Wednesday, May 30, 2012

Cerpenis : Liku-Liku Kota di Tanah Gersang (1)



Hamzah terus meluru ke biliknya lalu terus ke tempat meja belajarnya. Tangan meraba-raba ke dalam bag galasnya mengambil computer riba untuk dibuka. Ali sedang membaca surat khabar terhenti akibat dari tadi melihat gelagat sahabatnya itu yang kelam kabut lagaknya. Hamzah tidak mempeduli sahabatnya itu.

“Oh tidak, rupanya aku ada temu janji dengan rakan-rakan persatuan Islam yang lain untuk berbincang tentang isu Irshad Manji petang ini jam 5…” keluh sedikit Hamzah seorang-seorang. Jam sudah menunjukkan jam 4 petang, cepat-cepat dia mengambil telefon bimbitnya menghantar mesej kepada rakan-rakan persatuan Islam yang lain sebagai peringatan agar mereka tak terlupa.

“Kau ada motor tak Hamzah? Kalau tak ada aku boleh bagi pinjam. Lagipun aku tak ke mana-mana petang ni. Engkau pun tiada kenderaan nak pergi sana. Oh ya, kat mana tempat kau punya temu janji? “

“Di Masjid Teras Jernang. Oh ya, terima kasih ya Ali aku baru nak minta pinjam motor dekat kau” kelihatan senyum manis terukir di wajah Hamzah. Berbunga-bunga hatinya apabila Ali sudi memberi pinjam motor untuk temujanji Hamzah pada petang itu.

“Balik nanti, belikan aku mee segera ye!” jerit Ali apabila sedar Hamzah di pintu bilik.

“InsyaAllah!” Balas Hamzah ringkas.

***

Suasana petang nan damai itu dirasai seluruh masyarakat teras jernang. Jelas sinaran matahari yang tak panas membolehkan anak-anak kecil mahupun muda bersukan di padang. Kelihatan di kedai kopi Pak Seman begitu ramai warga emas duduk-duduk melepaskan lelah sambil mencicip air kopi pekat, ada juga yang rancak berbual sehinggakan air yang panas telah sejuk dibuatnya leka berbual.

Hamzah meletakkan motor sahabatnya itu di parkir bersebelahan dengan kereta Imam Besar Masjid Teras Jernang. Hamzah terus mendapatkan rakan-rakan persatuan Islamnya yang sudah pun berada di ruang solat belakang masjid tersebut. Kelihatan rakan-rakannya itu sedang duduk berbentuk bulatan yang tak berapa kemas tetapi santai.

“Assalamua'laikum, Maaflah aku lambat sikit sampai. Aku kalau bawa motor memang slow sebab nak menjiwai suasana petang.” Hamzah mengusik untuk pembuka bicara, dia terus duduk di sebelah Karim yang sejak Hamzah hadir dari tadi tersenyum-senyum kambing.

“Tak mengapalah Hamzah lagipun kami baru selesai baca Al-Mathurat.” Jelas Osman.

Ahli-ahli yang hadir pada petang itu tidaklah begitu ramai bilangannya. Hanya sekadar 3 orang sahaja tak termasuk Hamzah. Mereka adalah Osman, Karim, Azan dan Hamzah. Mereka adalah ahli persatuan Islam di jami'ah al-wataniah al-malizia. Pertemuan mereka adalah hanya untuk berdiskusi matang tentang isu umat masakini perihal perjuangan Islam Liberal yang dibawa oleh Irshad Manji. Buku beliau yang menjadi kontroversi dalam kalangan umat islam seluruh dunia yang bertajuk “Allah, Kebebasan dan Cinta” sudah tersebar luas sama ada jualan atau muat turun PDF percuma di ruang maya internet.

