Thursday, February 21, 2013

Cerpen - "Musafir Orang Asia"



Hari ini,
kita mampu berdiri. Saat 'rebah tersembam ke tanah' belum kita rasai. Cukuplah demonstrasi sujud kita dalam solat 5 kali sehari nan wajib itu menatijahkan rasa kehambaan kita pada Allah SWT. Sungguh, apa pun jua kita di muka bumi Allah ini, baik perdana menteri mahupun Agong atau para 'alim ulama' sekalipun, kita diperingatkan perkara yang sama semasa awalan khatib memberi khutbah di mimbar setiap hari Jumaat - Ittaqullah!

Hari ini,
awan mendung menandakan satu khabar yang kurang selesa bagi manusia yang memikirkan bahawa, jikalau hujan segala perkara tidak boleh dibuat. 

"Duduk rumah sahajalah kita hari ini.." keluh Aidil sambil membaringkan diri di atas lantai berlapikkan tikar mengkuang lusuh. Rakan serumahnya, Afiq tidak membalas keluhan Aidil bahkan sedang sibuk melipat kain bajunya yang baru kering di ampaian.

Afiq dan Aidil adalah rakan karib sejak di bangku sekolah lagi. Kini, mereka masih bersama walau usia sudah menjangkau dewasa - 24 tahun. Masing-masing sudah bekerja di tempat yang berlainan. Aidil seorang jurutera 'networking' di sebuah syarikat swasta Jerman yang berpangkalan di Cyberjaya. Manakala, Afiq seorang ahli bisnes menjual baju T islamik pertama mempunyai cawangan di luar negara dan negara yang paling ramai bilangan pembeli adalah di Amerika Syarikat. Sekarang, mereka hidup membujang di rumah sewa berdekatan dengan Cyberjaya, tempat Aidil bekerja.

"Idil, aku rindu nak berjumpa kembali dengan Zulfaqar. Sudah lama kita tak bertemu dengan dia, aku rasa hampir 10 tahun selepas 'peristiwa' antara kita bertiga, dia hilang dari kita, even dalam mimpi pun tiada kelibat bayangnya.." Afiq tiba-tiba membuka bicara selepas lama membisu. Aidil yang dari tadi terbaring hampir-hampir tertidur tersentak dengan kata-kata dari rakannya.

"oh, Alhamdulillah, kau masih ingat lagi pada dia fiq. Aku pun sama perasaan seperti kau.." Aidil bangkit lantas mencapai telefon bimbitnya melihat SMS yang baru masuk.

"Aku ingat, aku nak jumpa dia la.." Afiq merenung wajah Aidil.
"Tapi, kau tahu dia ada dimana sekarang?" Aidil menyoal.

Suasana pada hari Ahad itu sepi damai sesekali dingin kerana tiupan angin sejuk cuaca nan mendung itu menyelinap ke ruang tamu rumah.

Hujan mula menitik
Laungan azan Zohor berkumandang syahdu dibawa angin sejuk mendingin.

***

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR
22 Februari 2013
Ayer Keroh, Melaka
-Cerpen "Musafir Orang Asia"-

Monday, January 21, 2013

Me-Layu di Wawasan 2020



Maafkan saya kerana membiarkan blog ini sepi tanpa dicoret bahasa jiwa dari saya. Kerana, ada perkara yang sedang saya lalui, iya, bukan perkara biasa sebab setiap perkara yang kita alami itu datang dari Allah yang mahu mencorakkan kita menjadi manusia yang mengenal fitrah.

Lalu, kenapa kali ini saya terpanggil untuk mencoret dua-tiga bahasa? Adalah sebab faktor suasana ragam manusia saya sekeliling. Saya tak boleh simpan monolog bersendirian saya melihat manusia di jiwa kerana ia perlu ditulis untuk tatapan para pembaca blog saya. Lantas, saya puas kerana dapat mengekspresi jiwa ini dalam bentuk penulisan.

Ke mana Malaysia di waktu 2020?

Kalau kita masih ingat, apa yang dicanang-canangkan oleh mantan perdana menteri kita sebelum ini, Tun Dr.Mahathir dalam menggagaskan wawasan 2020, kita cukup teruja dengan idea baharu Tun pada waktu itu kerana dibayangi dengan keadaan negara yang maju, 'Kereta terbang' dan sebagainya.

Saya anak orang Melayu yang beragama Islam. Bangsa saya Melayu. Melayu, Me-layu. Saya takut ianya menjadi doa' kerana hakikat Melayu kini tak sama dengan Melayu dahulu. Sekurang-kurangnya Melayu dahulu mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa yang dibanggakan dalam pelbagai penulisan dan cara tulis jawi itu bertambahkan lagi seri kemakmuran Islam di jiwa bangsa Melayu ketika itu.

Saya juga tidak dilahirkan dalam suasana Melayu memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu bersama-sama bangsa yang lain. Lalu, itu tidak mampu untuk melabelkan saya anak Melayu yang manja tanpa perjuangan nenek moyang.

Kerana, saya sedang berjuang mengembalikan suasana Melayu zaman dahulu di zaman era 2020 yang akan menjelma.

Melayu kini sudah berkarat dengan budaya barat

Apa yang kita lihat di mata dengan suasana hidup bangsa Melayu tika ini, itu bukan budaya melayu yang tulen. Saya berani kata, nilai murni bangsa Melayu tika ini telah lama terhakis sikit demi sedikit. Jikalau saya nak bicara soal sejarah Islam bertapak di tanah Melayu ini mungkin boleh di entri yang lain. Apa yang saya boleh katakan ialah, Melayu jadi seperti ini adalah disebabkan pemimpin yang memerintah.

