Sunday, March 25, 2012

“Catatan dari Manusia kepada Manusia” - Episod 1



MULA BEKERJA DI ANSELL

Akhirnya, temuduga saya sebelum ini terjawab oleh syarikat kilang Ansell NP Sdn. Bhd, mereka menghubungi saya untuk hadir ke kilang untuk hari pertama bekerja. Hari pertama bekerja, kerja saya senang sahaja, hanya duduk di dalam sebuah bilik ‘Room of Training’ yang berhawa dingin kemudian mendengar taklimat oleh En. Abu Samah, biasa orang di sana panggil beliau dengan gelaran ‘Pak Abu’, Pak Abu yang merupakan orang penting dalam jabatan sumber manusia syarikat Ansell tersebut.

Suasana di kilang tersebut agak kemas dan bersih persekitarannya. Maklumlah, sebuah syarikat Australia yang membuka kilangnya di malaysia, syarikat yang bertaraf antarabangsa terkemuka di seluruh dunia dalam penghasilan sarung tangan pembedahan hospital, ‘Glove Surgical’.

Tepat jam 8 pagi, saya sudah terpacak di kilang. Terus sahaja saya menuju ke pejabat sumber manusia untuk memulakan hari pertama saya di situ. Hari pertama setiap pekerja kilang itu adalah dipanggil hari Orintasi, lebih kurang macam kita sewaktu di sekolah dahulu, ada minggu suai kenal. Pada hari orintasi inilah pihak sumber manusia kilang akan memberikan taklimat serta ‘training’ kepada para pekerja baru.

Saya terus menuju ke bilik ‘Room of Training’, kelihatan sudah ada orang duduk di tempat masing-masing. Dalam hati saya berkata, kenapa mereka sudah mempunyai baju kilang beserta seluar lengkap? Adakah aku salah masuk bilik?

Duduk saya di sebelah orang yang berbaju lengkap kilang.

“err kamu orang mana?” saya menegur orang di sebelah saya.

“saya indonesia.” Balas orang itu.

Terjawab sudah persoalan saya, mereka adalah pekerja baru warga indonesia yang sama seperti saya iaitu sebagai pekerja baru yang akan melalui hari orintasi. Mereka sudah diberi baju uniform terlebih awal mungkin kerana semasa persetujuan kontrak mereka pihak syarikat kilang sudah memberinya awal.

BERSAMA PAK ABU

En Abu Samah atau Pak Abu mempunyai pengalaman bekerja di Ansell selama 32 tahun lamanya. Cukup terkesima saya dibuatnya, belum lahir saya pada waktu itu. Pak Abu sudah menganggap kami ini seperti anaknya kerana usia kami yang majoritinya 20-an. Orang yang kemas pakaiannya, sedikit gempal badannya dan berdisiplin di tempat kerja.

“Siapa di sini yang merokok?” soal Pak Abu dengan sedikit tegas kepada kami. Ada yang ragu-ragu untuk mengaku kerana takut apa-apa yang berlaku atau mungkin tidak diambil bekerja, masing-masing ‘play safe’ sahaja walaupun ada sahaja yang merokok.

“Saya adalah merupakan perokok tegar, satu kilang ini tahu yang Pak Abu ini merokok. Sebelum masuk kerja jam 8 pagi, saya isap 8 batang, semua orang tahu..” Pak Abu berbicara dengan nada yang jelas.

“Tapi! Kalau di tempat kerja, kita kena ikut undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan oleh syarikat. Kilang tidak membenarkan pekerjanya menghisap rokok di kawasan kilang dan kita kena patuh,tahan ketagih kamu..”

“Saya kalau ‘office hour’ saya tidak akan merokok walaupun ada keinginan dalam diri ini untuk merokok juga tetapi saya sabar, tahan, saya disiplinkan diri untuk tidak melanggar peraturan kilang. Saya pun menyesal merokok ni, rugi! Buang duit! Satu kotak dah rm10, kalau dua kotak dah rm20,...saya pun dah kurangkan merokok, ianya susah untuk berhenti serta-merta namun kita kena janji dalam diri kita bahawa kita kena kurangkan merokok dan akhirnya kita berhenti untuk merokok” jelas Pak Abu yang agak semangat nadanya memberikan nasihat kepada kami.

Selama 8 jam kami berada di dalam bilik training. 8 jam adalah tempoh pekerja tempatan manakala 12 jam adalah tempoh pekerja asing bekerja. Cuma apa yang tertarik perhatian saya pada Pak Abu semasa dalam taklimat beliau adalah...

“Wang kita boleh cari, ada kalanya wang TIADA ERTI..”

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR
19 MAC 2012

Saturday, March 10, 2012

Biarkan Masa Itu Berlalu Pergi?



Masa yang berlalu itu merupakan tragedi yang meninggalkan seribu satu pengajaran yang luar biasa pernah saya alami. Sungguh, masa itu berlalu memberi tamparan hebat kepada diri yang alpa ini. Seolah-olah tragedi kali ini adalah situasi yang kedua seperti sama tetapi berbeza rupa. Saya yakin, pengajaran secara praktikal lebih efektif berbanding pengajaran secara teori semata-mata. Contoh mudah yang saya boleh beri adalah, kita tahu bahawa masa itu penting, ilmu itu perlu dicari, usaha kena gigih segigihnya. Itu semua adalah teori.

Teori.

Namun, bagaimana teori yang kita tahu itu mampu dapat kita praktikkan dengan jayanya sejaya perkataan yang diungkap ‘masa itu penting’. Pengajaran secara praktikal yang dimaksudkan ialah, Allah akan mentarbiyyah hambaNYA dengan memberi pelbagai ujian. Apabila hambaNYA telah kunci jam pada jam 5.30 pagi untuk bangun malam, apakan daya hasutan syaitan menguasai diri lalu si fulan telah bangun pada jam 7.30 pagi. Lalu akibat terlewat bangun, qada’ tidak terbuat terus bersiap untuk bergegas ke tempat kerja, tanpa bersarapan walaupun sedikit. Menaiki motosikal ke tempat kerja melihat jam sudah hampir jam 8 pagi dengan baju kemeja tidak bergosok, seluar kusut.

Lalu sampai di tempat kerja, sebaik sudah ‘punch card’ lalu si fulan itu duduk di bangku. Menutup mukanya dengan kedua tapak tangan, tiba-tiba air mata mengalir di balik jari-jarinya. Rupanya dia sedang menangis.

Menangis kerana tidak menjaga masa, lalu di awal harinya telah berlalu dengan begitu kelam kabut sehinggakan solat subuh sanggup dibiarkan. Lantas, si fulan itu dapat belajar sesuatu pada hari tersebut. Apa yang telah dia pelajari?

MASA ITU PENTING. Si fulan itu bukan sahaja dapat belajar sesuatu melalui tragedi itu tetapi lebih dari itu, dia akan lebih beringat kepada Allah, karakter lebih berdisiplin, masa akan lebih tersusun, semua ini hanya semata-mata Allah beri ujian praktikal tentang ‘MASA’ untuk mengajar hambaNYA secara praktikal bukan sekadar berteori semata-mata.

Sungguh, jadilah muslim yang menilai sesuatu ujian dari Allah itu dengan penilaian seorang hamba yang menagih kasih dan tarbiyah dariNYA. Allah akan beri kepada kita apa yang kita tidak terjangka dan yang tak terjangka itulah memberikan pengajaran yang luar biasa.

MUHAMMAD AFIQ BIN MD NASIR
9 Mac 2012
Ayer Keroh Melaka.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...