Thursday, October 27, 2011

Perjalanan Hidup yang ‘ROCK’




Sesungguhnya hidup kita di atas muka bumi ini adalah tidak lain tidak bukan semata-mata menuai benih yang akan kita tuai hasilnya di akhirat kelak. Ini adalah falsafahnya. Maka makhluk yang diciptakan Allah perlu berpadu dengan prinsip ini untuk senantiasa berada di jalan yang benar dan diredhai Allah SWT.

Bagaimana dahsyatnya kehidupan ini mampu mengubah akal manusia supaya tidak kembali kepada prinsip awal tadi. Kehidupan yang dinodai dengan kemewahan terlampau, dek wujudnya hiburan yang melalaikan jiwa inilah senjata yang dimainkan oleh syaitan dalam menyesatkan manusia agar terpesong dari prinsip sebenar kehidupan. Perjalanan hidup manusia kadang-kala tak dijangka. Ada kalanya pada awalnya tidak disimbah dengan ilmu agama yang mencukupi bahkan dihiasi dengan kehidupan urban orang Barat tetapi kehidupan berjalan dan sampai satu destinasi kehidupan itu berubah kepada landasan yang diredhai yakni tasawwur Islam yang jelas telah meresap dalam jiwa, hal inilah yang dinamakan HIDAYAH. Hidayah Allah ini hak milik Allah SWT.

Usah risau jika diri ini masih dibelengu penuh persoalan yang sukar dijawab serta merta. Kerana perjalanan hidup kita sentiasa berjalan dan sudah pasti jawapan kepada persoalan yang terbuku itu akan terjawab menerusi siri-siri perjalanan hidup anda. Sebab itu dalam kegiatan harian kita, akal perlu memainkan peranan dalam sentiasa berfikir akan suasana kehidupan sekeliling. Kita perlu melihat hal sekeliling dan mengaitkan dengan diri dan nilai-nilai murni kehidupan. Sebagai contoh : anda sedang berdiri menunggu rakan kelas di luar bilik kuliah, terlihat seorang makcik yang sedang mop lantai di hadapan anda, dan kita sedia maklum bahawa makcik itu sedang bekerja. Apa yang sedang anda fikirkan apabila anda melihat makcik tersebut? Adakah anda buat tak tahu sahaja? Atau anda muhasabah diri bahawa kegigihan makcik itu melakukan kerja semata-mata ingin mencari sesuap nasi walaupun dengan kerja sebegitu rupa tetapi kita masih bermalas-malasan dalam mencari pekerjaan selepas graduasi kelak?

Renungkanlah…

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR

28 OKTOBER 2011

Tuesday, October 25, 2011

Astronomi Satu Permulaan…




Astronomi, berasal dari bahasa Greek. Juga kadang-kala kita memanggil 'Astronomos' dimana perkataan 'Astro' – "bintang" dan 'Nomos' – "Aturan". Maka, ianya boleh dipanggil sebagai "Aturan-Bintang".

DEFINISI

Beberapa definisi yang telah dikeluarkan oleh beberapa sarjana terulung dalam bidang sains tentang maksud ilmu astronomi. Astronomi adalah satu cabang ilmu sains dimana menyentuh perihal 'Celestial Objects' – 'Objek Cakerawala' adalah merujuk kepada objek-objek seperti asteroid, komet, bintang, planet dan sebagainya.

Astronomi adalah satu ilmu sains yang mengkaji tenaga-jirim di alam semesta, ianya berkaitan dengan komposisi, ciri fizikal, pergerakan dan kitaran.

Di atas adalah antara definisi umum perihal astronomi.

Dalam Bahasa Melayu, kebiasaan dipanggil 'Ilmu Falak' dimana ditakrifkan sebagai – "satu cabang ilmu sains tabii yang mengkaji perjalanan badan-badan cakerawala seperti Bumi, Bulan, Matahari dan bintang-bintang"

Mari kita lihat definisi oleh sarjana islam mengenai ilmu Astronomi :

Pakar astronomi muslim, Al-Biruni dalam kitab terulungnya 'Kanun Al-Masu'di'mendefinisikan falak sebagai sesuatu yang mengikut revolusi atau putaran. Pakar sejarah muslim, Ibnu Khaldun dalam bukunya 'Muqaddimah' mendefinisikan astronomi adalah satu cabang ilmu yang mempelajari pergerakan bintang. Apabila kita melihat definisi-definisi ini, ianya adalah satu pergerakan yang berlaku di alam semesta yang PASTI tersusun bukanlah satu pergerakan yang random.