55 Tahun,
Pemerintah UMNO mengepalai bahtera negara Malaysia ini. Dalam tempoh 55 tahun itu, pemerintahlah yang mencorak minda masyarakat. Mendidik rakyat, serta kebijakkan ekonomi. 55 tahun itu, apa yang boleh kita banggakan?

Baik,
boleh saya katakan, 55 tahun pemerintah telah gagal mendidik budaya bangsa yang murni dengan mengangkat agama Islam di jiwa Melayu setinggi-tingginya. Lalu, celah mana perlu kita perbaiki dalam hal ini. Kerana sudah 55 tahun dibentuk cara hidup orang Melayu di Malaysia 50% budaya barat 50% budaya Islam,amalam sekularisma di segenap hal, pasti liat, pasti susah untuk dirawat kembali dengan ajaran Islam yang sebenar.

Lalu, apa yang kita impikan pada ambang 2020?

Saya yakin, kalau ditanya majoriti rakyat tika ini akan menjawab apa yang diimpikan pada tahun 2020 pasti jawapan yang sama - "negara yang maju". Jikalau pemerintah mampu melihat 'nucleus' ke arah negara maju ialah membentuk rakyat dengan didikan Islam dan berkebajikan, nescaya impian negara maju 2020 itu dapat direalisasikan.

RM50 hari ini tak sama dengan RM50 zaman 90-an.

Saya merindui Melayu dahulu :
- Tulisan jawi di setiap penulisan
- Puisi bahasa hiburan si anak desa
- Ulama' sirna mendidik bangsa
- Jiwa sensitif dengan kezaliman penjajah

Nah, saya hidangkan puisi yang indah-indah karya Pak Samad :

Di dataran sejarah suara kita sesubur rumput,
bisik kalbu bergaung garang tanpa resah tanpa takut.
Lagu kita rindu demokrasi darjat awan tertinggi
mengindah ufuk senja merai kemerdekaan diri.

Rumput di kaki, awan di kepala, gah iringi murba,
seramainya, sederapnya, setulusnya, kita bersama
menjulang panji negara, bangga dicium angin jati
di tengah gelora kita sebangsa dan sejiwa murni.

Di atas padang sejarah pantang kita mungkiri janji
setiap tapak dan langkah mengisi rindu demokrasi.
Diri kita padu maruah senandung setulus hati
melunturkan wewarna zalim, menyubur kuning berseri.

Kita—tenaga jati—gah berjuang demi keadilan;
kita terbang sederas sinar julang panji kebenaran.
MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR
21 Januari 2013
Ayer Keroh, Melaka 

Saturday, November 10, 2012

Usrah Penggugat Pemerintah Diktator


Kita tak lari dengan istilah 'Usrah' di mana-mana sahaja kita berada. Sebelum saya mengulas lebih perkaitan antara usrah dan pemerintah diktator, lebih sesuai saya memberitahu apa itu usrah dan juga apa makna pemerintah diktator.

Kefahaman Ringkas Mengenai Usrah

Usrah, jikalau kita lihat dalam makna bahasa menurut kamus dewan edisi ke-4 ia bermaksud : Perkumpulan yang melibatkan kegiatan agama seperti perbincangan sesuatu tajuk. Itu adalah makna yang sangat jitu dan sudah pasti gagal dilihat dengan kerangka yang lebih meluas.

Antara cabang-cabang tarbiyyah (Didikan) dalamnya ada merangkumi aspek Usrah. Usrah adalah satu sistem yang ditakdir Allah demi membentuk peribadi muslim yang unggul lantas proses permulaan ini adalah merupakan titik mula menuju Ustaziyatul 'Alam.

Secara praktikalnya, usrah terdiri dari ahli dengan bilangan yang kecil dan mempunyai seorang naqib/naqibah (Pemantau). Dalam kelompok yang kecil inilah mereka bersama-sama setiap masa. Ia mudah disamakan dengan 'Study Group', sistem yang sama cuma pendekatan dan penekanan yang fleksibel malah nikmat bersama turut berbeza. Dalam Islam sudah wujud sistem lebih efisyen yakni USRAH.

Apa Makna Pula Dengan Pemerintah Diktator

Diktator ini adalah, pemerintah mutlak, terutamanya yang merampas kuasa tanpa mengikut per­lem­bagaan dan menggunakannya secara zalim. Jelas pembobrokan diktator ini di negara-negara timur tengah, seperti di Syria, Tunisia, dan lain-lain. Kezaliman yang dilakukan oleh pemerintah seperti ini sudah pasti wajib digulingkan kerana mencabul norma rakyat yang menginginkan kehidupan yang harmoni dan berkebajikan.

Penyelewengan pemerintah seperti ini tidak patut wujud dalam dunia. Hakikat, penzalim ini perlu diusir sekeras-kerasnya dan hanya orang-orang yang ditarbiyyah sahaja mampu memiliki hati jiwa yang kental bahkan berani mengusir pemerintah ini dari terus menerus membuat onar di bumi Allah yang mulia ini.

Masalahnya, siapa dan bagaimana?

Pemahaman Sempit Tentang Cara Pandang Usrah dan Tarbiyyah

Baik,
Adapun usrah yang dimaksudkan di awal tadi merupakan antara cabang-cabang tarbiyyah yang wajib dilalui oleh setiap insan muslim. Cuma, kita perlu melihat Usrah dengan kerangka yang lebih luas dengan pemahaman tarbiyah yang syumul (menyeluruh).

