Thursday, May 5, 2011

Pembentangan Kertas Kerja 1 : Al-Quran dan Sains mengenai Kulit Manusia


Bismillah,
Sesungguhnya sains tidak lari dalam proses mengenal sunnatullah, peredaran Bumi pada paksinya, planet-planet yang mengelilingi matahari pada orbitnya yang tersendiri dan sebagainya. Sains Islam adalah yang terbaik berbanding dengan sains pemikir oleh Barat kerana sains Islam berkait rapat antara Agama bukan konsep sekularisme yang diamalkan oleh Barat dimana konsep sekularisma ini memisahkan agama dengan ilmu sains. Itulah uniknya dan indahnya Islam.

Pada awal tadi saya ada mengatakan bahawa, peredaran Bumi pada paksinya dan sebagainya. Kita lihat proses atau fasa perubahan bentuk Bulan yang dapat dilihat pabila malam menjelma dan ini jelas terbukti bahawa bulan beredar pada orbitnya di bumi dan setiap planet ada bilangan bulan yang tertentu. Perhatikan ayat Al-Quran Surah Yassin ayat ke-39

Maksudnya :
“Dan telah Kami tetapkan peredaran bagi bulan, sehingga (setelah ia sampai ke tempat peredaran yang terakhir) kembalilah ia seperti bentuk tandan yang tua.”

Bulan itu pada awalnya kecil berbentuk sabit, kemudian setelah menempati tempat peredaran, ia menjadi purnama, kemudian pada tempat peredaran terakhir kelihatan seperti tandan kering yang melengkung. –Nota Kecil pada Al-Quran tentang ayat di atas-

Lihatlah, Allah SWT Maha Bijaksana, kita manusia teramat cetek ilmunya sedangkan Allah boleh mencipta satu sistem atau fasa perubahan bulan utk kemaslahatan ummah dalam menentukan waktu-waktu solat, Puasa di bulan Ramadhan dan sebagainya.

Ini adalah muqaddimah saya dalam berbicara tentang keindahan sains itu sendiri dalam corakkan Islam yakni dalil-dalilnya cukup jelas dan nyata menerusi Al-Quran dan Hadis Nabi Muhammad SAW. Justeru itu, rungkaian dalil-dalil ini jelas mengukuhkan lagi pembuktian penemuan-penemuan sains tika ini.

Saya amat tertarik akan falsafah Universiti Kebangsaan Malaysia dimana tempat saya menadah ilmu Allah SWT ini dimana “The Philosophy” ini yang mencorakkan pemikiran seorang pencinta ilmu yang ikhlas dan berwawasan. Falsafah yang dimaksudkan ialah :

“Paduan antara Iman kepada Allah dengan Ilmu yang bermanfaat serta gabungan antara teori dengan amal adalah dasar utama bagi perkembangan ilmu, proses pembinaan masyarakat terpelajar dan pembangunan Universiti.”

Jelas falsafahnya, namun hakikat, di medan realiti ternyata berbeza dari segi penghayatannya. Menerusi falsafah ini ternyata, kajian penyelidikan yang dilaksanakan oleh para penyelidik haruslah selari dengan falsafah Universiti itu sendiri dalam kebaikan ummah sejagat. Dengan itu, perhatikan bagaimana penyelidik dari Chiang Mai Universiti di Thailand yang bernama Prof.Tegatet Tejasen sebagai Ketua Jabatan Anatomi di Universiti tersebut, telah membuat penyelidikan tentang kulit manusia. Perhatikan juga kenyataan yang dibuat oleh beliau iaitu :

“When a Doctor examines a patient suffering from burn injuries, he verifies the degree of burns by a pinprick. If the patients feel pain, the doctor is happy, because it indicates that the burns are superficial and the pain receptor are intact. On the other hand, if the patient does not feel any pain, it indicates that it is a deep burn and the pain receptors have been destroyed”

Melihat pada kenyataan beliau terhadap “Pain receptors have been destroyed” jelas reseptor kesakitan itu wujud dan ianya akan musnah apabila berlakunya “deep burn”. Dalam kerangka kita sebagai manusia yang tercari-cari kebenarannya, sudah pasti pada awalnya mengetahui bahawa sakit yang dirasai adalah terus dihantar ke otak untuk diproses mengeluarkan keputusan dan menafsirkan bahawa kita rasa sakit sedangkan kita perlu tahu adanya satu reseptor yang mengesan kesakitan itu terlebih dahulu.
Islam itu indah, perhatikan potongan ayat Al-Quran surah An-Nisa’ ayat ke-56 :



