Thursday, August 4, 2011

Di Atas Hamparan Sejadah

Bismillah,

"Saya menganggap, cuba kita lihat kehidupan di dunia ini seperti di atas hamparan sejadah, di atasnya lah kita solat, membaca Al-Quran, berzikir kesemuanya adalah kebaikan dan mustahil lah di atasnya kita ingin melakukan maksiat…"

Antara petikan kata-kata penulis terkenal di Malaysia, Hilal Asyraf dalam sebuah siri video Langit Ilahi Show. Petikan kata-kata beliau mudah untuk kita fahami, dan saya turut tersentak dengan kata-katanya yang mengibaratkan kehidupan kita ini 'Di Atas Hamparan Sejadah' dan ianya cukup menarik.

Kata kuncinya adalah hendak mengajak kita agar melihat kehidupan kita di atas muka bumi ini bukanlah satu perkara yang sambil lewa, bahkan perlu dilihat dengan serius. Saya bersetuju dengan Hilal Asyraf, jika kita melihat kehidupan kita ini seperti di atas hamparan sejadah, maka kita senantiasa akan melaksanakan perkara kebaikan. Hati akan terketar ketakutan jika kita dengan rakus melakukan maksiat di atas hamparan sejadah, nau'zubillah.

Usai video itu dimainkan, saya termenung seketika. Merenung nasib umat akhir-akhir ini. Setiap golongan cukup merisaukan saya, bagaimana akidah dan iman mudah dirobek dan dikoyak-koyakkan oleh sang Syaitan yang derhaka. Sememangnya tugas syaitan untuk menyesatkan kehidupan manusia di atas muka bumi ini, dan sepatutnya tugas kita juga untuk senantiasa beribadah kepada Allah SWT agar akidah, iman akan sentiasa dipandu olehNYA, maka jalan yang lurus akan terpandu. Tidaklah lagi kita terkapai-kapai mencari jalan yang benar itu.

Kadang-kala manusia sering lupa siapa kawan mahupun lawan. Kawannya sudah pasti saya merujukkan kepada Al-Quran dan As-Sunnah manakala lawan saya rujuk pula dengan hawa nafsu, hasutan syaitan. Dua perkara ini kadang-kala kita terlupa, jika ingin melawan hawa nafsu dan hasutan syaitan maka perkuatlah kawan dengan kembali kepada ajaran Al-Quran dan As-Sunnah. Hidup kita pasti akan dipandu kebenaran bahkan kehidupan akan sentiasa diberkati dan diredhai Allah SWT. Manual menjalani kehidupan duniawi yang dijamin takkan sesat selamanya telah diungkap oleh Muhammad s.a.w sewaktu berkhutbah dalam ibadah hajinya yang terakhir,

"Daku tinggalkan bagi kamu dua perkara. Tidak akan sesat selamanya jika kamu berpegang kepadanya; AlQur'an dan Sunnahku", aw kama qal.

Tidak cukup dengan analogi 'Di Atas Hamparan Sejadah' ini saya tertarik dengan bagaimana Imam Asya'ari dan Imam Maturidi, Imam Al-Ghazali dan Imam Fakhruddin Ar-Razi apabila mengajak kita melihat kejadian alam semesta ini berdasarkan Al-Quran dimana alam ini adalah Allah SWT sebagai penciptanya dan ditadbir olehNYA. Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Maka sudah pasti kehidupan kita akan terpandu kea rah kebaikan jika kita faham hakikat kita hidup di muka bumi ini.

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR

5 Ramadhan 1432 Hijriah

5 Ogos 2011


 
 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...