Usrah yang dilaksanakan masa kini kebanyakkannya dilaksanakan dengan fleksibel cara kendalian usrah oleh para nuqaba'. Tak jadi masalah. Cuma masalahnya adalah apabila kebanyakkan kita melihat usrah itu di masjid, usrah itu tazkirah agama, usrah itu mengongkong, usrah itu perlu 'sweet-sweet' dan bermacam lagi.

Dan lebih parah lagi apabila ada dalam kalangan kita melihat usrah itu hanya didikan rohani jiwa atau dikenali sebagai tarbiyyah ruhiyyah. Ini adalah kefahaman tarbiyyah yang begitu sempit lagi menyempitkan. Bagaimana kita ingin melihat produk usrah ini mampu menggoncang dunia jika pemahaman usrah hanya dilihat sebagai tarbiyyah ruhiyyah semata-mata?

Saya jelas mengatakan bahawa, Usrah yang baik adalah mampu mengeluarkan produk ahli usrah yang unggul merangkumi pelbagai aspek.

Usrah, dalam usrah itu adanya tarbiyyah. Hakikat ini perlu disedari dan diamati oleh setiap ahli usrah dan para nuqaba'. Jangan lupa, usrah BUKAN lagi merujuk kepada TARBIYYAH RUHIYYAH semata-mata!

Para 'alim ulama' Islam telah menggariskan panduan yang jelas mengenai TARBIYYAH. Antaranya ialah :
  1. Tarbiyyah 'Aqliyyah
  2. Tarbiyyah Jasadiyyah
  3. Tarbiyyah Ijtima'ie
  4. Tarbiyyah Jihad
  5. Tarbiyyah Siasiyyah
  6. Tarbiyyah Ruhiyyah
Dan bagi sesiapa yang menyempitkan fikiran dengan melihat tarbiyah adalah ruhiyyah semata-mata maka bagaimana lagi 5 yang lain tercampak?

Usrah ; Tarbiyyah 'Aqliyyah

Seorang nuqaba' yang bijak adalah mampu mewujudkan ahli usrahnya suasana berfikir dengan kritis dan cekap. Perbahasan atau pendebatan antara ahli usrah dan nuqaba' pasti mendidik akal untuk lebih keterhadapan dalam apa jua isu yang didebatkan atau dibahas. Contoh mudah, masa kini, Irsyad Manji dengan pengeluaran bukunya yang menimbulkan kontroversi tentang Islam dengan memperjuangkan Islam Liberal, adakah ahli usrah mampu mendepani isu ini dengan pemahaman yang jelas tentang makna Islam Liberal itu sendiri?

Makna kata, usrah yang baik adalah mendidik akal untuk sentiasa membaca pelbagai isu dan ilmu. Agar memboleh setiap ahli usrah bertukar-tukar pandangan dan hujah menerusi hasil pembacaan masing-masing dan dengan ini sudah pasti mewujudkan ahli usrah yang berilmu.

Usrah ; Tarbiyyah Jasadiyyah

Ingin melihat ahli usrah menjadi pemimpin berjiwa rakyat suatu hari nanti. Maka, pemimpin yang berjiwa rakyat perlu menjaga kesihatan diri demi keberlangsungan kerjanya dapat dijayakan dengan optimum. Begitu juga dengan setiap ahli usrah. Usrah juga mendidik supaya kita sentiasa sihat tubuh badan, kuat dan bertenaga.

Usrah ; Tarbiyyah Ijtima'ie

Mendedahkan ahli usrah dengan didikan terjun ke medan realiti. Kita tak mahu lagi usrah bersifat dalaman dengan hanya kita-kita sahaja, tetapi usrah mampu membawa terjun ke medan sebenar yang penuh cabaran. Di sini, baru kita kenal sepak terajang susah payah berdakwah dan perjuangan kebenaran dimana lambakan manusia yang pelbagai kerenah.

Usrah ; Tarbiyyah Jihadiyyah

Bagaimana usrah mampu mendidik kita agar senantiasa bersungguh dalam apa jua pekerjaan yang dilakukan. Dalam mendepani dakwah dan perjuangan, kerja perlu bersungguh, dan pasti nikmat dan didikan ini mampu memberi kebaikan dalam aspek-aspek lain seperti akademik, alam pekerjaan dan lain-lain.

Bahkan, didikan jihad ini menuntut ahli usrah agar mendidik diri agar bersiap sedia dengan kesanggupan menyerahkan apa jua yang dipinjamkan oleh Allah ini demi keberlangsungan Islam bertapak di Bumi.

Usrah ; Tarbiyyah Siasiyyah

Siasah adalah politik. Islam tak memisahkan politik dalam Islam. Ianya jelas termaktub dalam sirah Nabi SAW bahkan politik pun juga wujud selepas kewafatan Baginda dalam kerajaan-kerajaan Islam selepas itu.

Bagaimana usrah mampu mendidik ahlinya agar menjadi seorang ahli politik Islam yang mengikut syariat. Dalam konteks Malaysia pada hari ini, ianya masih ada ruang untuk pertukaran kerajaan jika kerajaan sedia ada tidak memuaskan hati rakyat, ianya adalah ruang demokrasi dan Malaysia menggunakan wasilah Pilihanraya Umum sebagai hasil demokrasi suara rakyat untuk memilih kerajaan yang layak.

Maka, bagaimana usrah mahu mendidik agar ahlinya faham ilmu-ilmu asas dalam urus tadbir sesebuah negara. Pemahaman tentang sistem berparlimen, Perlembagaan Negara, Akta-akta yang wujud dan sebagainya.

