Saturday, May 11, 2013

Emak, Abah, Tunggu Adik ya!


"Ada apa-apa nak tambah lagi ke pada ais krim encik ini?" pelayan kedai menyoal.

"oh erm, tiada apa lagi saya rasa, ini sudah cukup.." saya membalas ringkas.

"Encik tak mahu beli lagi aiskrim sempena Hari Ibu?" soalan yang tak dijangka oleh saya.

"oh, tak apalah dik" saya melemparkan senyuman manis kepada pelayan lelaki itu. Aiskrim saya warna hijau, abang saya pula warna coklat. Sambil menikmati aiskrim tersebut, akal melayang akan ucapan pelayan tadi mengenai "Hari Ibu". Saya terkedu...menghela nafas panjang...

Tahun 2012 yang lepas adalah suatu cabaran kepada saya dan keluarga sanak saudara terdekat. Namun, paling menguji sudah tentu saya dan abang. Dengan bilangan adik-beradik hanya 2 orang, ternyata ujian bertubi-tubi yang kami hadapi ini pasti tersemat di hati kami dalam mencari makna hikmah disebalik lontaran sayang Allah kepada hambaNYA seperti kami 2 beradik.

Mampu atau tidak, saya perlu menempuhnya demi memaknakan hidup sebagai hamba Illahi.

Tahun 2012, saya kerja sebagai juruwang di sebuah pusat membeli belah di Melaka. Mahu atau tidak, saya terpaksa bekerja demi mencari wang belanja untuk dikumpul sebagai wang yuran pengajian di universiti. Mula bekerja pada bulan Mac dan berakhir pada bulan september.

Tempoh Mac - September itu ada kisah yang perit untuk ditelan. Abah yang saya sayang telah menghembuskan nafas terakhir pada bulan Mei akibat abah telah diserang strok kali ke-3. Abah yang lumpuh sebelum itu dengan mata kirinya sudah rosak, mahu bercakap pun hanya saya, emak dan abang saja yang faham akan percakapannya. Saya masih ingat saat saya menyuapkan abah makan pagi, tengah hari dan malam. Abah sangat suka saya yang menyuapkan berbanding emak dan abang ketika itu. Saya gembira walau hati masih tertanya-tanya kenapa saya? Kadang-kadang, emak sudah siap hidangkan nasi dan lauk depan abah untuk emak suapkan tetapi abah menyuruh emak memanggil saya untuk menyuap abah atas permintaan abah.

Saya teramat manja dengan abah. Selalu juga main-main,usap-usap tangan kanannya yang lemah itu, saya letak tangannya di muka saya, di kepala, kadang-kadang saya bandingkan saiz tapak tangan saya dan abah. Abah hanya tersenyum.

Namun,
Allah lebih menyayangi abah. Bulan 5 2012, Abah pergi meninggalkan saya, emak dan abang. Depan mata saya kejadian ini berlaku. Saya Redho akan ketentuanNYA.

Saya bekerja, hinggalah pada bulan 9, saya berhenti kerja kerana memang saya nekad untuk berhenti waktu itu.

Namun,
Emak mula mengadu pada saya sakit perut. Hari Raya kami pada tahun 2012 pertama kali tanpa abah, sangat sedih. Raya kami sederhana, dengan cantik berbaju melayu berwarna pink, saya ketawa! ini pilihan emak, emak pun senyum sahaja apabila keluarga kami ingin merah jambu pula tahun itu.

Tetapi, raya kami tak lama. Saya mula resah apabila emak mula sakit yang luar biasa di bahagian perutnya, lalu emak dihantarkan ke wad Hospital Melaka. Emak pernah masuk wad di bulan ramadhan dan dikeluarkan sebelum hari raya agar emak dapat meraikan hari raya di rumah.

Saya telah masuk pengajian di universiti, namun sering kali 'ponteng' kelas kerana mahu menjaga emak di wad yang keseorangan. Kadang-kadang, emak suruh beli mee sup, saya beli, emak mahu kacang, saya beli, emak mahu air oren twister, saya beli, asalkan emak mampu mengukir senyuman.