Maksudnya :
“Sesungguhnya orang-orang yang kafir kepada ayat-ayat Kami, kelak Kami masukkan mereka ke dalam neraka. Setiap kali kulit mereka hangus, Kami ganti kulit mereka dengan kulit yang lain, supaya mereka merasakan azab. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”

Menerusi dalil inilah yang melengkapkan hasil keberjayaan kajian yang dibuat oleh Prof.Tegatet Tejasen dalam mencari jawapan adanya “Pain Receptor” itu dan akhirnya beliau mengucap dua kalimah syahadah memeluk agama Islam.
Kulit merupakan organ homeostasis yang penting. Ia merupakan organ manusia yang paling besar yang memiliki berat sekitar 6 paun. Kulit bertindak sebagai rintangan di antara persekitaran luar dan dalam badan iaitu sebagai pemisah. Kulit berperanan melindungi otot dan organ manusia.

Akhir kalam bicara, setiap tingkah laku akan lebih bermakna jika kita kembali merujuk kepada ajaran agama yang kita anuti ini yakni Islam. Islam sahajalah yang menyelesaikan pelbagai masalah ummah tika ini sewaktu ummah meronta-ronta mencari ruang cahaya kebenaran maka Islam lah jawapannya dan solusi terbaik.
Rujukan :
1.Al-Quran, Surah An-Nisa’, Surah Yassin
2.Laman Sesawang Universiti Kebangsaan Malaysia, Falsafah Universiti
3.Sazelin Arif,Ahmad Ridzwan Mohd Nor, Nooraini Sulaiman, Mahadi Abu Hassan, Ali Hafizar Mohamad Rawi, 2007, Tamadun Islam dan Tamadun Asia, Shah Alam,Selangor Malaysia, Mac Graw Hill Education.


MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR
Kembara Seorang Muslim

Thursday, April 21, 2011

Komuniti Saintis Islam ; Al-Khawarizmi dan Ibnu Al-Haitam


Bismillah,
Alhamdulillah, selepas mengharungi siri perjuangan di dewan peperiksaan, tulang 4 kerat terus mengorak langkah dalam merealisasikan apa yang sudah digagaskan beberapa tahun yang lalu. Kini, bahan-bahan yang perlu disemak adalah merupakan bahan-bahan yang agak ‘berat’ untuk dikeluarkan isi-isi penting. Komuniti Saintis Islam Muda yang sememangnya memerlukan satu ‘Base-Line’ dalam memulakannya dari akar umbi. Saya telah meneliti siri jejak pencarian ilmu ‘non-formal’ mendapati beberapa aspek dalam menampakkan suatu cetusan pembinaan seorang saintis islam adalah dengan akidah muslim yang hebat.

Mana mungkin saintis dunia yang beragama Islam ini terumbang-ambing dari segi kekuatan akidahnya, maka sudah pasti hasil ‘invention’ atau ciptaan teori, formula, penemuan baru dan sebagainya tidak mendapat hasil yang dapat disumbangkan kepada ummah akibat akidah yang lemah. Perhatikan bagaimana para sarjana Islam dahulu memulakan jejak ilmuannya :

Al-Khawarizmi

- Beliau dalam keinginan untuk mempelajari ilmu nombor, sanggupnya beliau dalam menjelajah ke negeri India untuk berguru dengan seorang pakar dalam ilmu nombor. Hasilnya, dek kerana cintanya pada ilmu Allah, Al-Khawarizmi mampu mengasaskan satu penemuan paling luar biasa yakni – Algebra

Ibnu Al-Haitam

- Beliau adalah seorang tokoh sarjana yang mengasaskan fizik dan penemuan paling masyhur nya adalah dalam bidang optik. Ada beberapa bahan yang tidak dapat saya nyatakan disini telah mengatakan bahawa, Al-Haitam merujuk kepada Al-Quran dalam surah An-Nur yakni cahaya, maka disitu hasilnya, beliau berjaya merungkai cabang ilmu dalam optik yang melibatkan proses cahaya.

Tentu banyak lagi tokoh2 sarjana Islam yang dahulunya hebat dalam menerobos keintelektualan dari semua sudut – Falsafah, Sains, Agama, Musik dsb. Kini, dunia semakin dipelopori oleh para cerdik pandai dari blok barat, sudah pasti saintis dalam kalangan mereka sungguh keterhadapan dalam menyingkap pelbagai khazanah alam tika ini. Lihat sahajalah teknologi NASA, cukup mengagumkan mata memandang namun tiada yang beragama Islam, mungkin kita tidak tahu selepas penemuan ajaib di angkasa lepas mereka ada yang mengucap dua kalimah syahadah.