Apakah implikasi definisi tersebut?

"
Of law, of order, of a certain pattern, of regularity, or cyclical motion or revolutions, of structure, of universality, of gradualness - it is both constantly in motion yet stable and ordered and not chaotic." – Jadi, dalam pergerakan inilah yang memang seragam, pasti seragam dan sebab itu ia digelar 'Law of Order'. Hal ini jelas, jika kita mengaitkan akan perihal ketuhanan, sudah pasti yang menciptakan alam semesta ini adalah dari Tuhan yang satu bukan terdiri dari banyak Tuhan. Kerana, pergerakan objek cakerawala ini adalah seragam maka ianya adalah mutlak. Dalil Al-Quran telah banyak memberitahu kita akan pergerakan bulan, matahari yang sistematik dan Penciptanya adalah Allah SWT.

SKOP ASTRONOMI

Astronomi mengajar dimensi yang berlainan dalam mengenal objek cakerawala, iaitu :

  1. Taburan
  2. Pergerakan
  3. Komposisi
  4. Evolusi

Astronomi juga dipecahkan kepada beberapa bidang yang utama :

  1. Astrometry
  • Mengukur posisi objek-objek cakerawala dan perubahan posisinya yang meliputi koordinat tertentu.
  1. Celestial Mechanics
  • Mengkaji pergerakan dan daya diantara objek-objek cakerawala. Ini boleh dikaitkan dengan konsep Hukum Newton dan Universal Gravitation.
  1. Astrophysics
  • Mengkaji tentang fizikal dan bahan kimia yang wujud di objek-objek cakerawala dan diantaranya. Ianya juga menerangkan berpandukan model dengan menggunakan hokum Fizik.

METOD

2 Kaedah utama digunakan dalam Astronomi :

  1. Observation (Pemerhatian)
  • Sama ada langsung atau tidak langsung; monitoring the electromagnetic spectrum; instrumentation; regulatory versus exploratory; the possibility of direct sampling.
  1. Calculation (Pengiraan)
  • Berpandukan dengan kefahaman ciri-ciri pergerakan objek cakerawala.

MANFAAT

Terdapat manfaat yang kita peroleh apabila wujudnya ilmu astronomi ini. Ianya sudah pasti manfaat kepada manusia khasnya kerana peredaran objek-objek cakerawala inilah yang menentukan arah angin,destinasi tempat dan fenomena-fenomena alam yang lain. Manfaat paling UTAMA adalah berkait dengan 'MASA' dimana dengan ilmu astronomi, kita dapat membuat calendar yang kekal dan tepat dan juga terciptanya jam. Selain itu, ianya bermanfaat kepada para pengembara yang mengembara ke serata dunia dengan hanya melihat kedudukan objek-objek cakerawala ataupun posisi bintang yakni buruj. Ahli saintis juga mudah untuk mengklasifikasikan fenomena alam yang berlaku seperti GERHANA BULAN dan MATAHARI, perubahan angina monsoon, kejadian bayu darat dan bayu laut dan sebagainya.

Terdapat banyak manfaatnya daripada ilmu astronomi ini untuk kegunaan dan kebaikan manusia sejagat.

ASTRONOMI VS ASTROLOGI

Maksud 'Astrologi' dalam kamus Bahasa Inggeris (Oxford Advanced Learner's Dictionary, 7th Edition) :

  • "The study of the positions of the stars and movements of the Planets in the belief that they INFLUENCE HUMAN AFFAIRS."

Maksud 'Astronomy' dalam kamus Bahasa Inggeris (Oxford Advanced Learner's Dictionary, 7th Edition) :

  • "The scientific study of the sun, moon, stars, planets and etc.
  • Rujuk definisi astronomi di atas.

Pendek kata, astrologi adalah bidang yang digunapakai oleh puak-puak yang meramal kedudukan bintang di langit kemudian hasilnya mereka mengaitkan dengan sifat-sifat manusia.Manakala astronomi adalah bidang yang mengkaji bintang dan objek cakerawala tanpa mengaitkan langsung perihal sifat-sifat manusia, bahkan mereka mengkaji untuk manfaat manusia seperti yang telah dinyatakan di atas. Adapun sesetengahnya melihat juga astrologi ini ada perkaitan dengan falsafah, tetapi secara pokoknya ia adalah 'TILIK NASIB'

Jika di pandang sisi ISLAM, astrologi ini sama dengan 'Ahli Nujum' dan nyata sekali Islam menolaknya dimana ramalan yang dibuat berdasarkan kedudukan bintang dan mempercayainya dengan tiada panduan agama.