- Apa yang mereka bincangkan? -

Bersambung…
MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR
31 May 2012

Sunday, May 27, 2012

Barah Itu Merebak Rakus


Anak kecil dibunuh kejam di Syria yang dipimpin regim Basyar






500 Artis menghiburkan Belia?


Ketika mana kita sedang menghirup udara segar sambil mencicip air kopi panas lekat di hujung kerongkong sambil menyandar di kerusi malas kemalas-malasan lagaknya, saudara kita di belah Negara timur tengah sedang gagah menyusur langkah berduri menapak deras melangkah menentang manusia yang tiada jiwa erti hidup bertuhan. Mereka memburu syahid di medan berdarah agar manisnya wajah berseri menikmati keindahan syurga Illahi.

Saya antara lautan manusia di bumi ini yang turut simpati akan peristiwa bergolak di timur tengah malah suasana yang menimpa seluruh umat Islam di dunia ini. Ada yang kelaparan, ada yang kemiskinan, ada yang bermandi darah sepanjang masa, ada meronta kesakitan yang sarat…

Kita hanya pandai duduk bersahaja tanpa usaha.

Keluhan hati kecil ini berdengus juga apabila melihat nasib Negara sendiri dimana masyarakat yang masih menaruh harapan pada pemimpin sedia ada. Kita sedia maklum, di sekolah telah mempelajari ilmu akhlak dan moral bahkan dalam subjek Pendidikan Islam turut diajar benda yang sama. Apa dia?

Akhlak.

Kalau akhlak seseorang itu dicerminkan baik belaka hanya di kaca TV dan di media akhbar, ternyata ia tidak mampu memberi bukti yang kukuh. Anda sebagai manusia yang hidup mati kerana Allah, sudah tentu tahu mana syariat mana adat, mana pahala mana dosa! Kadang-kala saya runsing memikirkan hal ini kerana apa tujuannya jika kita belajar agama di sekolah dalam bab itu ini tapi masih menafikan apa yang diajar dahulu pada kehidupan reality…

Antaranya ialah soal aurat.

Bukan soal aurat sahaja bahkan banyak perkara lain lagi yang konon-konon masa kecik kita belajar di sekolah agama sekaligus juga dapat skor ‘A’!

Barah ini sedang menimpa di Negara saya. Runtun jiwa saya apabila barah lain sedang melanda di Negara-negara islam yang lain, yang hanya berpeluk tubuh bersenang lenang dengan harta kekayaan hasil semulajadi tanpa menghiraukan saudara islam yang sedar sarat berdarah! Barah dan parah lagi bilamana kita masih membesarkan perkara furu’ (kecil) yakni soal-soal bida’ah itu tak boleh ini tak boleh, tapi lupa akan masalah yang lebih besar sedang melanda umat Islam di seluruuuh dunia.

Buka mata hati anda, tenang, baca Al-Quran, mohon petunjuk dariNYA agar hati kita senantiasa berpadu dalam membantu mendirikan Islam di tempat tertinggi dengan apa jua cara atau wasilah yang kita guna. InsyaAllah semoga barah itu pulih dengan redhaNYA.

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR
27 Mei 2012

Tuesday, May 15, 2012

Antara Warna Baik atau Warna Buruk

Bila Negara itu ditadbir dengan warna jahat, maka coraknya sudah tentu tidak cantik bahkan huru-hara jadinya. Persoalannya, bagaimana mata yang melihat ini menafsirkan warna itu baik atau jahat? Padahal mata kita semua sama sahaja. Jika berpandu pada ilmu sains, bila kita melihat sesuatu, mata akan mendapat signal lantas dipacu terus ke sel-sel otak untuk membuatkan kita mendapatkan output atau tafsiran yang akan diterjemah pada mulut.

Tapi…adakah sel-sel otak kita ini berbeza-beza setiap orang? Sehinggakan wujud dua penafsiran sama ada warna itu baik atau buruk.

