Thursday, June 9, 2011

Sains selaku Guru Disiplin Mikro peribadi Muslim.


Bismillah,
Citra manusia di atas muka bumi masing-masing mempunyai perwatakan yang berbeza-beza. Kadang kala, terbit rasa lucu,marah,tegas dan pelbagai lagi apabila kita melihat telatah orang di sekeliling. Allah SWT Maha Bijaksana dalam hasil penciptaanNYA setiap sesuatu. Cuma penceritaan ini adalah sedikit perkongsian pengalaman saya melihat dunia luar sewaktu di lapangan masyarakat setempat tak kira dimana jua.

Keluarga Bahagia

Sebuah keluarga yang harmoni malah beriman adalah satu perkara kejayaan yang dikecapi apabila berkeluarga. Sesebuah keluarga itu ada pemimpinnya yang memandu ahli keluarga ke arah yang diredhai Allah SWT, orang itu adalah “Ayah”. Seorang ayah yang penyayang sangat menyayangi ahli keluarganya, manakan tidak sewaktu saya berada di hospital besar Melaka, ingin ke surau menunaikan solat zohor, sewaktu sahaja saya membuka pintu surau ternampak seorang ayah sedang mengaji dan dikelilingi anak-anak kecilnya yang riang tapi tak mengganggu orang lain. Si ayah telah membuat satu situasi “icon” kepada anak-anaknya dengan mengaji.

Situasi antara suami dan isteri, tika mana saya sedang menjaga ayah di wad perubatan lelaki, jiran pesakit ayah saya adalah seorang polis diraja yang dilanda sakit. Moral nya adalah, sang isteri yang dalam umur sekitar 50-an tabah menghadapi ujian yang dialami olehnya dan si suami. Beliau menjaga hampir 12jam di wad menemani si suami tercinta dan amat peramah orangya. Gaya bahasanya sungguh diselimutkan dengan nasihat kepada dirinya dan orang yang diajak berbual.

Keluarga yang harmonis dan beriman lahir dari pasangan suami isteri yang bertakwa kepada Allah SWT. Indahnya dunia jika bait muslim terpelihara dengan baik. Produk yang dihasilkan adalah yang terbaik apabila telah diasuh dan dididik oleh ibu bapa yang bertakwa. Anak-anak akan lebih keterhadapan dan baik budi pekerti serta yang lebih penting adalah jejak ibu bapa nya sebagai seorang yang bertakwa kepada Allah SWT.

Sains dan Disiplin diri

Di sini juga ingin saya coretkan beberapa perkara tentang disiplin. Mungkin sesebuah keluarga itu kadang kala terlepas pandang dari aspek penerapan kepada disiplin ahli keluarganya terutama kepada anak-anak. Pelbagai jenis buku motivasi masa kini telah banyak memperkatakan tentang disiplin terhadap masyarakat,diri,organisasi dan sebagainya. Sememangnya disiplin adalah suatu perkara yang dikatakan sikap. Maka sikap ini nak tak nak perlu dihayati bahkan perlu ada pada jiwa manusia tak kira peringkat umur usia, agama dan bangsa. Dari penghayatan sudut sains, sains telah mengajar kita untuk berdisiplin.

Apa yang sains ajar kita tentang disiplin?

Dalam dunia sains, sewaktu kita di sekolah atau matrikulasi atau di kampus atau di mana jua semasa kita sedang membuat satu ujikaji sains, kita akan bermain dengan bacaan-bacaan radas dan segala macam pembacaan. Sains dalam eksperimen adalah satu cara pengesahan apa yang kita tahu antara teori sains, maka eksperimen ini adalah pembuktian depan mata kita sama ada gagal atau Berjaya. Setiap pembacaan radas dan prosedur perlu dilaksana dengan disiplin tanpa ‘langkah bendul’ atau melaksanakan ‘bagaikan melepaskan batuk di tangga’, sudah pasti eksperimen anda gagal sentiasa! Walaupun pada asalnya kita mahu lihat teori itu Berjaya atau tidak. Mustahil setiap eksperimen gagal! Dengan itu, sains telah mengajar kita satu perkara mikro yakni sikap disiplin semasa melaksanakan eksperimen.

Sains dan Penghayatan diri Terhadap Allah SWT

Gabung jalin antara sains dan alam sekitaran boleh mengajak kita untuk lebih dekat kepada penciptaNYA Allah SWT. Proses pengaliran darah, fotosintesis tumbuhan, burung berterbangan, kapal-kapal di lautan, hempas pulas badai ombak laut dan sebagainya. Kesemua tadi sesungguhnya dari sudut sains ada penjelasannya mengenai graviti bumi, gelombang, daya apungan, maka disini perlu kita akui Allah SWT sahajalah yang Maha Bijaksana lagi Maha Perkasa. Di sini situasi muhasabah diri akan berlaku apabila kita merenung kesemua kejadian alam tadi, sungguh hebat tuhan kita Allah SWT menciptakan dengan penuh teliti dan proses-prosesnya amat berdisiplin.

Sikap disiplin ini sebenarnya manis. Apabila si ayah mendisiplinkan anak-anaknya maka mereka akan membesar dengan baik. Apabila si isteri berdisiplin dalam menjaga si suami tercinta walaupun keadaan si suami yang sedang sakit, isteri perlu menjaganya dengan kasih sayang kerana Allah dan inilah yang Allah suka. Apabila eksperimen sains dilaksanakan dengan berdisiplin, sudah tentu keputusan akhirnya akan sangat berpuas hati, tidak kisah sama ada gagal atau tidak.

Akhir kalam, sesungguhnya kejadian alam ini kesemuanya ciptaan Allah SWT, kita hanya meminjam dariNYA seketika kerana kita sedang berada di “Bus Stop” alam dunia dan selepas ini kita kena berlepas ke stesen seterusnya yakni alam kubur dan seterusnya di alam akhirat kelak. Renungilah setiap ciptaan Allah agar kita senantiasa muhasabah diri yang terlalu banyak terlanjur dosa.

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR
-Kembara Seorang Muslim-

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...