Menjadi ahli politik yang baik ada 3 :
  1. Bijak
  2. Pantas dan Cekap
  3. Berani
Usrah ; Tarbiyyah Ruhiyyah

Dan tarbiyyah ruhiyyah juga tidak dilupakan. Ia bukan didikan yang utama tetapi ANTARA didikan yang utama dalam usrah. Maka, sememangnya, usrah juga tempat mendidik ahlinya agar hati jiwa senantiasa dekat dengan Allah. Sesungguhnya, apa yang ada pada kita semuanya hanya pinjaman semata-mata yang perlu dipulangkan kembali pada Allah 'Azza Wa Jalla.

Maka,
saya sudah menjelaskan apa yang perlu dijelaskan. Sudah pasti produk yang terhasil apabila kita faham akan makna tarbiyyah dari kerangkan yang lebih syumul dan meluas akan menggugat posisi pemerintah yang diktator.

Produk ahli usrah selepas melalui siri-siri tarbawi ini telah cukup pakejnya untuk menjadi seorang ahli yang unggul lantas golongan ini pasti akan ditentang sehabis baik oleh mana-mana diktator yang tergugat dengan USRAH seperti ini.

Ingat, Usrah adalah penggugat, jika hasil usrah tidak mampu menggugat pemerintah yang zalim dan dakwah islam yang tak berkesan, maka usrah itu gagal.

Moga Allah melimpahkan rahmat seluruh umat Islam khususnya di Malaysia tempat saya menabur bakti demi Islam.

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR
11 November 2012
Melaka




























 


Thursday, October 25, 2012

Indahnya Maksiat Itu


Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!...

Laungan itu kalau kita nak mudah faham kita perlu terjemah ke dalam bahasa kita. Allah Maha Besar, ulanglah banyak-banyak kali pun kita pasti akan merasakan sesuatu akan kalimah itu.

Kita ini nak capai redho Tuhan sangatlah harus berkorban. Namun manusia, sering kali diserang dengan pelbagai jenis maksiat yang berleluasa tanpa sekatan di luar sana. Bagi saya, maksiat ini puncanya dari banyak perkara.

Pertama, ia berkait dengan peluang dan ruang. Sebagai contoh, Si fulan tinggal di rumah keluarga. Pada hari itu, kebetulan keluarganya pulang ke desa selama 2 hari. Tinggallah dia keseorangan di rumah. Rumah pula ada internet, streamyx pula tu kelajuan 4MB lagi, astro beyond HD siap TV plasma besar. Maka terdetik pada hati dia untuk mencuba sesuatu yang diluar jangkaan norma manusiawi. Dibukanya komputer dengan internet yang laju, lalu melayari laman lucah, akibat leka dan syok terdetik pula ingin mencuba mengajak kawan perempuan untuk datang ke rumah, lalu bermulah episod duka yang menghantui hidupnya...nau'zubillah

Kedua, ia berkait dengan masa dan pemimpin. Pemimpin mencorakkan negara dengan acuan tersendiri. Kalau di Malaysia, masyarakat telah dibentuk telah dididik, telah didedahkan dengan suasana barat selama hampir 57 tahun. Bayangkan, hampir setiap tahun, pemimpin gagal mendidik rakyatnya ke arah acuan Islam bahkan disuapkan lagi dengan arus pemodenan dalam sudut fesyen, cara hidup, pembelajaran dan sebagainya, dan sebab itulah selama 57 tahun nilai-nilai islam sukar untuk diajar kembali kepada masyarakat kerana sudah liat dek kerana masa yang panjang bahkan ia seolah-olah telah menjadi perkara biasa dek kerana pemimpin yang ambil ringan soal-soal nilai islam untuk diprakttikkan dalam kehidupan seharian. Ianya bukan sekadar solat, ia bukannya sekadar puasa, zakat ataupun haji tetapi hasil dari melaksanakan rukun islam itu menatijahkan sebuah kehidupan yang bersyariat yakni melaksana perintah-perintah Allah seperti menutup aurat dengan sempurna, tiada rasuah, tiada riba' dan sebagainya.

Pemimpin  tak menegur rakyat, pemimpin tak mendidik rakyat tapi sebaliknya pemimpin memperalatkan rakyat untuk kepuasan pangkat dan harta.

Akhir sekali, suka saya mencabar diri ini dengan kata-kata dari saya sendiri, iaitu, kalau benar mata ini adalah penyebab dosa kita menggunung, sanggupkah kita korbankan mata dengan cucuk mata kita untuk buta agar tak melihat maksiat?

Kalau benar tangan ini adalah penyebab dosa kita menggunung, sanggupkah kita korbankan tangan, potong tangan ini agar tak melakukan maksiat?

Kalau benar kaki ini adalah penyebab dosa kita menggunung, sanggupkah kita korbankan kaki potong juga kaki ini agar kita tak berjalan ke tempat maksiat?

Renung-renungkanlah

Salam Aidiladha buat para pembaca

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR
26/10/2012

Friday, August 31, 2012

Semangat Anak Merdeka Yang Manja!



Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Laungan itu hanyalah tipu daya. Laungan yang telah menjadi adat apabila tibanya Hari Merdeka saban tahun di Malaysia. Lagi menyedihkan lagi, sambutan yang saban tahun juga disambut oleh seluruh rakyat Malaysia hanyalah perarakan, tambah sikit perutusan dari pemimpin. Itu di siang hari. Di malam hari lagi banyak aktiviti di luar jangkaan kita termasuklah pesta memerdekakan teruna dan dara anak muda! Nau'zubillah!