Pada satu hari,
emak sudah sihat, namun takdir Allah, emak diserang strok kali pertama. Waktu itu saya ada di sisi emak, saya melihat, suara emak sudah bukan orang normal. Saya tak keruan. Saya buat-buat biasa di depan emak, emak menangis meminta tolong kerana emak pun merasai akan badannya yang terasa lain dari sebelum ini.

Semakin hari, penyakit emak tidak mampu untuk dikawal. Kanser nya sangat bahaya. Menyerang tanpa diduga akal manusia. Sepanjang hari, saya menjaga emak, akal tak menentu memikir nasib emak waktu itu. Kerana saya, waktu itu, tak mampu untuk menerima seandainya emak dipanggil oleh Allah SWT akibat keadaan emak yang sudah kritikal.

Takdir Allah yang Maha Penyayang,
Emak telah menghembuskan nafas terakhir pada bulan november 2012.

Saya jatuh melutut, terduduk ke lantai. Tak mampu jiwa jantan ini berdiri utuh apabila melihat emak terbujur kaku di atas katil wad...saya tak mampu

Saat saya sedih di hospital, saya membawa diri ke suatu tempat di waktu subuh. Kedengaran bacaan Al Quran di masjid berdekatan seolah-olah Allah sedang memujuk hati ku yang sedih..apabila Allah mengungkapkan bahawa :

Firman Allah s.w.t: “Wahai orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat kerana sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar” [Surah Al-Baqarah, ayat 153]

Sungguh! saat ayat Al Quran itu terdengar, saya tersentap...seolah-olah Allah sedang memujuk hatiku tika itu.

Namun,
Kini sudah tahun 2013. Mahu atau tidak, hidup ini perlu diteruskan. Walau tanpa emak dan abah di sisi, namun Allah masih wujud di sisi. Allah yang tak mati, tak tidur, tak lupa akan setiap hambaNYA.

Tahun yang sama, 2012
Jarak hanya 6 bulan,
Mereka dipanggil Tuhan,

Sayangilah ibu dan ayah kalian,

Maknakan hidup mereka dengan anak-anak yang berjiwa soleh dan solehah.

Akhirat sana kekal

Dunia hanya sementara.
Pilihlah, sama ada mahu jadi penghumban mereka ke neraka atau penyelamat agar mereka mampu kecapi nikmat syurga bersama-sama.

Selamat Hari Ibu dan Ayah

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR
12 Mei 2013
Ayer Keroh      

Thursday, May 9, 2013

PRU 14 : Penantian Tsunami 90' Anak Muda Pewaris Negara


Pilihanraya kali ke-13 sudah selesai. 5 tahun mendatang ini akan diterajui oleh kepimpinan dari parti Barisan Nasional, dimana Perdana Menteri Malaysia yang sah masih lagi disandang oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tidak hairan lah apabila parti BN ini menerajui tampuk kepimpinan negara kerana negara mengamalkan sistem demokrasi dan menjadikan pilihanraya sebagai wadah suara rakyat jelata bagi memilih pemimpin dengan undian majoriti pilihan mereka sendiri.

Itu hanyalah apabila sistem demokrasi itu 100% tulen!

Hakikatnya, demokrasi sudah mati. Kenapa saya berkata begitu? Ini mudah sahaja, kita mampu melihat bagaimana media arus perdana sama ada surat khabar, radio kerajaan, atau siaran TV, kesemuanya tak mengamalkan konsep kebebasan media. Sebaliknya, mereka hanyalah mengikut telunjuk kerajaan iaitu dari parti BN untuk menyebarkan berita dari satu pihak sahaja. Langsung tidak memberi peluang dan ruang untuk parti haluan pembangkang untuk mengemukakan hujah dan pandangan atas setiap tohmahan dari kerajaan.

Sistem semak imbang jauh sekali untuk diperkatakan apabila media dikuasai oleh pemerintah Barisan Nasional!

