Tuesday, April 30, 2013

Semangat Stallion ; Si Kuda yang Tangkas Hanya Pada Manusia yang Penyayang


Kali ini, tajuk entri saya lain dari kebiasaan. Biasanya, saya hanya letak tajuk dengan ayat yang ringkas. Namun, kali ini, tajuk saya perlu jelas untuk menunjukkan isi yang akan saya tulis kali ini tampak cerah dan terarah.

Sebabnya, kali ini saya mahu ketengahkan satu ibrah atau pengajaran atau juga kelembutan nilai yang wujud dalam sebuah filem animasi barat-amerika yang bejudul,

"The Spirit Stallion of The Cimarron"

Sebuah filem animasi barat dari Amerika yang ditayangkan pada tahun 2002 ini mendapat sambutan oleh seluruh negara. Tidak hairanlah dengan jalan cerita dan olahan dengan teknik yang segar, ia mendapat sambutan diluar jangkaan. Pengarah filem ini ialah Kelly Asbury dan Lorna Cook, nah sudah tentu kita tak mengenali mereka tetapi penangan idea mereka memotivasikan orang yang menonton.

Hampir 4 kali saya menonton filem ini. Tiap kali selepas saya selesai menontonnya, saya merenung jauh. Kali pertama saya menontonnya semasa saya di tingkatan 5 atau 4 saya lupa, tonton di TV.

Stallion, itu nama bagi si kuda (mustang). Kuda yang tegap, bewarna coklat-emas, Stallion bagi saya ada beberapa poin yang boleh saya ketengahkan sebagai nilai baik. Antaranya :

1. Tangkas
2. Berani
3. Pemimpin Bertanggungjawab
4. Lembut Hatinya
5. Tidak Menyalahkan Anak Buah

Dalam penceritaan filem ini, kita dapat lihat gambaran suasana yang sebetulnya bagi sebuah kedamaian. Simboliknya ada di situ, semasa di awal filem dan juga semasa Stallion melompat jauh merentasi pemisah dua gunung. Stallion dibesarkan dalam komuniti yang kecil, barangkali komuniti kuda yang terselamat dari ancaman manusia yang durjana!

Konflik keseluruhan cerita bagi saya satu sahaja. Bagaimana Stallion melihat manusia itu dari kacamata sebagai seekor Kuda yang bergelar 'Haiwan' oleh kebiasaan manusia. Stallion sebenarnya tidak kenal siapa itu 'manusia' sehinggalah Stallion menghendap masuk tempat perkhemahan manusia yang sedang nyenyak tidur pada waktu lewat malam. Bukanlah saja-saja Stallion mencari musuh terhadap manusia di situ dengan menghendap masuk kawasan perkhemahan mereka, tetapi apabila Stallion berasa pelik kenapa rakan-rakannya perlu tinggal bersama manusia sedangkan ini bukan tempat mereka selayaknya. Tiba-tiba, manusia di situ terjaga, lalu terus ingin menangkap Stallion.

Sejak dari peristiwa itu, barulah Stallion itu kenal spesis yang bernama 'manusia'.

Saya pada awalnya membiarkan sahaja konflik ini kerana ia konflik biasa yang dilalui oleh semua haiwan. Tetapi apabila pemuda Orang Asli memainkan watak, saya mula tertarik.

Pemuda dari kaum asli ini jugalah seorang manusia. Namun, dari kacamata Stallion, manusia ini lain berbanding manusia yang ia kenal sebelum ini.

Bahagian ini, saya memberikan fokus dalam menghayati cerita ini dengan mata hati. Sebabnya, Stallion yang degil, tangkas dan tidak mudah menyerah kalah itu akhirnya dijinakkan oleh seorang pemuda Orang Asli, caranya bagaimana itu saya serahkan kepada pembaca untuk menontonya kerana bahagian inilah yang menyentuh hati.

Keseluruhannya,
filem ini hidup apabila bagaimana pengarah pandai bermain dengan tempo emosi seiring dengan alunan lagu latar dari penyanyi terkenal suatu ketika dahulu iaitu, Bryan Adams.

Saya terimbas kembali apabila dalam Al-Quran ada surah Al 'Adiyat, dimana Allah SWT bersumpah dengan Kuda perang yang berlari kencang. Dalam surah itu juga, melihatkan bahawa ketangkasan kuda itu berlari kencang menuju ke medan perang. Allah SWT juga menemplak kepada manusia bahawa ramai yang ingkar suruhan-NYA dan tidak bersyukur bahkan sayangkan harta melebihi segala-galanya padahal harta itu datang dari Allah SWT.

Akhirnya,
dalam filem ini, manusia yang memburu harta semata-mata dan sanggup mempergunakan haiwan demi melunaskan nafsu jahat itu, lihatlah, haiwan pun membencikannya.

Tetapi,
jikalau manusia itu penyayang, pemurah, dan redho akan ketentuan takdir, maka percayalah, makhluk Tuhan yang lain akan sayang kepada kita, seluruh isi bumi mendoa'kan yang terbaik buat insan seperti ini.

Kebebasan.

Bebas memilih menjadi manusia Kufur Nikmat atau Syukur Nikmat.

MUHAMMAD AFIQ MD NASIR
30 April 2013
Ayer Keroh

Saya sertakan link untuk melihat filem penuh cerita ini :
http://viooz.co/movies/6275-spirit-stallion-of-the-cimarron-2002.html 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...