Bersambung..

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR
Kembara Seorang Muslim

Thursday, March 3, 2011

Ya Rasulullah SAW, umatmu kini...


Bismillah,
Selawat dan salam ke atas Nabi junjungan kita Nabi Muhammad SAW, Rasulullah yang amat kita sayangi dan rindui. Baginda, Nabi kepada umat ini, umat akhir zaman. Aku, ketika menulis coretan maya ini, terasa sedih, sebak menyelubungi jiwa ini. Tatkala aku terbayangkan perit getir perjuangan ya Rasulullah SAW, aku rasa seperti aku amat kecil seolah-olah insan yang sangat dimanja-manjakan dalam kehidupan dunia. Wahai ummah! Nabi Muhammad SAW amat mencintai kita, amat sayang kepada kita wahai ummah. Sudahlah dengan kecintaan kebendaan, kecintaan dengan wanita sebelum akad, sudahlah!

Aku bercerita bukan beerti aku sempurna. Akal yang dianugerahkan oleh Allah SWT ini gunakan semaksimum mungkin dalam mengenal cinta nan hakiki. Cinta kalian terhadap makhluk, lebih-lebih lagi terhadap wanita sebelum akad amatlah dikasihani kerana kamu tidak kenal kecintaan ya Rasulullah terhadap kita yang tinggi, sangat tinggi cintanya. Suasana kini tampak membimbangkan akibat perasaan kerinduan terhadap Rasulullah SAW kian pudar,pudar,pudar. Dek kerana musuh-musuh islam yang senantiasa merobek mengoyak iman di jiwa manusiawi yang bergelar muslim seluruh pelusuk dunia. Wahai Ummah! Kita ummat akhir zaman. Tiada lagi umat selepas ini. Sedarlah...

Perasaan cinta serta rindu terhadap Rasulullah SAW perlu ditebalkan dalam jiwa. Baginda sangat menyayangi kita bahkan syafaat Baginda sedang menanti kita di hari akhirat kelak dalam membantu umatnya yang menderita waktu itu. Kalian perbetulkan akhlak, rasai kemanisan dalam kehidupan yang berlandaskan syariat islam. Inilah risalah dakwah yang Rasulullah SAW perjuangkan semasa bangsa Arab jahiliyyah meronta-ronta mencari sinar cahaya kehidupan dan Bagindalah yang menyelamatkan mereka bahkan menyelamatkan seantero dunia sehingga kita akhirnya dapat nikmat iman dan islam ini.

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR
-kembara seorang muslim-

Saturday, February 26, 2011

Palestin berseru, ummah buat tak tahu...


Bismillah…
Bicaraku ini bicara dari hati. Perjuanganku perjuangan kita bersama, cukuplah dengan lena yang panjang. Bangunlah wahai hati-hati, gerakkanlah jasadmu dalam menyahut seruan perjuangan kebenaran. Aku tahu, mata-matamu hanya melihat kesenangan hidup sahaja tanpa melihat kesenangan itulah kebatilan yang nyata, yang harus diperjuangkan kebenaran.

Saat Islam memerlukan, kita tampil berani kehadapan. Janganlah memandang orang yang rela berjuang atas kebenaran dan kesedaran dipandang hina dek kerana mereka menggugat kesenangan yang sedia ada. Kesenangan melampau inilah yang mematikan hati dari berzikir memuji Allah SWT lantas kecintaan pada Rasulullah SAW pudar tiada serinya. Aku ingin bertanya, jikalau kalian amat menyayangi Islam kenapa kalian tiada terdetik untuk membantu Islam dalam medan perjuangan? Adakah perjuangan ini melunturkan hasrat untuk kalian tidak dapat kecapi nikmat BMW? Harta? Pangkat? CUKUP!

Setiap kali aku pandang ke langit, aku terbayang dunia nan luas. Aku sangatlah kerdil. Allah SWT Maha Agung. Suasana dunia kini tampak suram walaupun di negara yang aku berbakti ini kelihatan aman – aman luaran, dalaman barah tak terkira - . Ke mana hilangnya jiwa-jiwa yang sedar akan kebenaran? Dikatakan mereka yang sibuk berjuang tapi tidak hiraukan perasaan orang, ini silap! Hakikatnya orang yang sibuk berjuang itulah yang sayang akan perasaan orang lain. Berjuang demi menghentikan para musuh islam yang senantiasa merobek perasaan orang lain secara kesenangan yang melampaui batas fitrah manusiawi. Konspirasi Yahudi kini tampak berbisa dengan bius-bius halus tanpa kita sedari wahai ummah! Aku berbicara kerana aku sedar. Jika kalian ingin mendesak aku untuk berhenti dari berbicara soal ini, maka kalian sedang bermimpi di siang hari, sia-sia sahaja kerana aku akan terus berdegil dan terus menerus berbicarakan soal perjuangan islam dalam menjatuhkan kebatilan perencanaan oleh musuh-musuh islam yang nyata yakni konspirasi Yahudi terhadap umat islam serta orang-orang munafik.

