selesai scan barang-barang itu, harga tertera mencecah lebih dari RM100. Dalam hati saya mengomel, “ini sahaja sudah lebih RM100!?”

“Haa dik, ini baru stokin budak je” kakak itu dengan tiba-tiba sahaja berkata sedemikian seperti telah mengjangka kepelikan yang saya rasa waktu itu. Maklumlah, hanya 5 pasang stokin bayi sahaja ianya telah mencecah lebih dari RM100. Mungkin bagi kakak itu ianya perkara biasa namun tidak bagi saya yang biasa-biasa ini.

Sebagai juruwang, ternyata pelbagai rencam manusia telah saya temui hanya di meja kaunter. Ada yang kelam-kabut dek terlupa bawa dompet, ada yang tergesa-gesa, ada yang obses ingin tahu promosi terkini (juruwang jadi mangsa tempat pertanyaan promosi bukannya kaunter khidmat pelanggan), ada yang cerewet kerana baju tidak dilipat sebelum masuk ke dalam plastik, dan paling saya ingat ialah apabila ada pelanggan yang mencampakkan sahaja kad kredit nya di atas meja kaunter!

Customer are always right!”

Bagi saya, itu lah warna-warni masyarakat secara realiti bukan fantasi. Sebelum ini, kita hanya saksikan watak-watak ini di kaca TV namun ianya wujud di medan realiti. Sebab itu jangan kita jangkakan apa jua penceritaan di televisyen, surat khabar dan sebagainya tidak pernah wujud sekitar masyarakat kita ini. Jikalau entri saya sebelum ini yang bertajuk ‘Manusia itu pelbagai kisah’, tazkirah hati oleh Ustaz Yo itu lah warna-warni rencam masyarakat kita yang kadang-kala perlu untuk kita ambil iktibar dan pengajaran.

Sewaktu saya bekerja sebagai juruwang Parkson Corporation pada tahun 2012 itu, banyak perkara telah mengajar saya. Briefing daripada executive pada pagi-pagi tertentu untuk kemas kini info promosi company kepada kesemua staf, ilmu greeting kepada pelanggan yang datang untuk pertanyaan barang dicari, kerja sama, komunikasi, dan banyak lagi.

Ada promosi jualan gudang, dan harga-harga barang hampir kesemuanya murah. Waktu itu, ada pelanggan suami isteri dan beberapa anaknya datang ke kaunter saya. Ayahnya meletakkan sepemeluk baju-baju budak sahaja atas meja kaunter. Rakan saya yang melihat adegan itu terus menghampiri saya untuk membantu sebagai packer dan saya menguruskan transaksi penjualan. Jenuh juga saya ingin scan satu per satu baju-baju itu, baju budak faham-fahamlah saiz nya kecil-kecil sahaja, kuantiti pun sepemeluk!

Dengan tersenyum sahaja saya berkata harga terakhir barang iaitu hanya RM100 lebih sahaja. Pelanggan itu pun membayarnya tunai.

Saya tersenyum kerana pelanggan itu pandai menguruskan wang untuk pembelian baju anak-anaknya. Berbanding 5 pasang stokin dengan sepemeluk baju (?)

Masing-masing punya cara.

Masing-masing dalam proses belajar ilmu kehidupan.

Saya tak terlepas juga.

Moga ada keberkatan di sisi Tuhan Azza wa Jalla.

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR
17 Ramadan 1436 H
4 Julai 2015
Ayer Keroh, Melaka

Tuesday, June 23, 2015

Manusia Itu Pelbagai Kisah

Pastinya kita yang berkesempatan olehNya untuk berada dalam bulan ramadan kali ini adalah nikmat yang patut kita syukuri.
Sudah lama saya tidak menulis apa-apa entri dalam blog ini. Namun, kali ini saya tergerak hati untuk menulis sesuatu yang berkaitan dengan tazkirah hati insan. Saya kerap juga mendengar setiap tazkirah hati yang disampaikan oleh Ustaz Yo Kemaman. Gelaran kebiasaan orang awam panggil beliau dengan nama Ustaz ‘Yo’ kemaman, mungkin ustaz banyak memberi kuliah di kemaman.

Bukan apa, siri-siri rakaman tazkirah oleh beliau sangat menampar diri saya dan secara tak langsung muhasabahkan diri keseorangan. Penceritaan ustaz lebih menyentuh dengan kehidupan kebiasaan manusia, dengan pelbagai rencam, tak kira ianya bab ibu bapa, suami isteri, anak-anak dan macam lagi. Ia penceritaan yang realiti. Mudah untuk kita fahami dan muhasabah diri sendiri apabila mendengar tazkirah ustaz.