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR

28 Zulkaedah 1432

25 OKTOBER 2011


 

Sunday, October 9, 2011

TAK MINAT…




Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW serta para sahabat baginda dan alim ulama' di setiap zaman.

Dalam keterbatasan waktu yang ada, akhirnya blog 'Kembara Seorang Muslim' kembali dikemaskini. Pada entri kali ini, kita ingin membicarakan soal antara minat dan kesungguhan. Manusia di atas muka bumi ini masing-masing tak lari dengan kehendak atau minat yang tersendiri. Boleh juga saya katakan ianya adalah 'Hobi', tak timbul hobi itu berdasarkan minat seseorang akan sesuatau perkara yang diiktiraf hal itu sebagai hobi. Maka ianya bermula dari minat. Satu persoalan boleh dilontarkan, macam mana ingin menghadirkan keminatan seseorang itu? Si A minat dalam bermain bola sepak tetapi si B tak berminat bahkan berminat dalam benda lain. Kenapa si B minatnya tak boleh sama dengan minat si A? Itulah manusia yang telah Allah ciptakan di atas muka bumi ini dengan pelbagai watak dan kebolehan masing-masing.

Dalam entri saya yang lepas, yang membicarakan soal 'WillPower' iaitu Kuasa Kehendak atau Kuasa Keinginan, mungkin ada kesinambungan antara 'WillPower' dan minat. Barangkali ia bermain hanya istilah sahaja. Tetapi jika diamati, ianya ada perbezaan sedikit antara kedua-dua ini. Kita tolak tepi. Maka apabila Kuasa Kehendak itu wujud dalam diri, maka secara tidak langsung minat itu akan hadir dalam diri. Walaupun sesuatu perkara itu ialah seseorang yang tak mahir atau tak pernah lakukan, tetapi apabila Kuasa Kehendak itu wujud maka dia akan cuba terus menerus dalam meneroka bidang itu dan akhirnya minat pun hadir dengan sendiri. Mana mungkin manusia itu lahir di dunia terus saja pandai dalam ilmu berpidato?

Manusia masing-masing sedang mengalami proses belajar. Tak kira usia muda mahupun tua. Belajar itu tak semestinya dalam keadaan yang formal tetapi proses ini adalah berterusan hingga ke liang lahad.

Ada perbezaan yang akan dilihat oleh kita yakni hasil kerja yang kita minati itu. Pekerjaan yang kita kurang minat akan rendah tahap kualiti hasilnya berbeza dengan mutu hasil kerja yang kita minati. Maka, adakah sesuatu kerja yang kita minat itu dilaksanakan dengan acuh tak acuh? Sudah pasti tidak. Maka terbitlah satu perkataan yang kita panggil :

Kesungguhan.

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR

13 Zulkaedah 1432

10 OKTOBER 2011

Thursday, September 1, 2011

Dunia Baru Islam





Masih basah kenangan indah
Zaman cemerlang era gemilang
Ketika Rasul ada di sisi
Para sahabat mentadbir bumi

Zaman nubuwwah era khulafa'
Islam laksana api yang menyala
Menerangi teman dan juga sahabat
Bahang panasnya membakar lawan

Di celah itulah
Kami mengatur langkah
Membina sebuah thoifah

Di sini bara
Tak pernah padam
Digenggam kukuh
Sebuah azam

Ayuhlah para mujahid
Ayuhlah para mujahidah
Kita tinggalkan zaman fitnah
Agar tertegak kalimatullah
Agar terbangun.....
Dunia Baru Islam

Lagu : The Zikr
Lirik : Pahrol Mohd Juoi

Dunia Baru Islam, ummah perlu ke arah itu. Dunia yang ditadbir oleh khalifah yang bertaqwa seterusnya mencorak dan mentarbiyyah rakyat di bawahnya baik muslim atau non muslim ke arah yang lebih baik dan bersistemkan islam yang cantik. Penilaian anda terhadap dunia pada hari ini adalah hanya sekadar di mata kaca keindahan luaran tapi tidak pada dalaman yang barah tak terperi. Saya yakin, jika segenap pihak memainkan peranan dalam menuju dunia baru Islam itu kita akan dapat sampai ke destinasi itu dengan cepat.

Cepat, tapi tidak mudah.