Kini, Aku dan kalian sedang bertempur di medan peperangan. Peperangan yang bukan di gurun sahara, bukan di balik hutan rimba, bukan dan bukan. Tetapi peperangan ini, peperangan ghazwatul fikr yakni peperangan serangan pemikiran. Peperangan secara tidak berdepan. Konspirasi Dajjal kini mengatur pelbagai metod dalam menghancurkan roh-roh suci para muslim dalam kurang menghayati islam itu secara syumuliyah, bahkan melenyapkan terus roh-roh jihad dalam pertempuran. Maka tidak hairanlah kalian masih dalam kesenangan yang nyata sedangkan saudara kita di Palestin masih sengsara. Mereka bermandi darah, kita bermandi duit. Mereka kurang saluran ilmu, kita selesa bergelak tawa di universiti. Wahai jiwa muda, manakah kalian sedang ummah memanggil meminta pertolongan. Kalian masih mengutarakan isu remeh sedangkan isu besar tidak diambil peduli.

Aku optimis kalian boleh bersama. Wahai jiwa-jiwa kosong, isikanlah jiwamu dengan zikrullah. Perbanyakkan amalan sunat. Rindulah kalian dengan buku-buku ilmiah serta buku perjuangan. Hayati petikan kata-kata ini :

“Kami yakin, saudara-saudara seIslam kami masih dapat membantu kami. Kami yakin saudara seakidah kami dapat menampung keperluan rakyat Palestin dan mencukupinya. Kami yakin juga, saudara seakidah kami di seluruh dunia dapat membantu kami untuk terus hidup dan tidak bergantung pada bantuan-bantuan daripada negara-negara bukan Islam, apatah lagi daripada regim zionis. Persoalannya, di manakah saudara-saudara kami? Di manakah mereka di kala kami memerlukan mereka?”
Petikan pesanan HAMAS buat umat Islam di Malaysia


Adakah anda masih berdiam diri seolah-olah tidak tahu apa-apa sedangkan anda tahu? Teruskanlah dengan kesenangan yang kalian cintai itu sehingga kalian merasakan sendiri sengsara yang sama jika kalian bernasib baik. Dan pada ketika itu, meronta-ronta lah kalian meminta pertolongan.
MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR
-kembara seorang muslim-

Thursday, February 24, 2011

Ummah yang berpenyakit moden


Bismillah,
Aku meneliti kehidupan ini dengan teliti. Setiap masa aku cuba amati dengan teliti lantas kadang-kala terlangkau jauh berimaginasi. Allah SWT lebih mengetahui alam ciptaan ini kerana Dia yang Menciptakan kesemua ini. Aku, hamba Allah yang banyak terlanjur dosa. Hakikat, aku kini sangat banyak berdosa. Perjalananku jauh. Kerana dalam perjalananku adalah perjuangan kebenaranku. Dunia kini, zaman ini, zaman penuh dengan tipu daya. Zaman ‘dunia-tanpa-sempadan’,teknologi yang giat pesat membangun. Aku risau ummah. Ummah yang tertipu akan teknologi ciptaan sendiri. Mereka lalai dan leka apabila moden mencorak kehidupan. Lupa akan tanggungjawab paling utama, - Khalifah-. Mereka hilang rasa roh jihad. Mereka lebih utamakan dunia sehingga lupa bekalan ke akhirat.

Aku adalah insan biasa. Yang hanya bertazkirah untuk ingatan diri dan semua. Aku bertazkirah seolah-olah sedang bercakap sendirian dengan diri. Hakikatnya, kehidupan kini sedang dilanda barah sakit yang inginkan penawarnya. Virus-virusnya adalah dari manusia yang alpa dan bangga akan duniawi yang hanya seketika. Aku takut barah kehidupan ini akan menjadi perkara biasa dan Allah SWT akan menurunkan bala tanpa kita sedari. Nau’zubillah. Hakikatnya, kita, umat akhir zaman. Umat Nabi Muhammad SAW, Rasulullah Nabi kita sangat menyayangi kita. Sayangnya Rasulullah kepada kita sehinggakan Baginda hampir wafat sempat menyebut ummati sebanyak 3 kali yakni umatku. Allahuakbar....
Perjalanan perjuangan bermula...