Jikalau anda tidak mengalir air mata semasa mendengarnya, maka semak kembali hati anda.

Saya berani kata sebegitu kerana, manusia ini pelbagai cerita yang telah Allah takdirkan agar kita sama-sama ambil peringatan, mengetuk hati biar lembut. Cerita yang paling menyentuh hati saya ialah apabila ustaz menceritakan kisah-kisah yang berkaitan dengan ibu ayah. Ibu Ayah bagi saya, kalau kita sentuh bab ini kepada remaja-remaja yang hatinya keras, saya yakin, hati mereka akan lembut jua. Sebab, itu fitrah.

Kedua,

Saya turut mendengar cerita-cerita tazkirah hati dari ustaz berkisarkan tentang rumahtangga, anak-anak dan juga suami isteri. Penceritaan ustaz dalam bab suami isteri itu bukanlah kisah yang romantik ataupun yang indah-indah, tapi ustaz menceritakan saat-saat kematian suami atau isteri, kisah kehidupan suami isteri berpuluh tahun yang perlu dijaga rapi, suami isteri yang bergaduh sehingga sanggup bercerai dan banyak lagi.

Satu sahaja jikalau ustaz menceritakan kisah kematian suami isteri yang membuatkan saya terbayang kepada seseorang insan. Sudah pasti saya teringatkan mak saya. Kerana, saya melihat sendiri dengan mata saya bagaimana kesedihan mak di tepi abah yang terbujur kaku di atas katil di wad kecemasan tempoh lalu, saya juga sempat terdengar rintihan kasih sayang syahdu mak sebagai isteri kepada abah.

Saya tak sempat dengar dengan teliti dek kerana saya tak tahan sebak lalu pergi ke satu sudut lain tenangkan diri.

Takdir Allah, Allah lebih sayangkan mak jua.

Pembaca yang sudah bergelar suami isteri, boleh juga anda mendengar tazkirah-tazkirah ustaz dalam bab suami isteri agar kita mampu ambil peringatan dan pengajaran untuk jadi suami isteri yang terbaik dan mendapat keredhaan Allah.

Tazkirah hati oleh ustaz yo betul-betul menusuk. Saya sarankan pembaca untuk mendengar siri-siri tazkirah ustaz di laman youtube. Cari sahaja, tulis ‘Ustaz Yo Kmn’, keluarlah pelbagai tazkirah hati ustaz. Dengarlah, moga ada percikan muhasabah tak banyak pun sedikit pun jadilah.

Moga bermanfaat entri kali ini untuk semua.

Ramadan Kareem.

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR
2 Ramadan 1436 H
19 Jun 2015
Ayer Keroh, Melaka

Wednesday, August 20, 2014

Mengapa Lambat itu Satu Positif?


 Tak hairan jika kebiasaan kita selalu mengeluh atau terperanjat (mungkin) akan kehidupan yang cepat berlalu, masa kian laju...

"kau tak rasa kah masa kini cepat berlalu?" kata ali dengan dahi berkerut.

"rasa tu adalah, tapi aku lagi hairan, 24 jam kan detiknya sama tapi kenapa kita rasa cepat berlalu?" aman menambah persoalan.

"ah! imaginasi kita mungkin..." ali memutuskan persoalan dengan tanda tanya.

Saya pun tak ada satu jawapan konkrit akan hal ini, ia juga dipengaruhi oleh beberapa faktor yang menyebabkan seseorang merasakan hal ini.

Persekitaran?

Rutin seharian?

Suasana?

Baru-baru ini, saya ada terbaca laman page TED di facebook. Seorang journalis ; Carl Honore berkata,

"We're hurrying through our lives, instead of actually living them. We're living the fast life, instead of the good life."
 Semasa Carl Honore membentangkan idea beliau tentang "In Praise of Slowness", beliau merasakan ada sesuatu yang tidak kena apabila beliau melaksanakan sesuatu aktiviti dalam keadaan yang tergesa-gesa ; laju. Saat beliau membacakan bedtime story kepada anaknya setiap malam, selaju mungkin ingin beliau habiskan satu buku cerita kepada anaknya; kadang-kadang ada perenggan yang beliau sengaja tinggal dan pergi ke perenggan seterusnya, asalkan beliau mampu cepat tamatkan pembacaan bedtime story kepada anaknya.