Bagi saya, seorang anak muda, ianya bermakna jikalau Hari Merdeka ini dilihat dalam kacamata seorang anak pejuang kemerdekaan Negara yang menggadaikan nyawa dan darah! Ianya bermakna jikalau semua pihak mengetengahkan sejarah yang sahih perihal susur jalur perjalanan menuju negara yang Merdeka. Saya yakin, ramai rakyat yang seolah-olah telah dileka dan ditutup segala informasi perjuangan sebenar rakyat khusus orang melayu yang merupakan bumiputra tanah ini.

Tak dilupakan juga,
Malaysia juga gagal menghargai tumpah darah golongan parti haluan kiri yang tergolong dari pakatan buruh, angkatan wanita sedar, angkatan pemuda insaf dan lain-lain lagi. Juga lagi gagal malaysia ini menghargai perjuangan dari parti HizbulMuslimin yang dari dahulu komited dalam perjuangan jihad Islam menghalau kafir British dari memijak tanah Melayu ini.

Sebaliknya,
ianya sedih bilamana sejarah itu dengan mudah ditutup serapat-rapatnya. Ianya bagaikan tak penting dalam memerdekakan negara. Negara lebih menghargai perjuangan parti haluan kanan iaitu United Malay Nation Organization atau (UMNO). Ketidakadilan telah wujud disitu. Kita mengharapkan sekurang-kurangnya perlu juga kita menghargai perjuangan golongan yang lain dalam niat mereka untuk matlamat yang sama iaitu memerdekakan tanah ini dari pencacai British!

Kita telah didoktrinkan bahawa, hanya satu golongan sahaja yang telah berbakti dalam peristiwa merdeka tanpa memandang usaha-usaha dari sayap yang lain.

Saya rasa,
kita kenal dengan tokoh seperti Almarhum Tok Janggut, Almarhum Dato' Abdul Rahman Limbong dan lain-lain. Mereka ini komited dalam mengajak melayu Islam menghalau penjajah dari tanah melayu ini. Mereka adalah 'alim ulama' yang telah banyak berbakti dalam sudut dakwah Islam di serata pelusuk negeri di tanah melayu. HizbulMuslimin kini namanya adalah PAS, boleh saya katakan ultra-melayu dimana kelompok inilah yang benar-benar menjaga maruah kedaulatan Melayu dalam meletakkan Islam sebagai pemangkin semangat jihad menentang penjajah tanpa sanggup menggadaikan maruah untuk diperguna demi semata-mata memerdekakan negara.

British sebenarnya sangat membara untuk membenam dari sinar Islam menyinar di bumi tanah melayu. Tak mustahil jikalau British menolak segala apa perbincangan atau rundingan dari kelompok yang membawa perjuangan Islam, tak mustahil lah British menerima kelompok yang membawa perjuangan bangsa. Hakikat, memang British lebih takut apabila Islam gah sebab itu British lebih selesa menerima kelompok yang memperjuangkan bangsa dari Islam.

Sesungguhnya,
perjuangan erti merdeka yang sebenar masih berjalan, masih giat bergerak. Kerana kita masih dijajah dengan sisa-sisa amalan-amalan orang barat dan ianya sangat mengambil masa untuk dipulihkan kerana ia sudah bertapak di tanah melayu ini setelah sekian lamanya.

Moga kita sama-sama berganding bahu memerdekakan Malaysia ini kali 'kedua'! dan semoga penghayatan hari Merdeka mampu menitiskan air mata perjuangan bukan bergembira mengilai tawa tak berkesudahan.

Allahuakbar!

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR
31 Ogos 2012

Wednesday, August 29, 2012

My Life for My 'Flag' is Not Easy!


Kesedaran dalam diri manusia itu akan timbul apabila dia mengenal erti fitrah manusia yang sebenar. Dahulunya dia kaki pukul, tetapi bila dia kenal bahawa manusia bukan kaki pukul lalu dia sedar akan tindakannya yang salah itu.

Musuh kita siapa?
Kita lihat remaja runtuh akhlaknya, kita lihat buang anak semakin berleluasa, kita lihat pemimpin main politik lucah, kita lihat murid sekolah boleh bawa telefon bimbit, kita lihat hari merdeka dijadikan kempen politik sebuah parti, kita lihat mahasiswa yang hobinya berhutang, kita lihat institusi keluarga yang rapuh cerai sana cerai sini, kita lihat ketidakadilan dalam hukuman jenayah....

apa semua ini? siapa musuh kita yang sebenar?

wahai manusia, kenalilah fitrah kejadianmu itu. Bukankah manusia itu semuanya baik-baik belaka, putih suci.

Adakah engkau terperangkap dalam kesesatan yang dibuat oleh Syaitan itu? Nilailah sekelilingmu dengan hati yang mengenal Tuhan Pencipta. Kerna ISLAM ini bukan sekadar dianuti semata-mata, ia memerlukan keringat untuk diperjuangkan ke pelusuk alam.

Tidaklah meminta banyak dari kalian, cukuplah kalian menyokong golongan yang ingin meletakkan Islam ditempat yang tertinggi. Jangan susahkan mereka, jangan memerli mereka, jangan menjatuhkan mereka, asalkan mereka tidak langgar syariat Islam kita sokong. Musuh sedang mengintai-intai, tetapi kita susahkan mereka yang sedang berjuang. Perjuangan mereka hingga menitis darah, cukuplah kisah tragedi di MEMALI, perjuangan mereka sehingga nafas tersekat di kerongkong, cukuplah gas pemedih mata di himpunan aman, perjuangan mereka sehingga badan lebam, cukuplah mereka dipukul di tendang semasa memacakkan bendera di tepian jalan, mereka teguh dan mampu berdiri!

