Thursday, February 24, 2011

Ummah yang berpenyakit moden


Bismillah,
Aku meneliti kehidupan ini dengan teliti. Setiap masa aku cuba amati dengan teliti lantas kadang-kala terlangkau jauh berimaginasi. Allah SWT lebih mengetahui alam ciptaan ini kerana Dia yang Menciptakan kesemua ini. Aku, hamba Allah yang banyak terlanjur dosa. Hakikat, aku kini sangat banyak berdosa. Perjalananku jauh. Kerana dalam perjalananku adalah perjuangan kebenaranku. Dunia kini, zaman ini, zaman penuh dengan tipu daya. Zaman ‘dunia-tanpa-sempadan’,teknologi yang giat pesat membangun. Aku risau ummah. Ummah yang tertipu akan teknologi ciptaan sendiri. Mereka lalai dan leka apabila moden mencorak kehidupan. Lupa akan tanggungjawab paling utama, - Khalifah-. Mereka hilang rasa roh jihad. Mereka lebih utamakan dunia sehingga lupa bekalan ke akhirat.

Aku adalah insan biasa. Yang hanya bertazkirah untuk ingatan diri dan semua. Aku bertazkirah seolah-olah sedang bercakap sendirian dengan diri. Hakikatnya, kehidupan kini sedang dilanda barah sakit yang inginkan penawarnya. Virus-virusnya adalah dari manusia yang alpa dan bangga akan duniawi yang hanya seketika. Aku takut barah kehidupan ini akan menjadi perkara biasa dan Allah SWT akan menurunkan bala tanpa kita sedari. Nau’zubillah. Hakikatnya, kita, umat akhir zaman. Umat Nabi Muhammad SAW, Rasulullah Nabi kita sangat menyayangi kita. Sayangnya Rasulullah kepada kita sehinggakan Baginda hampir wafat sempat menyebut ummati sebanyak 3 kali yakni umatku. Allahuakbar....
Perjalanan perjuangan bermula...

Kita manusia, aku manusia. Kebenaran islam perlu dipertegakkan. Sepertimana tertegaknya daulah khulafa’ ar-rasyiddin yang dipimpin oleh 4 sahabat Rasulullah yang mashur – Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Usman, Saidina Ali – perjuangan islam, cahaya islam tidak berhenti di situ, Allah SWT terus menyinarkan cahayaNYA dengan tertegaknya daulah umaiyah. Perjuangan warisan Rasulullah diteruskan lagi dengan tertegaknya daulah abbasiyah. Zaman abbasiyah yang begitu indah akan kekayaan ilmuwan para sarjana islam yang lahir menerobos ilmu-ilmu kritikal seperti sains, falsafah, matematik dan banyak lagi ilmu bermanfaat. Penguasaan pemerintahan islam diteruskan lagi dengan izinNYA sehingga tertubuhnya daulah turki uthmaniyah yang dipelopori sultan-sultan yang hebat dari pelbagai sudut, sehingga tibanya saat perjuangan warisan tiba pada sultan turki uthmaniyah yang diberi nama – Sultan Muhammad Al-Fateh – merintis perjuangan Rasulullah sehingga merealisasikan hadis Rasulullah dalam menawan kubu terkuat dunia yakni kubu Konstantinople. Zaman kini diteruskan lagi, Allah tidak akan membiarkan musuh-musuh islam melenyapkan sinar islam, Allah SWT meneruskan cahaya Islam dengan lahirnya jiwa muda yang sanggup mewarisi perjuangan Rasulullah yakni – As-Syahid Imam Hassan Al Banna – tokoh yang tidak asing lagi dalam dunia perjuangan gerakan Islam. Kini, seperti yang kita tahu, Allah tidak akan mudah memberi musuh-musuh Islam untuk senang-lenang melenyapkan sinar Islam di atas muka bumi ini. Maka zaman ini, zaman ‘dunia-tanpa-sempadan’ yang aku coretkan awal tadi pasti ada penawar barah ini dan aku yakin jiwa MUDA yang menggoncang dunia hari ini. Aku Optimis. Aku yakin.

Allah SWT jualah tempat kita memohon pertolongan. Hakikatnya kita manusia yang lemah. Bersama-samalah dalam perjuangan menegakkan kebenaran tanpa mencampur adukkan kebatilan di dalamnya. Tanpa melakukan maksiat semasa perjuangan. Bahkan, perbanyakkan amalan kebaikan. Sesungguhnya perjuangan ini memerlukan jiwa-jiwa muda yang baharu, yang ghairah dalam perjuangan Islam.
Dunia memerlukan kalian dalam mewarisi perjuangan Rasulullah SAW...Allahuakbar.

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR
-kembara seorang muslim-

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...