Dengan itu, bertaqwalah kepada Allah SWT kita sama-sama harungi jalan kebenaran ini dengan cekal dan kuat. Siapa lagi kalau bukan kita yang memulakan.

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR

4 Syawal 1432 Hijrah

2 September 2011

Wednesday, August 31, 2011

Kawan Anda Paling Rapat adalah Diri Sendiri


Gambar Tahun 2010 - Ehsan


Diam.

Tak beerti diam tandanya sombong. Maka dengan sebab itu kita diajar dalam Islam untuk Huthnuzon iaitu maksudnya ialah bersangka baik.

Saya hanya lebih suka kepada orang yang pendiam tetapi ber-'isi'. Diam-diam Ubi Berisi, kerana seorang pendiam itu ligatnya otak sedang berkerja keras memikirkan sesuatu hal. Kita saja tak tahu.

Kaitannya saya ingin sampaikan adalah ingin cuba meletakkan pilihan di antara beberapa jawapan kepada solusi. Solusi dalam menyelesaikan masalah sesetengah umat resah dan berungut akibat bosan dalam kehidupannya. Maka mereka tidak merasakan sesuatu yang bernilai dalam siri perjalanan hidupnya seharian. Mereka ini juga akan beranggapan orang sekeliling tidak memahami dirinya lalu dibawa dirinya jauh-jauh mencari pembimbing. Dalam Islam juga, kita diajar sewaktu kita buntu dilanda masalah yang pelbagai, Islam telah mengajar umatnya untuk berzikir mengingati Allah SWT agar kita mendapat ketenangan yang luar biasa hanya melalui zikrullah. Allah SWT telah berfirman dalam Al-Quran :

"Ingatlah dengan berzikir (mengingati Allah) jiwa kamu akan tenang." – Surah Ar-Ra'ad : 28

Zikir dan Diam satu kombinasi yang agak terikat. Dengan hanya anda diam dengan kurangkan bercakap, diam anda itu disulami dengan zikir di hati. Jika anda bermasalah dengan orang sekeliling, berdiamlah dari omong kosong lalu mulakan zikir mencari kekuatan dan tenang menghadapi orang sekeliling anda.

Zikir kepada Allah, cubalah.

Selepas itu, saya cadangkan kepada anda satu hal yang melucukan.

BERBUAL lah DENGAN DIRI SENDIRI.

Gila ke? Tidak. Saya serius. Maksudnya, berbual lah dengan hati dengan tidak mengeluarkan suara anda, hanya bisikan hati yang luhur. Berbual lah anda bertanyakan khabar diri sendiri, sepertimana kita bertanya khabar kepada rakan kita umpamanya. Tapi ini kita Tanya kepada diri sendiri ;

Diri sendiri : Apa khabar wahai diriku?

Diri sendiri : baik Alhamdulillah..tapi……

Maka secara automatic kita sendiri juga akan bertanya kenapa "Tapi" itu wujud? Lalu kita sedar yang kita masih ada masalah dalaman yang belum diselesaikan. Orang kata, kita susah nak tipu diri sendiri bukan?

Itu adalah contoh, seterusnya anda berbual lah dengan hati anda sendiri melalui muhasabah bersama-sama diri sendiri. Kenapa aku masih hidup? Apa matlamat aku? Allah SWT Maha Mengetahui akan setiap hambaNYA. Lalu proses mengenali diri sendiri akan terbina dan ikatan sayangkan diri sendiri akan tebal, maka adakah anda tidak menyayangi diri anda sendiri? Bertaqwalah kepada Allah.

Kawan yang paling rapat adalah diri sendiri.

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR

3 Syawal 1432 Hijrah

1 September 2011

Sunday, August 28, 2011

Di Sebalik Banjaran itu





Apa yang terlintas di fikiran anda sebaik sahaja melihat gambar ini? Jika ada terlintas, saya dan anda mungkin berbeza…

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR

29 Ramadhan 1432 Hijrah

29 Ogos 2011

    

Saturday, August 27, 2011

Perubahan di Awangan




Mata empat ini liar memerhati. Keadaan sekeliling sudah berbeza, bezanya dari banyak perkara. Hal ini akibat masa yang tak berperasaan lalu tidak menunggu si manusia yang alpa. Saya antara manusia itu. Yeah saya pun turut berbeza dari pandangan orang. Ahh, bezanya saya tidak pasti kerana orang biasa kata "biarkan orang lain yang menilai…" bukan saya kata…

Sekeliling saya kini sudah berbeza, watak manusia, rencam kehidupannya..