Tetapi, mereka tak sanggup orang yang sama saff perjuangan sanggup merobek,menambahkan kusut,mempertikaikan wasilah perjuangan...mereka tak mahu anggap golongan seperti itu sebagai salah satu musuh mereka. Sudah pasti mereka tak mahu!

Bawalah panji ini, walau ia berat dengan amanah, walau ia sukar dengan halangan, walau ia hanya simbolik, walau ia perlukan kekuatan,

Ambillah, angkatlah, bawalah ia pergi bersamamu ke serata alam!

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR
kembara.seorang.muslim
30 Ogos 2012

Thursday, July 26, 2012

Manusia Ego Pada Bulan Selain Bulan Ramadan


Alhamdulillah kini blog saya sudah hampir berusia 3 tahun bertapak di ruang maya. Masih meneruskan catatan-catatan peringatan buat para pembaca dan juga buat diri saya terutamanya. Kali ini kita akan berbicara mengenai bulan barakah, bulan yang mulia bahkan lebih baik dari seribu bulan, itulah Bulan Ramadhan Al-Mubarak.

Para pembaca yang saya hormati dan dirahmati Allah SWT sekalian. Adapun kita ini sangat berkelakuan 'aneh' tatkala kita memasuki ke bulan Ramadan ini. Aneh itu kerana gerak geri kita, perilaku kita semuanya berubah seperti menjadi orang yang pemurah dan baik budi pekerti. Dari mengumpat menjadi diam, dari mencuri menjadi takut, dari bising menjadi senyap, dari ber-facebook dengan berjam-jam lamanya kini sudah jarang membukanya. Inilah yang saya katakan 'aneh' terutama dalam masyarakat kita di Malaysia ini. Saya tak nafikan bahawa perkara-perkara perubahan aneh itu adalah merupakan baik untuk permulaan. Cuma apa yang saya boleh katakan adalah :

EGO pada bulan selain bulan Ramadhan.

Para pembaca yang dirahmati Allah SWT. Benar kata ustaz Hasrizal Abd Jamil penulis buku dan motivator terkenal ada mengatakan bahawa kita ini sebenarnya sedang dikawal oleh beberapa faktor yang menyebabkan kita mencipta alasan. Antaranya ialah faktor suasana persekitaran. Soalan saya, adakah kita akan mengabaikan amal jariah selain dari bulan Ramadan?

Bila bulan ramadan sahaja, amalan kita cukup luar biasa. Saya mengharapkan amal yang luar biasa anda itu dibawa terus ke bulan-bulan yang lain. Kita tak mahu dilabelkan seperti orang hipokrit atau dalam Islam orang munafik atau fasik, bulan ramadan sahaja kita baik semacam tapi bulan lain jahat bukan kepalang. Apatah lagi kita takut akan golongan-golongan tertentu mengambil kesempatan dalam bulan ramadan ini untuk mencari publisiti murahan seperti memberi sumbangan atas dasar ingin mencari simpati masyarakat terhadap mereka. Hal ini saya tujukan kepada semua lapisan termasuk pemimpin negara masakini dan seluruh wakil-wakil rakyat.

Saya turut risau akan tabiat ini menjadi suatu adat masyarakat terutama bangsa Melayu yang rata-ratanya beragama Islam. Saya meraikan bagi golongan yang ingin membuat anjakan paradigma ke arah lebih baik dalam diri mereka bermula di bulan ramadan ini. Cuma kita bimbang faktor persekitaran kita akan mengawal dan membentuk kita supaya kembali melakukan perkara mungkar selepas habisnya ramadan nanti. Sebab itu Allah SWT sangat menekankan para hambaNYA agar istiqomah dalam apa jua hal yang baik.

Ayat 'Istiqomah' itu cukup menarik. Ianya bermaksud kita manusia ini apabila sudah diberi petunjuk olehNYA maka jalan itu adalah jalan yang benar. Maka kita perlu teguh berdiri dan tidak berpaling dari jalan kebenaran itu walaupun mehnah dan tribulasi sering kali menjamah jiwa namun kita tetap cekal. Itulah "istiqomah". Sebab itu, dalam solat seharian 5 waktu kita, kita selalu berdoa' kepada Allah SWT dalam surah Al-Fatihah agar tunjukkan kami ke jalan yang lurus (benar).

Sidang pembaca sekalian, istiqomah itu berat. Sebab itu, jangan putus-putus berdoa' kepada Allah agar diberi petunjuk dan kekuatan. Buanglah ego kamu dalam diri supaya di bulan-bulan yang lain kita tidak mengharapkan ganjaran yang melipat kali ganda tetapi apa yang kita harapkan adalah :

LILLAHI TAA'LA (Kerana Allah Taa'la)

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR
27 JULAI 2012

Wednesday, May 30, 2012

Cerpenis : Liku-Liku Kota di Tanah Gersang (1)



Hamzah terus meluru ke biliknya lalu terus ke tempat meja belajarnya. Tangan meraba-raba ke dalam bag galasnya mengambil computer riba untuk dibuka. Ali sedang membaca surat khabar terhenti akibat dari tadi melihat gelagat sahabatnya itu yang kelam kabut lagaknya. Hamzah tidak mempeduli sahabatnya itu.