Inilah realiti masyarakat di setiap Negara, baik di eropah, asia atau timur tengah atau di mana-mana sahaja Negara, perkara ini pasti wujud. Manusia ini sebenarnya tidak kenal bahkan tidak ingin ambil tahu fitrah kewujudan manusia sebenar di atas muka bumi ini. Bukankah kita semua baik-baik belaka sama ada yang menganut agama Islam atau lain-lain agama, semuanya semasa di alam roh telah taat janji setia untuk senantiasa menyembah Allah SWT yang Maha Esa? Semua manusia itu lumrahnya punyai sifat yang sangat baik tiada kotornya.

Maka dengan itu, manusia ini sebenarnya mampu melihat warna Negara nya sendiri dengan menselarikan dengan fitrah manusia. Jikalau negaranya itu bergelumang dengan rasuah, adakah masih kita ingin katakan Negara kita itu bebas dari rasuah? Semata-mata ingin melihat warna Negara nya sendiri tidak dicalar padahal ianya sudah calar-balar.

Politik itu ilmu. Ilmu mentadbir. Bila disebut ‘ilmu’ sudah tentu ianya datang dari Allah SWT Yang Maha Bijaksana bahkan ilmu itu digunapakai untuk kemudahan dan kesenangan di dunia agar kehidupan ini diberkati Allah untuk kita membawa bekalan di kehidupan selepas mati yang kekal abadi yakni di akhirat kelak.

Bila sesebuah Negara itu ditadbir dengan warna yang kurang menarik, maka politiknya juga tidak menarik. Disebabkan warna itu juga mempengaruhi politik. Maka, politik itu mula menjadi KOTOR sepertimana kotornya warna itu walaupun cantik di mata-mata manusia yang tegar mempertahankan kecantikkan itu walau hakikat warna itu sudahpun KOTOR. Bukankah kita sudah bincangkan di atas iaitu ilmu itu memudahkan manusia tetapi kini kenapa tidak sedemikian?

Apa yang jelas dan kekal adalah ‘ilmu’ itu memudahkan manusia. Ilmu itu juga datang dari Allah SWT yang Maha Bijaksana. Itu PASTI. Bagaimana ilmu itu menjadi KOTOR adalah berpunca dari manusia yang mengamalkan ilmu itu. Allah SWT menciptakan manusia di atas muka bumi ini adalah untuk mentadbir alam agar seluruh makhluk di atas muka bumi ini sentiasa diberkati Allah. Pada masa yang sama,untuk menggalas tanggungjawab mentadbir alam ini, Allah SWT menguji setiap manusia ini dengan NAFSU dan pelbagai ujian agar iman manusia itu sentiasa kuat agar manusia itu benar-benar serius untuk mentadbir alam ini dengan berlandaskan syariat Islam yang sebenar.

Dengan itu, ilmu politik yang dianggap KOTOR itu adalah berpunca dari manusia yang kalah dengan hawa nafsunya sendiri yang sentiasa mengejar dunia tanpa melihat akhirat dengan perasaan takut. Lantas, ditadbirnya Negara itu berlandaskan ikutan hawa nafsunya semata-mata. Rosak warna itu.

Cukup kita mengambil contoh atau model ilmu politik yang BERSIH yang diamalkan sewaktu pentadbiran kerajaan Madinah dimana Perdana Menterinya adalah Nabi kita yang disayangi Nabi Muhammad SAW, Negara diwarnai dengan begitu cantik bahkan tenang melihatnya. Warna itu tersebar meluas di seluruh dunia dengan hanya mengamalkan Ilmu Politik yang BERSIH, ilmu yang datang dari Allah SWT dan diamalkan oleh hati yang BERSIH nan suci sudah tentu output nya juga cukup gemilang!

Warna apa yang sedang mewarnai dan mendominasi Negara kalian waktu ini? Fikir-fikirkan..

Selawat dan Salam ke atas Nabi Junjungan kita, Nabi Muhammad SAW!

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR
13 Mei 2012

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...