Dahulu lain dari pandangan mata saya sekarang ini jika nak dibandingkan antara dahulu dan sekarang. Saya lebih tertumpu kepada perbezaan yang berlaku kepada warna kehidupan manusia. Jika dahulu orang dipandang gah bila memiliki telefon bimbit besar gedabak, tapi hari ini ianya perkara biasa jika seseorang memiliki i-pad. Jika dahulu tandas awam adalah percuma tetapi sekarang sudah dibisneskan. Banyak lagi contoh yang berkait dengan perubahan antara dahulu dan kini. Mungkin kini juga akan berbeza pada masa hadapan. Barangkali ipad sudah semacam 'beli gula-gula' pada masa hadapan?

Perubahan ini adalah fitrah. Kita tidak boleh berada di takuk lama sahaja, kerana kita mesti melakukan perubahan ke arah yang lebih baik. Islam mengajar umatnya untuk lebih keterhadapan dalam pelbagai aspek baik dari sudut teknologi, sains, bisnes dan lain-lain. Bahkan perubahan yang dipandu dalam Islam adalah sangat menarik dan cantik susur jalurnya, kerana anda akan sentiasa berpaksikan kepada dua teras rujukan utama umat islam yakni Al-Quran dan As-sunnah maka perubahan yang anda lakukan dalam setiap sector akan mendapat keredhaanNYA.

Kadang kala manusia sangat ghairah dalam melakukan perubahan. Tak boleh juga.

Keghairahannya akan menyebabkan mudarat kepada orang sekelilingnya. Contoh yang saya boleh utarakan adalah apabila manusia membina kilang-kilang yang terlalu banyak atas sebab ingin mengeluarkan produk untuk janaan ekonomi Negara maka 'side effect' nya adalah dari pengeluaran asap hitam yang berkepul-kepul itu yang mengakibatkan pencemaran udara. Maka wujud pula kes pencemaran udara yang merisaukan dan pihak-pihak tertentu giat melaksanakan kempen kesedaran itu dan ini. Di mana silapnya? Ini contoh…

Tersentak saya apabila bahu ditepuk.

Oh Abang saya rupanya.

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR

28 Ramadhan 1432 Hijrah

28 Ogos 2011

Sunday, August 7, 2011

Air Mata Ramadhan

Adeli termenung seketika mengimbau kembali kata-kata anak perempuannya itu. Ianya cukup membuatkan dia terfikir sejenak sebagai seorang bapa.

"haa bapaknye, termenung jauh Nampak.." sentak Aisyah, isteri Adeli sambil membawa sepinggan biskut lemak kegemaran suaminya.

"awak ni, terperanjat saya dibuatnye..bagi la salam ke..ape ke..ni tak..sergah gitu aje..nasib baik saya takde lemah jantung.." Adeli yang mengurut-urut dadanya akibat terperanjat lalu membetulkan posisi duduknya menghadap aisyah. Diambilnya biskut sekeping demi sekeping mencecah air kopi panasnye.

"awak ada perasan sesuatu tak kat anak kita si mona tu..sejak dua menjak ni senyap je..tak selincah dulu" adeli memulakan perbualan..

"perasan..tapi ecah biarkan je, macam takde ape-ape yang berbeza sangat pon.." sambil melipat kain baju yang baru lepas diangkat dari ampaian luar. Adeli senyap selepas mendengar jawapan dari isterinya. Apa yang pasti, jawapan itu tetap tak memuaskan hati adeli. Suasana petang di kampong parit sental cukup nyaman, manakan tidak angin yang meniup lembut kesejukan, kelihatan pula sang mentari yang kian terbenam. Anak-anak desa yang berlari-lari riang seolah dunia ini mereka yang punya. Sekejap lagi waktu maghrib akan menyusul tiba, maka 30 sya'ban dinanti jua. Sudah pasti keriangan untuk menyambut bulan ramadhan kian terasa.

Allahuakbar…Allahuakbar..

Laungan Azan memecah sunyi senja. Orang-orang kampong bersiap sedia untuk berangkat menuju ke rumah Allah untuk menunaikan fardhu kewajipan seorang muslim. Adeli mengenakan kopiah putihnya, kelihatan kemas dengan jubah putih lalu diseletkan sedikit minyak attar ke jubahnya.