“Oh tidak, rupanya aku ada temu janji dengan rakan-rakan persatuan Islam yang lain untuk berbincang tentang isu Irshad Manji petang ini jam 5…” keluh sedikit Hamzah seorang-seorang. Jam sudah menunjukkan jam 4 petang, cepat-cepat dia mengambil telefon bimbitnya menghantar mesej kepada rakan-rakan persatuan Islam yang lain sebagai peringatan agar mereka tak terlupa.

“Kau ada motor tak Hamzah? Kalau tak ada aku boleh bagi pinjam. Lagipun aku tak ke mana-mana petang ni. Engkau pun tiada kenderaan nak pergi sana. Oh ya, kat mana tempat kau punya temu janji? “

“Di Masjid Teras Jernang. Oh ya, terima kasih ya Ali aku baru nak minta pinjam motor dekat kau” kelihatan senyum manis terukir di wajah Hamzah. Berbunga-bunga hatinya apabila Ali sudi memberi pinjam motor untuk temujanji Hamzah pada petang itu.

“Balik nanti, belikan aku mee segera ye!” jerit Ali apabila sedar Hamzah di pintu bilik.

“InsyaAllah!” Balas Hamzah ringkas.

***

Suasana petang nan damai itu dirasai seluruh masyarakat teras jernang. Jelas sinaran matahari yang tak panas membolehkan anak-anak kecil mahupun muda bersukan di padang. Kelihatan di kedai kopi Pak Seman begitu ramai warga emas duduk-duduk melepaskan lelah sambil mencicip air kopi pekat, ada juga yang rancak berbual sehinggakan air yang panas telah sejuk dibuatnya leka berbual.

Hamzah meletakkan motor sahabatnya itu di parkir bersebelahan dengan kereta Imam Besar Masjid Teras Jernang. Hamzah terus mendapatkan rakan-rakan persatuan Islamnya yang sudah pun berada di ruang solat belakang masjid tersebut. Kelihatan rakan-rakannya itu sedang duduk berbentuk bulatan yang tak berapa kemas tetapi santai.

“Assalamua'laikum, Maaflah aku lambat sikit sampai. Aku kalau bawa motor memang slow sebab nak menjiwai suasana petang.” Hamzah mengusik untuk pembuka bicara, dia terus duduk di sebelah Karim yang sejak Hamzah hadir dari tadi tersenyum-senyum kambing.

“Tak mengapalah Hamzah lagipun kami baru selesai baca Al-Mathurat.” Jelas Osman.

Ahli-ahli yang hadir pada petang itu tidaklah begitu ramai bilangannya. Hanya sekadar 3 orang sahaja tak termasuk Hamzah. Mereka adalah Osman, Karim, Azan dan Hamzah. Mereka adalah ahli persatuan Islam di jami'ah al-wataniah al-malizia. Pertemuan mereka adalah hanya untuk berdiskusi matang tentang isu umat masakini perihal perjuangan Islam Liberal yang dibawa oleh Irshad Manji. Buku beliau yang menjadi kontroversi dalam kalangan umat islam seluruh dunia yang bertajuk “Allah, Kebebasan dan Cinta” sudah tersebar luas sama ada jualan atau muat turun PDF percuma di ruang maya internet.

- Apa yang mereka bincangkan? -

Bersambung…
MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR
31 May 2012

Sunday, May 27, 2012

Barah Itu Merebak Rakus


Anak kecil dibunuh kejam di Syria yang dipimpin regim Basyar






500 Artis menghiburkan Belia?


Ketika mana kita sedang menghirup udara segar sambil mencicip air kopi panas lekat di hujung kerongkong sambil menyandar di kerusi malas kemalas-malasan lagaknya, saudara kita di belah Negara timur tengah sedang gagah menyusur langkah berduri menapak deras melangkah menentang manusia yang tiada jiwa erti hidup bertuhan. Mereka memburu syahid di medan berdarah agar manisnya wajah berseri menikmati keindahan syurga Illahi.

Saya antara lautan manusia di bumi ini yang turut simpati akan peristiwa bergolak di timur tengah malah suasana yang menimpa seluruh umat Islam di dunia ini. Ada yang kelaparan, ada yang kemiskinan, ada yang bermandi darah sepanjang masa, ada meronta kesakitan yang sarat…

Kita hanya pandai duduk bersahaja tanpa usaha.

Keluhan hati kecil ini berdengus juga apabila melihat nasib Negara sendiri dimana masyarakat yang masih menaruh harapan pada pemimpin sedia ada. Kita sedia maklum, di sekolah telah mempelajari ilmu akhlak dan moral bahkan dalam subjek Pendidikan Islam turut diajar benda yang sama. Apa dia?

Akhlak.

Kalau akhlak seseorang itu dicerminkan baik belaka hanya di kaca TV dan di media akhbar, ternyata ia tidak mampu memberi bukti yang kukuh. Anda sebagai manusia yang hidup mati kerana Allah, sudah tentu tahu mana syariat mana adat, mana pahala mana dosa! Kadang-kala saya runsing memikirkan hal ini kerana apa tujuannya jika kita belajar agama di sekolah dalam bab itu ini tapi masih menafikan apa yang diajar dahulu pada kehidupan reality…

Antaranya ialah soal aurat.

Bukan soal aurat sahaja bahkan banyak perkara lain lagi yang konon-konon masa kecik kita belajar di sekolah agama sekaligus juga dapat skor ‘A’!

