Friday, January 13, 2012

Kisah Budak Saintis : Mencari Kekuatan Dalam Kelaparan


Foto 2010 : Bersama sahabat-sahabat di Matrikulasi


Hari ini sudah terlaksana 3 kertas peperiksaan akhir semester. Ada 2 lagi baki untuk aku capai erti merdeka oleh kebiasaan orang melafazkannya.

Selesai sudah menunaikan solat jumaat di masjid UKM, aku terus memecut pulang ke kolej kediaman. Niat di hati ingin menelaah subjek fizik moden yang berbaki agar pengharapan masuk apa yang dibaca di saat genting sebelum aku melangkah masuk ke dewan peperiksaan pada jam 3.30 petang.

Huh, keluh aku apabila masih tiada juga 'roomate' di dalam bilik aku semenjak kebelakangan ini. Entah ke mana dia menghilang, mungkin berada di samping rakan-rakan untuk belajar barangkali seperti yang aku buat. Nota yang tersimpan aku capai. Meneliti setiap definisi fizik di nota-nota terus memberikan ku momentum minat kembali berputik. Tapi sayang,ianya hanya di meja peperiksaan sahaja dan apabila keluar dari dewan semangat itu kembali pudar. Pudar seketika..

Leka aku menelaah, jam sudah tepat pukul 3 petang. Aku bergegas kerana bukan aku takut aku lewat masuk tetapi bimbang apabila melihat langit yang gelap. Takut-takut hujan di perjalananku ke sana. Mujur sahabatku izinkan ku meminjam motosikalnya bolehlah untuk aku memecut laju ke dewan peperiksaan.

Moto aku 'press' selaju mungkin. Aku mula bimbang apabila terasa titisan hujan mula jatuh ke bumi. Di pertengahan jalan, hujan renyai turun. Aku menggagahkan untuk terus membawa moto walaupun seluar aku sudah basah-basah. Saat beberapa ketika, hujan tiba-tiba turun dengan lebat. Niat di hati ingin sahaja untuk aku teruskan membawa moto sehingga sampai ke dewan, tetapi malangnya seluar dan baju aku basah kuyup dengan cepat sekali. Aku 'parking' motosikal dengan pantas bergegas berlari masuk ke bangunan Pusanika. Oh Allah, bajuku basah kuyup, jaket yang ku pakai tidak membantu apa-apa. Mula sejuk menyelubungi diri. Aku berjalan perlahan.

Badan aku mula terasa lemah. Disebabkan tidak memakan nasi dengan secukupnya akhir-akhir ini dek kerana wang saku yang sudah habis. Dalam keadaan lapar, aku berjalan perlahan-lahan menuju ke pejabat PMUKM untuk menumpang letak helmet aku disana. Aku mencari kekuatan dalam keadaan lapar ini dengan mengimbas kembali sejarah Nabi Muhammad SAW yang sanggup berlapar semasa menggali parit khandak bersama-sama para sahabat. Tidak cukup dengan itu, aku memotivasikan diri dengan mengimbas bagaimana pelajar perempuan Nik Nur Madihah yang cemerlang SPM nya melatih diri dengan berpuasa sunat isnin-khamis apabila keluarganya yang tak mampu untuk perbelanjaan makanan yang cukup. Hanya roti sebagai makanan kebiasaan Madihah.

Ya Allah, sesungguhnya kelaparan yang sedang aku alami ini tidaklah sedahsyat hambaMU yang lain itu. Mereka cukup tabah dan kuat menghadapinya. Namun aku masih mudah mengeluh, seperti inginkan 'nasi ayam' jatuh dari langit apatah lagi untuk bersyukur.

Aku melihat jam di telefon bimbit. Sempat lagi untuk aku berjalan kaki ke dewan peperiksaan. Aku mengikut laluan fakulti sains sosial sebagai jalan alternatif mengelak dari hujan. Alhamdulillah, aku sampai di Dewan peperiksaan pada pukul 3.20 petang. Kelihatan masih ada lagi pelajar-pelajar yang berada di luar dewan. Ada yang sedang membaca, ada yang berdoa', pelbagai ragam.

Namun aku hanya dalam kesejukan yang melampau.

Sehingga tamat peperiksaan,kesejukan semakin menjadi-jadi tambahan perut yang tidak berisi dengan makanan.

Badan aku lemah walaupun kelihatan gagah. Hipokrit!

Terus aku pergi ke motosikal sahabatku semula. Jauh. Gagahkan sahaja melangkah. Aku singgah sebentar menunaikan solat asar di surau PTSL. Tenang di situ..