"ecah ooooo ecah lekas la sikit..tak sempat pule kite nak solat berjemaah nanti..awak panggil sekali yop dan mona tu.." adeli memanggil isterinya. Yop adalah nama manja kepada anak lelaki adeli yang bernama azidi, baru berusia 16 tahun. Mona adalah juga nama manja kepada anak perempuan adeli yang bernama Nur Amirah berusia 14 tahun. Mereka sekeluarga berjalan kaki menuju ke Masjid Kg.Parit sental siap berwudhu' sekali. Sesekali kedengaran mona batuk-batuk di sisi aisyah ibunya. Adeli terdengar, dalam hati cukup merisaukan dia, manakan tidak si ayah tidak merisaukan kesihatan anaknya. Mereka meneruskan perjalanan ke masjid dengan kuat dan tabah. Usai solat berjemaah maghrib, orang kampong didengari pula ceramah agama yang disampaikan oleh ustaz Riduan. Sungguh tekun jiwa-jiwa desa mendengarnya. Pakcik Makcik yang berusia turut bersama-sama dalam majlis ilmu tersebut, dihiasi pula dengan rengekan anak-anak kecil bayi di ruangan muslimat. Kali ini ceramah agama lain sikit. Bersesuaian dengan suasana kini kian hampir menuju ke bulan barakah iaitu bulan ramadhan al-mubarak. Maka isi ceramah lebih kepada persediaan menyambut bulan Ramadan yang bertajuk "Ramadhan menjelang tiba, ummah bertenaga".

Usai solat isyak berjemaah, adeli dan keluarga pulang ke rumah papannya itu.

"mona..mari sini nak duduk kat ayah kejap..ayah nak borak-borak..lame dah tak borak-borak ngan anak ayah ni.." adeli mengajak Nur Amirah. "baik ayah.." mona menyahut ajakan ayahnya sambil meletakkan kain telekungnya kemas-kemas di almari biliknya. Anak gadis cantik ini duduk di depan ayahnya.

"mona sayang tak kat ayah dan ibu? "

"sayang..kenapa ayah?"

"hehe Alhamdulillah, takdela ayah saje Tanya mona..manela tau mona tak sayangkan ayah dan mak ke..yelakan, mak tu dah tua, tak lawa..ayah ni tak hensem dah.." adeli menyakat gurau dengan anaknya mona. "eh ayah ni…camtu lak.." mona menyangkal kata-kata gurauan ayahnya. "hey bapaknye,,saya ni lawa lagi tau..kan kan anak ibu.." aisyah isteri adeli tiba-tiba membantah selepas berkemas di dapur lalu duduk di sisi suaminya. Yop pula kelihatan sedang belajar menelaah fizik di biliknya sambil kedengaran alunan radio IKIM FM di telefon bimbitnya.

"ayah nak Tanya mona ni…apa betulke mona nak sangat jumpa arwah nenek? Macam yang mona kata kat ayah petang tadi? Kan nenek dah lama tinggalkan kita..lagipun, kita takleh jumpa nenek lagi dah" adeli memulakan perbualan dan kali ni dengan nada serius tiada gurauan.

"betullah ayah, mona cakap serius..bukan tipu-tipu..uhuk uhuk" mona terbatuk-batuk sambil mengurut-urut dadanya yang sakit lantas merebahkan diri baring di atas riba ibunya.

"ermm…mona…lupakan hasrat mona tu, lagi pun memang mona takleh jumpe nenek..kesihatan mona tu yang ayah risaukan..jangan kata yang bukan-bukan ye pasni.."

"mona tak kata bukan-bukan pun…ala kalau mona nak jumpe, mona leh jumpa kat 'sana'.."

Tersentak adeli dengan kata-kata anaknya. Perasaan sebak mula menyelubungi jiwa adeli. Seakan air matanya ingin menitis jatuh ke bumi, tapi ditahannya dengan kuat.

"monaa..ayah sayang mona..sabar ye sayang..ramadhan dah nak jumpe kita nih..sabar ye sayang.." lemah kata-kata adeli disulami kesebakkan sambil membelai ubun-ubun rambut anaknya yang terbaring di riba ibunya.

Adeli segera mengambil wuduk lalu memasuki biliknya. Dihemparkan sejadah usangnya lalu menunaikan solat sunat hajat memohon hajat kepada Allah SWT dengan hati yang penuh sebak dan mengharap. Selesai sudah memberi salam, adeli memohon doa' kepada Allah SWT dengan penuh pengharapan kepadaNYA.

