Wednesday, December 28, 2011

Coretan si Anak Muda...


Salam ikhlas penuh ukhuwah.

Tiba-tiba ingin pula jari-jari ini ligat menaip sesuatu untuk entri kali ini. Tiada yang istimewa melainkan hanya coretan ayat yang biasa-biasa. Ayat biasa-biasa ini tak mampu untuk menggoncang dunia. Apalah sangat dengan sebaris ayat ringkas yang bertuliskan bahasa, yang diluahkan hasil rintihan seorang hamba yang hina disisiNYA? oh Tuhan, terkelu lidah jika coretan ini bagaikan Ben Ali, pencetus semangat kebangkitan anak muda revolusi di tunisia. Sungguh, penulisan juga tarbiyyah.

Ligat seorang anak muda yang cintanya adalah Allah dan Rasul menaip satu penulisan yang tidak gah di mata. Ia hasil dari tulus hati yang ikhlas, walaupun masih bertompok-tompok kehitaman mewarnai hati itu dek kerana dosa yang terpalit. Oh Tuhan, ampunilah hambaMU ini, agar coretan penulisan ini adalah luahan dari hati yang suci. Sungguh, jari ini menjadi saksi.

Sosok anak muda itu adalah pemangkin jiwa muda yang ketagihkan kebebasan hakiki. Lantas, usaha padunya kesemua disandarkan atas landasan iman dan akidah yang kukuh bak batu kerasnya. Dihempas badai masih gah tegap ditempatnya. Mencari kekuatan bukanlah pada fizikal tetapi pada keteguhan dalam tarbiyyah olehNYA. Bijaknya anak muda itu bukan terletak pada banyaknya membaca, tetapi bijaknya anak muda itu dari muhasabah dirinya yang alpa terhadap kehidupan dia apabila mati. Mati itu pasti wahai teman. Jangan dibiarkan Al-Mulk dihanyut sejauh-jauhnya dalam diri. Biarkan Al-Mulk sebagai peneman di kala waktu kita tidur. Takut-takut kita tidur selamanya..

Tiada malam yang kelam kecuali kemuncaknya adalah fajar nan menyinsing. Tiada panas yang memuncakkan teriknya kecuali bumi berpusing pantas ke sebelah timur meninggalkan matahari menggelongsor ke hujung barat. Begitulah Allah memudahkan kita memahami sifir-NYA itu. Anak muda sedia ada, masih kuat jika ditarbiyyah betul-betul. Hidup ini tak lama..

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR
29 Disember 2011

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...