Saturday, February 4, 2012

KEMBARA SAYA DI TURKI DAN JORDAN



“Selam Aleykum”, ini adalah lafaz dialek salam yang dituturkan oleh orang-orang di negara Turki kebiasaanya. Unik bukan! Dialek ini saya pelajari apabila ‘kembara’ saya ke Turki baru-baru ini. Jangan terkejut kerana saya sudah sahaja menjejakkan kaki ini ke negara Turki bahkan di Jordan juga. Tetapi bukanlah dengan menjejakkan kaki dengan menaiki kapal terbang, cukup dengan saya membaca dua buah buku hasil tulisan oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil – “Rindu Bau Pohon Tin” dan “Secangkir Teh Pengubat Letih”.

Travelog Tarbiyah ke Jordan

Sungguh saya amat suka bila membaca hasil karya-karya Ustaz Hasrizal Abdul Jamil kerana buku-bukunya memberikan kita satu inspirasi hasil daripada kembara beliau di bumi barakah. Begitu luas bumi ini jika kita membandingkan diri kita dengan luasnya bumi. Apatah lagi jika kita renungkan diri kita nan kerdil ini dengan Allah SWT yang Maha Besar? Muhasabah kita bersama, sesungguhnya kita manusia yang kerdil lagi hina, hidup kita sebagai hamba Allah SWT sahaja di alam dunia ini untuk bekalan kita di akhirat kelak. Itulah golongan yang bijak,pandai,berjaya dan sebagainya.

Saya sememangnya amat meminati buku-buku yang mencatatkan penceritaan kembara seseorang di pelbagai pelusuk negara. Kerana mungkin sifat saya yang suka mengembara dan suka membaca catatan kembara orang lain untuk saya menyelami sendiri catatan itu seolah-olah saya berada di tempat mereka. Walaupun saya masih tak berupaya untuk mengembara menjelajah ke negara seberang laut sana, namun cukuplah sekadar saya menyelami catatan pengembaraan orang lain agar diri ini dapat kenal suasana lain dari yang lain.

Jika dalam buku “Rindu Bau Pohon Tin” ianya lebih kepada catatan Ustaz Hasrizal di negara Jordan. Negara dimana tempat beliau berjihad menuntut ilmu di universiti Mu’tah dalam bidang syariah dan pengajian Islam. Rindu beliau terhadap pohon tin dapat saya rasai apabila menyusuri setiap bait penceritaan beliau. Jangan disangka belajar di luar negara itu indah-indah belaka. Lebih-lebih lagi jangan disangka belajar di luar negara itu adalah peluang untuk melempiaskan nafsu untuk melancong ke sana sini kerana dunia. Itu adalah silap! Jika itu niatnya, saya khuatir takut-takut kita tidak berada dalam golongan fi sabilillah dalam menuntut ilmu lebih-lebih lagi di negara orang.

Ana Muslim! Alhamdulillah!

Ya! Bersyukurlah kita diberi nikmat Islam dalam diri ini dan dengan itu kita dapat kecapi manisnya Iman lalu melahirkan sifat ihsan dalam diri. Segala-galanya adalah apabila kita mengikat janji setia dengan Allah dalam kalimah syahadah. Islam yang kita anuti ini bukanlah sekadar agama penganutan semata-mata. Bagi saya, ia adalah agama yang perlu diperjuangkan dan dipertahankan! Jika kita mengaku kita seorang yang beragama Islam mana mungkin kita dengan sesuka hati melanggar peraturan Allah ini. Sungguh, Allah lebih Maha Mengetahui akan setiap peraturan yang ditetapkan olehNYA untuk kita manusia makhluk ciptaanNYA.

