Monday, August 1, 2011

Peringatan di Hari Pertama Ramadhan

1 Ramadhan

Manusia di seluruh dunia menanti-nantikan bulan ini, manakan tidak ianya adalah bulan yang cukup barakah bahkan setiap amalan kebaikan dilipat gandakan ganjaran pahalanya yang tidak terdapat di bulan-bulan Islam yang lain. Saya antara berjuta yang gembira menanti kedatangan bulan yang mulia ini.

Kali ini saya menyambut hari pertama Ramadan di samping keluarga yang tersayang. Ianya berbeza pada sesi Ramadan yang lepas, berbuka dengan makanan berbungkus, sahur yang kadang-kala hanya seteguk air mineral. Maklumlah kehidupan kampus ternyata lebih 'sempoi' bila dibandingkan apabila kita berada di rumah. Ianya berbeza.

Jam 2 petang sahaja telah sibuk ibu saya di dapur. Melaksanakan tugasnya sebagai seorang mak dan isteri, saya ternyata tergugat juga dek bau-bau haruman menyegar makanan yang dimasak.

"Mak nak buat karipap sardine la.." Mak saya memberi kata putus. Apa lagi, otak terus menafsirkan kesedapan makanan yang disebut oleh mak saya itu lantas terteguk air liur saya mendengarnya.

Memang penantian kita untuk menunggu saat berbuka itu memerlukan kesabaran yang kuat. Namun kesabaran itu jangan pula disulami dengan bait-bait kata yang terlafaz ingin berbuka.

"aduh lambatnya, tekak dah kering ni.." rungut si A

"kau ni tak baik tau cakap macam tu tengah pose nih.." si B mula membantah

Namun rungutan si A itu sudah biasa saya dengar di lapangan masyarakat Melayu kita. Bukan makna sabarnya kita itu adalah menunggu dengan rungutan semata, tetapi perlulah kita bersabar tanpa rungutan bahkan isikan kesabaran anda dengan berzikir memuji Allah SWT.

Saat berbuka pun tiba. Saya apa lagi, menjamu selera yang terhidang di depan mata. Makan sedikit sahaja kerana ingin menunaikan solat maghrib. Usai sahaja solat, saya pergi ke dapur lalu mengambil sedikit makanan untuk dimakan. Selang beberapa minit kemudian, saya ke dapur semula mengambil makanan untuk dimakan juga dalam kuantiti yang sederhana. Sebelum pergi ke masjid untuk solat isyak dan terawih, saya sempat lagi mengunyah makanan di mulut. Oh Tuhan.

Usai sahaja beribadah di masjid, pulang semula ke rumah terus memakan apa yang ada JUGA kuantiti yang sedikit. Tiba-tiba perut terasa kenyang.

4 Pagi, kami sekeluarga bangun untuk bersahur. Nasi kali ini. Entah bagaimana saya hanya memakan sedikit sahaja kerana perut yang masih kekenyangan akibat makan berlebihan di malam hari tadi. Air pun tidak banyak yang saya minum kerana perut yang tidak mengizinkannya. Saya terduduk diam. Saya tidak dapat menunaikan solat malam akibat kekenyangan. Terasa bersalah pula kerana tidak dapat berpeluang pada malam pertama untuk beribadah malam.

Saya bermuhasabah, inilah akibatnya sunnatullah dilanggar. Kita yang tidak sepatutnya memakan berlebihan bahkan perlu makan sekadar menghilangkan rasa lapar, berhenti sebelum kenyang!

Walaupun kita tidak menjamah makanan sewaktu berbuka dengan kuantiti yang banyak sekali gus, tetapi harus dilihat masa selepas waktu berbuka itu. Ianya boleh dirujuk akan kes saya di atas, makan sikit-sikit lama-lama jadi 'bukit'lah perut tu..

Maka pengajaran atau peringatan buat diri saya dan teman-teman adalah : "Makan apabila lapar, berhenti sebelum kenyang"

Wallahua'llam.

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR

1 Ramadhan 1432 Hijriah

2 Ogos 2011

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...