Kita manusia, aku manusia. Kebenaran islam perlu dipertegakkan. Sepertimana tertegaknya daulah khulafa’ ar-rasyiddin yang dipimpin oleh 4 sahabat Rasulullah yang mashur – Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Usman, Saidina Ali – perjuangan islam, cahaya islam tidak berhenti di situ, Allah SWT terus menyinarkan cahayaNYA dengan tertegaknya daulah umaiyah. Perjuangan warisan Rasulullah diteruskan lagi dengan tertegaknya daulah abbasiyah. Zaman abbasiyah yang begitu indah akan kekayaan ilmuwan para sarjana islam yang lahir menerobos ilmu-ilmu kritikal seperti sains, falsafah, matematik dan banyak lagi ilmu bermanfaat. Penguasaan pemerintahan islam diteruskan lagi dengan izinNYA sehingga tertubuhnya daulah turki uthmaniyah yang dipelopori sultan-sultan yang hebat dari pelbagai sudut, sehingga tibanya saat perjuangan warisan tiba pada sultan turki uthmaniyah yang diberi nama – Sultan Muhammad Al-Fateh – merintis perjuangan Rasulullah sehingga merealisasikan hadis Rasulullah dalam menawan kubu terkuat dunia yakni kubu Konstantinople. Zaman kini diteruskan lagi, Allah tidak akan membiarkan musuh-musuh islam melenyapkan sinar islam, Allah SWT meneruskan cahaya Islam dengan lahirnya jiwa muda yang sanggup mewarisi perjuangan Rasulullah yakni – As-Syahid Imam Hassan Al Banna – tokoh yang tidak asing lagi dalam dunia perjuangan gerakan Islam. Kini, seperti yang kita tahu, Allah tidak akan mudah memberi musuh-musuh Islam untuk senang-lenang melenyapkan sinar Islam di atas muka bumi ini. Maka zaman ini, zaman ‘dunia-tanpa-sempadan’ yang aku coretkan awal tadi pasti ada penawar barah ini dan aku yakin jiwa MUDA yang menggoncang dunia hari ini. Aku Optimis. Aku yakin.

Allah SWT jualah tempat kita memohon pertolongan. Hakikatnya kita manusia yang lemah. Bersama-samalah dalam perjuangan menegakkan kebenaran tanpa mencampur adukkan kebatilan di dalamnya. Tanpa melakukan maksiat semasa perjuangan. Bahkan, perbanyakkan amalan kebaikan. Sesungguhnya perjuangan ini memerlukan jiwa-jiwa muda yang baharu, yang ghairah dalam perjuangan Islam.
Dunia memerlukan kalian dalam mewarisi perjuangan Rasulullah SAW...Allahuakbar.

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR
-kembara seorang muslim-

Thursday, January 6, 2011

Satu...Dua...




Bismillah,
1.Hari ini perlu lebih baik daripada semalam agar hari ini dijadikan sejarah hidup yang bermakna di masa yang mendatang.Aku bersyukur...kerana hari ini telah dikurniakan oleh Allah untuk muhasabah dan mengajar aku sesuatu.Cukup tepat pada sasaran jiwa..

2.Nah, unit yang sedia ada menahanku untuk mangambil KO-K.Pertambahan unit perlu dilaksanakan.Bukan itu yang aku ingin bicarakan,tetapi sewaktu di dalam bilik Ketua Pengajian Fizik : Prof.Madya Dr.Ahmad Puaad Hj Othman.Nasihat beliau akan aku ingat bahkan sentuhan dari seorang prof. yang mendalami ilmu fizik lebih dari diri ini.

3."Islam ni kan org yang memberi lagi baik dari yg menerima.." , "Orang yang bawa Islam jadi kenalah mantap juga dari akademik supaya org luar lihat-wow inilah org yg bawa islam.." senyuman di wajahnya terukir...Aku tersentak.Aku hanya dapat mendiamkan diri akur akan kata2 prof. dan sememangnya itu yang aku kena tunjukkan.Pastinya ia menjadi pemangkin semangat dalam berdakwah.Mana mungkin semangat kita luntur akibat perkara2 furuq (kecil) ini wujud.Aku termuhasabah selepas sesi pertemuan dengan prof.

