Thursday, October 27, 2011

Perjalanan Hidup yang ‘ROCK’




Sesungguhnya hidup kita di atas muka bumi ini adalah tidak lain tidak bukan semata-mata menuai benih yang akan kita tuai hasilnya di akhirat kelak. Ini adalah falsafahnya. Maka makhluk yang diciptakan Allah perlu berpadu dengan prinsip ini untuk senantiasa berada di jalan yang benar dan diredhai Allah SWT.

Bagaimana dahsyatnya kehidupan ini mampu mengubah akal manusia supaya tidak kembali kepada prinsip awal tadi. Kehidupan yang dinodai dengan kemewahan terlampau, dek wujudnya hiburan yang melalaikan jiwa inilah senjata yang dimainkan oleh syaitan dalam menyesatkan manusia agar terpesong dari prinsip sebenar kehidupan. Perjalanan hidup manusia kadang-kala tak dijangka. Ada kalanya pada awalnya tidak disimbah dengan ilmu agama yang mencukupi bahkan dihiasi dengan kehidupan urban orang Barat tetapi kehidupan berjalan dan sampai satu destinasi kehidupan itu berubah kepada landasan yang diredhai yakni tasawwur Islam yang jelas telah meresap dalam jiwa, hal inilah yang dinamakan HIDAYAH. Hidayah Allah ini hak milik Allah SWT.

Usah risau jika diri ini masih dibelengu penuh persoalan yang sukar dijawab serta merta. Kerana perjalanan hidup kita sentiasa berjalan dan sudah pasti jawapan kepada persoalan yang terbuku itu akan terjawab menerusi siri-siri perjalanan hidup anda. Sebab itu dalam kegiatan harian kita, akal perlu memainkan peranan dalam sentiasa berfikir akan suasana kehidupan sekeliling. Kita perlu melihat hal sekeliling dan mengaitkan dengan diri dan nilai-nilai murni kehidupan. Sebagai contoh : anda sedang berdiri menunggu rakan kelas di luar bilik kuliah, terlihat seorang makcik yang sedang mop lantai di hadapan anda, dan kita sedia maklum bahawa makcik itu sedang bekerja. Apa yang sedang anda fikirkan apabila anda melihat makcik tersebut? Adakah anda buat tak tahu sahaja? Atau anda muhasabah diri bahawa kegigihan makcik itu melakukan kerja semata-mata ingin mencari sesuap nasi walaupun dengan kerja sebegitu rupa tetapi kita masih bermalas-malasan dalam mencari pekerjaan selepas graduasi kelak?

Renungkanlah…

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR

28 OKTOBER 2011

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...