Kadang-kadang, di dunia moden kini, lebih lagi di era kurun ke-21 ini, kesemua benda ingin cepat ; pergi kerja, memasak, membeli-belah, lebih teruk lagi kita yang muslim ini, solat pun nak laju-laju.

Bukanlah nak kita katakan bahawa cepat itu suatu yang buruk, tetapi apa salahnya kita perlahankan sedikit setiap perkara yang kita lajukan itu. Kereta pun ada brek, hatta solat pun ada toma'ninah.

Slowdown!--sewaktu makan pun, dari sudut kesihatan perlulah kita mengunyah dengan perlahan, jangan gelojoh tak ingat dunia semasa makan. 

Adalah lebih baik kita mula meneliti tindakan kita saban hari. Duduk seketika--rehatkan minda dan didik jangan tergesa-gesa, sentiasa tenang dan ingat Tuhan. InsyaAllah, saya yakin, dengan perlahankan sedikit diri kita bekerja mampu menghasilkan keluaran yang sihat.

"asal kau lembap sangat nih!" marah si ali sambil mencekak pinggang.

"maaf la ali, aku malam tadi syok sangat main game sampai tidur lewat, tu yang aku lambat datang ni.." muka aman tunduk

"semalam kan aku dah syarah kat kau pasal 'perlahankan aktiviti' demi produktiviti yang baik, bukan perlahan sampai lambat datang kerja!"

Yeah, konklusinya begitulah.

Moga pembaca faham entri kali ini, mudah-mudahan.

MUHAMMAD AFIQ MD NASIR
21 Ogos 2014
Ayer Keroh, Melaka

Rujukan :
Carl Honore : In Praise of Slowness 
 

Monday, March 24, 2014

MH370 : Cabaran dan Ujian

Gambar hiasan (Bukan MH370 sebenar)

Bismillah,


Pertama sekali, saya tidak mahu mengulas itu dan ini apatah mahu menunding jari membuta tuli kepada sesiapa akan tragedi yang menimpa pada pesawat MH370 milik MAS Airlines, sama sekali tidak! Saya sebagai rakyat Malaysia turut simpati akan apa yang terjadi akan peristiwa ini.

Inilah masa negara diuji dengan begitu besar, kalau ujian ini mampu mematangkan negara akan segenap aspek pada masa akan datang, maka, ini harus dijadikan pengajaran buat semua pihak supaya perkara ini tidak berulang dengan kadar yang telah minimum.

Rakyat seluruhnya dengan serta-merta bersatu hati bertalu-talu memohon doa' agar tiada yang buruk berlaku. Sedih dan pilu itu telah mampu tautkan hati-hati insan seluruh Malaysia akan bencana yang menimpa ini. Saya tertarik dengan apa yang disampaikan oleh Ustaz Dr. MAZA, beliau berkata, bagaimana Allah itu datangkan dukacita kepada hambanya adalah agar hambanya kembali tunduk dan menangis memohon kepadaNYA. Barangkali insan pabila gembira, saat itu dia tak ingat akan tuhan, dengan itu, Allah Maha Penyayang, datangkan dukacita itu kepada insan adalah semata-mata ingin hambaNYA kembali kepadaNYA.

Saya kira, waktu ini semua insan di malaysia tak kira agama dan bangsa merasai kepiluan akan tragedi ini, moga-moga, negara kita serta rakyatnya sentiasa teguh dan kuat menghadapi apa jua cabaran dan kembali kepada Allah sepenuhnya.

Moga ada keajaiban yang menyinar buat MH370.

Doa'kan yang terbaik kepada keluarga yang berkenaan.

MUHAMMAD AFIQ MD NASIR
25 mac 14
-ayer keroh melaka

Friday, February 14, 2014

Sifat Simpati Dicabul Manusia




Boleh jadi, eksploitasi era baru agaknya. Mana tidaknya, kalau dahulu jenayah terang-terangan si penjenayah itu memang kita nampak seperti penjenayah, tetapi tidak pula masa kini.

Saya agak, penjenayah pun sudah buat kajian atau pun kebiasaan orang-orang perniagaan membuat analisis dengan kaedah SWOT dan sebagainya, saya rasa, penjenayah pun sudah mempraktikkannya.