4.Sepanjang perjalananku menuju ke kolej kediaman,aku berbual dengan hati.Aku perlu lebih kuasa,Will-Power aku perlu dicari semula.Rindu saat2 kuasa keinginanku membuak-buak ingin mendalami ilmu fizik ini semasa berada kuliah bersama En.Zahidi di Matrikulasi.Aku mencari pengganti beliau semasa berada di kampus.Rasanya aku sudah jumpa 'kembar'nya dan aku perlu berdamping dengan dia untuk proses 'individual learning' khas fizik sahaja.

Maka benarlah apa yang dikatakan:

"Erti Hidup Pada Memberi"
-Us.Hasrizal Abdul Jamil-


MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR
-kembara seorang muslim-

Saturday, January 1, 2011

Negara Bertamadun???




Bismillah~
Dunia oh dunia.
Malaysia oh Malaysia.

1. Saat yang dikatakan indah di mulut-mulut manusia sewaktu tibanya detik 12malam, maka permulaan azam baru setiap individu bermula, berputik, sambil juga 'dentuman' bunga api menghiasi langit malam. Maka bertepuk tamparlah segenap manusia di pelusuk dunia meraikannya.

2. Menerusi XPDC Dakwah Anjuran GAMIS (Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia)di KLCC baru-baru ini,saya serta para aktivis yang lain turun menyaksikan sendiri masalah ummah secara realiti bukan di kaca TV.Sudah pasti matlamat kami adalah mengajak mereka manusia yang hanyut dibuai kebendaan serta keseronokkan melampau fitrah.Nah, ianya sudah pasti cukup mencabar para jiwa aktivis untuk mara tebalkan muka demi mengubat serta mencegah luka ummah masa kini.

3. Hendak didiskusi tentang masyarakat bertamadun,saya yakin ianya pasti mendefinisikan dengan pelbagai nilai murni. Namun, hakikat sebenar pada apa yang berlaku adalah sebaliknya bahkan lagi teruk tahap yang dijangkakan.Maksiat...

4. Di mata masyarakat kini indah dengan pencapaian negara yang kononnya mencapai tahap kemajuan seiring negara maju yang lain.Tetapi, jika diteliti secara dekat para muda mudi yang sepatutnya menjadi aset negara telah kecundang akhlaknya.Tahun baru yang diraikan di KLCC jelas menampakkan remaja bersahaja meneguk berdozen botol arak pelbagai kasta. Islam yang tidak dipasak dengan kental dlm jiwa dan inilah akibatnya.

5. Negara ini masih 'tidur' lena bagaikan sedang tidur di atas tilam yang begitu empuk sehinggakan malas untuk bangkit.Malaysia mundur dari segi pembentukkan akhlak yang maksimum.

Banyak lagi yang ingin saya coretkan disini.Namun, perubahan perlu dimulakan kerana tanpa permulaan ianya tidak akan membuahkan hasil.

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR
-kembara seorang muslim-

Wednesday, December 15, 2010

Minat dan 'Will-power' Terhadap Sains Islam




Bismillah,
Jelas kelihatan kebanyakkan orang tahu akan sains islam ini, namun berapa banyak yang minat serta 'ghairah' untuk mendalami perkara ini.Para akademik terutamanya di Malaysia pasti pakar serta tahu akan sejarah dan penciptaan segala macam teori para sarjana islam ini.Tetapi kepada golongan muda mudi, anak2 kecil dan sebagainya bagaimana mereka memperoleh info serta maklumat tentang apa yang dikatakan Sains Islam?

Sains islam yang dahulunya dipelopori kebanyakkan oleh sarjana islam bukanlah sekadar untuk kita kagumi sekarang ini.Tetapi,haruslah menjadikan ianya 'indicator' dan pemangkin kepada struktur pemikiran para saintis di Malaysia serta global yang beragama Islam.

American media accompany the opening of "1001 Inventions" exhibition in New York. Reporter Clyde Haberman from The New York Times published on December 6, 2010 an elogious article "In This Show, an Islamic World Brimming with Innovation", in which in particular, he stated that the exhibition "1001 Inventions" focuses on a time when the Muslim world was an incubator for ideas in science and technology

Dipetik dari : http://www.muslimheritage.com/features/default.cfm


Memperlihatkan bahawa sains yang sarjana Islam bawakan adalah yang terbaik antara terbaik semasa dunia terkapa-kapai mencari apa itu 'Moden' dikeluarkan daripada sumber sains.Jika dilihat dalam 'quote' diatas yang saya ambil dari link tersebut barat mengakui kecelikkan sains islam ini dan mengadakan satu 'exhibition' yang mengfokuskan kepada dunia islam ibrah daripada idea sarjana islam.