Aku mula ingin mengisikan perut ini dengan makanan. Dek kerana badanku yang lemah tak bertenaga. Usai solat, aku terus ke kafe pusanika dan syukur masih ada lagi makanan. Niat dihati untuk beli makanan yang murah-murah sahaja, kalau ada yang paling murah maka itulah dijadikan pilihan utama. Mee Kari menjadi pilihanku kerana ia murah dan sedap.

"makcik, erm mee kari satu ye.." aku mula berbicara.
"ok" ringkas makcik itu menjawab.
Aku menanti dengan hati yang riang.

"aduuh, mee nya sudah habis.." balas makcik itu kepada aku. Aku terdiam.

Sungguh, duit yang ada padaku hanya RM50 sahaja yang dikirimkan oleh emak. Duit ini yang baru dikirim semalam kerana atas permintaan aku untuk emak mengirimnya. Sungguh aku malu untuk meminta pada ibu bapa aku kerana mereka lebih memerlukan duit untuk menyara perbelanjaan seharian. Walaupun di rumah hanya emak dan abah aku sahaja yang tinggal. Emak yang kuat dan tabah menjaga abah yang sakit lumpuh separuh-suku badan. Aku mudah menitis air mata apabila melihat keadaan abah. Ya Allah..

Aku terus ke motosikal sahabatku. Memecut laju pulang semula ke kolej kediaman. Singgah sebentar ke kafe kolej untuk membeli makanan. Kali ini, jika ingin mee kari di situ pasti mahal harganya. Entah kenapa terdetik untuk aku membeli nasi berlauk.

"erm semuanya RM3.50.." kakak yang menjaga kaunter itu memberi respon sebaik sahaja aku menghulurkan makanan yang aku ambil tadi.

Sejujurnya, harga itu cukup mahal bagiku kerana aku membuat bajet untuk makan paling maksimum Rm3 sahaja, dan mee kari di kafe pusanika tadi hanya RM2.50. Kerana Rm50 yang ada pada aku ini adalah amanah. Amanah untuk aku cukup makan minum di UKM ini, amanah dari emak abah. Wajib untuk aku berjimat-cermat sehingga aku pulang ke rumah apabila selesai peperiksaan nanti.

Cepat-cepat aku menukar pakaian lain kerana kesejukan baju yang basah. Menggigil. Aku duduk di meja belajar, membuka bungkusan makanan dengan cermat. Menadah tangan memohon doa' keberkatan, tiba-tiba aku sebak melihat nasi. Terasa bersyukur sangat saat nasi itu berada di kerongkongku. Allah...aku lemah. Lemah dalam ujian sikitMU ini. Sudah seminggu aku tidak berwang, aku hanya dibelanja oleh sahabat-sahabatku untuk makan dan minum. Sungguh aku malu walaupun dibelanjakan. Kerana aku takut, aku tidak berjaya sampai ke tahap Al-Itsar dalam persahabatan. Mendahulukan sahabat lebih berbanding diri sendiri - Al Itsar. Sungguh mereka cukup menyentuh hatiku.

Ya Allah, didiklah diri hambaMU ini untuk sentiasa bersyukur, kerana aku mudah leka dan lalai apabila diberi nikmat kesenangan. Ya Allah, Engkau ampunkanlah dosa emak dan abahku kerana mereka amat bermakna dalam hidupku, Ya Allah, Engkau berkati dan lindungilah sahabat-sahabat ku, kerana mereka telah banyak membantu aku sewaktu dalam kesusahan sama ada secara langsung atau tidak. Ya Allah, sungguh hatiku ini hitam pekat dipenuhi titik-titik hitam maka Engkau sucikanlah hatiku ini Ya Allah! Sungguh aku tak terdaya lagi ya Allah berlumang dalam dosa ini. Ya Allah.....

Apa pun yang aku hadapi, hidup mesti diteruskan dalam misi mencari mardhatillah. Semoga langkah ini semakin hari semakin laju menuju syurga yang kekal abadi.

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR
13 Januari 2012

Comments
1 Comments

1 comment:

  1. Dalam bersahabat, tak perlu ada istilah segan dan malu. Tak perlu ada istilah menyusahkan dan disusahkan..

    You can count on me like one, two, thhree. I'll be there.
    And I know when i'm needed
    I can count on you like four, three, two and you'll be there.
    cause thats what friends are supposed to do.

    Jom follow ana pergi Hulu Langat pagi ni, ada ceramah kat sana.. Pastu kita sarapan skali,

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...