Tadi saya menonton rancangan di TV9, slot "Nasi Lemak Kopi O", saya bersetuju apabila pegawai polis jemputan itu menyebut, manusia yang 'kerja'nya penjenayah zaman sekarang sangat licik, mereka mengambil kesempatan melalui sifat keprihatinan rakyat kita (Malaysia). Sebagai contoh, ada kes jenayah ragut lari, penjenayah menaiki motosikal menyebelahi kereta mangsa lalu menunjukkan tangan yang berdarah sambil lagak mohon simpati oleh si mangsa yang sedang memandu dalam kereta. Maka, mangsa dengan sifat simpatinya kerana kasihan melihat penjenayah yang ingin meminta tolong itu, mangsa memberhentikan kereta. Saat pemandu keluar dari kereta, penjenayah yang tadi dengan pantas meragut barang apa yang patut untuk dibawa lari.

Ini antara kes-kes jenayah, boleh jadi saya gelarkan "jenayah simpati" dan ini cukup merisaukan. Kita sinonim dengan sifat prihatin apatah lagi rakyat Malaysia ini sememangnya ciri-ciri budaya seumpama itu masih lagi utuh. Namun, akhirnya zaman ini sifat tersebut telah dicabul oleh manusia yang tidak berhati perut.

Apa pun yang berlaku, kita harus berwaspada. Dalam penulisan kali ini, saya hanya ingin ketengahkan hal pencabulan sifat simpati manusia.

Moga-moga kita terhindar dari segala ancaman bahaya.

MUHAMMAD AFIQ MD NASIR
kembara.seorang.muslim
Ayer Keroh, Melaka
150214

Monday, September 16, 2013

Pulau Lanjukang ; Kampung Manusia Kerdil


Foto diambil dalam blog Repyssa

Pulau Lanjukang,


Baru-baru ini, saya menonton rancangan 'Dunia Tersembunyi' di TV3. Apa yang menarik ialah, kali ini rancangan itu meneroka 'dunia tersembunyi' di pulau-pulau sekitar indonesia lalu Pulau Lanjukang menjadi destinasi.

Di sebelah sulawesi selatan, adanya kepulauan spermonde yang meliputi hampir 120 pulau sekitarnya. Pulau Lanjukang antara pulau itu.

Saya tertarik dengan pulau ini, secara ringkas, ialah apabila populasi pulau ini hanya sekitar 40-50 orang. Selain itu, populasi di situ punyai genetik manusia kerdil (dwarf) yang punyai ketinggian sekitar 50-100 CM sahaja.

Apa yang meruntun jiwa saya ialah, bila melihat populasi manusia kerdil ini hidup dalam suasana yang sangat sederhana. Bayangkan, mereka hanya dibekalkan fasiliti surau sahaja untuk mereka melaksanakan ibadah keagamaan seharian oleh pemerintah. Saya terkejut juga kerana mereka beragama Islam! Terdetik dalam kalbu, Islam sampai ke pulau 'tersembunyi' ini telah tersebar? Subhanallah!

Mereka cekal, tabah, jelas kelihatan pada raut-raut wajah terutama sekali wajah ketua kampung mereka yang ditemu ramah oleh kru TV3.

Bila ditanya bagaimana untuk dapatkan bekalan harian apabila tibanya musim tengkujuh? Ketua kampung itu menjawab, apa yang boleh kami lakukan, orang kata, kita puasalah, itu lebih baik, daripada kita pergi ke laut dalam keadaan cuaca ribut tentu membahayakan nyawa.

Di pulau lanjukang ini, tiada kemudahan fasiliti yang lengkap. Sumber elektrik tiada, signal gelombang untuk kemudahan telefon pun tiada, kemudahan air bersih terpaksa diambil dari pulau berdekatan. Yang menyedihkan, pulau itu tiada pusat ilmu seperti sekolah. Anak-anak pulau di situ kesemuanya tidak bersekolah seperti anak-anak kebiasaan. Ketua kampung pun berhasrat mahu juga melihat anak-anak kecil pulau ini bersekolah, mendapatkan didikan ilmu, kerna kata beliau, "kalau tidak sekolah bagaimana, iya boleh kalau tak bersekolah tapi ilmu mereka terbatas lah.."

Apa pun kita, ucaplah rasa syukur akan apa yang kita ada. Pada saudara kita di pulau itu, kita doa'kan agar hidup mereka dilimpahi rahmat Allah SWT dan rezeki yang tak diduga.


-nota ini telah ditulis dalam ruangan Page FB Kembara Seorang Muslim

MUHAMMAD AFIQ MD NASIR
17 September 2013
Ayer Keroh, Melaka

Thursday, June 6, 2013

Angan-angan Desa

Merenung.