Terlalu banyak yang dapat kita ketahui sebalik cara pemikiran sarjana islam terdahulu.Jika kita amati,mereka ada Will-power iaitu kuasa keinginan yang sangat tinggi dalam jiwa mereka.Lihat sahaja Al-Khawarizmi.Beliau ingin belajar ilmu nombor,sangat mahu.Beliau mengembara ke india dan berjumpa dengan sarjana india yang mahir dalam ilmu nombor.Sarjana india itu tidak mahu mengajar beliau akan tetapi Al-Khawarizmi berjaya jua memujuk sarjana india itu dan mereka terus membuat kelas disitu juga dengan menggunakan papan yang diselaputi salji untuk menulis.

"The Miracle of Arabic science, using the word miracle as a symbol of our inability to explain achievements which were almost incredible... unparalleled in the history of the world."
George Sarton


Adakah penemuan sains sekarang ini sudah 'fullstop'?

Jawapannya, tidak. Kerana akal kita tidak tercapai untuk memikirkan perkara baru yang belum dijumpa orang.Saya berpendapat, jika kita hidup dalam zaman para sarjana islam, adakah kita mampu untuk memikirkan nuklear? laptop? dan sebagainya..sudah pasti tidak.Maka adakah ini masalah? tidak juga. Saya berpendapat bahawa, sewaktu era sarjana islam wujud, sarjana barat turut ada waktu itu. Persoalan, mereka tidak jangkakan penemuan2 sains yang dikeluarkan oleh islam, tetapi sarjana islam berjaya.Hal ini sudah pasti merujuk kepada cara pemikiran dan Kuasa Keinginan para sarjana islam yang akan saya cuba kupaskan dalam kajian mendatang.

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR
-kembara seorang muslim-

Tuesday, November 23, 2010

Asas Kepada Seorang Saintis Islam Muda ; Kekuatan Akidah Pasakkan dalam Diri



AKIDAH
Persoalan :
-Ianya boleh sahaja kah kita jawab ‘exam’ esok dan hari ini tidak baca buku? Jawapan : boleh, tapi ianya tidak perlu (tidak digalakkan)

Saintis barat hebat?
-Kenapa perkara ini terjadi sewaktu zaman ini? Sebab mereka mengkaji, menyelidik setiap apa ibrah yang diambil dalam Al Quran itu sendiri. Sebaliknya kita, muslim tidak mempraktikkan mencari intipati yang tersedia ada dalam Al Quran.

Persoalan akidah setiap mahasiswa sekarang berbeza-beza?

-Ya. Kerana apa? Lihatlah masa menjelang sahaja ‘exam’ solat mereka huru-hara jadinya (lambat-lambatkan solat atas alas an untuk ‘study’) hal ini kerana, study “LAST-MINUTE” itulah puncanya.
Rentetan persoalan :

-“saya seksi, tapi solat 5 waktu tak tinggal…” << ini bukan takrifan islam yang kita mahukan! Kerana apa? Rujuk kembali kepada 3 rujukan utama yakni :
1. Pembentukan akidah
2. Syariat
3. Akhlak

-Mana mungkin jika orang itu jaga solatnya tetapi syariat dia tidak jaga seeloknya? Dan sudah pasti akidah ini membentuk akhlak seorang muslim itu. Adakah akhlaknya dengan membuka aurat sesuka hati? Ianya bukan yang islam mahukan.
Akidah perlu teguh

-Saat-saat genting (Exam), perlukan kekuatan sangat utuh kepada Allah SWT yakni solatlah pada awal waktu kerana itu Hablulminallah (Hubungan dengan Allah SWT). Perbincangan rujuk Fiqh Awlawiyyat : diberi dua pilihan yakni solat 5 waktu dan study, yang mana wajib dilaksanakan dahulu sedangkan kedua-dua itunya wajib dilakukan? Sudah pasti solat dahulu.

Dalil Al-Quran
-Surah An-Nisa’,116 ; huraian, mensyirikkan Allah (mempersekutukan Allah)

-Kajian : mahasiswa sekarang boleh dikatakan majoritinya mensyirikkan Allah dengan pendidikan mereka. Sebab? Solat dan study semasa exam, mereka lebih berminat untuk memilih study dahulu bukan solat yang wajib dilaksanakan.

-Surah An-Nisa’,136 ; huraian, kesesatan yang nyata. Jangan pandang remeh akan persoalan akidah ini walaupun secara realitinya sudah dipelajari sejak di bangku sekolah lagi.

-M/s 41 Surah Al-Baqarah ; huraian, orang yang masuk syurga amatlah sedikit disebabkan persoalan akidah ini.

-Surah Al-Hijr,28-29 ; terdapat tauhid rububiyyah dan uluhiyyah dalam ayat tersebut.