"Ya Allah yang Maha Penyayang lagi Maha Mengasihani, hambamu ini menadah tangan memohon doa' kepadaMU, dengan penuh pengharapan seorang hamba kepadaMU, hati yang lemah jiwa yang longlai sebak ya Allah memikirkan kesihatan anakku mona, aku adalah ayahnya, aku bertanggungjawab ke atasnya, setiap kali anakku batuk, ianya cukup merisaukan aku ya Allah….aku mengharapkan kata-kata doctor yang merawat anakku itu hanyalah sekadar ramalan yang takkan terjadi ya Allah, kerana ajal maut itu ditanganMU ya Allah..aku tahu anakku sedang mengalami sakit yang agak kritikal, siapa tak risau apabila anaknya menghidap kanser paru-paru, yang diramalkan dapat bertahan selama anggaran satu bulan sahaja selepas ini..ya Allah, aku berdoa' kepadaMU, ajal maut hanya di tanganMU ya Allah, jikalau Engkau lebih menyayangi dia Kau ambillah dia dengan aman, dan jikalau boleh ya Allah Kau berikanlah anakku untuk terus hidup dengan sihat sejahtera dan dapat merasai nikmat di bulan ramadhan ini dan Syawal ya Allah…….hanya Engkaulah tempat aku bergantung harap memohon doa', semoga Engkau makbulkan doa'ku ini Ya Allah dan mona sentiasa kuat imannya lantas menjadi anak yang solehah…amiiinn ya Rabbal A'lamin"

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR

7 Ramadhan 1432 Hijriah

7 Ogos 2011

Thursday, August 4, 2011

Di Atas Hamparan Sejadah

Bismillah,

"Saya menganggap, cuba kita lihat kehidupan di dunia ini seperti di atas hamparan sejadah, di atasnya lah kita solat, membaca Al-Quran, berzikir kesemuanya adalah kebaikan dan mustahil lah di atasnya kita ingin melakukan maksiat…"

Antara petikan kata-kata penulis terkenal di Malaysia, Hilal Asyraf dalam sebuah siri video Langit Ilahi Show. Petikan kata-kata beliau mudah untuk kita fahami, dan saya turut tersentak dengan kata-katanya yang mengibaratkan kehidupan kita ini 'Di Atas Hamparan Sejadah' dan ianya cukup menarik.

Kata kuncinya adalah hendak mengajak kita agar melihat kehidupan kita di atas muka bumi ini bukanlah satu perkara yang sambil lewa, bahkan perlu dilihat dengan serius. Saya bersetuju dengan Hilal Asyraf, jika kita melihat kehidupan kita ini seperti di atas hamparan sejadah, maka kita senantiasa akan melaksanakan perkara kebaikan. Hati akan terketar ketakutan jika kita dengan rakus melakukan maksiat di atas hamparan sejadah, nau'zubillah.

Usai video itu dimainkan, saya termenung seketika. Merenung nasib umat akhir-akhir ini. Setiap golongan cukup merisaukan saya, bagaimana akidah dan iman mudah dirobek dan dikoyak-koyakkan oleh sang Syaitan yang derhaka. Sememangnya tugas syaitan untuk menyesatkan kehidupan manusia di atas muka bumi ini, dan sepatutnya tugas kita juga untuk senantiasa beribadah kepada Allah SWT agar akidah, iman akan sentiasa dipandu olehNYA, maka jalan yang lurus akan terpandu. Tidaklah lagi kita terkapai-kapai mencari jalan yang benar itu.

Kadang-kala manusia sering lupa siapa kawan mahupun lawan. Kawannya sudah pasti saya merujukkan kepada Al-Quran dan As-Sunnah manakala lawan saya rujuk pula dengan hawa nafsu, hasutan syaitan. Dua perkara ini kadang-kala kita terlupa, jika ingin melawan hawa nafsu dan hasutan syaitan maka perkuatlah kawan dengan kembali kepada ajaran Al-Quran dan As-Sunnah. Hidup kita pasti akan dipandu kebenaran bahkan kehidupan akan sentiasa diberkati dan diredhai Allah SWT. Manual menjalani kehidupan duniawi yang dijamin takkan sesat selamanya telah diungkap oleh Muhammad s.a.w sewaktu berkhutbah dalam ibadah hajinya yang terakhir,

"Daku tinggalkan bagi kamu dua perkara. Tidak akan sesat selamanya jika kamu berpegang kepadanya; AlQur'an dan Sunnahku", aw kama qal.