Sampai bila?

Sampai yang direnung itu tiba?

Aku menggenggam kuat pasir laut. Lalu ku buka tangan, tak semua pasir laut yang aku genggam tadi masih kekal di tangan. Pasir yang terlebih, terjatuh akibat genggaman aku. Aku nak kutip semula pasir tadi yang jatuh, tapi, tak terdaya, kerana pasir semuanya seakan sama.

Nah, bingkas aku berdiri. Bila melihat suasana petang di tepian laut, aku berasa damai. Cuma, aku tak pasti, damai ku ini kekal atau sementara. Kerna aku juga takut, damai ini hanya sandiwara dunia demi dialatkan agar manusia lalai akan interaksi terhadap Al-Khaliq.

Warga tua gagah di tengah lautan. Menebarkan jala dan tak kurang juga yang memancing sambil-sambil matahari membenamkan sinarnya. Anak-anak kecil masih bergelak tawa menyiapkan projek istana pasir impian, ada juga yang ke sana sini mengutip cengkerang-cengkerang yang tertimbus. Ibu ayah mereka riang.

Desa di tepian laut,
adakah damai dan indahnya suasana desa itu hanya kerna LAUT dan bayu angin?

Atau,
indah dan damai itu sememangnya sifat sang manusiawi yang lahir dari Illahi lantas mencorakkan suasana seiring dengan sifatnya?

MUHAMMAD AFIQ MD NASIR
7 Jun 2013
Ayer Keroh, Melaka

Saturday, May 11, 2013

Emak, Abah, Tunggu Adik ya!


"Ada apa-apa nak tambah lagi ke pada ais krim encik ini?" pelayan kedai menyoal.

"oh erm, tiada apa lagi saya rasa, ini sudah cukup.." saya membalas ringkas.

"Encik tak mahu beli lagi aiskrim sempena Hari Ibu?" soalan yang tak dijangka oleh saya.

"oh, tak apalah dik" saya melemparkan senyuman manis kepada pelayan lelaki itu. Aiskrim saya warna hijau, abang saya pula warna coklat. Sambil menikmati aiskrim tersebut, akal melayang akan ucapan pelayan tadi mengenai "Hari Ibu". Saya terkedu...menghela nafas panjang...

Tahun 2012 yang lepas adalah suatu cabaran kepada saya dan keluarga sanak saudara terdekat. Namun, paling menguji sudah tentu saya dan abang. Dengan bilangan adik-beradik hanya 2 orang, ternyata ujian bertubi-tubi yang kami hadapi ini pasti tersemat di hati kami dalam mencari makna hikmah disebalik lontaran sayang Allah kepada hambaNYA seperti kami 2 beradik.

Mampu atau tidak, saya perlu menempuhnya demi memaknakan hidup sebagai hamba Illahi.

Tahun 2012, saya kerja sebagai juruwang di sebuah pusat membeli belah di Melaka. Mahu atau tidak, saya terpaksa bekerja demi mencari wang belanja untuk dikumpul sebagai wang yuran pengajian di universiti. Mula bekerja pada bulan Mac dan berakhir pada bulan september.

Tempoh Mac - September itu ada kisah yang perit untuk ditelan. Abah yang saya sayang telah menghembuskan nafas terakhir pada bulan Mei akibat abah telah diserang strok kali ke-3. Abah yang lumpuh sebelum itu dengan mata kirinya sudah rosak, mahu bercakap pun hanya saya, emak dan abang saja yang faham akan percakapannya. Saya masih ingat saat saya menyuapkan abah makan pagi, tengah hari dan malam. Abah sangat suka saya yang menyuapkan berbanding emak dan abang ketika itu. Saya gembira walau hati masih tertanya-tanya kenapa saya? Kadang-kadang, emak sudah siap hidangkan nasi dan lauk depan abah untuk emak suapkan tetapi abah menyuruh emak memanggil saya untuk menyuap abah atas permintaan abah.

Saya teramat manja dengan abah. Selalu juga main-main,usap-usap tangan kanannya yang lemah itu, saya letak tangannya di muka saya, di kepala, kadang-kadang saya bandingkan saiz tapak tangan saya dan abah. Abah hanya tersenyum.

Namun,
Allah lebih menyayangi abah. Bulan 5 2012, Abah pergi meninggalkan saya, emak dan abang. Depan mata saya kejadian ini berlaku. Saya Redho akan ketentuanNYA.