SAINTIS ISLAM

Efistimologi

-Digelar sebagai ‘Theory of Knowledge’

-Saintis islam pada zaman kegemilangan islam sememangnya berpandukan dengan akidah bukan mantik moden seperti barat laksanakan.
Zaman Emas Islam (Abbasiyah)

-Ulama’ pada masa itu cukup kaya dengan hafalan Al-Quran serta hadis dan hebat jua dalam ilmu sains. Barat mengambil ilmu tersebut dan tidak menghubung kaitkan pada Al-Quran (tutup kebuktian mukjizat Al-Quran)

Dr.Ismail Faruqi
-

“Bagi saintis-saintis islam, mereka perlu tafsirkan Al-Quran dengan ada hubungkaitkan dengan persoalan saintifik.” – Dr.Ismail Faruqi-


FORMULA AWAL SAINTIS ISLAM


-Dari awal dan akhir setiap penemuan semuanya Allah ketahui, awal hingga akhir dan juga zahir dan batin, Jika kita renungkan, bagaimana saintis-saintis islam dahulu kala yakni kitab mereka sampai sekarang masih dijadikan bahan rujukan utama? Hal ini kerana, permulaan kitab mereka pada awalnya (muqaddimah) mereka ‘based on” dalil-dalil Al-Quran dahulu tujuan kajian mereka adalah kerana Allah Taa’la, tetapi bezanya dengan barat iaitu mereka mengambil huraian dalam kitab itu sahaja dan tidak mengambil dalil-dalil tersebut. Setiap perkara yang kita niatkan untuk dijadikan kajian maka Allah tahu akan apa yang kita kajikan. Seperti yang telah dinyatakan tadi, Allah tahu dari awal hingga akhir zahir dan batin.

Kesilapan-kesilapan :
1.Jarang baca Al-Quran
2.Jarang untuk hubungkaitkan dengan saintifik

“lihat lebih dalam dan dalam dan dalam…”
–status seorang pengkaji-


SUMBER : Ustaz Abdul Rahim
CATATAN PENGKAJI SERTA OLAHAN : MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR

Wednesday, November 10, 2010

Lakaran Tercipta



Bismillah~
Alhamdulillah kini kembali dalam dunia blogging.Sejak posting Perang PENTAS penulis mengalami suatu lakaran cukup mendidik jiwa selama beberapa hari kemudian.Penulis sedar bahawa diri ini cukup banyak terlanjur mencipta dosa, dan ini barangkali lakaran-lakaran yang tercipta adalah satu pengajaran buat penulis.

Peperangan (Exam) bermula, ya ianya menjanjikan suasana luar biasa masa itu. Hari pertama melakarkan suasana dingin di pagi hari.Penulis memerhatikan gelagat para mahasiswa yang tidak jemu melihat nota azimat mereka.Indahnya suasana pada pagi itu,hanya Allah sahaja yang tahu.Kadang kala rasa terkilan di hati dek kerana fenomena itu tidak berlaku padaa hari kebiasaan.

Penutup peperangan, juga menjanjikan suasana tenang.Wajah-wajah ceria kelihatan pada setiap mahasiswa yang ada.Adakah dek kerana 'paper' last? mungkin..adakah wajah-wajah sedih wujud kala itu? kerana apa perlu bersedih?

"wei, kita dah abis exam..lets enjoy!!"

"yeaa merdeka!..aku nak tido puas2"

"ko 'free' x petang ni? jom ar kita p tengok wayang..."

"jom2, aku ok je..kan kita dah abis exam.."

Luahan kepuasan dialog antara mahasiswa.Tidak asing lagi bagi mereka.Namun adakah individu yang bersedih? pasti ada.Bersedih kita kerana telah menamatkan pengajian semester berkenaan.Justeru itu, lebih dirisaukan mengenai ilmu di dada yang kita pelajari.Wujudkanlah persoalan, bagaimana untuk aku aplikasikan ilmu yang aku pelajari sepanjang semester ini? Cukup malang dan berdosa jika aku abaikan.Itulah sasaran penulis.Penulis turut merisaukan jikalau ilmu ini tidak diaplikasikan.

‎"ilmu itu adalah cahaya dan cahaya itu tidak akan menyimbah di hati orang-orang yang melakukan maksiat" -Imam Syafi'i-


Hayatilah segala ilmu yang kalian pelajari. Kerana ada kemanisan setiap ilmu yang kita pelajari.Ilmu yang bukan sahaja peroleh di bilik kuliah,tetapi ianya meluas seluas lautan biru.

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR
-kembara seorang muslim-


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...