Barah ini sedang menimpa di Negara saya. Runtun jiwa saya apabila barah lain sedang melanda di Negara-negara islam yang lain, yang hanya berpeluk tubuh bersenang lenang dengan harta kekayaan hasil semulajadi tanpa menghiraukan saudara islam yang sedar sarat berdarah! Barah dan parah lagi bilamana kita masih membesarkan perkara furu’ (kecil) yakni soal-soal bida’ah itu tak boleh ini tak boleh, tapi lupa akan masalah yang lebih besar sedang melanda umat Islam di seluruuuh dunia.

Buka mata hati anda, tenang, baca Al-Quran, mohon petunjuk dariNYA agar hati kita senantiasa berpadu dalam membantu mendirikan Islam di tempat tertinggi dengan apa jua cara atau wasilah yang kita guna. InsyaAllah semoga barah itu pulih dengan redhaNYA.

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR
27 Mei 2012

Tuesday, May 15, 2012

Antara Warna Baik atau Warna Buruk

Bila Negara itu ditadbir dengan warna jahat, maka coraknya sudah tentu tidak cantik bahkan huru-hara jadinya. Persoalannya, bagaimana mata yang melihat ini menafsirkan warna itu baik atau jahat? Padahal mata kita semua sama sahaja. Jika berpandu pada ilmu sains, bila kita melihat sesuatu, mata akan mendapat signal lantas dipacu terus ke sel-sel otak untuk membuatkan kita mendapatkan output atau tafsiran yang akan diterjemah pada mulut.

Tapi…adakah sel-sel otak kita ini berbeza-beza setiap orang? Sehinggakan wujud dua penafsiran sama ada warna itu baik atau buruk.

Inilah realiti masyarakat di setiap Negara, baik di eropah, asia atau timur tengah atau di mana-mana sahaja Negara, perkara ini pasti wujud. Manusia ini sebenarnya tidak kenal bahkan tidak ingin ambil tahu fitrah kewujudan manusia sebenar di atas muka bumi ini. Bukankah kita semua baik-baik belaka sama ada yang menganut agama Islam atau lain-lain agama, semuanya semasa di alam roh telah taat janji setia untuk senantiasa menyembah Allah SWT yang Maha Esa? Semua manusia itu lumrahnya punyai sifat yang sangat baik tiada kotornya.

Maka dengan itu, manusia ini sebenarnya mampu melihat warna Negara nya sendiri dengan menselarikan dengan fitrah manusia. Jikalau negaranya itu bergelumang dengan rasuah, adakah masih kita ingin katakan Negara kita itu bebas dari rasuah? Semata-mata ingin melihat warna Negara nya sendiri tidak dicalar padahal ianya sudah calar-balar.

Politik itu ilmu. Ilmu mentadbir. Bila disebut ‘ilmu’ sudah tentu ianya datang dari Allah SWT Yang Maha Bijaksana bahkan ilmu itu digunapakai untuk kemudahan dan kesenangan di dunia agar kehidupan ini diberkati Allah untuk kita membawa bekalan di kehidupan selepas mati yang kekal abadi yakni di akhirat kelak.

Bila sesebuah Negara itu ditadbir dengan warna yang kurang menarik, maka politiknya juga tidak menarik. Disebabkan warna itu juga mempengaruhi politik. Maka, politik itu mula menjadi KOTOR sepertimana kotornya warna itu walaupun cantik di mata-mata manusia yang tegar mempertahankan kecantikkan itu walau hakikat warna itu sudahpun KOTOR. Bukankah kita sudah bincangkan di atas iaitu ilmu itu memudahkan manusia tetapi kini kenapa tidak sedemikian?

Apa yang jelas dan kekal adalah ‘ilmu’ itu memudahkan manusia. Ilmu itu juga datang dari Allah SWT yang Maha Bijaksana. Itu PASTI. Bagaimana ilmu itu menjadi KOTOR adalah berpunca dari manusia yang mengamalkan ilmu itu. Allah SWT menciptakan manusia di atas muka bumi ini adalah untuk mentadbir alam agar seluruh makhluk di atas muka bumi ini sentiasa diberkati Allah. Pada masa yang sama,untuk menggalas tanggungjawab mentadbir alam ini, Allah SWT menguji setiap manusia ini dengan NAFSU dan pelbagai ujian agar iman manusia itu sentiasa kuat agar manusia itu benar-benar serius untuk mentadbir alam ini dengan berlandaskan syariat Islam yang sebenar.

Dengan itu, ilmu politik yang dianggap KOTOR itu adalah berpunca dari manusia yang kalah dengan hawa nafsunya sendiri yang sentiasa mengejar dunia tanpa melihat akhirat dengan perasaan takut. Lantas, ditadbirnya Negara itu berlandaskan ikutan hawa nafsunya semata-mata. Rosak warna itu.

Cukup kita mengambil contoh atau model ilmu politik yang BERSIH yang diamalkan sewaktu pentadbiran kerajaan Madinah dimana Perdana Menterinya adalah Nabi kita yang disayangi Nabi Muhammad SAW, Negara diwarnai dengan begitu cantik bahkan tenang melihatnya. Warna itu tersebar meluas di seluruh dunia dengan hanya mengamalkan Ilmu Politik yang BERSIH, ilmu yang datang dari Allah SWT dan diamalkan oleh hati yang BERSIH nan suci sudah tentu output nya juga cukup gemilang!

Warna apa yang sedang mewarnai dan mendominasi Negara kalian waktu ini? Fikir-fikirkan..

Selawat dan Salam ke atas Nabi Junjungan kita, Nabi Muhammad SAW!

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR
13 Mei 2012

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...