Saya bekerja, hinggalah pada bulan 9, saya berhenti kerja kerana memang saya nekad untuk berhenti waktu itu.

Namun,
Emak mula mengadu pada saya sakit perut. Hari Raya kami pada tahun 2012 pertama kali tanpa abah, sangat sedih. Raya kami sederhana, dengan cantik berbaju melayu berwarna pink, saya ketawa! ini pilihan emak, emak pun senyum sahaja apabila keluarga kami ingin merah jambu pula tahun itu.

Tetapi, raya kami tak lama. Saya mula resah apabila emak mula sakit yang luar biasa di bahagian perutnya, lalu emak dihantarkan ke wad Hospital Melaka. Emak pernah masuk wad di bulan ramadhan dan dikeluarkan sebelum hari raya agar emak dapat meraikan hari raya di rumah.

Saya telah masuk pengajian di universiti, namun sering kali 'ponteng' kelas kerana mahu menjaga emak di wad yang keseorangan. Kadang-kadang, emak suruh beli mee sup, saya beli, emak mahu kacang, saya beli, emak mahu air oren twister, saya beli, asalkan emak mampu mengukir senyuman.

Pada satu hari,
emak sudah sihat, namun takdir Allah, emak diserang strok kali pertama. Waktu itu saya ada di sisi emak, saya melihat, suara emak sudah bukan orang normal. Saya tak keruan. Saya buat-buat biasa di depan emak, emak menangis meminta tolong kerana emak pun merasai akan badannya yang terasa lain dari sebelum ini.

Semakin hari, penyakit emak tidak mampu untuk dikawal. Kanser nya sangat bahaya. Menyerang tanpa diduga akal manusia. Sepanjang hari, saya menjaga emak, akal tak menentu memikir nasib emak waktu itu. Kerana saya, waktu itu, tak mampu untuk menerima seandainya emak dipanggil oleh Allah SWT akibat keadaan emak yang sudah kritikal.

Takdir Allah yang Maha Penyayang,
Emak telah menghembuskan nafas terakhir pada bulan november 2012.

Saya jatuh melutut, terduduk ke lantai. Tak mampu jiwa jantan ini berdiri utuh apabila melihat emak terbujur kaku di atas katil wad...saya tak mampu

Saat saya sedih di hospital, saya membawa diri ke suatu tempat di waktu subuh. Kedengaran bacaan Al Quran di masjid berdekatan seolah-olah Allah sedang memujuk hati ku yang sedih..apabila Allah mengungkapkan bahawa :

Firman Allah s.w.t: “Wahai orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat kerana sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar” [Surah Al-Baqarah, ayat 153]

Sungguh! saat ayat Al Quran itu terdengar, saya tersentap...seolah-olah Allah sedang memujuk hatiku tika itu.

Namun,
Kini sudah tahun 2013. Mahu atau tidak, hidup ini perlu diteruskan. Walau tanpa emak dan abah di sisi, namun Allah masih wujud di sisi. Allah yang tak mati, tak tidur, tak lupa akan setiap hambaNYA.

Tahun yang sama, 2012
Jarak hanya 6 bulan,
Mereka dipanggil Tuhan,

Sayangilah ibu dan ayah kalian,

Maknakan hidup mereka dengan anak-anak yang berjiwa soleh dan solehah.

Akhirat sana kekal

Dunia hanya sementara.
Pilihlah, sama ada mahu jadi penghumban mereka ke neraka atau penyelamat agar mereka mampu kecapi nikmat syurga bersama-sama.

Selamat Hari Ibu dan Ayah

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR
12 Mei 2013
Ayer Keroh      

Thursday, May 9, 2013

PRU 14 : Penantian Tsunami 90' Anak Muda Pewaris Negara


Pilihanraya kali ke-13 sudah selesai. 5 tahun mendatang ini akan diterajui oleh kepimpinan dari parti Barisan Nasional, dimana Perdana Menteri Malaysia yang sah masih lagi disandang oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tidak hairan lah apabila parti BN ini menerajui tampuk kepimpinan negara kerana negara mengamalkan sistem demokrasi dan menjadikan pilihanraya sebagai wadah suara rakyat jelata bagi memilih pemimpin dengan undian majoriti pilihan mereka sendiri.

Itu hanyalah apabila sistem demokrasi itu 100% tulen!

