Sunday, July 31, 2011

Rintihan Hati Suci

Bismillah,

Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT yang telah banyak memberi kita merasai pelbagai nikmat semenjak kita dilahirkan sehinggalah di saat ini dan sehingga ajal datang menjelma. Lupa kita kadang-kadang untuk bersyukur kepada Tuhan kita sendiri yakni Allah SWT, kerana apa perkara ini sering berlaku? Wahai teman, aku sering terlupa dan lalai dalam mengingati sang Pencipta Alam ini, akibat leka dibuai kesenangan tipu daya dunia ini. Aku tahu dunia ini tempat singgahku yang sementara sahaja bahkan selepas ini, kau dan aku akan menuju ke destinasi kehidupan yang kekal abadi iaitu alam akhirat. Kita semua sedia maklum akan perkara ini. Tetapi kenapa aku masih leka? Kenapa aku masih mengejar dunia sedangkan amalan soleh aku jarang sekali ingin tunaikan? Allah bantulah hambamu ini.

Aku dahulunya pernah melalui satu zaman yang cukup dipenuhi dengan gelak tawa, berfoya-foya apatah lagi bergaul secara berlebihan dengan kaum wanita. Saat ini, pabila aku mengimbau kembali sejarah silam itu, sungguh malu aku pada diri sendiri, dan kadang-kala tersenyum perli pada diri sendiri kerana atas kebodohan aku sendiri, seperti macam tidak percaya aku boleh melakukan perkara seperti itu. Malu pada diri sendiri, dan apabila aku merenung perbuatan aku itu lantas aku mengadu kepada Allah SWT, saat itu aku rasa seolah-olah sia-sia sahaja kehidupan aku sebelum ini dek kerana terlalu banyak dosa aku lakukan, saat aku beruzlah, memohon bantuan kepada Allah SWT, betapa sukarnya untuk aku menghentikan derasnya air mata suci ini jatuh ke bumi, Allah...saat itu aku sangat hiba, sebak, melihat nasib diri ini yang penuh dengan titik-titik hitam di hati suci ini. Aku terasa ingin mencabut hati hitam ini dan buang sejauh-jauhnya.

Aku kini lebih banyak mendiamkan diri, kerana ingin meminimumkan dosa dengan berkata-kata. Akal aku sentiasa berfikir. Mengenang nasib sahabat-sahabat aku di kampus sana, di kampung halaman mereka, di mana jua, dan soalan-soalan yang sering aku soal pada diri sendiri- apakah yang mereka sedang lakukan? Mereka gembira atau tidak? Mereka ada masalah atau tidak? Harap-harap mereka sihat sejahtera menikmati kehidupan ini dengan baik serta soleh dan solehah hendaknya. Kadang-kala berjurai juga air mata merindui sahabat-sahabat muslimin dan muslimat aku di sana, mereka banyak membantu aku baik secara langsung mahu tidak langsung. Mereka sangat berharga dalam hidup aku boleh dikatakan selepas kedua ibu bapa aku. Merekalah sahabatku yang aku akan kenang-kenangkan, kerana aku dahulu tidak mempunyai golongan-golongan kawan seperti ini. Tetapi kenapa saat ini aku dikelilingi oleh sahabat-sahabat yang soleh dan solehah, mereka cintakan Islam, rela membantu apa jua masalah antara satu sama lain. Aku sangat sebak pabila merenung sendirian memikirkan sahabat-sahabat aku di sana.

Oh Allah,

Aku teramat bersyukur kepadaMU ya Allah, hati ini kadang-kala alpa dan lalai mengingatiMU namun Kau telah anugerahkan aku sahabat-sahabat yang boleh mendekatkan diriku ini kepadaMU ya Allah, pabila aku leka mereka menyedarkanku, saat aku menyepi mereka hadir meriangkan, masalah yang berat terjadi ringan..Ya Allah, sesungguhnya aku teramat lemah. Sehinggakan memerlukan pertolonganMU untuk membantuku, semoga Ya Allah, Kau ampunilah dosa-dosa sahabat-sahabatku di sana, berkatilah kehidupan mereka, setiap bait-bait lafaz kata mereka Kau sulamkanlah dengan mutiara kasih sayang Islam ya Allah. Dan saat tibanya ajalku ya Allah, aku berdoa kepadaMU jasadku dikelilingi oleh para sahabatku ya Allah....................aminnn..


MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR

Seorang Hamba yang Lemah

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...