Pastinya kita
yang berkesempatan olehNya untuk berada dalam bulan ramadan kali ini adalah
nikmat yang patut kita syukuri.
Sudah lama saya
tidak menulis apa-apa entri dalam blog ini. Namun, kali ini saya tergerak hati
untuk menulis sesuatu yang berkaitan dengan tazkirah hati insan. Saya kerap
juga mendengar setiap tazkirah hati yang disampaikan oleh Ustaz Yo Kemaman.
Gelaran kebiasaan orang awam panggil beliau dengan nama Ustaz ‘Yo’ kemaman,
mungkin ustaz banyak memberi kuliah di kemaman.
Bukan apa, siri-siri
rakaman tazkirah oleh beliau sangat menampar diri saya dan secara tak langsung
muhasabahkan diri keseorangan. Penceritaan ustaz lebih menyentuh dengan
kehidupan kebiasaan manusia, dengan pelbagai rencam, tak kira ianya bab ibu
bapa, suami isteri, anak-anak dan macam lagi. Ia penceritaan yang realiti.
Mudah untuk kita fahami dan muhasabah diri sendiri apabila mendengar tazkirah
ustaz.
Jikalau anda
tidak mengalir air mata semasa mendengarnya, maka semak kembali hati anda.
Saya berani kata
sebegitu kerana, manusia ini pelbagai cerita yang telah Allah takdirkan agar
kita sama-sama ambil peringatan, mengetuk hati biar lembut. Cerita yang paling
menyentuh hati saya ialah apabila ustaz menceritakan kisah-kisah yang berkaitan
dengan ibu ayah. Ibu Ayah bagi saya, kalau kita sentuh bab ini kepada
remaja-remaja yang hatinya keras, saya yakin, hati mereka akan lembut jua.
Sebab, itu fitrah.
Kedua,
Saya turut
mendengar cerita-cerita tazkirah hati dari ustaz berkisarkan tentang
rumahtangga, anak-anak dan juga suami isteri. Penceritaan ustaz dalam bab suami
isteri itu bukanlah kisah yang romantik ataupun yang indah-indah, tapi ustaz
menceritakan saat-saat kematian suami atau isteri, kisah kehidupan suami isteri
berpuluh tahun yang perlu dijaga rapi, suami isteri yang bergaduh sehingga
sanggup bercerai dan banyak lagi.
Satu sahaja
jikalau ustaz menceritakan kisah kematian suami isteri yang membuatkan saya
terbayang kepada seseorang insan. Sudah pasti saya teringatkan mak saya.
Kerana, saya melihat sendiri dengan mata saya bagaimana kesedihan mak di tepi
abah yang terbujur kaku di atas katil di wad kecemasan tempoh lalu, saya juga
sempat terdengar rintihan kasih sayang syahdu mak sebagai isteri kepada abah.
Saya tak sempat
dengar dengan teliti dek kerana saya tak tahan sebak lalu pergi ke satu sudut
lain tenangkan diri.
Takdir Allah,
Allah lebih sayangkan mak jua.
Pembaca yang
sudah bergelar suami isteri, boleh juga anda mendengar tazkirah-tazkirah ustaz
dalam bab suami isteri agar kita mampu ambil peringatan dan pengajaran untuk
jadi suami isteri yang terbaik dan mendapat keredhaan Allah.
Tazkirah hati
oleh ustaz yo betul-betul menusuk. Saya sarankan pembaca untuk mendengar
siri-siri tazkirah ustaz di laman youtube. Cari sahaja, tulis ‘Ustaz Yo Kmn’,
keluarlah pelbagai tazkirah hati ustaz. Dengarlah, moga ada percikan muhasabah
tak banyak pun sedikit pun jadilah.
Moga bermanfaat
entri kali ini untuk semua.
Ramadan Kareem.
MUHAMMAD AFIQ BIN
MD NASIR
2 Ramadan 1436 H
19 Jun 2015
Ayer Keroh,
Melaka