Hakikatnya, demokrasi sudah mati. Kenapa saya berkata begitu? Ini mudah sahaja, kita mampu melihat bagaimana media arus perdana sama ada surat khabar, radio kerajaan, atau siaran TV, kesemuanya tak mengamalkan konsep kebebasan media. Sebaliknya, mereka hanyalah mengikut telunjuk kerajaan iaitu dari parti BN untuk menyebarkan berita dari satu pihak sahaja. Langsung tidak memberi peluang dan ruang untuk parti haluan pembangkang untuk mengemukakan hujah dan pandangan atas setiap tohmahan dari kerajaan.

Sistem semak imbang jauh sekali untuk diperkatakan apabila media dikuasai oleh pemerintah Barisan Nasional!

PRU 13, 505, 'BlackOUT', - Saya ingin nyatakan pendirian tegas disini, saya teramat kecewa dengan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dalam menguruskan perjalanan PRU 13 baru-baru ini. Badan swasta ini seharusnya memainkan peranan neutral dalam mengendalikan hal besar negara tapi sebaliknya kelihatan seakan-akan bias pada Barisan Nasional. PRU13 adalah dimana ketumbukan gelombang rakyat masih konsisten dari sejak PRU12 lagi, dimana keputusan pada masa itu sangat mengejutkan pelbagai pihak, apabila para penganalisis politik menggelarkan pada waktu itu sebagai - "TSUNAMI POLITIK NEGARA"

Tsunami pada PRU12 ini adalah apabila rakyat mula menyedari akan ketidakadilan dari segenap aspek, tak perlu untuk saya utarakan setiap aspek itu di sini kerana ia perlu juga untuk saya sediakan bukti dan fakta tepat agar pembaca tidak kekosongan dengan percaya secara membuta tuli.

Berbalik pada hal PRU13, kecewanya saya adalah atas beberapa faktor yang saya kira, rakyat bersolidariti perkara yang sama. Ianya ialah :

1. Pengundi dari orang Bangladesh yang mendapatkan IC percuma dari kerajaan sebelum ini.

2. Jabatan Pendaftar Negara perlu respon terhadap IC percuma kepada warga bangladesh dengan telus.

3. Peti undi dilarikan dan disembunyikan, seperti yang berlaku di Parlimen Putrajaya, kehilangan 3 peti undi.

4. Kertas undi boleh bocor luar kawasan mengundi.

5. Dakwat kekal yang tidak kekal

6. Bagaimana elektrik di tempat pengiraan undi boleh 'blackout' secara tiba-tiba apabila pengiraan sudah dimenangi oleh pihak Pakatan Rakyat ?

Perkara di atas ini terbukti bahawa SPR tidak berperanan dengan baik dalam mengurus PRU13. Saya tidak percaya apabila sesetengah orang kata, hal di atas adalah kesilapan 'tak sengaja' SPR, itu memang tak masuk akal!

Apa pun, saya boleh katakan, apabila saya mendapatkan analisis ringkas dan data kasar daripada rakan-rakan petugas parti, majoriti saluran 4 & 5 menjadi peratusan besar undian dari saluran ini berpihak pada Pakatan Rakyat. Saluran 4 & 5 adalah saluran bagi pengundi muda yang sekitar umur 24-21 tahun, yang barangkali kita boleh gelarkan sebagai ' The First-Time Voter'.

Saya tak terlalu mengejut apabila berita ini diberitahu, kerana, anak muda sudah lama dibanjiri dengan fakta telus 90% melalui media internet. Maka di situ mereka mampu menilai kedua-dua media, media pro kerajaan dan media pro pakatan rakyat.


Fakta dikeluarkan dari 'Under21malaysian.com'

Menerusi fakta diatas, 90.44% anak muda mengundi Pakatan Rakyat sebagai pilihan utama pada PRU13. SPR mengeluarkan bahawa, PRU13 peratus keluar mengundi adalah paling tertinggi dalam sejarah negara yakni 80% meningkat 6-7% berbanding PRU12.

Saya tak mahu pula bersifat 'anak muda' berlebihan dengan mengenepikan  undian daripada golongan warga emas, tetapi ini fakta yang menarik kerana sudah pasti, negara akan diterajui oleh golongan muda selepas ini.

Tambahan pula, jikalau kita analisis pengundi baru yang turun mengundi sangat mendadak naik apabila kita bandingkan antara PRU12 dan PRU13. Hampir semua negeri pertambahan purata peratusan pengundi baru ialah 16%, anda boleh renungkan jadual di bawah ini.