Atas dasar kuatnya akidah kita maka dimana-mana kita berada pasti akan sentiasa di bawah perlindunganNYA dan akan merasai nilai-nilai Islam dengan penuh penghayatan. Apabila saya menghayati siri kembara dalam 2 buah buku Ustaz Hasrizal ini, indahnya Islam terpancar terang. Jangan disangka gelapnya malam tiada cahaya, pasti adanya kunang-kunang menghiasi suasana. Bila dilihat negara seperti Turki dalam buku “Secangkir Teh Pengubat Letih” ianya memberi satu pengajaran buat kita yang berada di Malaysia apatah lagi bagi golongan seperti saya yang belum pernah jejak ke sana. Jika mahu melihat orang Turki yang komited dalam pegangan Islamnya jangan terus terjah ke kawasan Aksaray. Renungi sahaja Taksim, deretan pusat tarian gelek dan gerai majalah lucah yang seakan menjual kacang putih dan pelbagai lagi. Jika kita mahu melihat orang Turki yang begitu komited dalam pegangan Islamnya, jangan sepikan mata daripada kesungguhan penduduk Eryup mempertahankan keislamannya. Bahkan kalau kita keluar ke bandar-bandar seperti Konya, Diyarbakir, Aksehir hatta Erzurum, Trabzon dan Van, kita akan lihat bagaimana bandar-bandar ini seakan-akan tidak pernah mendengar tentang Artatuk atau Ismet Inonu. Tanpa sebarang undang-undang yang mewajibkan mereka untuk komited dengan peraturan Islam, suasana di sana masih elok terjaga dan ini jarang diberikan publisiti oleh media.

Jangan kita sesuka hati melabelkan negara Turki itu negara sekular sepenuhnya! Hakikat, masih ada rakyat mereka yang mewarisi darah nenek moyang mereka sebagai mujahid khalifah Uthamniyyah! Masih tak terkira banyaknya bilangan rakyat Turki di sana hafiz-hafiz belaka, Al-Quran dihafal 30 Juzuk kesemuanya lengkap seawal usia mereka muda lagi.

Saya begitu tertarik dengan gaya dan cara penyampaian kelas-kelas di Universiti Mu’tah oleh pensyarah-pensyarah di sana. Memandangkan buku “Rindu Bau Pohon Tin” banyak melatarkan tempat di Universiti Mu’tah lantas penceritaan Ustaz sungguh membuatkan saya ingin belajar ke sana suatu hari nanti. Pensyarah mereka tidak takut dengan ancaman puak-puak tertentu. Sebaliknya mempraktikkan apa yang kita katakan biar berkata benar walaupun isinya pahit! Mereka memasakkan dalam dirinya bahawa, jika mereka ditangkap atau dibunuh atas sebab kenyataan-kenyataan di kelasnya, mereka merelakan diri dalam mengecapi nikmat syahid di jalan Allah! Allahuakbar!

***

Perkongsian entri saya kali ini adalah mengajak para pembaca agar menilai catatan kembara itu dengan mata hati yang dahagakan ilmu nan luas. Di sebalik lembaran kertas itu ada beribu bahasa yang perlu ditafsir oleh akal yang mahu berfikir seperti golongan ulul albab. Buku adalah medan mengenal sanubari penulis yang menulisnya dan buku juga adalah kayu ukur kepada manusia sejauh mana keinginan kita dalam sabar mendalami buku tersebut. Adakah ingin bermegah-megah berjaya menghabiskan satu buku dengan tempoh yang cepat atau menekuni buku itu walaupun lama menghabiskannya tetapi penuh ilmu di dada.

InsyaAllah semoga kita sama-sama menyahut perintah Allah kepada Rasulullah yakni Iqra’ (Baca) agar minda ini tidak jumud dan mampu diluaskan pemikiran seluas langit biru.

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR
3 Februari 2012
Ayer Keroh Melaka.

Comments
2 Comments

2 comments:

  1. Ana juga berminat untuk bermusafir di muka bumi Allah yg luas ini tapi belum ade kesempatan..INSYAALLAH..tempat first untuk ana bermusafir adalah di muka bumi Australia barangkali..

    ReplyDelete
  2. Maaf atas kelewatan yang teramat membalas komen saudara/i anonymous. Musafirlah dimana-mana, semoga anda mampu dekat padaNYA apabila bermusafir :)

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...