PRU 13, 505, 'BlackOUT', - Saya ingin nyatakan pendirian tegas disini, saya teramat kecewa dengan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dalam menguruskan perjalanan PRU 13 baru-baru ini. Badan swasta ini seharusnya memainkan peranan neutral dalam mengendalikan hal besar negara tapi sebaliknya kelihatan seakan-akan bias pada Barisan Nasional. PRU13 adalah dimana ketumbukan gelombang rakyat masih konsisten dari sejak PRU12 lagi, dimana keputusan pada masa itu sangat mengejutkan pelbagai pihak, apabila para penganalisis politik menggelarkan pada waktu itu sebagai - "TSUNAMI POLITIK NEGARA"

Tsunami pada PRU12 ini adalah apabila rakyat mula menyedari akan ketidakadilan dari segenap aspek, tak perlu untuk saya utarakan setiap aspek itu di sini kerana ia perlu juga untuk saya sediakan bukti dan fakta tepat agar pembaca tidak kekosongan dengan percaya secara membuta tuli.

Berbalik pada hal PRU13, kecewanya saya adalah atas beberapa faktor yang saya kira, rakyat bersolidariti perkara yang sama. Ianya ialah :

1. Pengundi dari orang Bangladesh yang mendapatkan IC percuma dari kerajaan sebelum ini.

2. Jabatan Pendaftar Negara perlu respon terhadap IC percuma kepada warga bangladesh dengan telus.

3. Peti undi dilarikan dan disembunyikan, seperti yang berlaku di Parlimen Putrajaya, kehilangan 3 peti undi.

4. Kertas undi boleh bocor luar kawasan mengundi.

5. Dakwat kekal yang tidak kekal

6. Bagaimana elektrik di tempat pengiraan undi boleh 'blackout' secara tiba-tiba apabila pengiraan sudah dimenangi oleh pihak Pakatan Rakyat ?

Perkara di atas ini terbukti bahawa SPR tidak berperanan dengan baik dalam mengurus PRU13. Saya tidak percaya apabila sesetengah orang kata, hal di atas adalah kesilapan 'tak sengaja' SPR, itu memang tak masuk akal!

Apa pun, saya boleh katakan, apabila saya mendapatkan analisis ringkas dan data kasar daripada rakan-rakan petugas parti, majoriti saluran 4 & 5 menjadi peratusan besar undian dari saluran ini berpihak pada Pakatan Rakyat. Saluran 4 & 5 adalah saluran bagi pengundi muda yang sekitar umur 24-21 tahun, yang barangkali kita boleh gelarkan sebagai ' The First-Time Voter'.

Saya tak terlalu mengejut apabila berita ini diberitahu, kerana, anak muda sudah lama dibanjiri dengan fakta telus 90% melalui media internet. Maka di situ mereka mampu menilai kedua-dua media, media pro kerajaan dan media pro pakatan rakyat.


Fakta dikeluarkan dari 'Under21malaysian.com'

Menerusi fakta diatas, 90.44% anak muda mengundi Pakatan Rakyat sebagai pilihan utama pada PRU13. SPR mengeluarkan bahawa, PRU13 peratus keluar mengundi adalah paling tertinggi dalam sejarah negara yakni 80% meningkat 6-7% berbanding PRU12.

Saya tak mahu pula bersifat 'anak muda' berlebihan dengan mengenepikan  undian daripada golongan warga emas, tetapi ini fakta yang menarik kerana sudah pasti, negara akan diterajui oleh golongan muda selepas ini.

Tambahan pula, jikalau kita analisis pengundi baru yang turun mengundi sangat mendadak naik apabila kita bandingkan antara PRU12 dan PRU13. Hampir semua negeri pertambahan purata peratusan pengundi baru ialah 16%, anda boleh renungkan jadual di bawah ini.


Fakta data peratusan pengundi baru. Sumber : Bridget Welsh

Sifir mudah, kalau PRU13 ini mempamerkan anak muda julat umur antara 24-21 yang lahir pada tahun 1988-1991 berjaya menghasilkan gelombang luar biasa kepada undian pada Pakatan Rakyat, kita boleh bayangkan anak muda yang lahir pada tahun 1992-1995 memainkan watak mereka semasa pertempuran di PRU14.

Namun, saya masih yakin, jikalau konsisten nya Pakatan Rakyat telus dalam pelbagai perkara, fakta dan manifesto, tidak mustahil Tsunami Politik baru pada PRU14 akan menggemparkan Malaysia dengan perubahan kerajaan baharu.

Itulah apa yang kita gelarkan dengan,

TSUNAMI GENERASI 90' ANAK MUDA

Selawat dan salam atas Nabi Muhammad SAW!

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR
10 Mei 2013
Ayer Keroh

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...