Fakta data peratusan pengundi baru. Sumber : Bridget Welsh

Sifir mudah, kalau PRU13 ini mempamerkan anak muda julat umur antara 24-21 yang lahir pada tahun 1988-1991 berjaya menghasilkan gelombang luar biasa kepada undian pada Pakatan Rakyat, kita boleh bayangkan anak muda yang lahir pada tahun 1992-1995 memainkan watak mereka semasa pertempuran di PRU14.

Namun, saya masih yakin, jikalau konsisten nya Pakatan Rakyat telus dalam pelbagai perkara, fakta dan manifesto, tidak mustahil Tsunami Politik baru pada PRU14 akan menggemparkan Malaysia dengan perubahan kerajaan baharu.

Itulah apa yang kita gelarkan dengan,

TSUNAMI GENERASI 90' ANAK MUDA

Selawat dan salam atas Nabi Muhammad SAW!

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR
10 Mei 2013
Ayer Keroh

Tuesday, April 30, 2013

Populariti Ayat 'Ini Kalilah' Bukan Sekadar Sentimen Politik

"bang, ini kalilah atau lain kali la?" abang penjual berger menyoal saya.

"ini kalilah!" saya menjawab dengan tenang tanpa ragu-ragu.

Tak semena-mena soalan itu juga yang disoal kepada saya selepas memesan berger kepada abang gerai itu. Rupanya, abang gerai itu sedang bebual santai dengan seorang pemuda perihal politik semasa Malaysia, lalu abang gerai itu cepat membuat survey konon-kononnya dengan spontan.

Saya responden beliau spontan!

"bang, kita ini Al-Quran sebagai perhiasan atau panduan?" abang gerai itu menyoal saya lagi.

"panduan" saya jawab ringkas, dengan nada bersahaja.

"Islam ini bukan takat bagi wang-wang hantaran masa nak kahwin sahaja..." abang gerai itu menambah sambil tangannya rancak memasak daging-daging berger.

Sambil mengangguk, saya membalas " parah tu kalau setakat macam itu sahaja bang.."

Abang gerai itu senyum. Saya tidak tahu akan apa yang dibualkan oleh abang gerai itu dengan pemuda pelanggannya itu. Apabila mendengari sedikit-sedikit, kelihatan pemuda itu tampak neutral tapi masih ada keraguan dengan Islam yang dipergunakan untuk kepentingan politik. Lalu, abang gerai itu pun cuba untuk menerangkan dengan keadaan yang santai.


Lagipun, pemuda itu pun hanya berbual santai, rakyat biasa, jangan pula dilabelkan 'macai' atas kurang fahamannya terhadap politik. Itu parah!

'Ini Kalilah!' slogan yang dilaungkan oleh rakyat Malaysia tika ini, dimana-mana kita boleh dengar, atau membaca slogan ini yang tertulis secara tak langsung atau langsung di ruangan maya atau realiti.

Laungan ini 100% jikalau kebiasaan sekarang pasti mengizzahkan seseorang yang menyokong 'the opposition' atau pembangkang iaitu Pakatan Rakyat. Itu biasa.

Asal usul laungan ini, atau dialek sebutannya yang asli adalah berasal dari Sabah. Orang sabah lebih bangga apabila menyebutnya kerana memang asal dialek sebutan ini di sana.

Saya berpendapat, selain ianya laungan pengizzahan seseorang untuk mengubah kerajaan sedia ada ke arah yang lebih baik, ia juga laungan yang mengeratkan kita dengan rakyat di Borneo khasnya.

Kita dahulu, nak kenal etnik di borneo pun susah, alasannya juga beribu. Hari ini, akses sahaja internet, suku-sakat mereka kita semakin kenali, walau tak semua tapi ada daripada tiada.

Maka saya fikir, laungan perubahan 'Ini Kalilah' ini secara tak langsung membawa kita serumpun rakyat Malaysia yang merdeka. Apabila orang semenanjung tidak berasa janggal untuk menyebutnya bahkan mereka masih tak lupa bahawa ada rakyat senasib mereka di Sabah dan Sarawak yang sudah pasti teramat jarang bersua.

Tapi,
ada juga insan yang begitu taboo dengan laungan ini dan berasa tidak senang duduk dibuatnya.

Ia laungan, lafaz yang diungkapkan oleh rakyat yang ditindas.

Laungan itu tak jijik, tetapi mulia.

Satu lagi,
'Ini Kali Lah!' bukan bom nuklear

MUHAMMAD AFIQ MD NASIR
1 MEI 2013
Ayer Keroh

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...