Tidak cukup dengan analogi 'Di Atas Hamparan Sejadah' ini saya tertarik dengan bagaimana Imam Asya'ari dan Imam Maturidi, Imam Al-Ghazali dan Imam Fakhruddin Ar-Razi apabila mengajak kita melihat kejadian alam semesta ini berdasarkan Al-Quran dimana alam ini adalah Allah SWT sebagai penciptanya dan ditadbir olehNYA. Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Maka sudah pasti kehidupan kita akan terpandu kea rah kebaikan jika kita faham hakikat kita hidup di muka bumi ini.

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR

5 Ramadhan 1432 Hijriah

5 Ogos 2011


 
 

Monday, August 1, 2011

Peringatan di Hari Pertama Ramadhan

1 Ramadhan

Manusia di seluruh dunia menanti-nantikan bulan ini, manakan tidak ianya adalah bulan yang cukup barakah bahkan setiap amalan kebaikan dilipat gandakan ganjaran pahalanya yang tidak terdapat di bulan-bulan Islam yang lain. Saya antara berjuta yang gembira menanti kedatangan bulan yang mulia ini.

Kali ini saya menyambut hari pertama Ramadan di samping keluarga yang tersayang. Ianya berbeza pada sesi Ramadan yang lepas, berbuka dengan makanan berbungkus, sahur yang kadang-kala hanya seteguk air mineral. Maklumlah kehidupan kampus ternyata lebih 'sempoi' bila dibandingkan apabila kita berada di rumah. Ianya berbeza.

Jam 2 petang sahaja telah sibuk ibu saya di dapur. Melaksanakan tugasnya sebagai seorang mak dan isteri, saya ternyata tergugat juga dek bau-bau haruman menyegar makanan yang dimasak.

"Mak nak buat karipap sardine la.." Mak saya memberi kata putus. Apa lagi, otak terus menafsirkan kesedapan makanan yang disebut oleh mak saya itu lantas terteguk air liur saya mendengarnya.

Memang penantian kita untuk menunggu saat berbuka itu memerlukan kesabaran yang kuat. Namun kesabaran itu jangan pula disulami dengan bait-bait kata yang terlafaz ingin berbuka.

"aduh lambatnya, tekak dah kering ni.." rungut si A

"kau ni tak baik tau cakap macam tu tengah pose nih.." si B mula membantah

Namun rungutan si A itu sudah biasa saya dengar di lapangan masyarakat Melayu kita. Bukan makna sabarnya kita itu adalah menunggu dengan rungutan semata, tetapi perlulah kita bersabar tanpa rungutan bahkan isikan kesabaran anda dengan berzikir memuji Allah SWT.

Saat berbuka pun tiba. Saya apa lagi, menjamu selera yang terhidang di depan mata. Makan sedikit sahaja kerana ingin menunaikan solat maghrib. Usai sahaja solat, saya pergi ke dapur lalu mengambil sedikit makanan untuk dimakan. Selang beberapa minit kemudian, saya ke dapur semula mengambil makanan untuk dimakan juga dalam kuantiti yang sederhana. Sebelum pergi ke masjid untuk solat isyak dan terawih, saya sempat lagi mengunyah makanan di mulut. Oh Tuhan.

Usai sahaja beribadah di masjid, pulang semula ke rumah terus memakan apa yang ada JUGA kuantiti yang sedikit. Tiba-tiba perut terasa kenyang.

4 Pagi, kami sekeluarga bangun untuk bersahur. Nasi kali ini. Entah bagaimana saya hanya memakan sedikit sahaja kerana perut yang masih kekenyangan akibat makan berlebihan di malam hari tadi. Air pun tidak banyak yang saya minum kerana perut yang tidak mengizinkannya. Saya terduduk diam. Saya tidak dapat menunaikan solat malam akibat kekenyangan. Terasa bersalah pula kerana tidak dapat berpeluang pada malam pertama untuk beribadah malam.

Saya bermuhasabah, inilah akibatnya sunnatullah dilanggar. Kita yang tidak sepatutnya memakan berlebihan bahkan perlu makan sekadar menghilangkan rasa lapar, berhenti sebelum kenyang!

Walaupun kita tidak menjamah makanan sewaktu berbuka dengan kuantiti yang banyak sekali gus, tetapi harus dilihat masa selepas waktu berbuka itu. Ianya boleh dirujuk akan kes saya di atas, makan sikit-sikit lama-lama jadi 'bukit'lah perut tu..

Maka pengajaran atau peringatan buat diri saya dan teman-teman adalah : "Makan apabila lapar, berhenti sebelum kenyang"

Wallahua'llam.

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR

1 Ramadhan 1432 Hijriah

2 Ogos 2011

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...